Kisah Ayah: Aku Yang Waras

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-masih-waras/).

Masih aku di sini. Terima kasih atas kata-kata yang baik dan doa yang aku aminkan setiap satunya. Aku baca dan hadam komen-komen positif kalian. Namun ada komen yang menarik perhatian aku.

Antaranya : ‘akhir-akhir ni macam banyak topic hal lelaki jadi antagonis.. come on, takde confessor lelaki ke bulan Jun ni’.

Aku senyum.. Alhamdulillah, sehingga kini aku cukup aku katakan aku di sayangi suami yang baik, penyabar kepada kerenah aku yang keras juga mampu melembutkan hati aku yang beku juga mampu jadi imam sewaktu solat. Tapi biar aku ceritakan perihal ayah.

Ayah. Empat huruf. Penuh makna. Penuh kisah. Penuh perasaan. Ayah telah meninggal sewaktu aku baru beberapa bulan bekerja di sektor swasta. Ayah tak sempat merasa gaji pertama ku.

Kadangkala memori aku celaru akan perlakuan ayah semasa aku kecil, semasa aku sudah faham akan kehidupan dan ketika suda berpisah dengan ibu.

Ayah tinggi besar orangnya, bermuka garang. Sesuai dengan kerja ayah. Budak lelaki takut mengusik aku. Yang mana berani mengacau dan mengejek, cukuplah ku kata ‘ tunggu kau, aku lapor ke ayah aku’. Banyak yang memilih untuk diam lepas tu.

Ketika kecil, ini memoriku. Ibu kata, aku anak kesayangan ayah. Sebab tu aku turun mewarisi baran ayah. Ibu katakan, kalau aku lelaki, sudah tentu aku lah yang paling hebat bertarung. Aku gelak. Aku Cuma perempuan. Berbadan kecil comel pula.

Ya, ayah sayang aku. Setiap kali aku balik sekolah, ayah akan jemput naik motor. Kami tiada kereta sehingga aku tingkatan 3. Bila shift ayah bekerja, aku akan naik bas awam.

Jika ayah tidak bekerja shift, akan sebolehnya di jemput dan dihantar aku ke sekolah sampailah ke sekolah menengah. Tiada adik beradik yang terima layanan seperti aku.

Mungkin ayah dapat rasakan aku ‘anak terbuang’ dalam keluarga sendiri. Ini akan ku kisahkan nanti sebab aku terpanggil untuk sampaikan kisah ayah dalam hidup aku.

Aku juga tidak pernah bercinta monyet semasa sekolah menengah. Kerana, bagi aku, budak lelaki busuk. Aku mahu lelaki yang berkarektar dan matang. Tapi itu cuma mimpi bukan?

Ayah seorang yang rajin membaca. Dia akan duduk berjam lamanya di depan pintu membaca akhbar sampai ke ruang iklan pun. Lalu, aku juga suka membaca. Kadang-kadang, sambil bungkus nasi lemak, kalau ada berita yang menarik, akan ku simpan dulu untuk baca kemudian.

Ayah juga seorang pengingat. Aku kagum. Entah berita tahun berapa, masih dalam memori dia. Ayah jarang bercakap dengan kami. Apa- apa pesan, apa- apa teguran ibu yang akan sampaikan.

Seingat aku, ayah tak pernah katakana sayang kepada aku. Tipikal lelaki melayu lama. Tapi pada umur begini, aku tahu ayah sayang kan kami semua.

Aku seorang yang bercita-cita tinggi. Aku katakan kepada ibu, satu hari aku akan keluar dari rumah ini dan naik kapal terbang pergi jauh. Ibu gelak. Ibu kata, kita mana ada duit. Aku cakap, akan ku cari. Akan ku belajar pandai-pandai, ibu.

Keputusan UPSR dan SPRA aku sangat bagus. Aku memohon Sekolah Asrama aliran agama. Aku dapat. Tapi di sebabkan kami susah, ayah membawa surat aku dan pulang ke kampung untuk meminjam nenek sedikit wang. Nenek (sebelah ayah) ketika itu punya wang beratus ribu hasil jual tanah.

Aku menunggu dengan sabar di rumah. Da terbayang hasrat aku untuk menjadi yang pertama menjejak kaki ke asrama. Aku bekejar bila dengar enjin motor ayah. Ibu mengongoi menangis melihat aku. Aku pelik. Wajah ayah suram.

Ibu katakan, ‘nenek kau cakap, nenek tiada duit. Nenek juga pesan, kalau nak pandai, belajar dekat mana pun pandai juga’.

Aku terluka. Apa la sangat seratus dua di pinjamkan kepada ayah, anak dia sendiri dan untuk aku cucunya untuk mengejar impian. Lantas ku kata depan ibu dan ayah, ‘mulai hari ni, tiada sesiapa dalam keluarga ini akan lebih pandai dari aku’.

Ya, sumpahan dan berkat usaha ku, memang aku kejar apa ku katakan. Nenek memang tidak sayang ayah kerana ayah di besarkan oleh neneknya.

Ibu pula bukan menantu pilihan. Aku juga cucu yang paling tidak di sukai kerana aku berwajah ibu, namun kulitku seperti ayah- sawo matang. Nenek cukup benci akan aku.

Bila ayah berubah? Aku lupa. Sungguh aku tak perasan. Tapi dari memori, aku rasa ayah berubah sejak bertugas di depoh tahanan. Itu yang ibu kata.

Ibu juga kata, ayah terkena buatan orang seberang kerana mengidamkan ayah yang bertubuh sasa, bermuka garang namun seorang yang penyayang pada dasarnya. Ayah akan baran pada hari dia tidak bekerja. Seperti panas duduk di rumah.

Juga episod ayah membelasah ibu seringkali dalam ingatan aku, ketika ayah telah lengkap beruniform. Masih terngiang tangisan ibu mohon bersungguh untuk berhenti memukulnya. Masih segar.

Sehinggalah kemuncaknya ayah menceraikan ibu kerana baran juga. Tapi pada hari ayah menceraikan ibu, ayah tidak pun membelasah ibu.

Selepas lafaz cerai, 3 hari kemudiannya ayah pulang. Ayah menangis-nangis. Mohon maaf. Mohon ampun. Dia bertanya, salahkan dia hilang pertimbangan? Salahkah dia terburu-buru.

Ketika itu, ibu diam termenung, merenung luar. Aku hanya memerhati dari jauh. Depan ibu, ayah bersumpah tidak akan berkahwin lain sehingga dia m4ti kerana ibu cinta sejati dia.

Aku dalam hati mula keliru. Aku keliru terbayang ayah yang penyayang kepada anak-anak tapi kejam kepada ibu.

Namun sungguh aku katakan, setelah ibu dan ayah berpisah, ayah balik semula ke sifat penyayang dan bersungguh menjadi pelindung. Cuma takdir Allah telah memisahkan mereka dengan penceraian talak 3.

Ayah pulang ke kampung dan hidup sendiri sehingga akhir hayat. Ketika di mahkamah, seluruh harta di beri kepada anak-anak. Segala pencen juga hak ibu walaupun ibu sudah berpisah dengan ayah. Ibu dan ayah kekal berbaik sehingga akhir hayat ayah. Kami juga sering melawat ayah.

Sesungguhnya sihir pemisah tu benar. Kerana aku dapat melihat ayah yang sebelum, ayah yang semasa terkena sihir dan sesudah berpisah, ayah berbalik semula ke sifat yang asal seorang yang penyayang. Dan, ayah tunaikan janji ayah.

Sehingga akhir hayatnya, dia tidak pernah berkahwin lain. Kadang-kadang aku cuba lupakan episod ayah menjadi seorang yang kejam kerana aku fikirkan itu bukanlah dirinya.

Aku pilih untuk bercerita akan sifat yang baik-baik ayah kepada cucu-cucunya. Seorang pun anak aku tak sempat berjumpa ayah. Mereka kagum akan apa cerita positif yang aku dendangkan tentang tok ayah mereka.

Aku sering katakana, kalau tok ayah kamu hidup lagi, mesti kamu semua akan di tatang dan di sayang macam mama dulu.

Al-fatihah untuk ayah. Semua orang melakukan kesilapan. Semua orang layak bertaubat. Semua orang akan di uji. Cuma pilihan kita untuk melihat dari pelbagai perspektif bagaimana ujian itu mematangkan kita.

Aku pilih untuk bercerita tentang ayah sedikit di atas kerana, aku mohon agar janganlah kita beranggapan setiap lelaki jahat seluruhnya. Ayah hanyalah mangsa permainan syaitan.

Minta di jauhkan daripada kita semua. Lelaki yang baik itu wujud. Ayah baik. Ayah penyayang. Aku sayang ayah sedalamnya. Jasad ayah masih ku rindu. Ku rindu ayah yang ketika aku kecil dan ayah selepas berpisah dengan ibu.

Semoga roh arwah di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan semoga Allah ampunkan segala dosanya.

Satu pesan ku, andai suami kalian atau ayah kalian berubah sifat, mohonlah kepada Allah akan petunjuk. Kerana, sihir itu benar.

Kisah ibu, kisah kakak dan kisah aku anak yang terbuang terlalu panjang untuk di kongsi. Jika ada kesempatan, akan ku curi masa lain untuk tatapan semua. Terasa beban yang lama terlerai bila aku berkongsi.

Terima kasih kerana sudi membaca. Sungguh, aku tidak pernah tau kisah aku boleh memberi kesan yang mendalam kepada kalian. Semoga doa-doa kalian yang baik-baik itu, kembali juga kepada kalian.

– Indah Cempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *