Assalamualaikum hi semua. Ini adalah kali kedua cubaan untuk aku menulis. Cubaan yang pertama, aku dah menulis separuh jalan, kemudian aku batalkan hasrat. Rasa berbelah bahagi nak menulis disini.
Tetapi kali ni aku cuba menulis semula sekadar untuk berkongsi cerita dan rasa. Dihujung cerita kalian akan tahu apa yang membuatkan aku terasa seperti mahu menulis semula.
Nama diberi Nur. Menjangkau umur 30 an. Berasal dari Ibu Kota KL. Aku telah berkahwin hampir setengah dekad. Aku berasal dari keluarga sederhana, tidaklah terlalu alim namun sangat mementingkan soal agama, batas pergaulan dan sebagainya.
Sungguh begitu, ada antara ahli keluarga aku yang terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah. Jadi kalian pasti boleh bayangkan ibu bapa aku yang trauma dan akan sedaya upaya mengawal anak anak mereka supaya perkara tersebut tidak berulang.
Ini kisah hampir 15 tahun yang lalu. Sewaktu umurku 15 tahun. Biasalah, ketika umur sedang meningkat remaja. Aku berkenalan dengan seorang lelaki, aku namakan dia AM.
Aku berkenalan dengan AM ketika aku mengikut sepupuku pulang ke kampung bersama keluarganya ketika cuti persekolahan pada penghujung tahun.
AM ketika itu juga masih lagi bersekolah, lewat 16 tahun dan akan menduduki SPM pada sesi persekolahan yang pada tahun hadapan. Inilah kali pertama aku betul betul rapat dengan seseorang berlainan jantina. Pertemuan kali pertama itu membawa kepada bibit bibit cinta monyet orang kata.
AM orangnya manis di mata aku dan sangat menghormati orang tua. Sejak itu kami kerap berbalas pesanan ringkas dan kerap berhubung. Berbulan bulan kami berhubungan. Kami juga kerap berutus surat.
Sejak pertemuan kali pertama itu, boleh dibilang dengan jari hanya berapa kali kami bertemu. Itupun sekiranya dia datang ke ibu kota. Yes, AM orangnya sangat independent. Kalau dilihat dari luaran, tak macam student pun. Kalau ada salah faham sikit, KL ni dah macam sebelah rumah dia.
Tiba tiba muncul. Kita pula perempuan kan, suka merajuk. Jadi kalau aku merajuk je, hujung minggu hari Sabtu Ahad tiba tiba dia muncul.
Padahal jarak kami beratus kilometer jauhnya. Dia akan datang hanya menaiki motorsikal, bersama beberapa orang teman rapatnya konvoi bersama.
Apabila kami berjumpa, dia sekadar hanya mahu pastikan aku ok, berjumpa di kawasan taman rumah aku, bersembang dan apabila aku dah ok, dia balik semula ke utara.
Sehinggalah pada satu hari aku berani keluar bersama dengan dia, itupun aku tidak dipelawa atau diajak. Hanya aku saja yang pandai – pandai mahu mengikut mereka.
Kalau ikutkan si dia, dia tidak mahu bawa aku keluar, kerana tidak mahu ada apa apa masalah berlaku memandangkan kami berdua masih lagi bersekolah dan AM juga sedia maklum mengenai keluarga aku. Apabila kami keluar dia merasa sangat tak selesa dan mahu cepat cepat menghantar aku pulang.
Jadi kami cuma keluar untuk makan atau berjalan sebentar di Mall. Kami tidak pernah ke tempat seperti panggung wayang, karaoke dan sebagainya. Kalau kami berjumpa pasti di kawasan terbuka atau kawasan awam.
Hubungan kami baik baik sahaja sehinggalah dia hampir menduduki peperiksaan SPM. Sebelum peperiksaan bermula, sempat lagi dia nak jumpa aku, dia datang bersama rakan-rakannya juga. Oh ya, aku hampir kenal semua rakan rapat dia.
Sehingga kini aku masih boleh tersenyum sorang sorang mengenangkan perangai masing masing dan lawak hambar mereka. Selalu aja membuli aku kerana aku tidak berapa faham loghat pekat utara.
Aku dan rakannya juga saling menyimpan nombor telefon satu sama lain dan kerap berhubung melalui telefon dan media sosial. Ketika itu, tanpa memberitahu atau mendapatkan keizian keluarga, aku keluar bersama dia dan rakannya. Aku masih ingat, kami keluar semata-mata untuk makan cendol di tepi jalan.
Tiba tiba ibu ayah dan semua keluarga aku menghubungi aku bertanyakan keberadaan aku. Aku jujur dan diarah untuk pulang segera sebelum keluarga aku datang untuk mengambil aku. Aku buat keputusan untuk pulang sendiri.
AM ingin menghantar aku pulang, namun aku bertegas untuk pulang ke rumah sendiri menaiki teksi. Kerana aku tak mahu dia di marahi, aku tak mahu dia dipersalahkan. Dalam perjalanan pulang, AM telefon aku tanpa henti dan rupanya dia mengekori aku sampai ke rumah.
Sampai saja di rumah, PANGG. Aku ditampar oleh keluarga aku sorang demi sorang. Mereka bertanyakan seperti aku ini penjenayah yang telah melakukan kesalahan yang sangat berat. AM pada ketika itu berdiri di hadapan rumah dan kemudian dihalau.
Keluarga aku beri amaran pada AM, sekiranya terjadi apa apa pada aku, mereka akan buat laporan polis. Sehinggakan keluarga aku membawa aku ke klinik untuk pemeriksaan sama ada kesucian aku telah hilang atau tidak.
Sedihnya hati aku ketika itu, sampai ke situ keluarga aku fikirkan tentang diri aku. Walau macam mana pun, tidak pernah aku terfikir untuk menggadaikan kesucian aku.
Sepanjang perjalanan ke klinik aku hanya diam. Tiada sepatah kata aku mahu ucapkan malah merasa tidak sabar kerana sesungguhnya memang aku tidak pernah lakukan kerja terkutuk itu. Ketika di Klinik, tiada apa apa petanda bahawa aku telah dirogol dan ketika itu memang aku sedang datang bulan.
Dalam hati aku mengatakan padan muka semua, sudahlah tidak percaya aku, muka aku ditampar, hati aku sakit bagai ditikam tikam bila semua orang bagai nak gila memarahi aku. Aku tahu, sejuta kata yang aku jawab ketika itu, tiada guna kerana aku telah dicop anak perempuan yang tak baik.
Kemudian telefon aku dirampas. Keluargaku terus menghubungi AM melalui telefon aku, dan memberi amaran agar tidak menghubungi aku lagi. Sejak itu, kami sudah tidak berhubung dan yang aku tahu dia terus pulang semula ke Utara.
Ketika aku menulis coretan ini, bertakung air mata aku buat sekian kalinya. Masih teringat peristiwa pahit itu. Tak mungkin satu saat pun aku lupa. AM pula hormat keputusan keluarga aku, kami tidak berhubungan sehinggalah dia selesai menduduki Peperiksaan SPM dan tamat sekolah.
Hari demi hari jiwa aku bagai melayang layang. Rasa rindu yang amat sangat, dada aku sentiasa sebak, rasa sepeti mahu pecah dada ini, airmata dan aku berpisah tiada. Sehinggalah aku terpaksa meminjam telefon bimbit rakanku dan kami berhubungan semula.
Aku masih ingat AM memujuk aku dan berkata, tak apa Nur, kita buktikan pada keluarga kita, ini bukannya cinta monyet seperti yang diperkatakan. AM berpesan supaya aku aku untuk fokus untuk SPM akan datang.
AM minta supaya aku tidak risau tentang dia, berulang kali AM menyebut yang dia sentiasa menunggu aku. Untuk buktikan cinta kami, AM berpesan walau macam mana sekalipun, aku mesti taat pada keluarga aku.
Kerana aku masih dibawah tanggungjawab mereka. AM tidak mahu keluarga aku beri pandangan yang lebih negatif pada AM.
Hubungan kami baik baik sahaja dan AM langsung tidak berubah, kami kerap berutus surat walaupun ketika itu AM telah menyambung pengajian, di salah sebuah Universiti dalam negara, juga di negeri asal dia.
Dan aku diterima masuk di salah sebuah universiti dalam negara, di Ibu Kota. Orang yang hangat bercinta, semestinya banyak angan angan kami impikan bersama. Perancangan kami, setelah kami berjaya mengenggam Ijazah, AM akan berusaha untuk kami hidup bersama.
Tahun berganti tahun kami bercinta, pernah sekali sahaja aku ke utara untuk melawat dia. Aku juga mahu dia rasa dihargai seperti mana dia menghargai aku. Aku gembira kerana diterima baik oleh keluarga AM.
Sangat sangat bahagia kerana adik beradik AM semua melayan aku seperti dah lama kenal. Rupanya AM banyak bercerita tentang aku. Pada tahun akhir semester pengajian aku, kami sering berbincang tentang perancangan selepas tamat belajar, bekerja dan berkahwin.
Aku dan AM yakin inilah masanya kami bagi tahu semua keluarga aku dan yakinkan mereka tentang hubungan yang aku simpan rapat rapat dari pengetahuan keluarga aku. Aku yakin keluarga aku pasti akan setuju.
Aku mulakan dengan bercerita pada ibu yang aku ada somone special. Akhirnya barulah aku berterus -terang orang itu sebenarnya ialah AM. Aku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari.
Semua ahli keluarga aku membantah sekeras-kerasnya dan tidak pernah memaafkan AM, AM tidak diterima, jangankan disebut nama dia, seluruh keluarga ku lebih lebih lagi ibuku, sungguh benci pada AM.
Bagi mereka AM sudah buat aku rosak sejak zaman sekolah kerana kecil kecil dah pandai bercinta dan melawan. Ibu hanya mahu aku fokus tamatkan belajar dan cari pekerjaan yang bagus.
Apabila dah dapat kerja yang bagus, barulah ibu izinkan aku untuk bercinta atau kenalkan dia dengan lelaki SELAIN AM. Selagi belum bekerja dan stabil. Ibu tak mahu dengar istilah cinta boyfriend. Semua ibu tak mahu dengar.
Aku tk tahu bagaimana aku mahu memberitahu AM. Aku diamkan perkara ini. Sedihnya hati aku, tak dapat dibendung sampaikan ketika itu aku peluk kaki ibu supaya cuba untuk berkenalan dahulu dengan AM. AM juga mahu sangat berjumpa dengan keluarga aku.
Keluarga AM semua telah mengenaliku dan ibunya melayan aku seperti anaknya sendiri. Hidup aku ketika ini tidak tentu arah. Sedih dan pedih hati ini menusuk nusuk. Adakah aku terpaksa menerima hakikat bahawa ini sememangnya cinta monyet semata mata?
Apakah benar apa yang diperkatakan oleh keluarga aku bahawa cinta monyet ini semua khayalan dan tidak aka bawa kemana mana?
Aku mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Aku beristikarah dan menangis semahunya meminta keampunan Allah, mungkin aku leka dengan cinta manusia sedangkan hati kita Allah yang pegang. Aku berdoa sesungguhnya jika dia yang terbaik, maka permudahkanlah.
Sewaktu dalam esakan beribadat kepada Allah, ibu datang dan bertanya, Nur menangis ni sebab AM ? Kalau sebab dia, Nur menangis air mata darah pun, ibu tak restu. Lagilah ibu benci. Aku rasa dunia aku gelap dan berhenti berputar. Aku rasakan inilah pengakhirannya.
Akhirnya aku buat keputusan yang amat amat melukakan hati kami berdua . Demi keluarga, aku rela lepaskan AM walaupun aku rasa jiwa aku melayang pergi. Mengenangkan tentang hubungan kami ini buatkan aku sesak dada.
Aku menghubungi AM, aku maklumkan aku nak sangat berjumpa dengan dia kerana dah lama rasanya tidak berjumpa. AM ni dia sorang yang sangat ambil berat dan risau dia melebih lebih.
Kalau dia risau sikit, tiba tiba muncul je mcm aku ni sebelah rumah dia. AM datang jauh dari Utara menaiki motorsikal bersama rakannya. Ketika ini AM baru mula bekerja secara part-time setelah tamat pengajian.
Kami berjumpa di sebuah Cafe di Ibu Kota. Dari jauh aku dah dapat lihat kelibat dia, luluh hati aku. Rasa rindu aku membuak. Airmata aku jatuh dengan laju tanpa henti. Masa ni aku rasa kenapa aku jahat sangat sampai suruh dia kesini semata mata nak kecewakan dan lukakan hati dia?
Boleh saja aku bagitau melalui SMS kan senang. Dari jauh aku pandang dia dan menangis semahunya sehingga aku teresak esak. Di tangan aku bawa sebuah kotak berisi barangan, hadiah dan surat surat yang AM beri sepanjang kami bercinta. Dari jauh dia nampak aku, dia terus tersenyum, sekejap.
Kemudian wajah dia bertukar keliru, mungkin risau sebab muka aku sembab menangis teruk sangat. Aku duduk berhadapan dan mohon izin untuk berbual berdua dengan AM tanpa rakannya disitu. Aku menyusun cuba menyusun ayat. Aku tidak langsung menyebut perihal keluarga aku.
Aku tidak langsung menyatakan bahawa hubungan kami tidak direstu. Cuma yang aku mampu beritahu, aku tidak boleh meneruskan hubungan ini lagi kerana hati aku telah tiada. Meluncur laju dari mulut aku sebuah penipuan bahawa aku jatuh cinta pada orang lain.
Aku maklumkan pada AM aku telah berkenalan dengan seorang lelaki dari tempat pengajian yang sama dan hubungan kami serius. Aku tahu AM pasti tidak percaya kerana AM tahu sangat betapa aku setia dan sayang pada dia.
Tapi aku telah meminta bantuan rakan ku untuk berpura menjadi teman lelaki aku. Rakan aku dtg ke meja kami, dan bersalaman dengan AM. AM hanya membisu.
AM sedang berdepan dengan aku, perempuan yang bakal menghancurkan harapan dia dan harapan kami berdua, dan lelaki baharu yang kononnya kekasih baharu aku. Aku telah susun ayat namun seakan tersekat dari kerongkong, rasa sebak sehingga aku rasa lemah seluruh badan.
Dada aku sakit. Masa ini aku dah tak mampu tahan lagi airmata aku, berjujuran jatuh tanpa henti. Allahuakbar, sewaktu aku sedang menulis ini, aku terpaksa berhenti sebentar. Masih terasa perasaan yang sama walau peristiwa ini bertahun dulu.
Aku bagitau AM, “Nur dah ada orang lain. Nur taktahu macam mana benda ni terjadi, tapi Nur doa AM berjumpa dengan wanita terbaik”.
Banyak sangat ayat yang aku dah susun tapi hanya ini yang aku mampu lontarkan. Selebihnya hanya tangisan. Dan sehingga ke saat ini aku masih ingat ayat yang AM ucapkan pada aku. “ Tak apa kalau itu yang sayang nak. Am pasti sayang dah fikir sehabis baik.
Terima kasih jujur dengan AM. Semoga sayang bahagia dan jaga diri, tapi AM minta izin, izinkan AM tunggu sayang selagi sayang belum nikah dengan sesiapa. Sekurang-kurangnya harapan masih ada”. Dan itulah pertama kalinya aku nampak airmata seorang lelaki, KERANA AKU..
AM langsung tidak memandang rakan disebelah aku. Aku dah tak sanggup lagi. Suara tangisan aku pun tak dapat dibendung. Aku cuma mahu menangis semahu – mahunya tanpa perlu aku tahan di depan AM.
aku bangun dan minta kawan aku yang masih lagi meneruskan lakonan dia untuk bangun, kami terus pergi dan tinggalkan AM di cafe itu.
Ya Allah, bagai nak gila kesedihan aku diwaktu itu. Separuh jiwa aku pergi, aku seperti mahu mati. Sehingga ke saat ini, aku kesal kerana aku langsung tidak mengucapkan kata maaf pada AM.
Sejak dari itu aku sekat AM dari semua media sosial dan telefon. Semata mata sebab aku tak mahu kami berhubung semula . Hari demi hari aku bertemankan mesej mesej AM yang aku masih simpan. Aku tidak makan dan mandi selama berhari hari. Berat badan aku menyusut hampir 10 kilogram.
Aku baca semula setiap kata kata cinta dan janji janji yang dia beri pada aku. Janji untuk bersama walau apa pun terjadi. Setiap hari aku baca, dan setiap kali itu juga air mata menjadi sahabat sejati aku.
Bertemankan itu, aku teruskan hidup aku, aku bangkit semula sehingga berjaya mengenggam segulung ijazah. Ketika aku graduasi. AM pula sudah mula bekerja di salah sebuah syarikat ulung di Malaysia.
Sekarang, adakah keluarga aku puas? Tidak. Keluarga aku tetap dilanda masalah demi masalah. Ada sahaja masalah berlaku tapi aku malas ambil peduli. Aku cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai anak.
Sekarang, aku telah bekerja berjawatan bagus. Allah temukan aku jodoh yang sangat baik. He is one of a kind mashaAllah. Aku tak tahu apa yang aku buat sehingga Allah hadiahkan aku suami yang terbaik di mata aku. Semua ciri-ciri seorang suami yang aku mahu ada pada dia.
Sama macam AM. Penyabar dan sangat tenang. Dia adalah rakan yang menemankan aku berjumpa dengan AM di cafe dulu. Sejak dari peristiwa itu, kami sangat rapat, aku pula dah malas mahu kenal lelaki lain.
Tapi suami aku ini berusaha dan tetap bersama – sama dengan aku sehingga ke saat ini. Suami aku faham benar kehancuran hati aku dek kerana cinta aku yang tidak kesampaian dulu. Suami aku tahu segala-galanya dan aku sering mohon maaf kerana aku masih terkenangkan kisah lama.
Mujur suami aku faham. Hari demi hari aku berdoa, aku ingin bahagiakan suami aku dan aku mahu menjadi isteri dan ibu yang baik kepada anak aku. Semoga Allah pelihara hati aku ini dan sentiasa istiqomah inshaAllah.
AM? AM juga telah berkahwin selang setahun aku berkahwin. . AM, if you’re reading this, I would like to say that I am so sorry for everything. Terima kasih kerana menjaga saya selama kita bersama dahulu. Saya terima ini semua sebagai takdir ketentuan Allah.
Takdir Allah tetapkan kita tidak bersama. AM, sehingga sekarang jika Nur kenang semula kisah kita, hati Nur sebak dan meruntun. Nur doakan AM bahagia. Cantik isteri AM, sopan orangnya. Nur tahu AM ada menceritakan tentang Nur pada isteri AM.
Kerana isteri AM ada melihat posting Nur di media sosial dan mungkin dia tertekan butang like tanpa sengaja, few times hehe but its okay, Nur tak marah, Nur tak tahu apa yang AM ceritakan pada dia.
Tapi Nur harap semuanya yang baik baik sahaja. Berkenalan dengan AM mengajar Nur erti redha dan sabar.
Beberapa hari sebelum aku menulis coretan ini, aku perasan aku ada menerima mesej mesej dari rakan rakan AM di Facebook, bertahun lamanya aku tidak perasan dan langsung tidak buka?? ramai rakan rakan AM memujuk aku supaya terima semula AM selepas peristiwa itu.
Rakan – rakan AM memaklumkan keadaan AM selepas aku tinggalkan dia dahulu. Meruntun hati aku. Ya Allah, mungkin ada hikmahnya aku tidak perasan dan tidak baca mesej mesej itu.
Jika tidak, mungkin aku tidak sampai hati melihat keadaan dia, mungkin aku akan menjadi seorang anak yang derhaka dan sibuk mengejar cinta pertama aku. Terima kasih kalian sudi baca sehingga habis. Minta maaf sekiranya ayat tunggang langgang.
Sepanjang menulis coretan ini, aku terpaksa berhenti henti dan emosi aku bercampur baur. Jika dikenang semula, dah macam drama Sinetron. Tak sangka ini semua terjadi kepada aku. Doa aku semoga anak anak aku tidak akan merasai kesakitan ini.
– NUR (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit