Kerja

Assalamualaikum yang membaca (jika admin menyiarkan hantaran ini). Nama aku Lara. Berusia awal 30-an. Seorang introvert dan kurang keyakinan diri.

Aku cuma nak luahkan yang terasa berat di kepala dan ingin minta pendapat atau cadangan yang bernas kerana aku sangat kebuntuan idea sekarang ni.

Aku berkelulusan ijazah dalam bidang sains sosial. Pernah bekerja beberapa tahun sebagai guru tadika di selatan Malaysia.

Selepas PKP, aku ambil keputusan untuk berhenti dan pulang ke kampung. 2021 ditakdirkan aku kehilangan abah tersayang. Alhamdulillah, aku sempat melihat abah buat kali terakhir.

Aku pernah kehilangan 3 orang yang aku sayang tanpa sempat melihat mereka buat kali terakhir.

Diusia ini kadang aku rasa down juga sebab belum mempunyai aset malah masih ada beban hutang pendidikan.

Gaji guru tadika swasta ketika itu hanya mampu menampung kehidupan aku hingga hujung bulan. Waktu tu gaji belum sampai 1500. Hujung minggu sibuk berprogram pula. Sepatutnya ada elaun tambahan, tapi kadang dibayar, kadang tidak.

Aku pernah cuba jadi dropship untuk tambah pendapatan tapi nampaknya tak menjadi. Untungnya sen-sen.

Berbekalkan sedikit simpanan semasa menjadi guru tadika, aku hanya mampu survive beberapa bulan untuk membayar komitmen bulanan selepas berhenti kerja.

Aku cuba cari kerja yang berdekatan di kampung tapi hampa. Kebanyakan majikan meletakkan syarat ada kenderaan.

Abang aku meminjamkan aku salah sebuah keretanya cuma kereta lama banyak cabarannya. Perlu tukar itu dan ini. Melibatkan wang kos yang agak banyak. Serba salah aku dibuatnya kerana kereta itu masih tersadai tak digunakan.

Aku cari lagi kerja yang berdekatan agar mudah untuk aku berbakti kepada ibu. Usia pula menjadi kekangan. Majikan meletakkan syarat calon yang berusia 30 ke bawah sahaja. Aku cuba juga SPA tapi gagal.

Memandangkan aku mempunyai pengalaman bekerja di tadika, aku mohon juga di tadika yang ada di sekitar kawasan aku, cuma itulah lepas bagi resume, senyap.

Sekarang ni aku bekerja sebagai guru taska yang beroperasi 24 jam. Cuti 4 hari sebulan. Selang 2 minggu sekali baru cuti.

Masa interview, katanya gaji pokok 1100 (dibawah basic) tak termasuk OT atau elaun aktiviti. Elaun kehadiran pula akan diberi jika tak cuti langsung.

Aku terima kerja ini memandangkan aku sangat memerlukan wang. Adik-beradik aku tak tahu aku terdesak kerana aku bukan sejenis yang suka meluahkan masalah kepada sesiapapun. Ini pun first time aku tulis disini.

Sampai satu tahap aku fikir, dunia ni bukan tempat aku. Bila aku baca masalah orang lain yang lagi teruk, aku bersyukur dengan apa yang Allah beri pada aku. Allah bagi ujian sebab aku mampu hadap.

Pejam celik dah masuk 2 minggu aku kerja sebagai guru taska. Minggu pertama, lutut aku sakit sebab banyak mecangkung mandikan budak. 3 kali mandi sehari, dengan bilangan budak 10-15 orang sehari.

Minggu kedua ni, bahu dan pinggang pun terasa sengal. Ada masa budak bermalam. Bila aku kerja, baru aku tahu elaun untuk OT dan bermalam, dipilih berdasarkan yang mana satu paling banyak. Yang mana bagi aku, tak adil kat situ.

OT atau bermalam, setiap budak yang datang tu, parents dia bayar kot. Aku jela kot yang rasa tak adil pembahagian macam tu sebab lagi sorang cikgu reda je.

Masa interview katanya ada 3 orang cikgu yang akan stay di taska. Bila tinggal di taska, rupa-rupanya 2 orang je yang tinggal bila hujung minggu. Sorang balik, sorang lagi stay. Kalau ada budak, memang berjaga la sorang-sorang.

Masa aku interview katanya 2 orang cikgu yang stay bila hujung minggu. Hujung minggu yang tak balik tu jagalah budak yang datang. Itu belum cabaran dapat parents yang cerewet. Rimas juga bila diperhatikan CCTV.

Taska yang aku kerja ni beroperasi sudah beberapa tahun tapi belum ada kelulusan JKM. Nak kena suntik tapi cikgu kena guna duit sendiri. Apakah?

Sekarang ni aku dah mula rasa burn out. Banyak lagi yang buatkan aku rasa nak lari je balik rumah. Dengan takda caruman KWSP/SOCSO, kebajikan pekerja tidak dijaga. Tinggal di taska, makanan guru tidak disediakan.

Cikgu-cikgu yang ada beli atau masak sendiri. Sikit pun tak sentuh makanan budak walaupun beras.

Oh ya, kerja 12 jam. 7 pagi buka pagar tapi pukul 6 pagi parents dah hantar anak. Kerja lebih masa tapi gaji tak setimpal keringat.

Itu belum lagi owner buat pekerja macam bibik kena jaga anak dia yang suka hati dia tinggal untuk tengok-tengokkan. Fuh! Mencabar mat.

Doakan aku dapat tempat kerja yang lebih baik, majikan yang menjaga kebajikan dan memberikan hak pekerja yang sepatutnya. Di kelilingi orang yang baik.

Aku bersyukur dapat kerja cuma bila aku dah rasa ditindas dan ada beberapa perkara yang aku fikir ‘ini tidak sepatutnya dilakukan..”, maka, aku berharap ada tempat kerja ‘syurga donia’. Bukanlah tempat yang melalaikan.

Tapi at least, nak solat & makan pun tak tergesa-gesa. Nak mengaji pun ada masa. Moga yang berjuang cari pendapatan yang halal diberkati.

Masih ramai yang belum mampu ‘berdikari’ dan bebas kewangan macam aku. Yang nak bagi solusi, aku alu-alukan. Terima kasih membaca.

Aku ubah la nama Lara jadi Bahagia. Moga hidup aku dan korang yang membaca lepas ni bahagia walau pasang surut ada duka.

Yang benar,

– Lara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *