Kisah Aku, Balasan Kepada ‘Minta Nasihat’

Assalamualaikum dan hai. Aku tertarik dengan satu confession daripada Bayu, (https://iiumc.com/minta-nasihat-2/).

Bila aku baca kisah Bayu, aku rasa nak cerita kisah aku.

Sebelum tu, ingin aku maklumkan confession ini mempunyai 6800 patah perkataan yang mengambil masa kira-kira 5-8 minit untuk dihabiskan.

Aku namakan dia sebagai H. Aku kenal H semasa di semester 1 pengajian degree. Dia sekelas denganku. Orangnya baik, hafiz al-Quran dan mempunyai sikap yang disenangi orang. Macam mana aku tahu? Ya lah, sekarang sudah 4 tahun aku mengenali diri H.

Pertama sekali aku bertentang mata dengan H di kafeteria fakulti ketika sarapan pagi. Berdegup kencang jantung aku melihat dia. ‘Adakah ini dinamakan cinta?’

Timbullah lagu dari kerana mata, dalam dunia khayalanku. Orangnya sedap dipandang. Kerana bersamanya ada seorang kenalanku, dapatlah aku meneka bahawa dia adalah rakan sekelas aku.

Saban hari berlalu, diadakan pula perjumpaan jawatankuasa surau-surau kolej kediaman. Dalam ramai2 di situ, aku dan H sahaja yang mewakili kos kami, namun kami bukanlah dari surau yang sama.

Ya, aku terasa dekat dengan dia. Aku perasan ketika perbincangan tugasan diberikan, dia curi-curi memandangku. Mungkin dia baru sedar akan kehadiran aku di dunia. Manakan tidak, dia bukanlah seorang yang rapat dengan perempuan.

Pernah suatu ketika di dalam kelas, pensyarah tersilap panggil namanya dengan namaku (tanpa huruf ‘AH’ di belakang, contoh hafizAH) maka, rakan2 perempuan mencuit dan mengusikku.

Aku tertunduk malu dan sedikit pun tidak ku ketawa. Mukaku terasa panas kerana peristiwa itu, malu.

Ya, aku tertarik dengan dirinya. Dengan kopiah sentiasa di kepala, muslimah mana tidak tertawan. Ada dalam kalangan rakanku yang sering bercakap tentangnya.

Aku tahu ada yang meminati dia. Namun masing2 tidak terdaya menakluki hati dia. Kerana sikapnya yang menjaga batas.

Peristiwa yang membuatkan aku tersenyum hingga ke telinga adalah ketika H ‘request friend’ di fbku.

Jarang sekali ada lelaki berbuat demikian, selalunya aku yang akan ‘request’ ke fb orang (haha, sendu kan) tetapi H tidak. Dan aku masih ingat tarikh dia berbuat demikian.

Seringkali juga aku membuat andaian agar aku mengenakan baju sama warna dengannya ke kelas.

Banyak kali juga dalam semester itu, dan ada yang berkata-kata tentang ini. Namun, tidaklah berani mereka mengusikku kerana rakan karib mereka meminati H.

Mana mungkin akan melukakan hati rakan karib mereka. Begitu juga H, dia sedar kami berpakaian seperti pasangan, dan dia seperti biasa, curi2 memandangku. Itu yang aku tahu.

Hampir setahun sekelas, tetapi aku dan dia tidak pernah bertegur sapa atau menyimpan nombor telefon. Ya lah, whatsapp statusnya tidak pernah ku lihat dan statusku tidak pernah ada namanya.

Tetapi, atas kepentingan tanggungjawab, aku menyimpan nombor telefonnya dan semua rakan kelasku kerana pada salah satu semester, aku dilantik sebagai penolong ketua kos.

Suatu ketika, aku terlalu stress akan tesis dan esaimen yang menggunung aku menangis sendirian di perpustakaan. Aku rasa tertekan dengan subjek yang aku tambah sendiri.

Dalam kesedihan itu, aku cuba cari kekuatan dengan memuat naik satu status whatsapp bahawa ‘semua ini akan berakhir sikit masa sahaja lagi’.

Tiba2, orang pertama yang melihat status aku itu adalah H!

Perasaan aku ketika itu? Dengan sendu menangis aku tersenyum dan gembira. Ah, seperti gila bayang, kan? Aku andaikan bahawa Allah hadirkan H itu untuk menenangkan aku.

Dan, H sentiasa ada ketika aku mencari ketenangan. Ketika suatu masa, di sebuah padang usai solat isyak, aku yang ‘uzur’ menjaga beg rakanku yang dalam saf solat.

Doa selepas solat dibaca oleh imam, dan aku seperti biasa menyelitkan agar dipertemukan jodoh yang baik untukku.

Dalam keadaan masih berdoa, aku lihat dalam samar bayang2 seorang lelaki berdiri dalam saf sambil menadah tangan berdoa betul2 di hadapanku.

Ya, dia berdiri di antara yang lain sedang duduk berdoa. Dan lelaki tersebut berpaling kepadaku. Ya, lelaki tersebut ialah H!

H juga memandang tepat ke arahku dan kami saling bertentang mata walaupun jarak lebih 50 m dan dalam keadaan samar2 cahaya spotlight. Ya Allah, apakah petandanya ini. Jantungku berdegup kencang.

Mataku tidak sedikit pun berpaling dari melihat H. Sehinggalah selesai berdoa, semua jemaah bingkas bangun lalu H hilang dari pandangan mataku.

Begitulah 3 tahun berlalu sepanjang degree aku, ada sahaja babak2 menarik yang membuatkan jantungku berdegup kencang dan tersenyum sendirian.

Aku juga tidak henti berdoa agar Allah berikan aku yang terbaik. Jika H orangnya, maka dekatkan, dan jika bukan maka jauhkan. Serta aku mohon kekuatan untukku redha atas segala ketentuan dariNya.

Selain itu, aku juga terus mencari jalan supaya H tahu akan perasaanku ini. Dan cara yang paling aku bertekad adalah dengan meluahkan sendiri hasrat di hati. Sebelum aku confess, aku turut melakukan solat istikharah.

Tiba saat aku menyampaikan hasrat di hati, aku persiapkan diri aku. Jika ‘ya’ , apakah yang perlu dilakukan dan jika ‘tidak’ adalah jawapannya, apa perlu aku lakukan.

Dan amat malang bagi aku, H mengatakan bahawa dia sudah ada pilihan hatinya. Dan dia dengan sendiri mengatakan akan menjadikan perkara itu rahsia antara kami berdua. Aku hanya mengucapkan maaf dan terima kasih.

Aku ketika itu? Hati aku redha dengan jawapannya. Aku tidak mampu untuk mengatakan apa2 sebaliknya aku terus berwuduk dan melakukan solat sunat, memohon ampun atas dosa di hati yang sering mengingati H.

Aku juga memohon agar Allah tetapkan hati aku. Aku tidak mampu menangis.

Tapi aku memaksa diri aku menangis semahu-mahunya, agar tika itu sahaja aku menangis mengingatkan peristiwa itu. Moga di masa hadapan aku tidak terkenangkan peristiwa itu.

Apa yang boleh aku katakan di sini, perempuan (aku) seringkali menyalah tafsir sesuatu peristiwa.

Selalu menganggap bahawa hatinya mempunyai naluri yang kuat. Padahal, dia hanyalah manusia yang tidak mampu menyusun setiap adegan hidup mengikut kehendaknya.

Selagi kita belum pasti perkara itu, jangan cepat membuat andaian. Silapku, setiap peristiwa yang berlaku, aku mengagap ia adalah istimewa. Sedangkan itu hanya untuk aku, bukan orang lain.

Aku tika ini? Dalam usaha mencari calon. Aku ada juga mendaftar dlm portal cari jodoh. Tapi buat masa sekarang aku belum jumpa lagi.

H? Sejak peritiwa luahan perasaan itu, aku terus padam nombor telefonnya. Aku tidak tahu menahu perbuatan sehariannya yang sering dimuat naik di status whatsapp. Perhubungan yang kami ada hanya group kos yang sendu dan fb. Itu sahaja.

Aku doakan yang terbaik untuk dia. Begitu juga buatku. Tipulah aku tak ingat dia. Tambah2 saat aku menulis cerita ini, hatiku turut rindu akan dia. Tapi, cinta itu tak semestinya memiliki, kan? Doakan aku kuat ya teman2.

Sampai di sini dulu. Ambillah kisahku dan jadikan teladan untuk kalian, supaya kalian tak mengulangi kesilapanku. Terima kasih membaca coretan kisah senduku.

– Nuha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *