Kerja Bank

Assalamualaikum semua. Berat sebenarnya untuk aku ceritakan benda ini tapi biarlah kalian ambil sebagai pengajaran.

Aku bekas pekerja disebuah Bank dan dimana tempat yang umum kita ketahui sebagai pusat riba. Tambah-tambah aku bekerja di bank Konvensional bukan status Syariah. Dari awal aku sudah sedar tempat aku bekerja ini memang mengamalkan perniagaan ribawi tetapi aku tetap tidak ambil kisah.

Masih meneruskan pekerjaan macam biasa ialah dekat sini ramai orang Islam segama aku bekerja mencari rezeki sementelah pekerjaannya senang. Menguruskan akaun pelanggan.

Cukup bulan aku menunggu gaji dan setahun sekali diberi bonus berdasarkan KPI. Paling tinggi boleh mencecah 5-6 bulan gaji.

Jujurnya aku cakap semuanya nampak okay. Aku seorang pekerja yang berdidikasi, masuk kerja awal dan boleh menyiapkan tugas yang diberikan dengan baik sekali. Dapat pula rakan sekerja yang baik, bos sporting, tempat kerja bagaikan seperti rumah kedua.

Aku melalui hari-hari penuh bahagia tanpa sebarang masalah. Cukup makan, cukup pakai dan kadang-kadang sehingga melebih-lebih.

Tapi hari tak selamanya indah. Segalanya bermula awal tahun lepas, aku berasa tidak tenang, hati penuh gundah dan prestasi kerja aku menurun. Aku gagal mencapai KPI bulanan yang ditetapkan. Walhal aku sudah buat semua benda.

Dan pada yang masa juga aku berkenalan dengan seseorang. Aku yang sebelum ini yang sangat menjaga batas pergaulan kecundang dengan mudah.

Cukup tiga kali berjumpa kami sudah mula tidur bersama. Segala-galanya berlaku dengan pantas, aku seperti tidak dapat mengawal benda ini daripada berlaku.

Sejak melakukan dosa terkutuk ini hidup aku bertambah tidak senang. Dan mujurlah hubungan itu tidak bertahan lama dan aku kembali munasabah diri. Aku berada dalam kegelisahan, tidur malam aku kerap terganggu, dan seumpamanya.

Aku mencari-cari punca disebalik kejadian ini. Adakah disebabkan dosa terkutuk yang aku lakukan?

Satu hari aku terbaca berkenaan dasyatnya dosa pemakan riba sehingga Allah dan Rasul melancarkan perang keatasnya. Boleh rujuk surah Al-baqarah ayat 278-279.

Berikut merupakan petikan dari blog yang aku baca, aku share dekat sini terus.

Ibn Abbas turut meriwayatkan:

“Akan dikatakan kepada kepada pemakan riba dihari kiamat: Ambillah senjata kamu untuk berperang dengan Allah.”

Menurut Imam Malik:

“Telah aku membuka lembaran kitab Allah dan Sunnah Rasulullah dan tidak kudapati dosa yang lebih buruk dari riba, kerana Allah telah mengizinkan perang.”

Walaupun kita tahu makan babi Haram, minum Arak membinasakan tapi bab berkenaan Riba jujur aku cakap masih ramai yang terlepas pandang. Bekas pelanggan aku kebanyakkannya melayu Islam, dan bekas rakan sekerja pun Islam.

Ada mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun kerja dan pergi Mekah berkali-kali tetapi masih terbabit dalam benda Haram ini. Aku sudah lihat sendiri benda ini terjadi dekat aku. Boleh dikatakan benda ini sudah sebati dan menjadi darah daging.

Aku cuma boleh beri nasihat mana-mana yang bekerja diinstitut berkaitan kewangan boleh menyemak semula jenis status perniagaan samada patuh Syariah atau masih mengamalkan ribawi. Dan juga mereka yang mengambil pinjaman dimana-mana bank. Sebab berkenaan riba ini banyak pihak yang terpalit.

Kalian doakanlah aku tetap istiqamah dan semoga taubat aku diterima.

“Mereka yang terlibat dalam kegiatan riba adalah sama juga dengan mereka yang melaknati orang yang memakan riba, orang yang berwakil kepadanya, penulisnya dan saksinya.”

– ABC (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *