Kisah Anak Dan Menantu

Assalamualaikum,

Terima kasih kerana sudi menyiarkan kisah saya ini. Saya ingin berkongsi pengalaman menyelami perasaan ibu ayah yang juga mertua dan mempunyai beberapa menantu perempuan dan lelaki. Saya tinggal dengan ibu dan ayah. Mereka sangat baik dan sentiasa melayani menantu dengan baik, tapi kadang kala mereka rasa hampa dengan menantu yang kurang adab, sehingga mereka merasakan rugi berhabis banyak wang ringgit serta tenaga untuk perkahwinan mereka.

Cadangan di bawah mungkin berguna kpd masyarakat kini yg dikatakan semakin kurang adab lalu menyebabkan mertua dan menantu selalu ‘panas’. Maklumlah, sebagai menantu bekerjaya yg busy, mereka seringkali terlupa dan terlepas pandang. Manakala ibu ayah pula semakin meningkat usia dan mudah tersinggung perasaan.

Menurut pengalaman saya, perkara-perkara yang membuatkan ibu ayah atau mertua tersentuh hati dengan anak dan menantu adalah seperti berikut:

1. Tidak pandai meraikan pemberian daripada ibu ayah- kadangkala apa yg diberikan ibu ayah kepada anak/cucu/menantu tidak pernah diguna atau dipakai. Lebih menyedihkan dibiarkan berhabuk dan disepahkan di sana sini. Cukuplah sekadar sekali menggunakan atau memakainya di hadapan ibu bapa untuk mengambil hati mereka. Percayalah ibu ayah sangat menyayangi mereka yang pandai ‘appreciate’ barang yang diberikan.
2. Bermasam muka atau ‘moody’ di hadapan ibu bapa – Terutama bila keletihan atau hal giliran balik kampung pada masa perayaan atau hal-hal remeh yang lain. Kes gaduh laki bini ni biasanya sebab si suami tak tepati masa, sengaja melambat-lambatkan bila tiba giliran pergi ke rumah sebelah isteri. Sedih bila dengar ibu ayah saya cakap, “tak balik pon tak ape, daripada ada depan mata tapi muncung dan buat muka, rasa sedih la pulak anak menantu gaduh kerana kita”. Kehadiran ibu ayah seolah membawa pergaduhan dan bukan membawa bahagia. Simpan lah perangai ‘moody’ anda di belakang ibu ayah. Kalau gaduh pon tak perlu tunjuk muka.
3. Menjeling tajam atau menjerkah pasangan dan cucu yang masih kecil di hadapan ibu ayah. Terutamanya atas sebab kesalahan remeh sperti rumah bersepah, melasak dan tak dengar cakap. Ibu ayah begitu sentap bila melihat perkara tersebut. Suami pun satu, ringan-ringankan lah tulang untuk bantu jaga anak dan tolong isteri kemas rumah.
4. Tidak menasihati si suami untuk menghulurkan wang ringgit kepada ibu bapa apabila pulang ke kampung. Memang ibu ayah akan menolak kerana risaukan anak mereka tak cukup belanja. Anda boleh anjurkan suami anda untuk belikan buah tangan/hadiah atau bawa ibu ayah shopping barang dapur jika ibu ayah menolak pemberian wang ringgit.
5. Mudah sentap dan pandang serong dgn kata-kata mertua. Ingatlah bahawa syaiton tu suka sangat hasut kita dengan hasutan yang bukan-bukan supaya kita fikir negatif dan bergaduh. Oleh itu, mohon jangan salah tafsir setiap kata-kata atau nasihat ibu ayah. Lain manusia, lain cara/nada pertuturan mereka. Ada sesetengah individu budayanya suka bergurau, ada individu pula serius 24 jam. Ada ibu bapa pula suka berpesan atau bertanya itu dan ini demi kebaikan anak cucu mereka, sehingga menantu terasa serba serbi tak kena atau rasa diperli. Ingatlah, pesan/pertnyaan itu bermakna dia sayangkan anda sekeluarga. Terharu saya apabila ibu ayah kata “biarlah diorang tak mahu dengar, kita hanya mampu doakan yang terbaik buat mereka”.
6. Suruh buat macam rumah sendiri bila ibu ayah datang ke rumah. Ibu ayah itu adalah tetamu, diorang datang jauh-jauh ke rumah anda sebab rindu anak cucu. Diharapkan mak ayah akan dilayan seperti tetamu yg dihormati (tanya mereka nak minum air panas atau sejuk?, tukar cadar, sarung bantal, sapu bilik tidur dan cuci tandas). Bagi anak perempuan yang bekerjaya tu, bawa ibu ayah makan kat luar pun jadilah, asalkan ada minuman penghilang dahaga sebelum keluar makan.
7. Tidak menelefon ibu bapa. Pasangan sepatutnya ingat mengingatkan antara satu sama lain supaya telefon ibu bapa.
8. Tidak menganjurkan anak lelaki supaya berbakti kepada ibu ayah. Sudah la balik ke kampung jarang-jarang, asyik pulak dengan phone, asyik bawa pasangan bersiar-siar/shopping/pergi rumah kengkawan. Sedangkan di dalam rumah banyak benda perlu dibaiki, banyak benda ibu ayah nak mintak tolong anak lelaki buat. Kasi ‘can’ la pada ibu ayah pula untuk luangkan masa dengan anak mereka.
9. Tidak menolong di dapur, sebaliknya ipar perempuan yang tinggal berdekatan rumah mertua pula yang dipanggil untuk memasak bagi melayani anda yg pulang ke kampung. Kalau macam ni la, mesti akan ada ipar yg ‘panas’ dengan anda. Ingatlah bahawa ipar atau mertua tu bukan ‘bibik’ anda. Teringat cerita seorang sahabat, hari pertama dia balik rumah mertua terus diberi ikan mentah dan kena masak seorang diri. Mak aku tak pernah la lagi buat macam ni, sebab tak sampai hati. Sampai hari ni pun mak aku tak pernah buat macam tu walapun dah dapat ramai menantu.

Teringat kata-kata seorang penceramah, para menantu perlu sedar bahawa mereka telah mengambil ‘barang siap’ hasil didikan ibu ayah mereka. Ibu ayah telah banyak berkorban dalam mendidik pasangan anda sehingga berpendidikan tinggi dan berpangkat. Tapi anda langsung tidak memberikan penghormatan dan penghargaan yang sepatutnya kepada ibu ayah mereka. Sedangkan apabila seorang anak berkahwin dengan anda, dia telah meninggalkan rumah ibu ayah, tanpa sempat berbakti tenaga dan wang ringgit kerana semuanya dihabiskan untuk rumah tangga anda. Terutama apabila anak lelaki itu berkahwin dengan anda sejurus mendapat kerja atau ketika masih belajar di universiti. Sebenarnya, ibu ayah hanya ingin melihat anda bahagia dan anak cucu pandai hormat orang tua.

Hargai lah mertua, ya saya faham.. mereka mungkin banyak salah silap. Anak-anak mereka juga mungkin bukan pasangan sempurna seperti yang anda idamkan. Sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah, belajarlah bersyukur dengan melihat orang yang kurang bernasib baik berbanding diri kita (misalnya ada orang dapat mertua jahat dan mulut puaka, ada pulak yang masih belum bertemu jodoh atau belum ada anak walaupun dah lanjut usia).

Nasihat saya utk orang sekeliling ibu mertua pula, iaitu ipar duai tolonglah jangan menghasut perkara negetif di kala ibu bapa mengadu kepada anda tentang perangai buruk anak menantu mereka. Anak menantu tu mungkin terlepas pandang atau terlupa. Tidak perlulah kita mencari dosa sehingga ibu ayah membenci atau mengata di belakang mereka. Kasihanilah ibu ayah yang sudah tua, jangan pula kerana kita, mereka muflis di akhirat akibat dosa mengumpat.

Kepada bakal ibu ayah dan mertua pula, berilah didikan agama dan akhlak/adab sopan agar anda tak sentap di kemudian hari. Tegurlah anak masing-masing sebelum mereka membawa perangai buruk mereka di hadapan mertua masing-masing. Bukan apa, kalau mertua yang tegur kelakuan menantu, bimbang akan menjadi salah faham, so mak ayah aku pilih diamkan diri dan makan hati je.

Untuk si suami pula, tegurlah kelakuan isteri masing-masing dengan penuh hikmah serta didiklah mereka. Jika anda tiada ilmu, bawalah isteri menuntut ilmu agama (hadis dan tafsir quran) supaya isteri anda terdidik dan lebih berakhlak. Kepada si isteri, janganlah putus asa jika suami anda bukan seperti hero dalam novel, movie atau drama cinta. Bersyukur dan teruskan bersabar dan berdoa.

‘Sharing is caring’, semoga perkongsian saya dan anda akan dapat membantu kita semua ke arah membina keluarga bahagia dan Semoga kita semua dapat bersama-sama berkumpul di syurga nanti. Terima kasih.

Yang benar,
Aisha

– Aisha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit