Assalamualaikum pembaca semua. Saya Pn. Z, ibu bekerjaya dan mempunyai 4 orang anak. Hari ni nak share pengalaman sepanjang berada di Tanah Suci.
Yang baik jadikan panduan, yang buruk jadikan sempadan. Harapan saya moga pembaca semua dimurahkan rezeki dan dapat jadi tetamunya secepat mungkin.
Kisah 1:
Jan 2003, pertama kali jejak kaki di sana, menangis tersedu saya di hadapan kaabah. Bersyukur, gembira, sayu, hiba dan semua rasa bersatu dalam deraian airmata.
Seakan tidak percaya, dalam usia 32 tahun saya dipilih mengerjakan haji. Sukar untuk percaya sebab dari kecil saya hanya anak petani yang kais pagi makan pagi. Sering dihina kerana kemiskinan.
Namun setiap pagi, emak sentiasa menitipkan pesan, belajar rajin2 dan ubahlah kehidupan keluarga kita. Kalau malas, nanti kekal jadi macam emak yang ambil upah di tanah orang. Tak pernah emak jemu dengan nasihat itu… kata emak lagi, berdoalah selalu dan Allah pasti kabulkan doamu.
Cuma cepat atau lambat sahaja. Bila melihat gambar kaabah, sejak kecil saya sering membayangkan berada dalam kelompok orang yang sedang tawaf itu. Alhamdulillah… akhirnya impian saya tercapai. Berkat doa ibu juga rasanya.
Kisah 2:
Dah sebulan saya berada di Mekah, suatu hari saya pun cakap kat kawan sebilik. Petang ni, kalau ada bubur kacang kan sedap. Rindu la nak hirup bubur.
Usai solat asar, bila balik ke hotel, allahuakbar : memang kami dihidangkan dengan bubur kacang. Sekali lagi saya termenung. Cepatnya Allah makbulkan…. Buat saya malu sendiri. Banyaknya dosa yang saya telah lakukan selama ini tapi Dia memberi tanpa ambil kira semua tu.
Kisah 3:
Hari tu saya dan suami nak mengerjakan tawaf dan saie umrah. Dalam perjalanan ke masjidil Haram, saya cakap dengan suami, jalanla dekat2 sikit, nanti terpisah.
Dia balas sambal senyum, tak kan terpisah kut, kan abang ada jer kat belakang ni. Saya meneruskan perjalanan menuruni tangga hotel. Setibanya di dataran, suami saya tidak lagi kelihatan. Saya berhenti dan terus menunggunya. Mencari-cari di celah ribuan jemaah.
Akhirnya saya buat keputusan untuk mengerjakan tawaf dan saie secara bersendirian. Seusai saie saya terus kembali ke bilik hotel.
Begitulah perjanjian kami, jika terpisah, maka kembalilah ke hotel penginapan. Zaman tu mana ada hp macam sekarang. Sebaik sampai di bilik, terdengar ketukan di pintu.
Suami saya tersengeh dan bertanya ke mana gerangan saya pergi. Puas dia mencari katanya. Saya tanya dia, pukul berapa dia selesai tawaf dan juga selesai saie. Sungguh aneh kerana kami tidak bertemu langsung sedangkan tempoh kami mengerjakan tawaf dan saie itu sama sahaja.
Moral of the story, jangan sombong. Kalau Allah tak izikan, kita tak akan bertemu.
Kisah 4:
Kisah di Masjid Nabawi. Tengahari tu saya sakit perut. Saya minta roommate temankan dan patah balik ke bilik hotel sebab lagi mudah rasanyanya urusan saya di situ. Bila kembali semula ke masjid, kami tidak dibenarkan masuk kerana jemaah telah penuh.
Dengan keterpaksaan kami pun bentanglah sejadah di dataran putih di luar masjid tu. Masa tu takde lagi payung besar macam sekarang. Dah la zuhur, matahari di atas kepala. Tiba-tiba kawan tanya, apa ayat yang Nabi Ibrahim baca masa dia kena bakar dengan Raja Namrud tu?
Sedang sibuk mengingatkan ayat yang dimaksudkan, solat pun bermula. Tiba2 awan meliputi dan matahari pun tersipu malu.
Sungguh, sepanjang solat itu kami tidak terkena pun sinaran mentari. Allahu…. Besar sungguh nikmatMu ya Allah. Ayat 69 surah Anbia belum pun dapat tapi nikmatMu telah mendahului.
Kisah 5:
Masih di Masjid Nabawi: Biasanya kalau hari Jumaat, kaum wanita pun akan pergi solat Jumaat juga. Pagi tu kami bersiap awal sebab risau orang ramai dan tak dapat tempat.
Kawan saya pesan, kali ni kalau ada wanita Turki yang nak menyelit duduk di antara kita, kami sepakat tidak akan membenarkannya.
Alasan: kami jadi tersepit disebabkan wanita Turki ni selalunya saiz badannya memang kus semangat (maafnya… Cuma nak gambarkan bila dia menyelit kat barisan tu, memang tak dapat duduk dengan betul la lepas tu).
Esoknya, saya terlewat lagi disebabkan nak ke tandas. Saya biarkan rakan sebilik pergi dahulu. Bila saya masuk ke masjid, tiada ruang langsung untuk saya duduk. Kesana ke mari saya mencari tempat namun semuanya kelihatan penuh. Saya panik. Peluh sudah menitik.
Ya Tuhan, inikah balasan untukku yang enggan membenarkan wanita Turki semalam untuk menyelit duduk di sebelah saya. Saya beristifar memohon keampunan. Ya Allah kenapa jahatnya saya semalam…. Airmata saya mengalir tanda penyesalan.
Tiba2 tangan saya ditarik oleh seseorang, dik solat sini: wanita separuh abad itu senyum ke arah saya. Masya Allah….
Kisah 6:
Umrah 2013: bersama anak-anak selepas 10 tahun yang saya janjikan untuk membawa mereka semua menziarahi Baitullah. Satu kenangan terindah dalam hidup keluarga kami. Si kecil baru berusia 10 tahun,dialah anak yang saya kandung tanpa sedar semasa mengerjakan haji dulu.
Begitu teruja mereka 4 beradik berada di tanah suci dalam usia yang sangat muda. Kali ni kami di Madinah dulu. Suatu hari semasa di masjid Nabawi, kami terlupa membawa beg kasut.
Anak sulong saya menawarkan diri untuk kembali ke bilik hotel bagi mengambil keperluan. Dek kesuntukan masa, saya menghalang.
Saya cadangkan, semua orang memisahkan kiri dan kanan semasa menyimpan kasut di rak. Saya cakap kat anak2: kita tawakal sahaja. Kalau ada rezeki, kasut kita tak kan hilang. Selesai solat, kami tidak menemui kasut yang telah diletakkan di rak kasut.
Pelik sungguh kerana jangankan sepasang tapi sebelah kasut pun tak ditemui. Anak ketiga saya mencadangkan kami memeriksa plastik kasut yang penuh di atas rak.
Tiba-tiba anak saya menjerit kerana semua kasut kami berada dalam satu plastik yang sama. Allahuakbar… hanya dia yang mengetahui.
Kisah 7:
Tiba masa untuk bergerak ke Mekah Al Mukaramah. Jam 10.00 pagi bas meluncur di lebuhraya yang sepanjang perjalanan dihiasi padang pasir yang tandus. Perjalanan berjalan lancar dan kami dijangka tiba sekitar waktu Isyak. Tiba2 bas ke kiri dan ke kanan.
Bas dihentikan dan didapati tayar telah pancit. Kebetulan ada masjid berhampiran maka kami pun terus berehat sambal menunggu tayar bas diganti. Perjalanan diteruskan lagi. Sekali lagi tayar pancit.
Kali ini, waktu dah malam dan berada di tengah padang pasir. Tiada lagi tempat untuk berteduh seperti pada kejadian pertama.
Maka termenunglah kami menunggu bantuan tiba kerana tiada lagi tayar spare untuk diganti pada tayar yang pancit tadi. Perut sudah berbunyi. Nasiblah ada bekalan roti yang dibawa bersama.
Setelah bantuan tiba, perjalanan diteruskan. Dari jauh, Menara jam tinggi (Clock Tower) di hadapan Masjidilharam telah jelas kelihatan. Sekali lagi tayar pancit…. Masya Allah.
Mutawif yang memimpin kumpulan kami beristifar dan meminta semua Jemaah bermuhasabah diri. Beristifar memohon keampunan Allah. Dalam hati saya merasakan “something wrong somewhere”.
Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami. Kami hanya tiba di hotel penginapan jam 12.00 tengah malam. Perjalanan melebihi 14 jam sangat meletihkan.
Selesai mengerjakan tawaf dan saie maka berkumandanglah azan subuh. Kami mengambil keputusan terus menunggu di Masjidilharam sehingga selesai solat subuh. Hanya Allah sahaja yang mengetahui, betapa kami keletihan dek perjalanan yang lama.
Kisah 8:
Dis 2019, kali ke-3 menjadi tetamunya, kami hanya pergi berdua. Anak-anak ada yang sudah di IPTA dan yang masih sekolah ditemani ibu saudara mereka. Walaupun gembira dapat berdua-duaan, jauh di sudut hati terasa kesedihan terbayang anak-anak yang tidak dapat bersama.
Di Mekah, saya teringin sangat nak solat di Hijir Ismail. Melihat lautan manusia, suami enggan meneruskan hajat saya namun dia memberi keizinan jika saya ingin meneruskan niat dihati.
Saya bergerak bersendirian, menyusuri jemaah yang berpusu-pusu. Takbir, tahmid dan tasbih tidak putus saya lontarkan. Niatku Cuma 1, ya Allah: sampaikan hajatku. Melepasi Maqam Ibrahim, saya seakan ditolak oleh orang ramai.
Allahuakbar, tersepit saya di situ. Saya terus mendiamkan diri sambil menjaga aurat dan juga wuduk. Walaupun semasa di tanah suci, bersentuhan antara lelaki dan perempuan tidak dikira terbatal wuduk kerana diharuskan mengikut mazhab Hanafi, seboleh mungkin saya tetap menjaga diri.
Saya terus ditolak dari arah belakang tanpa dapat dikawal. Apa lah sangat kudrat seorang wanita seperti saya. Saya cuba berpaut di lengkungan Hijir Ismail dan tidak semena-mena, bila berada betul-betul di tempat masuk, saya ditolak ke dalam dan betul2 berada di bawah pancuran emas.
Kak, cepatlah solat. Dah lapang tu. Seseorang menghentikan lamunan saya. Selepas solat sunat saya panjatkan doa untuk diri dan keluarga serta beberapa pesanan istimewa daripada anak buah yang memohon dipercepatkan jodoh.
Saya tersenyum sepanjang perjalanan balik ke hotel kerana niat saya telah diperkenankan.
Kisah 9:
Airport Jeddah: Setelah check in, saya berfikir alangkah baiknya kalau boleh stay lama kat sini. Flight yang sepatutnya berlepas 2.00 ptg tidak jua kelihatan. Kami terus menanti hingga Isyak. Pihak penerbangan juga tidak memaklumkan sebarang berita. Hanya delay katanya.
Jemaah Indonesia mula mencadangkan untuk membuat kacau bagi menggesa pihak airport berbuat sesuatu. Dahlah menunggu lama, makanan pulak lewat diberi. 9.00 malam, kami di arahkan ke hotel berhampiran kerana penerbangan kami ditunda ke esok harinya. Ah sudah….
Kan dah makbul doa saya tadi. Adoi… ketuk kepala sendiri sebab pandai-[andai berdoa nak tinggal lebih lama.
Tiba di KLIA, bertalu-talu msg masuk. Antaranya dari bos, yang minta saya tumb print jugak hari ni sebab cuti saya yang terlebih sehari tidak diluluskan.
Mana mungkin saya sempat ke pejabat, sedangkan saya cuma naik bas ekspress untuk balik ke rumah yang ambil masa 3 jam dari KLIA. Tiada saudara mara yang boleh mengambil kami di airport kerana tiada cuti di awal tahun.
Maka berhuhu lah saya mengenangkan diri akan dimarah bos bila sampai di pejabat esok.
Kesimpulan:
Itulah kisah saya di 2 kota tanah suci yang banyak memberi pengajaran dalam hidup saya dan keluarga. Anak buah yang saya doakan di Hijir Ismail dulu, insyaAllah akan bernikah minggu depan.
Alhamdulillah….dan tahniah. Bos yang saya fikir akan marah, sebaliknya minta maaf sebab keluarkan arahan yang tak masuk akal. Paling best suami saya yang dulu kedekut sangat nak bagi duit dengan alasan gaji saya 2x ganda dia, kini dah berubah.
Dah pandai belikan saya hadiah time birthday. Dah pandai transfer duit untuk beli keperluan rumah. Itulah antara doa saya kat bawah pancuran emas tu.
Walaupun selama ni saya terkecik hati sebab berseorangan memikul beban kewangan namun akhirnya dia memahami naluri seorang isteri.
Doakan perkahwinan kami yang dah 25 tahun ini berkekalan hingga Jannah. Aamiin.
Mohon ampun dan maaf atas salah dan silap. Terima kasih admin. Moga Allah murahkan rezeki admin dan semua pembaca. Akhirnya mog akita semua dijemput ke tanah suci.
– Pn. Z (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit