Kisah Bekas Suami Dan Adik Aku

Assalamualaikum. Selamat berpuasa semua.

Hari ini aku ada satu kekuatan untuk menulis. Mungkin sebab hari ini hari jadi adik aku, satu-satunya adik perempuan yang aku ada.

Aku lima orang adik-beradik. Aku yang kedua. Adik perempuan aku yang paling bongsu. Yang lain semua lelaki.

Sedikit pengenalan tentang latar belakang keluargaku. Kami memang datang dari keluarga beragama.

Ayah aku ustaz dekat pondok. Memang susur galur belah ayah aku semuanya ustaz, tok imam, macam itulah.

Mak aku suri rumah. Abang dan adik lelaki aku pun ikut sama dalam bidang itu. Kami semua bekerja dalam bidang pengajian Islam.

Dan memiliki Sijil Tinggi Agama Malaysia adalah wajib dalam rumah ini.

Tapi itulah, orang selalu kata, buah tak semuanya elok. Pasti ada satu dua yang rosak. Adik perempuan aku berbeza dengan kami.

Degil, kuat melawan, suka memberontak. Lari dari rumah. Dalam rumah, hari-hari bergaduh pasal dia.

Masa sekolah rendah, dia okay saja. Nak naik sekolah menengah, dia berkeras dengan abi tak nak sekolah agama.

Dia nak sekolah harian biasa. Dalam rumah ini, apa kata wali kamilah yang penting.

Siapa pun tak berani nak melawan ayah. Tapi dia seorang saja yang berani. Bagi dia, apa yang ayah aku buat semuanya salah.

Tapi dengan usia dia 13 tahun masa itu, apa sangat dia boleh buat? Ayah aku tetap hantar dia pergi sekolah agama berasrama penuh.

Dia memberontak di sana pula. Ponteng, lompat pagar. Tudung dia potong bagi pendek.

Cikgu sampai suruh ambil dia balik. Dengan cikgu pun dia bergaduh. Tak nak ikut peraturan. Cikgu kata dia rosakkan budak-budak lain juga.

Sikap dia seolah-olah sengaja nak mencabar kami. Nak memalukan kami yang disegani masyarakat.

Kena pukul, kena bantai tak payah cakaplah. Ayah, abang-abang dia, bahkan aku sendiri pun selalu marah dia, nasihat dia supaya ikut syariat Islam.

Tapi dia seperti sengaja nak memperlekehkan kami. Air penawar merata tempat ambil. Bagi minum, bagi mandi.

Tapi semuanya tak berjalan. Umi dengan abi dah berapa kali pergi umrah nak doakan dia. Tak berjalan juga.

Kami ini siap pernah kurung dia dalam rumah. Tapi makin kuat dia memberontak. Macam orang gila.

Umi kami memang lembut orangnya.

Umi tanya, “Masalah apa?”

Dia cuma cakap dia nak buat apa yang dia suka, bukan ikut apa yang ayah dan abang-abang tentukan.

Tapi apa yang dia suka semuanya bertentangan dengan perempuan Muslimah.

Nak bergaul lelaki perempuan. Nak melepak. Tak nak pakai niqab. Itu tak apa lagilah. Tak nak sekolah agama.

Tak nak pakai jubah, tudung labuh. Pakai longgar-longgar tak nak.

Yang dia nak, pakai jeans, pakai t-shirt, nak pergi belajar Muay Thai, nak jadi model, nak main alat muzik.

Alasan dia tak masuk akal. Kami faham, usia dia masa itu, dia sendiri pun tak faham apa yang berlaku dalam hidup dia.

Leka dengan hiburan dan semua benda, mudah terpengaruh. Sebab itu kami sangat berkeras dengan dia.

Kami berkeras tak jalan, berlembut tak jalan. Hari-hari semua orang stres fikirkan dia.

Masa dia Tingkatan 4, ayah nak kahwinkan aku dengan bekas anak murid dia. Aku memang ikut apa keluarga aku tentukan.

Bagi aku, wali aku berhak nikahkan aku dengan siapa yang dia nak. Aku terima siapa pun jodoh aku.

Masa itu aku masih ingat, adik perempuan aku cakap kat aku,

“Akak nak nikah dengan pilihan abi?”

Sebenarnya, walaupun itu saja saudara perempuan yang aku ada, tapi aku tak rapat dengan dia.

Kami jarang bercakap. Dan dia pun tak rapat dengan sesiapa termasuk umi. Dia suka hidup dalam dunia dia saja. Dia selalu melihat kami macam musuh.

Aku gagal jadi seperti kakak lain yang ambil berat pasal adik. Mungkin kerana faktor usia kami yang agak jauh beza. Ataupun masa itu aku sendiri tak suka adik aku.

Sebab aku jenis lembik, lembut, taat. Aku sendiri rasa malu ada adik macam itu. Tidak seperti aku yang lemah lembut dan ikut peraturan agama. Kekasaran dia aku memang tak suka.

Tapi masa itu aku cuma nasihat dia,

“Pilihan orang tua kita pasti yang terbaik. Dia orang besarkan kita, kenal kita luar dalam.”

Dia senyum sinis. Dia kata,

“Akak kata apa? Kenal luar dalam? Abi tahu ke akak suka warna apa, akak suka makan apa?

Benda asas pun dia orang tak pernah tahu. Tapi akak boleh kata kenal luar dalam?

Dalam rumah ini, apa orang jantan dalam rumah ini kata, itulah yang kita kena ikut. Kita suka ke, tak suka ke, dia orang tak peduli.

Sebab kalau dia orang suka kambing, kita pun kena makan itu sajalah. Dia orang suka putih, kita pun kena ikut warna itu sajalah. Kononnya dia orang lagi tahu apa yang terbaik.

Sekali pun tak pernah tanya kita okay ke dengan pilihan dia orang. Macam itu ke Islam ajar? Semuanya dia orang tentukan hanya kerana dia orang wali kita.

Tapi sebenarnya acah-acah suci… acah-acah malaikat.”

Masa itu aku sendiri mendidih. Aku baru nak lempang dia. Tapi along aku dah mendahului lempang dia. Aku pun ada juga pukul dia masa itu.

Cuma dengan umur dia 16 tahun itu, sejauh itu dia fikir. Aku tak faham apa dalam hati dia.

Kadang pelik juga. Cikgu selalu cakap dia tidur dalam kelas. Tapi kalau bagi ujian atau apa, dia boleh saja buat.

Kalau dia tak buat masalah, pasti dia dah berjaya sekarang.

Masa itu kata-kata terakhir dia,

“At least ambillah masa kenal dulu lelaki itu.

Hanya kerana dia anak murid abi, dia al-hafiz, tak semestinya dia baik.”

Tapi siapa yang nak dengar cakap dia? Aku sendiri pun waktu itu kemaruk nak bernikah.

Lepas nikah, aku ikut bekas suami pergi Penang. Bekas suami kerja di sana.

Aku tak ambil tahu hal adik. Yang aku tahu, masalah berulang saja. Kami bersabar sementara nak tunggu dia habis sekolah.

Awal perkahwinan aku sangat bahagia. Orang kata fasa honeymoon. Masa itu aku rasa tak menyesal jadi anak yang solehah.

Sebab akhirnya aku dapat jodoh yang baik. Aku bersyukur abi carikan suami yang baik. Aku ingat itu dah cukup sempurna.

Tapi aku lupa, Allah sediakan ujian yang banyak untuk kita. Banyak sampai kita tak terfikir pun apa yang nak jadi di masa hadapan.

Satu hari umi call aku, menangis-nangis. Katanya adik buat perangai lagi. Tak nak sekolah, nak kerja.

Masa itu memang nak balik sana jumpa keluarga. Jadi aku dan bekas suami pun bergegas balik.

Di rumah, adik macam biasa. Berdiri tegak dengan egonya. Agaknya dah lali dengan pukulan kami.

Aku memang naik angin gila masa itu.

Dia kata nak keluar dari rumah.

Adik lelaki aku kata,

“Lepas itu nak pergi jadi pelacur ke?”

“Kau nak jadi apa hah, adik?”

Macam-macam aku marah dia. Aku kata at least habiskan sekolah.

Dia kata,

“Dia rela jadi pelacur daripada jadi anak rumah ini.”

Ayah aku naik angin. Semua orang mengamuk. Bantai dia teruk.

Ayah kata,

“Aku selalu fikir, kenapa anak aku semua elok kecuali kau? Aku rasa mungkin masa aku bersama dengan mak kau, aku lupa baca doa berjimak.

Sebab itu dapat anak setan macam kau.”

Ayah hilang sabar. Kami semua terdiam dengan kata-kata ayah.

Hari itu adalah kemuncak segala-galanya…

(Nanti aku sambung ya…)

– Jue (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *