Ketakutan Anak Tak Sah Taraf

Aku Nur. Seorang anak tak sah taraf. Namun, berbinti kepada nama bapa tiri (pak sanggup ibu).

Makanya, tiada sesiapa yang mengetahui status sebenar aku melainkan keluarga sebelah ibu. Mempunyai dua orang adik lelaki tiri pada hakikatnya.

Sejak kecil lagi, aku sudah maklum akan status aku sebagai anak tak sah taraf.

Tidak pernah walau sekalipun untuk aku bertanya kepada ibu mana ayah kandung kaklong. Seakan-akan aku memahami maksud anak tak sah taraf itu (dilahirkan sebelum adanya ikatan yang sah).

Melihat lagak muda ibu cukup membuatkan aku mengerti bagaimana aku boleh dilahirkan tanpa seorang ayah kandung (ibu seorang anak yang liar di zaman mudanya juga selepas bercerai dengan abah: pak sanggup ibu)

Dibesarkan dengan tokwan dan makcik-makcik menjadikan aku seorang anak yang berdikari dan matang.

Diberi didikan agama yang sempurna dan ilmu dunia yang baik sehingga aku berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dengan cemerlang.

Juga punya kerjaya yang baik, in shaa Allah. Semoga Allah merahmati arwah tokwan dan makcik-makcik aku.

Menginjak usia 26 tahun, dikelilingi dengan sahabat-dahabat yang mendirikan rumahtangga membuatkan aku menjadi tertekan bilamana ibu kerap bertanya, “bila kaklong nak kawin, bila kaklong nak kawin”.

Apabila rakan-rakan mula bertanya, hanya senyum dan doa dipinta sambil selit lawak jenaka. Hakikatnya, pedih kenyataan hidup aku. Tak terluah kepada mereka walaupun sahabat baik kerana kita dikasut berbeza.

Jauh dilubuk hati, aku juga menginginkan hal yang sama tetapi status aku sebagai anak tak sah taraf menjadi penghalang besar bagi aku. Malu!

Aku malu dan takut dengan status aku sendiri. Bagaimana untuk aku nyatakan kepada bakal pasangan bahawa aku seorang anak luar nikah?

Bagaimana penerimaannya serta keluarganya?

Bagaimana untuk aku menjawab pertanyaan rakan-rakan dihari pernikahan apabila aku perlu menggunakan wali hakim padahal punya adik lelaki kandung (hakikatnya kami berlainan bapa walau berbinti/bin sama)?

Bagaimana jika bakal pasangan boleh menerima diawal perkahwinan tetapi mula mengungkit statusku ketika bergaduh?

Kerana itulah, aku sukar untuk berkawan secara serius dengan mana-mana lelaki. Aku membina satu tembok dalam sesuatu perhubungan yang baru.

Aku juga ingin bahagia seperti yang lain, tetapi aku takut.

Pernah suatu ketika, ibu berbicara sendirian dengan aku tentang status aku. Memohon maaf, menceritakan dari benih siapakah aku. Aku hanya diam mendengar dan mengangguk. Tiada sebarang balasan dan tangisan.

Diam aku kerana menahan sebak sakitnya menahan rindu pada belaian seorang ayah dari kecil, menahan sakitnya dilahirkan sebagai anak tak sah taraf. Tangisan yang aku pendamkan itu aku lepaskan di dalam bilik air dan diatas sejadah.

Berulangkali kata ibu, kaklong kawin dengan ustaz-ustaz atau orang belajar agama atau orang yang tidak punya keluarga in shaa Allah dia mesti boleh terima. Mudahnya ibu menutur.

Sakit nya dada setiapkali di akhir pertemuan dengan rakan-rakan, guru-guru atau makcik-makcik yang mendoakan aku dipertemukan dengan jodoh yang baik sedangkan aku dilahirkan daripada perhubungan haram. Kurangnya diri aku berbanding mereka.

Tak cukup rasanya dahi ini bersembam bumi. Rasa nak tanam kepala masuk ke bumi malu dengan diri sendiri tiapkali menangis mengadu kepada Allah.

Aku mohon kepada pembaca untuk mendoakan kemudahan urusan serta diberi kekuatan menempuh ujianNya. Doakan Nur.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *