Khilafku

Bismillah, Nama samaran Suri. Alumni IIUM beberapa tahun yang lalu.

Pada awalnya diri ini amat takut menulis disini kerana terlalu malu ingin mendedahkan pekung di dada dan merasa ini merupakan aib diri.

Tetapi atas asbab sekadar ingin berkongsi cerita tentang pengalaman diri yang masih lagi mengalami dan sentiasa mengalami perkara ini Suri gagahkan jua.

Kisah bermula 5 tahun yang lalu, aku dan suami kenal melalui media massa.

Pada saat itu aku baru sahaja putus cinta dan baru pulih sepenuhnya setelah mengalami depression yang amat dahsyat selama berbulan-bulan.

Pada tahun 2018 itu aku nekad bahawa aku inginkan jodoh yang baik memandangkan pada saat itu usiaku pun telah matang untuk menjejakkan diri kejinjang pelamin.

Aku memutuskan untuk memilih si dia sebagai suami hanya kerana satu perkara. AGAMA. Sebab apa?

Sebab pada saat itu si dia tiada harta mahupun pangkat atau kedudukan dan aku terima segalanya hanya kerana AGAMA dan IMANnya.

Setahun kemudian, kami diijab qabulkan dengan sepenuhnya tajaan dari kedua ibu bapaku.

Secara jujurnya, aku bukanlah orang yang berada tetapi Alhamdulillah kerana ayahku baru sahaja pencen dan mendapat wang KWSP dapatlah kami membuat majlis walaupun secara kecil-kecilan.

Setahun setelah kami bernikah, datanglah nyawa kecil menghuni rahimku.

Betapa bahagianya hati ini saat itu kerana aku sangat menginginkan anak walaupun pada saat itu si dia tidak sama sekali menginginkan anak.

Disitulah detik bermula segalanya. Detik permulaan aku mengenali dirinya yang sebenar. Dia yang ku kenali hanya kerana Agama kini berubah menunjukkan diri sebenar.

Saat itu aku masih dalam praktikal sebelum menamatkan pelajaran dalam Sarjana Muda di IIUM. Beberapa bulan sebelum aku tamat praktikal, si dia mula malas bekerja.

Untuk pengetahuan, si dia hanyalah pemandu Grab dan dialah yang sering menghantar aku dan mengambil aku setiap kali pulang praktikal.

Namun, sejak aku hamil si dia mula berubah. Semakin malas mencari nafkah.

Selepas menghantar aku ke tempat praktikal si dia terus berlalu pulang ke rumah sewa kami untuk sambung tidur dan bermain game.

Perkara ini berulang sehinggalah kandunganku 6 minggu.

Kami selalu bertengkar sehingga satu ketika dia memarahi aku sambil menghentakkan laptopnya ke lantai. Aku tersentak dan mengurung diriku dikamar mandi.

Sejak hari itu, segala sewa rumah, bil api air dan perbelanjaan makan minum kami aku yang tanggung walaupun insentifku hanya RM850 sebulan.

Si dia sama sekali tidak mempedulikan aku dan pernah satu ketika aku mengidam makan roti canai dan sesudah sampai di kedai Mamak si dia bahkan memarahi aku tanpa sebab seolah-olah aku menyusahkan dirinya.

Seusai makan aku pun berlalu pergi dengan berjalan kaki dari kedai Mamak ke rumah sewa kami sekitar 5km jauhnya. Si dia hanya mengekori aku menaiki kereta tanpa memujukku untuk masuk kedalam kereta.

Beberapa hari setelah kejadian itu, aku mengalami ‘Threaten Miscarriage’ dan dikejarkan ke PPUM.

Alhamdulillah doctor sahkan kandungan aku ok cuma doctor tak dapat detect jantung baby dan suruh aku dating dalam masa 2minggu.

Gundah dan gelisah hati ini kerana zuriat yang aku nantikan kemungkinan tidak akan lahir kebumi. Aku hanya mampu berdoa semoga Allah memberikan segala yang terbaik dari sisiNYA.

3 hari kemudian aku mengalami sakit perut yang amat dahsyat seperti perutku dihiris-hiris dan dirobek-robek.

Tiba-tiba jatuh ketulan darah yang berupa seketul daging dari bawahku. Sejenak menitik airmataku dan bercampur baur rasa ini.

Adakah ini yang terbaik untuk diri kami saat ini ataupun adakah ini ujian bagi aku?

Si dia hanya lena di atas katil tanpa menghiraukan diriku yang tiada hentinya mengalir darah. Aku terduduk dan termenung sambil melihat seketul daging itu.

Sosok yang tiada dosa dan suci, yang aku namakan Muhammad Toha. Itulah kali pertama dan terakhir adanya malaikat kecil dirahimku sepanjang perkahwinan kami.

Sejak itu, kami pindah ke rumah ayahku. Rumah yang ayahku wariskan kepadaku untuk dijaga. Segala isi rumah saat itu menggunakan sepenuhnya wang dikirimkan oleh ayahku dan wang simpanan peribadi Tabung Hajiku.

Aku pasrah dan rela menghabiskan wang simpananku agar kami dapat hidup selesa dan serba cukup dirumah pemberian ayahku ini.

Kami mula mendapatkan kembali rentak kehidupan ini. Siang si dia meniaga nasi lemak dan petangnya di keluar membuat Grab.

Hasil sehari kami hanyalah RM60 tidak termasuk modal yang kami keluarkan untuk membuat nasi lemak.

Tetapi aku tetap bersyukur kerana aku yakin rezeki ini Allah yang Punya dan aku redha dengan segala apa yang diberikanNYA.

Namun langit tak selalunya cerah, selang seminggu si dia berniaga nasi lemak kedai kami disihir.

Hampir setiap hari si dia terjumpa syiling lama bertaburan dilantai.

Tidak lama selepas itu kedai kami terpaksa ditutup kerana tiada siapa yang sudi singgah kedai kami lagi. Aku masih lagi positif sebab aku yakin dia lelaki dia pasti akan berusaha mencari nafkah.

Sayang seribu kali sayang, sangkaanku meleset. Si dia tidak ingin bekerja dan hanya meluangkan masa bermain game. Kami survive hanya dengan duit kiriman keluargaku dan keluarganya.

Secara jujurnya aku sangat sedih dan kecewa. Depressionku Kembali menyerang lagi saat ini dan setiap hari aku berdoa “Ya Allah tariklah nyawaku agar suamiku tidak terbeban olehku”.

Dan doa itu selalu terlafaz sambil diringi air mataku yang mencurah-curah. Mataku bengkak, badanku tak bermaya tetapi aku hanya diamkan dan menangis seorang diri didalam bilik tanpa diketahui siapapun.

Adikku menyuruh aku mencari kerja agar aku happy dan boleh beli segala apa yang selalu aku beli.

Aku yang dahulunya suka berfashion dan mekap kini hanyalah sekadar saja. Tiada secalit bedak pun yang aku pakai, hanya sunblock meliputi nipis mukaku.

Kalau diikutkan memang diri ini ingin bekerja dan sangat berkelayakan untuk meraih pendapatan RM2k-3k sebulan. Tetapi apabila aku memikirkan masa silam kami, aku jadi takut.

Takut apabila aku meraih pendapatan sendiri, segala hutang dan perbelanjaan rumah aku yang tanggung sedangkan dia bersenang lenang dirumah.

Alhamdulillah setelah sebulan akhirnya si dia terbuka hati untuk bekerja dan pelbagai kerja yang dilakukan si dia. Dari mencuci pinggan mangkuk, potong rambut dan menjadi pelayan kedai makan.

Kehidupan kami semakin pulih. Namun langit tak selalu cerah, selang beberapa bulan bonda dan adik-adiknya menginap dirumah kami.

Waktu itu Covid-19 masih berleluasa dan PKP dijalankan seluruh Malaysia.

Semasa ingin menghantar bunda dan adiknya pulang kekampung, aku tidak dibenarkan ikut akibat kawalan pergerakan yang ditetapkan kerajaan dimana satu kereta hanya boleh dinaiki oleh seorang sahaja.

Aku akur. Namun ketika dia pulang kerumah, dia menghentak pagar rumah kami dan mencampak makanan didalam bilik tidur kami hanya kerana aku merajuk dan mengunci pintu.

Disinilah amarahnya kembali lagi. Terkadang aku keliru dengan tindakannya kerana sering memarahi aku.

Walaupun dia tidak pernah sama sekali menghayunkan tangannya kemukaku namun sikapnya yang selalu menengkingku secara tiba-tiba selalu membuat aku takut untuk bergurau dengannya.

Sejak itu hubungan kami semakin dingin dan aku minta cerai kerana tidak tahan dengan penyeksaan emosi dan batin ini.

Si dia senyap lalu terus menghubungi bundanya lalu menceritakan keburukanku dan penyebab aku ingin cerai.

Jujur sakit sangat hatiku saat itu kerana aku sama sekali TIDAK PERNAH menceritakan keburukannya kepada siapapun mahupun keluargaku sendiri.

Aku berpura-pura Bahagia dihadapan kedua ibu bapaku kerana aku sendiri terlahir dalam keluarga yang toxic.

Sekiranya aku menceritakan perihal si dia pasti keluargaku menyalahkan diriku kerana aku yang berdegil ingin berkahwin dengan si dia. Dan aku akui itu khilafku.

Bertahun berlalu, pelbagai asam garam kehidupan yang aku lalui. Kalau diceritakan satu per satu pasti ini bukan lagi luahan hati tetapi akan menjadi novel kisah benar hidupku.

Tetapi saat ini walaupun usia perkahwinan kami masih diawal 5 tahun, aku rasa seperti bertahun lamanya aku dan si dia melayari bahtera rumah tangga kami.

Ketika ini, aku seperti berada difasa paling rendah dihidupku.

Aku rasakan bagai boneka hidup yang berkhidmat untuk tuannya. Tiada lagi cinta. Yang tinggal hanyalah sebatas suami isteri yang hidup seperti teman sebilik tanpa gurau senda mahupun manis bicara.

Soal nafkah sudah tiada berita. Aku yang dahulunya tidak peduli soal nafkah dan harta seseorang kini menjadi agak skeptikal. Apakah salah keputusanku menikahi seseorang kerana agama?

Syahadah, solat dan puasa segalanya si dia perfect. Sering berdakwah dan mengajak orang kearah tidak MENSYIRIKKAN ALLAH. Tapi sayang, bab nafkah culas sekali.

Orang selalu bertanya denganku bila nak ada zuriat?

Aku hanya mampu tersenyum kerana nafkah batin yang aku dapat hanyalah sebulan sekali terkadang dua bulan sekali. Aku pernah dianggap mandul sehingga disuruh berubat secara tradisional.

But little that they know, we rarely did it sampai satu tahap aku selalu terfikir adakah dia G4y?

Kerana masanya banyak dihabiskan menghadap telefon dan bermain game. Tiada lagi pelukan mesra apatah lagi kucupun manja.

Aku penat. Sakit. Kecewa. Seribu satu perasaan menyelubungi diri ini. Doakan aku kuat sebab aku taktahu macam mana ingin bertahan dengan perkahwinan ini.

Kepada semua diluar sana carilah suami yang BERIMAN dan BERAMAL seperti Rasulullah ﷺ yang TIDAK PERNAH culas akan tanggungjawab kepada isteri-isteri Baginda ﷺ.

Semoga kalian semua bertemu jodoh dengan laki-laki mahupun perempuan yang baik dunia akhirat dan semoga sama-sama TIDAK MENSYIRIKKAN ALLAH dalam rumah tangga. Aamiin.

– Suri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *