Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca IIUM Confessions. Terlebih dahulu aku ucapkan jutaan terima kasih kepada admin jika luahan aku ini terpilih menjadi salah satu bahan bacaan kepada semua. Btw aku bukan pelajar IIUM. Aku ingin menumpang kasih sebentar disini, Boleh ya? Terima kasih!
Kisah bermula.. Aku berusia hampir menghampiri ke usia 30 an dan berketurunan Indonesia namun aku dilahirkan di Malaysia so basically aku Malaysian tapi berketurunan Indonesia. Kisah aku tidaklah menarik namun aku ingin kongsi kepada semua semoga ianya memberikan manfaat. Inshaa ALLAH. Kisah aku ini bermula dengan persoalan di minda ini sehingga lah aku dewasa. Aku sering di hina dan dipandang rendah hanya kerana aku berketurunan Indonesia sehingga sampai satu tahap bila aku dewasa aku sudah lali dihina dan dicerca.
Ibu dan bapaku selalu menasihati aku bahawa kami Indonesia bukan sebarang Indonesia dan aku WAJIB untuk berbangga menjadi keturunan Indonesia. Aku pernah dihina dengan perkataan “ORANG INDONESIA ITU BODOH” tapi aku buktikan kepada mereka yang tidak semestinya aku tidak berjaya. Aku kini berjaya menyambung ijazah sarjana di salah satu IPTA di Malaysia. So siapa bilang keturunan itu menjadi penanda ukur bagi kejayaan seseorang?
Aku dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikategorikan di dalam tidak begitu senang kerana ayah aku tidak bekerja. Ayah aku sakit dan kini aku dan ibuku yang membantu keluarga kami dalam urusan membayar keperluan kami sekeluarga. Aku sudah lali hidup susah dan mencari duit poket sendiri dari zaman belajar. Aku pernah menjadi seorang runner menjual burger, menjual nasi bungkus, menjual tudung, pelayan di sebuah restorang sehingga satu tahap aku tidak mempunyai duit aku berpuasa bagi mengelakkan rasa lapar.
Sekarang aku baru meletakkan jawatan disebuah syarikat swasta. Aku tidak bekerja! tetapi aku bangga mengatakan yang kini aku seorang Tukang Kebun! Ya! Di tahun 2019 ini aku menjadi tukang kebun secara sambilan demi membantu keluarga aku. Aku tidak bekerja lagi di salah satu syarikat di Kuala Lumpur atas alasan yang aku tidak dapat nyatakan disini. Apa yang cuba aku sampaikan daripada kisah aku ini adalah, kesusahan yang aku alami, ujian yang aku hadapi bukan penghalang kepada kehilangan motivasi aku untuk berjaya.
Aku tidak putus asa untuk terus mencari kerja demi menyara keluarga aku. Aku percaya kepada takdir Allah yang sedang Dia corakkan kepada aku sekarang. Hasbunallah wani’mal wakil. BOHONG kalau aku tidak cemburu kepada kesenangan yang dimiliki oleh rakan sebaya aku yang sudah pun berumahtangga malah memiliki anak di usia mereka sama seperti aku. BOHONG kalau aku katakan yang aku tidak mahu membahagiakan ibubapaku dengan membelikan mereka rumah. BOHONG kalau aku katakan yang aku tidak pernah mengalami kemurungan disebabkan ujian ini. Tetapi aku bersyukur dikala ujian yang melanda kami ini, kami dikurniakan dengan hubungan kekeluargaan yang saling menguatkan. Alhamdulillah terima kasih ya ALLAH.
So, kesimpulan yang ingin aku sampaikan kepada para pembaca daripada kisah aku ini adalah sebenarnya, aku nak minta doa daripada semua supaya aku diberikan kekuatan oleh Allah dalam apa jua ujian yang sedang kami alami. Aku juga berdoa agar jika ada di kalangan kita yang di dalam kesusahan diberikan kesenangan oleh Allah. Jika ada di kalangan kita yang sedang menanti jodoh juga dipertemukan dengan jodoh yang baik untuk dunia dan akhirat. Jangan pernah putus asa dengan apa yang terjadi di dalam hidup kita. Orang hina kita biarkan. Sedangkan Rasulullah insan sebaik manusia juga dihina. Jadi siapa kita untuk sedih di atas hinaan orang. Sedih boleh tetapi jangan lama. Segera bangkit.
Walaupun aku anak orang Indonesia aku tetap bangga dan aku akan tetap membahagiakan ibu dan bapaku sehingga hujung nyawaku. Aku ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca kisah pendek aku ini. Aku minta maaf jika ada yang terguris sepanjang membaca kisah ini. Semoga Allah menguatkan hati-hati kita dan memberikan semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Inshaa ALLAH. Amin.
Yang benar,
– AKU ANAK KETURUNAN INDONESIA
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit