Kisah Angah Yang Aku Sayang

Hai warga IIUM Confession. Aku tak pernah terfikir nak confess sesuatu di sini, tapi aku buntu dan aku perlukan tempat untuk aku luahkan apa yang terpendam dalam hati aku.

Luahan hati aku adalah tentang adik kesayangan aku, Angah.

Sebelum apa-apa aku mohon untuk sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk Angah yang baru saja dijemput Ilahi tiga bulan lepas.

Aku anak sulung dari lima beradik, mereka gelarkan aku Along. Aku berumur 38 tahun. Jarak umur aku dan Angah cuma dua tahun. Aku dibesarkan dalam keluarga yang biasa-biasa.

Semuanya biasa-biasa terpulanglah dari segi apa pun. Tidak terlalu senang, tidak terlalu susah. Ajaran agama juga biasa-biasa, orang tua aku ajar dan sediakan semua cukup seadanya. Selebihnya kami adik-beradik pandai-pandai uruskan diri.

Sewaktu aku kecil, aku dan Angah sering dibanding-bandingkan. Kami berdua sama pandai, cuma apa yang dibandingkan adalah segi ‘kealiman’ kami. Aku kelulusan sains, tapi aku juga baik perilakunya. Manakala Angah, sangat liat belajar agama.

Sepanjang di sekolah menengah, beberapa kali Angah dipanggil ke bilik disiplin kerana kantoi merokok dan ponteng sekolah. Abah dan ibu buntu. Lalu mengambil keputusan menghantar Angah ke sekolah pondok ketika Angah 18 tahun.

Angah tamat belajar di umur 25 tahun. Angah telah jauh berubah. Angah yang dulunya panas baran dan susah diajak solat kini menjadi seorang yang sangat alim dan mementingkan agama dalam segala hal pun. Abah dan ibu sangat gembira.

Angah rajin ke surau, mengajar kanak-kanak mengaji, mengikuti kelas-kelas agama, dan sangat rajin membantu orang kampung. Angah tidak mempunyai kerja yang tetap, tetapi Angah merupakan ahli jawatankuasa masjid di kampung kami.

Angah juga rajin melakukan kerja-kerja kampung. Itu lah sumber pendapatan Angah dan ianya cukup untuk menampung diri.

Aku pula sudah berkahwin dan tidak lagi tinggal bersama keluarga. Adik-beradik lain juga ada yang masih belajar dan ada juga yang tinggal bersama keluarga masing-masing.

Manakala Angah yang berumur jarak dua tahun dari aku masih belum berkahwin. Angah tinggal bersama abah dan ibu. Beliau lah yang menjaga orang tua kami sepanjang ketiadaan adik-beradik lain.

Angah tidak pernah berkira atau merungut penat membuatkan kami adik-beradik sangat senang dengan sikap Angah. Terima kasih Angah.

Kalau aku balik kampung untuk bercuti, aku dapat lihat rutin harian Angah. Pagi di awal subuh Angah akan ke masjid untuk berjemaah solat Subuh.

Kemudian pulang ke rumah semula membawa sarapan seperti Nasi Lemak atau Roti Canai. Selepas tu bermain bersama anak-anak buah, menonton TV atau mendengar kuliah-kuliah dalam apps Youtube atau Facebook.

Petang pula selepas menunaikan solat Asar, Angah akan menunggu anak-anak jiran untuk mengajar mereka mengaji di halaman rumah. Ibu kata rumah tak pernah sunyi dengan alunan-alunan ayat Quran sebab setiap hari mereka datang. Senang hati aku bila mendengar hal ini.

Malam seusai Isyak di masjid, Angah akan pulang ke rumah dan mengaji di dalam biliknya sehingga lewat malam. Kemudian rumah akan mula sunyi selepas jam 12 malam. Semua akan tidur dalam waktu yang lebih kurang begitu.

Tetapi aku perasan Angah selalu tidur lewat. Selesai mengaji, aku tahu Angah akan mengambil angin di halaman rumah dan merokok. Habit merokok Angah masih tidak dapat dikawal walaupun Angah telah jauh berubah dari zaman muda remajanya dulu.

Malam-malam juga rakan sekolah sekampung Angah akan datang duduk melepak bersama Angah. Kadang-kadang aku keluar bilik dan join mereka juga. Berkepul-kepul asap rokok, tetapi isi intipati borak mereka sangat berilmiah.

Penuh dengan teguran dan nasihat walaupun kadang-kadang diselang selikan dengan gurauan, aku yakin Angah sedang menyampaikan perkara baik.

Lima bulan sebelum Angah meninggal, Angah disahkan menghidapi kanser paru-paru. Alangkah sedihnya ahli keluarga kami bila terima berita ini. Namun Angah masih kekal tenang, seolah-olah Angah sangat redha dengan ujian Allah ini.

Keadaan Angah kian merosot sehingga Angah tidak lagi mampu berdiri sendiri, cuma terlantar dengan bantuan alat pernafasan. Angah tampak sangat nazak. Kami semua sangat sedih dengan keadaan Angah.

Rumah di kampung kini sunyi, tiada lagi suara gelak tawa Angah dan alunan suara Angah mengaji di dalam biliknya. Abah dan ibu antara insan yang sangat bersedih kerana mereka sangat rapat selepas Angah tamat belajar di pondok.

Sepanjang Angah sakit dan terlantar di hospital, ramai rakan-rakan Angah datang ziarah. Ramai mendoakan Angah. Di hari-hari akhir Angah, kami sekeluarga memang ada sentiasa dengan Angah. Sehingga Angah menghembuskan nafas terakhir Angah, wajah Angah sangat tenang.

Bila kami menceritakan tentang saat akhir Angah dengan rakan-rakan baik Angah dan saudara-mara, semua lega dan mengatakan Angah pergi dengan cara yang baik. Kami sekeluarga reda dengan pemergian Angah.

Aku selaku anak sulung dalam keluarga, aku lah yang menguruskan hal ehwal kematian pertama dalam keluarga kami itu. Aku kerap mengingatkan ahli keluargaku untuk terus mendoakan Angah, dan aku kena kuat untuk keluarga aku.

Sudah 3 bulan Angah meninggalkan aku. Aku masih rindu dengan suara dan gurau senda beliau. Aku selalu tengok telefon bimbit Angah untuk tengok gambar-gambar Angah. Angah rajin ambil gambar, selfie, dan rakam video anak-anak buahnya.

Video-video itu lah yang mengubat rindu aku sebab dari situ aku dapat dengar ulang-ulang suara Angah bergelak tawa. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana sedih dan rindunya aku pada Angah tetapi perlu kuat demi keluarga.

Sehinggalah satu malam, sebelum aku tidur, aku tergerak hati nak melihat apps Youtube Angah dalam telefon bimbitnya. Aku tengok bahagian history, penuh dengan ceramah-ceramah agama dan beberapa video berkaitan memancing dan perkhemahan.

Menangis aku bila terbayangkan bagaimana Angah teringin untuk sihat semula dan melakukan aktiviti yang Angah suka.

Tak puas dengan apps Youtube, aku mula melihat setiap apps yang Angah gunakan dalam telefon bimbitnya. Aku kemudian terbuka bahagian carian dalam Google. Aku buka history Google Angah, terbuntang mata aku bila ternampak..

…..

Aku tak percaya. Aku scroll sehingga ke bahagian akhir. Sehingga awal tahun 2022 aku scroll. Alangkah terkejutnya aku bila history Angah penuh dengan carian video p*rnografi. Mengucap panjang aku.

Jantung aku jadi berdebar-debar seolah mahu meletup. Muka aku menjadi panas dan jari aku menggigil-gigil. Aku masih tidak percaya.

Aku mula berprasangka buruk. Selepas aku perhatikan satu-satu, semua carian dilakukan bermula jam 11.30 malam sehingga 2 atau 3 pagi. Allahuakbar.

Aku mula berfikir-fikir kenapa dan bagaimana. Adakah semuanya dilakukan Angah sendiri? Atau adakah akaun Google Angah digunakan orang lain? Sekiranya Angah yang buat semua itu, mengapa?

Angah seorang yang baik. Angah sering mengaji hingga lewat malam. Angah akan ke masjid untuk solat subuh. Angah mengajar anak-anak kecil mengaji… mustahil yang lakukan semua tu adalah Angah.

Dah bermalam-malam aku fikirkan tentang ni. Aku buntu. Aku kecewa, aku rasa seolah disiat-siat dan diketuk-ketuk sehingga hancur dan remuk. Semua orang masih menceritakan kebaikan Angah sehingga kini.

Adik-beradik lain masih mengatakan hal-hal yang baik tentang Angah. Tetapi tidak aku. Aku rasa sangat malu. Aku masih mendoakan Angah, aku masih mengharap Allah ampunkan dosa-dosa Angah.

Tetapi aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa aku menjumpai aib ni tentang Angah. Hati aku mengatakan untuk kongsikan hal ini pada abah dan ibu, tetapi sebahagian dari aku menepis idea ni. Aku tak mahu menghancurkan hati mereka. Mereka sangat sayangkan Angah.

Aku bukanlah manusia yang baik, tetapi aku tak pernah menonton video-video seperti itu. Astaghfirullah. Yang lebih mengejutkan aku, hampir setiap hari Angah menonton dan membuat carian berkaitan video itu.

Dan kali terakhir carian dilakukan adalah pada awal bulan beliau disahkan menghidapi penyakit kanser. Selepas dari itu, tiada lagi carian video p*rnografi dibuat.Aku berharap Angah sempat bertaubat dengan kelakuannya. Aku berharap Allah ampunkan dosa Angah.

Aku sangat tidak tenang. Aku perlukan tempat untuk meluahkan rasa kecewa aku ni. Tetapi sehingga kini aku tak pernah ceritakan kepada sesiapa. Aku bersedih seorang diri. Aku rindukan Angah.

Alangkah bagusnya kalau aku jumpa perkara ini lebih awal supaya aku tak perlu berteka-teki sama ada benar atau tidak yang lakukan semua ni adalah Angah. Alangkah baiknya jika aku sempat menasihatkan Angah supaya berhenti menonton perkara-perkara yang tidak baik.

Aku sayang Angah, tetapi aku kecewa. Aku perlukan kata-kata semangat atau apa-apa yang boleh merawat sedih aku ni. Aku sangat buntu.

Semoga Allah ampunkan aku sekiranya aku bersangka buruk dengan adik aku sendiri. Maafkan Along, Angah.. Along sayang Angah…

Semoga Allah menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran Along, tenangkan hati Along dan bantu Along lalui hari-hari mendatang tanpa berfikir buruk tentang Angah. Aamiin.

– Along (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Kita semua manusia. Tak sempurna. Ada baiknya kita, ada buruknya. Sebab itu ada neraca, untuk diimbang baik buruk. Maha Suci Allah, yang telah menjaga aib arwah sehinggalah arwah meninggal. Ini mungkin ‘ujian’ untuk along. Sudahlah along, berhenti fikirkan yang sudah pergi, arwah hanya perlukan doa dari kita. Sementara yang hidup (ibu bapa), masih perlukan kita. Fokus kepada mereka, hidupkan kembali rumah mereka dengan alunan al-quran yang mereka rindu…

  2. Tak payah la awak nak ceritakan kepada sesiapa, aib org dah tak ade didunia ini, yakin arwah dh bertaubat sebab ini dosa peribadi antara dia dgn Allah, lupakan saja dan tak perlu nak cari2 aib arwah, teruskan berdoa untuk arwah dan bersangka baik. awak boleh pindahkan video2 atau gambar2 ke tempat lain, lupuskan saja telefon tu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *