Ketaatan Kepada Ibu Bapa

Assalamualaikum semua pembaca.

Confession saya ini lebih kepada meminta pendapat daripada semua pembaca yang bijaksana.

Saya adalah seorang isteri kepada seorang suami yang sangat baik. Beliau juga seorang yang sangat taat perintah kepada kedua ibu bapanya. Alhamdulillah sudah dikurniakan 2 orang cahaya mata. Masing masing berumur 1 tahun 10 bulan dan 3 tahun.

Hidup kami alhamdulillah sudah dilengkapi dengan semua benda. Kami masing masing suami isteri berkerjaya. Pergi kerja gelap balik kerja pun gelap.

Apa yang saya mahu minta pendapat adalah mengenai ketaatan kepada ibu bapa sebagai seorang anak lelaki kepada ibu bapa mereka.

Suami saya tidak pernah berkata “tidak” setiap apa yang ibu bapa nya suarakan. Walaupun perkara tersebut akan membuatkan beliau letih dan penat beliau tetap akan tunaikan.

Tetapi apa yang membuatkan saya sedikit terkilan adalah ibu bapa beliau selalu memberi “arahan” untuk membuat sesuatu kepada suami tanpa bertanya kepada suami sama ada suami ada rancangan lain.

Acap kali rancangan kami anak beranak terpaksa “dibatalkan” atau “ditunda” atau “dipercepatkan” kerana ibu bapa suami mengarahkan beliau untuk membuat sesuatu di kampung mereka. Dan suami tidak akan berkata “Tidak” kepada ibu bapa mereka.

Saya sebagai seorang isteri tidak ingin melihat suami merasa serba salah dan akan membiarkan suami menguruskan dan menyelesaikan arahan ibu bapa mereka dahulu sebelum saya dan anak anak.

Perkara ini berlarutan sehingga harini 6 tahun perkahwinan. Ada ketika anak sedang tidak sihat, ibu bapa suami ajak suami untuk holiday dan meninggalkan saya serta anak anak dirumah dan suami akan pergi.

Ada juga saya terpaksa ke klinik sendirian membawa kedua anak anak kerana anak demam terlalu panas kerana suami perlu pulang ke kampung.

Selain daripada itu, suami pernah meninggalkan kami anak beranak kerana pergi memancing diwaktu malam bersama keluarga suami.

Dan ini sudah banyak kali terjadi. Sekiranya tidak pergi suami takut akan menyakiti hati kedua ibu bapa mereka dan membuatkan mereka sedih.

Perkara yang paling saya ambil berat adalah anak anak. Sekiranya anak sakit dan memerlukan jagaan yang rapi saya selalu keseorangan.

Saya ingin anak anak melihat sosok ayah yang sentiasa menjaga, bermain dan bermanja dengan anak ketika umur anak diusia emas ini. Tetapi kerap kali saya terpaksa menjawab dengan anak bahawa ayah mereka tiada dan mereka akan duduk bersama ibu sahaja minggu ini.

Saya pernah bercakap dengan suami tentang hal ini. Sekiranya tidak dapat memenuhi permintaan ibubapa, boleh bercakap dan suarakan kepada ibubapa mereka dengan baik dan adab yang mulia. Mulakan dengan meminta maaf dan akan cuba cari masa lain.

Tapi suami tidak boleh terima dan berkata beliau tidak boleh menyakiti hati ibu bapa beliau. Ini kerana ditakuti hidupnya tidak akan aman damai.

Saya sebagai isteri sudah tentu ada terasa hati, kerana saya juga manusia biasa yang tak lari dari perasaan cemburu dan kesal.

Apakah saya berdosa sekiranya saya sebagai isteri untuk menasihati suami supaya sebelum berkata “ya” fikirkan dahulu tanggungjawab yang perlu beliau tinggalkan. Jangan membuat keputusan sehingga menyebabkan 1 belah pihak teraniaya. Berdosakah saya?

Sekiranya ada para asatizah yang boleh memberikan klarifikasi tentang perkara ini. InshaAllah saya akan cuba redha dan sentiasa menyokong suami untuk taat kepada kedua ibu bapa beliau.

Terima kasih..

– Solehah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Saya ni anak lelaki sulung. Saya pon jenis ikut je apa mak saya suruh walaupun kadang2 berat sebab itu tanggungjawab saya. Tapi at least mak ayah saya jenis reasonable, tanya dulu ada plan ke tak, bizi ke, menyusahkan ke tak. Kalau nak ajak bercuti pon dorang inform awal dan memang semua satu family pergi. Kalau anak bini saya tak ikut, buat apa saya nak ikut. Bercuti je kot. Priority saya tetap anak bini saya, mak ayah yang ada common sense akan faham benda ni.

    Dalam masa sama, bila saya diuji dengan anak bini tak sihat, mak ayah saya juga yang berkali2 datang membantu jaga anak2 dan tunggu di hospital. Bila ada masalah kewangan mak ayah yang hulur dulu. Anak cuti sekolah taktau letak mana tinggal ngan mak ayah sampai huru hara rumah dorang. Inilah yang kita namakan keluarga. Susah sama susah, senang sama senang.

    Tapi tulah lumrah perempuan ni, bila kita anak lelaki ni selalu ikut arahan mak, dia rasa macam kita ni melebihkan mak ayah dan keluarga besar kita, tak mengutamakan dia. Padahal bukan selalu pon, mak ayah kat kampung xde la nak mintak tolong hari2. Sebab perempuan ni jenis lupa apa pengorbanan mak ayah kita untuk bantu keluarga kecil kita. Masa, tenaga, wang ringgit. Jadi isteri kena jugak paham anak lelaki sulung kena berkhidmat untuk balas jasa mak ayah, terutama mak dia sampai akhir hayat selagi benda tu munasabah untuk dilakukan. Itu yang agama kita ajarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *