Hai.. Aku pernah menulis di sini kisah kawan aku. Kali ni aku nak tulis tentang kisah aku pula. Aku tulis sebab ada yang komen kata ayat aku tersusun. Jadinya rasa teruja nak kongsi penulisan aku lagi.
Aku ni tinggal di daerah Jerantut, Pahang. Jadinya kalau nak ke Cameron jalan Lipis-Pos Betau-Ringlet yang jadi pilihan. Dekat, tak sibuk dan aman damai selain view dia yang memukau.
Sabtu Ahad yang lepas (17-18 Mei 2025) aku dan 2 buah keluarga adik aku bercuti ke sana. Adik bongsu lelaki aku naik sebuah kereta dengan family dia. Aku naik dengan adik perempuan aku, Ain. Guna kereta Ain sebab MPV.
Aku dengan Ain masing-masing suami tak ikut sekali sebab bekerja. Aku yang pandu kereta sebab adik aku ada anak kecil. Jadinya dalam kereta tu ada 2 orang dewasa perempuan, 2 kanak-kanak perempuan umur 8 tahun dan 3 kanak-kanak lelaki umur 6 bulan-4 tahun.
Perjalanan pergi tiada masalah. Aku follow belakang, kereta adik lelaki aku lead di depan. Percutian kami semua ok je selama 2 hari tu. Homestay pun ok tak berhantu.
Tiba hari Ahad, adik lelaki aku bagi tau dia dengan family dia nak stay lagi sehari kat sana. Jadinya kami satu kereta je yang akan turun balik. Kami tak boleh tambah hari untuk stay sebab esoknya masing-masing kerja dan anak perempuan kami sekolah.
Disebabkan hanya kami sekereta yang akan balik, aku cadangkan kami keluar dari Cameron lepas asar. Dalam pukul 2 kami ke Agro Market. Punya la seronok membeli belah sebab tenang tak ramai orang kat situ.
Akhirnya Asar pun menjelma tapi Ain masih seronok melayan anak-anak dia nak itu ini. Aku dah tersandar dalam kereta dengan anak bongsu aku. Si kakak mengekor mak saudara dia.
Jam dah melebihi pukul 5 aku dah gelisah sebab hujan turun, langit gelap lebih cepat. Aku call Ain agar segera bergerak.
Masa ni adik lelaki aku masih lagi ada di situ. Semua dah masuk kereta, kami 2 kereta terus bergerak ke Masjid Tanah Rata solat jama’ takhir di sana. Hujan makin lebat, kabus tebal mula menyelubungi keliling kawasan.
Siap solat, aku ingat nak terus gerak turun balik. Tup-tup Ain kata dia nak makan dulu sebab anak dia lapar. Aku dah susah hati sebenarnya sebab hari dah makin gelap. Tapi tetap juga cari kedai dalam hujan yang makin menggila.
Siap makan, jam dah menunjukkan 7.20 malam. Memang dah gelap sangat waktu ni, tambah pula hujan yang tiada tanda akan berhenti. Ain tanya nak solat di mana? Aku malas nak terus delay di situ. Aku kata solat di Masjid Koyan je, Jama’ takhir.
Di kedai makan tu kami berpisah dengan family adik lelaki. Aku drive turun dari Tanah Rata ke Ringlet. Sampai di Ringlet, kami singgah isi minyak di Shell Ringlet. Selesai urusan, perjalanan diteruskan dalam hujan lebat berserta kilat sabung menyabung.
Okey, part yang penting bermula di sini. Kawasan Ringlet ni banyak juga kebun-kebun sayur. Ketika melalui kawasan ni orang masih sibuk lagi. Aku memandu dengan kelajuan sederhana. Lagipun dengan cuaca kurang baik begitu, memang sangat perlu berhati-hati.
Bila sampai je kawasan yang makin sunyi tanpa ada kebun sayur, tiba-tiba lampu tinggi terpadam. Aku tukar ke lampu rendah, hidup. Aku tukar semula ke lampu tinggi, gelap! Aku ulang-ulang buat perkara sama tapi tetap lampu tinggi padam!!
Aku dah mula panik sebab lampu rendah kereta tu sangat la malap. Pandangan aku jadi sangat terbatas dengan cuaca yang berkabus begitu.
Aku panik, tapi aku kena kekal nampak tenang sebab banyak nyawa yang sedang aku bawa. Semuanya nyawa kesayangan aku.
Waktu ni entah kenapa aku berat nak call adik lelaki aku yang masih stay di Tanah Rata. Aku call kakak aku yang duduk di Raub.
Kami sepatutnya balik melalui jalan Lipis-Jerantut tapi bila aku call kakak aku, dia suruh kami ke rumah dia di Raub. Suami dia ada kawan pomen. Lagipun hari Ahad malam pula tu, memang tiada bengkel yang buka.
Aku setuju je dengan cadangan kakak aku. Berkali-kali kakak aku ingatkan supaya hati-hati. Risau sungguh dia.
Dalam samar lampu rendah ditambah hujan dan kabus, aku berusaha meneruskan pemanduan dengan iringan air mata di pipi. Semua dalam kereta menyepi. Aku sembunyi tangis kegundahan hati supaya yang lain dalam kereta tidak turut gundah.
Aku doa sungguh-sungguh dalam hati moga Allah bagi pertolongan. Aku hanya mampu memandu dengan kelajuan 40@50kmj sahaja. Bayangkan berapa masa aku perlukan untuk sampai ke simpang keluar ke Sungai Koyan nanti? Jaraknya lebih 70km.
Bila kilat memancar, aku ambil kesempatan lajukan sedikit pemanduan sebab boleh nampak jarak jauh. Kereta lain memang tiada masa ni. Jalan makin sunyi dan gelap gelita. Aku hampir putus asa sebenarnya. Tapi memikirkan esok kerja maka aku terus cekalkan hati meneruskan perjalanan.
Sambil memandu, mulut aku tak berhenti-henti berdoa moga Allah beri pertolongan-Nya. Anak-anak semua sudah terlena dalam pelukan sejuknya malam. Ain juga diam di belakang aku tidak bersuara. Seat sebelah, anak bongsu aku pun dah lama diulit mimpi.
Aku terus menancap mata fokus pada jalan di depan. Berhati-hati agar tayar tidak terlajak ke arah gaung yang sedang ternganga menanti mangsa.
Tiba-tiba muncul cahaya dari belakang. 2 buah kereta di belakang kami. Aku menarik nafas lega. Sebuah Mitsubishi Xpander merah memotong kereta kami. Aku nekad untuk ikut kelajuan kereta tersebut kerana aku perlukan suluhan cahaya dari lampu kereta tu.
Sebuah lagi kereta di belakang tidak memotong kami. Kami bagai diapit depan belakang. Dari 40@50kmj, aku dapat meningkatkan kelajuan ke 90kmj mengikut kelajuan kereta di depan.
Alhamdulillah hampir pukul 10 kami tiba di simpang Sungai Koyan. Elok keluar simpang, kereta depan kami terus memecut laju meninggalkan kami. Yang peliknya, aku dah tak nampak kereta yang ikut di belakang kami tadi. Lampu tinggi masih gagal berfungsi.
Aku teruskan perjalanan menuju rumah kakak aku di bandar Raub. Hujan masih menggila. Tapi aku tidak terlalu risau sebab kenderaan lain yang banyak di atas jalan.
Ketika semakin menghampiri bandar Raub, lampu jalan cerah memayungi jalan. Aku cuba lagi buka lampu tinggi. Tap hidup!!! Aku cuba lagi, ya hidup dengan cemerlang!!! Terang benderang macam takda apa berlaku.
Aku diam, Ain pun diam. Tapi hati kami tak diam. Tertanya-tanya dan terpinga-pinga.
Kami singgah juga ke rumah kakak aku. Aku turun solat dulu. Beberapa kali kami periksa keadaan lampu memang elok tiada kecacatan. Kami ambil keputusan meneruskan perjalanan balik melalui jalan Benta-Jerantut.
Alhamdulillah pukul 12.30 kami selamat sampai rumah aku. Manakala Ain ambil alih stereng meneruskan perjalanan dia bersama 3 orang anak ke Pekan. Mereka selamat tiba ke Pekan pukul 5 pagi.
Begitulah kisah pelik yang kami alami dengan lampu kereta di Jalan Ringlet. Sebenarnya ini bukan kali pertama aku ‘kena’ di jalan itu.
Sebelum ni aku pernah kena juga tapi kisahnya lain sikit. Waktu yang lebih kurang sama lepas waktu maghrib. Masa tu hujan juga. Aku masih bujang masa tu, naik ke Cameron dengan kawan-kawan, aku juga yang drive.
Masa perjalanan balik, kereta kami di high beam oleh kenderaan-kenderaan lain, ada kereta di belakang yang berhenti dan berpatah balik. Tapi kami tetap teruskan perjalanan.
Entah apa la yang ada di kereta kami masa tu aku pun tak tahu. Semuanya tinggal misteri sehingga ke hari ini.
Terima kasih sudi baca hingga akhir..
– Kuinin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit