Assalamualaikum dan salam sejahtera, admin dan para pembaca sekalian. Terlebih dahulu saya nak ucapkan terima kasih kepada admin sekiranya confession saya disiarkan. “Kerja ada cuma mahu atau tidak sahaja.” Confession ini menarik minat saya untuk menulis dan berkongsi pengalaman saya pula berkenaan dengan part time jobs.
Saya dilahirkan dalam keluarga yang kurang mampu. Diasuh bersama 6 lagi adik bradik saya oleh ibu tunggal yang telah kehilangan suaminya sejak 21 tahun yang lepas. Saya amat kagum dengan ibu saya yang merupakan seorang OKU, iaitu cacat pendengaran, namun boleh berkomunikasi dengan bahasa cina sahaja, memandangkan beliau mengalami demam panas sejak kecil yang mengakibatkan pendengarannya rosak. Sejak kecil lagi, saya dan adik beradik telah diterapkan dengan sikap mesti membantu ibu mencari rezeki, sama ada berjual kerepek, kuih, sagun dan bermacam2 lagi sumber pendapatan yang lain.
Saya masih ingat lagi, pada hujung minggu dan cuti sekolah, sejak saya berumur 10 tahun, ibu sering membawa saya dengan berjalan kaki pergi ke tempat kerjanya sebagai pembantu dapur. Saya membantu ibu mengupas kulit telur, mengasingkan isi dan tulang ikan, mencuci pinggan dan pelbagai jenis tugas dapur yang mudah. Semua itu saya lakukan tanpa sebarang paksaan dan saya seronok melakukan kerja-kerja tersebut kerana mendapat upah yang diberikan sebanyak rm10 setiap kali turun bekerja.
Selepas peperiksaan SPM tamat, saya terus mencari pekerjaan yang boleh mengisi masa lapang yang ada. Alhamdulillah, saya diterima bekerja sebagai penjaga kedai yang menjual buku-buku agama, sejadah, kompang dan lain-lain. Gaji saya ketika itu rm350. Duit itu saya topup kad bas untuk ulang alik pergi kerja, dan saya ambil sedikit untuk belanja makan. Selebihnya saya berikan kepada ibu saya, begitu juga dengan adik beradik saya yang lain.
Selain itu, saya juga pernah bekerja di kedai makan sebagai pembantu dapur dan pelayan. Setelah mendapat keputusan spm, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke UKM, namun saya menyambung pelajaran ke bahagian matrikulasi dahulu. Semasa berada di matrikulasi, saya menerima pula tawaran untuk menyambung pelajaran ke IPG.
Dalam dilema ingin mengejar cita-cita saya dan dalam masa yang sama, saya perlu memikirkan kemampuan keluarga. Jika menyambung ke universiti, kos pembelajarannya boleh membebankan ibu saya. Akhirnya, dengan nasihat daripada ahli keluarga juga, saya membuat keputusan untuk melanjutkan pembelajaran ke IPG.
Semasa cuti sekolah, saya juga masih mengamalkan sikap bekerja semasa cuti. Jadi, saya bekerja sementara di kedai yang menjual jamu-jamu, buku agama dan lain-lain barangan. Saya turut mengambil upah mengupas kulit petai dan menjualnya. Alhamdulillah, setakat ini, tidak wujud perasaan malu di dalam diri saya untuk melakukan kerja-kerja sebegitu. Namun, ada juga beberapa pelanggan yang menunjukkan reaksi sinis sepanjang saya melakukan kerja-kerja sampingan tersebut.
Antara peristiwa yang masih saya ingat, seorang lelaki dalam 40an, kenalan kepada majikan kedai yang saya, datang berkunjung bertanyakan keberadaan majikan saya. Kebetulan majikan saya tidak berada di kedai. Namun, lelaki tersebut tidak pergi begitu sahaja. Melihat kepada fizikal saya yang kecil, lelaki tersebut memandang sinis kepada saya seolah-olah bahawa saya remaja yang tidak mempunyai hala tuju masa depan. Lelaki tersebut bertanyakan umur saya. Nampak reaksi terkejut apabila saya menyatakan umur saya dah 20an. Kemudian dia menyoal saya berkenaan berapa lama saya dah bekerja di kedai tersebut, dan seterusnya menceritakan kejayaan pendidikan anak-anak buahnya. Saya cuma tersenyum dan mengiakan kisah keluarganya. Namun, sampai satu tahap, lelaki tersebut mula mengeluarkan beberapa pernyataan ayat yang kurang enak didengar serta merendah-rendahkan kerjaya orang-orang yang bekerja di kedai-kedai kecilan seperti saya. Saya mula rasa meluat. Dengan senyuman yang dipaksa-paksa, saya membidas kenyataan lelaki tersebut dan berkata, “Pakcik, saya tak nak cakap lebih, tapi semua kerja ni, kalau bukan kami yang buat, orang macam pakcik dan anak-anak buah pakcik nak buat ke? Lagipun, untuk pengetahuan pakcik, saya cuma bekerja sementara disini dan saya pelajar di IPG.” Terdiam lelaki tersebut dan mula mengeluarkan ayat-ayat memuji saya kerana sanggup bekerja sementara cuti. Tolong la, pakcik. Tak payah cover malu sangat. Dah hilang respect untuk orang macam ni.
Oleh itu, satu je saya nak ingatkan dengan remaja-remaja dan para graduan di luar sana. Jangan memilih kerja dan malu untuk melakukan kerja-kerja ‘bertaraf rendah’ seperti yang dikatakan oleh ‘mereka’. Alhamdulillah, saya seorang guru sekarang, dan saya tidak malu untuk melakukan kerja-kerja sebegitu lagi jika ada diberi peluang. Sekian dari saya. Assalamualaikum.
– AILA
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit