Assalammualaikum pembaca IIUM Confession, terima kasih kepada admin jika kisah aku di siarkan. Aku ingin meminta pendapat pembaca mengenai pilihan aku sambil membaca kisah aku, Tasha dan Nizam.
Nizam dan Tasha satu kelas ketika itu tetapi aku dan Tasha adalah rakan serumah. Aku mengenali Nizam pun disebabkan Tasha selalu keluar bersama Nizam.
Sejak itu, kami sering lepak bersama untuk membuat assignment ataupun keluar makan. Tasha dan Nizam semakin rapat sehingga tamat belajar.
Setelah setahun tamat belajar, Nizam dan Tasha ingin bertunang dan orang pertama yang diberitahu adalah aku.
Setelah berbincang dan bertukar pendapat, barulah mereka menyampaikan hasrat pertunangan kepada keluarga mereka.
Pada mulanya, keluarga Tasha tidak bersetuju kerana ibubapa Nizam bukan warganegara namun Nizam dilahirkan di Malaysia dan ber “IC” biru. Tasha berkeras ingin melanjutkan pertunangan dengan Nizam.
Dia meminta saya untuk memujuk ibunya, kerana aku agak rapat dengan ibu Tasha namun aku menolak kerana tidak mahu masuk campur hal mereka kerana takut akan disalahkan.
Aku hanya meminta Tasha untuk berdoa dan solat hajat melembutkan hati keluarga.
Seminggu kemudian, Tasha mendiamkan diri dan tak dapat dihubungi, aku risau dengan keadaan Tasha dan hubungi ibu Tasha.
Ibunya beritahu yang Tasha pergi berubat dengan bapa saudaranya yang merupakan seorang perawat. Aku bertanya kepada ibunya mengenai “sakit” Tasha.
Ibunya memberitahu Tasha memberontak dan menjerit kerana keluarganya tak membenarkan Tasha untuk bertunang dengan Nizam.
Ibu Tasha berasa hairan kerana Tasha bukanlah anak yang membangkang ataupun pemarah.
Ibu Tasha merasakan yang Tasha telah di”gunakan” lalu keluarga Tasha membawa Tasha pulang ke kampung dan meminta bapa saudara Tasha untuk mengubat Tasha.
Menurut cerita ibu Tasha, bapa saudara Tasha memberitahu bahawa Tasha telah diberikan ubat “guna-guna” dari seberang, dan orang yang melakukannya ialah orang terdekat Tasha namun bapa saudara Tasha tak memberitahu nama orang itu.
Ibu Tasha mengesyaki Nizam kerana ibu bapa Nizam adalah orang seberang.
Keluarga Tasha terus memutuskan hubungan Tasha dan Nizam. Mereka memblock nombor Nizam dan meminta Nizam untuk tak lagi mengganggu Tasha.
Nizam yang kecewa kerana dituduh meluahkan rasanya kepada aku. Ketika itu, aku tidak percaya Nizam melakukan perkara tersebut kerana keluarga mereka adalah orang yang alim.
Nizam sendiri bersekolah di sekolah agama dan tak pernah meninggalkan solat. Dia juga tak pernah mengambil kesempatan ke atas Tasha. Aku masih berkawan dengan Nizam kerana berasa kasihan terhadap Nizam.
Setelah setahun putusnya hubungan Nizam dan Tasha. Aku dan Nizam masih berkawan, aku dan Tasha masih berhubung namun dia langsung tak bertanya mengenai Nizam seolah Nizam tak pernah wujud.
Aku juga tak membuka cerita tentang Nizam begitulah sebaliknya.
Nizam juga tidak lagi menyebut mengenai Tasha, dan dia semakin ingin rapat dengan ku.
Kadang kala membuatkan aku rimas dengan sikapnya. Dia sering whatsapp dan call untuk bercakap dengan ku. Aku cuma membalas bila aku tak sibuk.
Suatu hari, Nizam mengajak aku makan malam di restaurant yang terdekat kawasan rumah aku, dan mengatakan ada hal penting untuk disampaikan.
Di restaurant tersebut, Nizam meluahkan perasaan dia terhadap aku, dia mengatakan yang dia sukakan aku selama setahun ni, aku terkejut semudah itukah dia ‘move on’ dari Tasha.
Aku menolak dan memberitahu yang aku hanya anggap dia sebagai kawan sahaja.
Nizam meminta untuk memberi peluang dan dia akan membuktikan yang dia serius denganku. Dia mengatakan setelah tamat belajar, dia ingin masuk meminang.
Setelah dikecewakan dengan keluarga Tasha, Nizam memilih untuk sambung belajar ke peringkat Ijazah dan masih berbaki 3 tahun untuk tamat belajar.
Aku akui Nizam seorang yang bijak, baik dan juga mempunyai ciri untuk menjadi suami yang bertanggungjawab namun aku risau dengan status keluarganya yang merupakan bukan warganegara.
Aku juga terfikir mengenai perkara yang berlaku kepada Tasha. Aku risau yang perkara tersebut benar berlaku.
Pelbagai perkara bermain di fikiran ku. Kalau aku terima Nizam, bagaimana dengan Tasha?, bagaimana dengan penerimaan keluargaku? walaupun ibubapa ku jenis tak kisah tapi isu warganegara ini adalah perkara sensitif.
Mengenai hati aku pula, aku ragu-ragu untuk menerima Nizam kerana aku memang tak ada perasaan untuk Nizam. Cinta jauh sekali.
Lagipula, aku telahpun jatuh cinta kepada rakan sepejabat namun masih dipendamkan. Aku cuba meminta nasihat dari rakan-rakan perempuan yang lain selain Tasha.
Mereka meminta untuk aku terima kerana sukar untuk mendapatkan lelaki yang baik. Aku buntu dengan pilihan ku namun hati aku kuat mengatakan aku perlu menolak Nizam untuk mengelakkan masalah di masa hadapan.
Aku berharap pembaca boleh memberikan pendapat untuk aku. Perlu ke aku terima? Aku dah membuat solat istikarah namun tiada jawapan.
Kalau boleh aku ingin pandangan dari orang yang tak mengenaliku sebelum membuat keputusan. Terima kasih kepada yang sudi membantu.
– UNO (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit