Kifarah Itu Wujud

Salam pembaca semua. Aku dan suami akan bercerai. Semuanya setelah apa yang aku pendamkan bertahun-tahun.

Semuanya bermula dengan aku bergaduh dengan suamiku sebab, “Siapa nak jaga ibunya?”

Tiba-tiba teringat aku dengan kisah aku beberapa tahun lepas tentang, “Siapa nak jaga ibu aku?” 

Perihal tentangku. Aku merupakan anak perempuan pertama. Adikku lelaki seorang beza setahun denganku. Adik perempuan seorang beza beberapa tahun dengan kami. Takdir hidupku.

Aku pelajar cemerlang tapi aku tidak dapat kerja tetap. Kerja sambilan ada sahaja untuk mengumpul duit kahwin dan membeli hadiah kepada ibuku. Jodohku sampai dulu sebelum kerjayaku tetapku.

Dan ditakdirkan aku mengandung bunting pelamin. Dan sejak itu aku tidak pernah bekerja.

Aku bersyukur ibuku tidak merungut kerana ibuku juga bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tapi dia cuma risaukan masa depanku.

Selepas aku melahirkan anak. Ibuku jatuh sakit. Strok lebih tepat.

Aku buntu sebab aku tidak boleh menjaganya di hospital sebab aku ada baby. Adik lelakiku bekerja di luar negeri. Adik perempuanku masih pelajar universiti.

Aku ada baby yang masih merah.

Ayahku? Faham-faham saja jika seperti suami Miera Liyana tapi kerja kerajaan lah tak mengharap harta isteri keduanya.

Isteri keduanya juga suri rumah. Ibuku hanya ada kami untuk bergantung kasih.

Kukira dengan memilih suami satu negeri hanya berlainan daerah aku akan dapat menemani ibuku.

Tapi salah tuan-tuan. Selepas berkahwin isterinya hak suaminya. Suami kata jaga anak.

Orang lain kena faham nanti siapa nak jagakan anak. Aku akur. Dan adikku yang di universiti ulang alik menjaga ibu kami.

Syukur universiti adik satu negeri dan satu daerah dengan hospital. Cuma perjalannya agak jem. Adik lelaki membantu dari segi financial. Adik perempuan membantu dari segi kudrat.

Aku? Aku hanya mampu berdoa.

Selepas ibuku discharge. Adik lelakiku berhenti dan mencari kerja berhampiran rumah ibuku. Alhamdulillah rezeki dia mudah.

Adik perempuan ku di universiti. Dan selepas beberapa tahun kesihatan ibuku bertambah baik.

Adik lelakiku kahwin. Isterinya orang satu negeri juga dan berlainan daerah. Sepertiku cuma dia bekerja jauh di negeri lain.

Ditakdirkan dia juga bunting pelamin. Dan dia memerlukan suaminya disisinya. Adik lelakiku meminta tolong aku untuk berpindah dan tinggal di rumah ibuku.

Aku memohon dengan suamiku. Tolonglah.

Suamiku pada mulanya setuju denganku sehinggakan kami sudah memindahkan sesetengah barang ke rumah ibuku. Hanya berbaki sebulan deposit untuk tinggal di rumah sewa.

Sehinggalah family mertuaku masuk campur dalam urusan kami.

Rumah mertua berdekatan dengan tempat kerja suami. Tapi kami selama ini tinggal menyewa asing sebab dah beranak pinak.

Pada masa tu aku dah ada dua anak. Jarak tempat kerja suamiku dengan rumah ibuku hanya 30 minit. 

Kata ibunya, “Oh! Rumahnya tidak boleh dibuat tempat kerja. Bersepah nanti. “

Kata iparku ,”Oh! Di rumah ini tidak ada bilik yang cukup untuk kami?” 

Kalau hendak menumpang tidur kena duduk di luar sajalah. Tiada bilik.

Ibunya seperti merajuk seakan suamiku melebih-lebihkan familyku jika bersetuju tinggal di rumah ibuku.

Yelah sebab aku dulu pun tidak tinggal serumah dengan mereka. Sebab rumah mereka tidak cukup bilik.

Suamiku buntu dengan sikap dingin familynya terhadapku dan terhadapnya. Lagipula suamiku kerjanya dengan bisnes family.

Sikap dingin mereka menyusahkan suamiku untuk mencari rezeki.

Aku nampak kebuntuan dan kerisauan di fikiran suamiku. Harus memilih antara cadanganku atau cadangan familynya.

“Dah elok-elok dapat rumah sewa dekat dengan tempat kerja, nak duk jauh buat apa? Buat letih je nak ulang-alik”.

Tanggungjawab jaga ibu ayah adalah tanggungjawab anak lelaki.

Kalau orang perempuan kena bertanggungjawab kat suami. Maknanya mereka berdebat kenapa adik lelakiku yang tidak berkorban.

Dah elok-elok dapat kerja dekat dengan rumah ibuku kenapa nak ikut isterinya kerja jauh di ibu kota.

Aku hanya mampu menangis dan menangis. Dahlah anak-anak masih kecil. Suri rumah pulak. Simpanan pun takde. Hanya mengharapkan belas ehsan suami. Tapi suami tidak mahu membantu.

Biarlah tidak boleh jaga ibuku di hospital sebab anak-anak. Tidak boleh juga jaga ibuku dirumahnya sebab jauh. Dan isteri kena jaga suami.

Mental rasanya aku. Hubungan aku dengan adik-beradikku dingin. Akhirnya, suamiku tak jadi pindah. Dan urusan ibuku diselesaikan oleh adik perempuanku.

Adik perempuankulah yang menjaga ibuku, sehinggalah ibuku kena strok kali kedua dan meninggal. Walaupun keputusan degree dia tak cantik tapi aku selalu doakan dia berjaya dengan hidup dia.

Walaupun dia ada juga bergaduh denganku disebabkan aku tidak dapat membantu langsung.. Langsung.

Terkadang aku tertekan sehingga fikir yang bukan-bukan. Kalaulah aku takde anak, aku boleh jaga ibu aku kan.

Masa tu aku terbayang untuk menjahati anak-anakku. Alhamdulillah masih ada iman.

Walaubagaimanapun suami ku tidak jahat sehingga tidak memberi aku balik langsung. Setiap hujung minggu kami balik menceriakan ibuku dengan telatah anak-anakku.

Cuma sahaja aku terkilan di saat adik beradikku meminta tolong tapi aku tidak boleh menolong sebab anak-anak dan suami.

To make story short. Apa yang berlaku terhadapku berlaku terhadap family suamiku.

Dan aku tak tahu harus sedih atau gembira tapi yang pasti aku takjub dengan kebesaran Allah yang mendengar doa orang yang dizalimi.

Malah lebih dahsyat aku boleh katakan kerana mereka kehilangan dua anak sekaligus. Seorang berkahwin dengan orang jauh seorang lagi meninggal.

Dan kini “Siapa yang nak jaga ibunya? ”

Dulu suamiku meminta haknya. Isteri kena jaga suami dan anak-anak. Maka sekarang aku meminta hakku untuk tidak serumah dengan mertua.

Kata suamiku aku tidak akan menang bercerai di mahkamah dengan alasan ini.

Aku takut juga. Sebab lepas cerai pun rujuk hak suami. Aku terpaksa balik ke pangkuannya walaupun aku tidak mahu.

– Suri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *