Kisah Hati

Coretanku ini tidak memberi pulangan, hanya ku luahkan untuk meringankan hati yang penuh dengan dilema.

Mungkin sesetengah dari kita berfikir adalah sangat mudah untuk menangani perubahan dalam diri kita. Banyakkan berdoa, istiqamah dan lawan semula. Tapi hakikatnya jalur hidup kita bukan selalunya sama. Pada saat kita sedang mencari jawaban pada perubahan, itulah saat yang paling sukar. Ditekan lagi dipijak-pijak seolah tiada harapan. Emosi bercampur baur, marah dan tangisan menjadi peneman dan pada saat itulah rasa putusnya harapan pada Tuhan, termenung mencari peluang untuk hentikan segala tekanan dengan cara paling mudah.

Aku sangat bersyukur dengan bantuan sokongan moral dari keluarga, sahabat-sahabat dan kaunselor. Mesej dukungan yang sangat kuat sewaktu aku jatuh membuat aku bertambah yakin bahawa aku masih diperlukan dan masih disayangi. Aku cuma perlukan input-input positif tanpa sebarang perbalahan dan aku cuma mahu betul. Tiada salah dalam diri aku pada waktu itu, apa yang aku perlu dengar, tindakan aku semuanya betul. Alhamdulillah, mereka sangat memahami.

“All is well, all is good”. Itu adalah ayat yang aku ulang hampir setiap masa dibenak fikiran. Aku tanam hingga jadi zikir. Aku cuba memastikan semuanya baik dan aku mampu mengawal kemarahan dan kekecewaanku sepanjang hari. Sebutlah, apa saja yang tidak aku buat. Menonton wayang sendirian, mengaji, bertukar-tukar sahabat setiap kali makan malam, gym, memandu tanpa arah tujuan, kesemuanya aku lakukan untuk memastikan aku tiada masa terluang. Aku tidak boleh duduk tanpa tujuan, fikiranku akan lanjut ke perkara-perkara bodoh dan melawan fitrah manusia.

Ubat dan kata-kata semangat jadi penguat. Apalah nasib setelah berpuluh tahun hidup, aku telah menjadi sebegini. Tercalit rasa hina dek tidak tahu untuk selesaikan masalah yang mudah.

Tapi bukan untuk satu jangka masa yang lama, pada saat itu pudar sudah segala bantuan. Back to square. Apa lagi yang aku mahu? Apa lagi yang tidak cukup?  Saat ini jatuh lagi. Pada waktu itu, segala hasutan bermain di benak fikiran. Perlu atau tidak untuk berkongsi masalah? Adakah ada lagi yang sudi membantu atau akan menambah lagi jurang antara hubungan sedia ada? Bukan semua hendak mendengar, bukan semua suka memberi bantuan, kalau adapun sekali, belum tentu ada tuk kedua atau  ketiga kalinya. Bantuan yang terbaik adalah dari diri sendiri, hanya dengan menyimpan rahsia di sebalik muka ceria. “Segalanya okay, aku okay”.

Pada saat ini, aku masih lagi merasa murung. Dalam sesaat aku gelak ketawa, aku mampu berubah menjadi sayu. Ada saja benda yang tidak kena. Malah, pada saat ini juga aku merasa dipinggirkan. Aku merasakan ada sahaja mata memerhati. Bila jatuh, usahkan dipapah, malah dijadi bahan usikan.

Hakikatnya pada masa ini, menjadi buntu adalah lebih baik dari berfikir sepanjang masa. Itulah yang aku inginkan, menjadi buntu memikirkan masalah. Kerana setiap kali kerap berfikir, aku akan menjadi lebih lemah dan tidak mampu membuat keputusan yang lebih baik. Tidak mampu untuk aku luahkan apa masalah kerana bagi aku setiap perkara menjadi pemusnah. Setiap gerak langkah membuka satu lagi peluang mencari masalah. Aku lemah dan tidak mampu mencapai satu perkara yang aku inginkan; kehidupan yang normal.

Setelah berbulan lamanya, kini aku berada dalam kehidupan lain. Tidak seperti yang aku inginkan, tapi ada keselesaan. Banyak lagi bertenang dari merumitkan keadaan. Jauh dari segalanya, tapi aku ingat akar kehidupanku, dari mana aku datang, dan kemana aku akan pulang.

Sekiranya luahan ku ini dipaparkan, izinkanku memberi secebis nasihat buat mereka yang bergelut dengan masalah pada diri sendiri. Aku tahu bukan semua akan memahami, tapi siapa yang mengendong, dia akan merasai ayat ayatku ini.

Sahabat…

Akan ada masa ombak kehidupan kita ini tinggi memecah pantai, ada masanya tenang tidak bergelora. Biarlah ia begitu, kerana dengan begitu, kita akan lebih mudah berdepan masalah. Jangan rebah, kalau tidak mampu melangkah, mengoraklah dengan merangkak. Biarlah perlahan, tapi sampai jua ke tujuanmu.

Jika sayang, kau lepaskanlah. Jika beban, kau ringankanlah. Jika perit, kau sembuhkanlah. Jangan biar badan menanggung derita jika hati yang membuat kata-kata. Setiap gerak-geri kita, kita yang memandunya. Bukan bermaksud jalan yang lurus itu benar, bukan yang bengkok itu selalunya salah. Tapi apa saja jalan yang kita lalui itu, kalau ada lembah, julanglah kakimu tinggi. Jika bergunung tinggi, gunalah juga tanganmu untuk mendaki tinggi.

Buatlah apa yang kamu suka dan belajarlah untuk mengawal sendiri keadaan. Jangan terleka, jangan asyik dibuai keriangan. Fikirlah sejenak jika terjatuh dan renunglah dimana kesalahanmu. Kemudian jalan kembali. Jangan ulangi kesilapan.

Jauhilah mereka yang menghalang perjalananmu. Letakkan dirimu tinggi dari darjat mereka. Jangan riak, cukup sekadar memberi jarak. Berilah peluang dirimu untuk mengorak langkah jauh ke hadapan. Aku tahu setiap orang punyai garis hidup yang berbeza, tapi aku yakin tiada lain dapat membantu diri kita selain diri kita sendiri.

Ombak itu akan datang lagi. Entahkan tinggi, entahkan tidak. Tapi berpaksilah pada kepercayaanmu yang kamu mampu lalui walau apapun yang berlaku dihadapan. Lenakanlah dirimu dalam keadaan yang membuatmu tenang. Senyumlah sahabat, senyumlah pada dirimu sendiri. Sayangilah dan kuatkanlah jiwamu sahabat, kerna tanpa itu, dirimu akan kembali lemas didalam ombak yang besar.

Usah harapkan tangan lain untuk menggapaimu keatas, tapi lonjakkanlah kakimu untuk melompat tinggi.

Akhir kalam, ingatlah Tuhanmu, ibu dan bapamu. Kasih dan sayang mereka membelah segala halangan dihadapanmu. Kala kau menangis, ingatlah mereka. Kadangkala Tuhan memberi waktu, memberi ujian untuk belajar. Bukan untuk menjatuhkanmu, tapi membuat kamu lebih kuat dari umatNya yang lain. Kadangkala ibu dan bapamu tidak bertanya, tapi ketahuilah mereka selalu mendoakanmu. Percayalah, jalan kita, kita yang memandu, kita yang melangkah, kitalah yang tahu kemana kita tuju. Tapi Tuhanmulah yang memberi perlindungan, doa ibu dan bapamu yang memberi suluhan.

Ya Allah, kami jauh dariMu, Ya Allah. Kami tersasar dan lemah jiwa batinnya. Kami berlindung darimu Ya Allah, kami takut azabmu, Ya Allah. Kami tahu bukan ini jalan yang sepatutnya kami pilih, tapi berilah perlindungan, berikanlah kesembuhan hati, buahkanlah minda yang sihat untuk kami mengorak.

Amin yrb alamin.

– Ejaz

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *