Assamualaikum semua. Kisah yang ingin aku ceritakan ini hanyalah secebis dari kisah hidupku.
Nama aku Alia, baru mendirikan rumah tangga tahun lalu. Usiaku tahun ini menginjak ke awal 30 an.
Sebelum berumahtangga dulu, aku ternanti-nanti kehadiran seorang jodoh. Dari usia 19 aku dah memikirkan bagaimana jodoh aku nanti, bagi aku perkahwinan adalah kebahagiaan.
Bila lambat bertemu jodoh, perasaan risau gelisah semua ada, aku terpikir bagaimana kehidupanku bila dah tua, tanpa suami dan anak-anak.
Aku mesti akan kesunyian.
Aku bertemu ramai lelaki untuk berkenalan, tetapi banyak dikecewakan. Dan kekecewaan aku yang paling besar adalah pada tahun 2020, aku berkenalan dengan Mr R, sejak tahun 2018, kami putus selepas setahun.
2019 kami terputus hubungan, tahun 2020 die datang kembali tetapi sekejap sahaja.
Kebetulan aku dapat kerja baru hampir dengan tempat kerjanya, kami kerap berjumpa selepas kerja, dan aku memikirkan dia dah terima aku semula. Malangnya, cuma persinggahan.
Aku bertepuk sebelah tangan. Last kami berjumpa, dia banyak mengomel, marah dan tarik muka pada aku, seperti terpaksa keluar dengan aku,bila aku tanya dia kenapa, dia tak memberi apa-apa jawapan.
Ketika keluar naik keretaku, dia diam bila aku bercakap tiada respon, dia drive keretaku, apabila sampai ke rumahnya dia masih diam, keluar dari kereta dan tinggalkan aku sendirian tanpa kata. Ketika itu hujan sangat lebat.
Aku panggil dia, tiada sahutan, call mesej dia tak jawab. Aku tak tahu apa salahku,kami berpisah sekali lagi dan dia tak menghubungi aku langsung. Aku drive 20 minit balik ke rumah dalam keadaan yang sangat kecewa dan menangis semahunya.
Aku tinggal di rumah sewa, setiap malam aku menangis, 2 minggu macam tu, Mr R ada berjanji manis untuk berkahwin, tapi dia pergi macam tu tanpa penjelasan.
Aku tanya apa salah aku… Prestasi tempat kerja semakin merosot, sehingga aku ada masalah dengan staf lain, dan aku cerita pada manager ku, aku ada masalah peribadi dan nak berhenti.
Aku tak boleh lupakan kisah kami selagi aku berada di situ, setiap malam lepas mengaji, aku akan nangis semahunya, dengar lagu sedih, aku menangis, kena marah aku menangis.
Balik kampung, aku tak mahu kerja berjauhan dengan keluarga dan tak nak kenal lelaki lagi, aku akan tapis untuk yang lebih serius. Aku jadi lebih garang dengan lelaki.
Aku serik dipermain, dihina dan ditinggalkan lelaki, paling aku bengang lelaki yang suka menghina pekerjaan orang, sekiranya pekerjaan tak setaraf pendidikan.
Pendidikan kita akan dipersoal. Sangat toksik, baru aku sedar lelaki itu seorang toksik, suka komplen, ada sahaja tak kena pada pandangan dia, bila orang lain buat sesuatu, tapi apa yang dia lakukan semua betul dan tak salah.
Ditakdirkan Tuhan, aku dipertemukan dengan Encik suami, pada hujung 2021. Dia menghubungi aku, melalui website cari jodoh. Aku terkejut dan tak lah teruja sangat, dia tanya aku single atau dah berpunya, aku cakap lah single.
Dijadikan cerita pertama kali aku mendengar suara Encik Suami, pada fikiran aku usianya sebaya dengan ku, ketika itu akhir 20 an. Tetapi sekali lagi aku terkejut dia whatsapp aku, dan gambar profile pic dia berkopiah, macam pak haji.
Ketika itu, aku cuma fikirkan cuba dulu kenal kalau dia serius nak kahwin. Betul dia memang nak kenal sekejap dan terus kahwin.
Aku macam biasa, sejak trauma aku tak letak harapan pada dia. Aku biar perkenalan macam biasa. Dia baru 4 bulan kematian isteri, anak nya dah 2 masih sekolah.
Mulanya aku keberatan. Aku cuba berkawan, rupa paras bukan jadi ukuran ketika itu, tapi hati. Aku lihat dia boleh sabar dengan aku dan boleh menjadi pendengar yang baik.
Aku tak terburu untuk berkahwin dengan nya. Selepas 8 bulan, baru kami kahwin, dia mendesak aku, untuk kahwin cepat, tapi aku beritahu dia, aku perlukan masa, dia pun perlukan masa selepas arwah isteri dia meninggal,
Aku ingin menjaga ayahku dulu, ayah pembedahan, selepas ayah dah sihat baru kami kahwin. Ketika itu memang aku uruskan ayah dan tak bekerja.
Aku berkahwin dengan Encik Suami tidak lah kami berdating dulu, jumpa hanya sekali untuk jumpa mak ayah ku. Selepas tu kami berhubung whatsapp dan vc untuk urusan perkahwinan kami, aku meletakkan harapan hanya pada Allah.
Sekali Encik Suami datang ke kampung ku, dan sekali keluargaku datang ke kampungnya untuk berkenalan sebelum kami berkahwin.
Kalau dah jodoh, keserasian itu, sekejap sahaja tercipta. Kami tiada dugaan ketika tunang, tetapi sebelum tunang, hampir-hampir tak jadi kerana ayah kenalkan aku dengan orang lain,
Aku gaduh dengan Encik Suami, dan mak encik suami suruh stop hubungan kami, seorang adik ipar aku sekarang pun ada yang tak setuju kami kahwin.
Tapi kerana dah jodoh, dia pujuk ibunya, kami bertunang dan akhirnya kahwin.
Dan dugaan perkahwinan memang bermula sejak hari pertama perkahwinan kami.
Allah beri ujian dalam perkahwinan, sejak aku jadi isteri, aku okay sahaja dengan suami, cuma ujiannya anak-anak tiriku, pasti ada konflik, perebutan nak balik kampung mana, kampung suami, kampung arwah ibunya dan kampung aku.
Kalau suami nak bawa kami berjalan, anak tak nak ikut, terpaksalah cuti sekolah kami duduk sahaja dirumah.
Tiba-tiba anak dibawa keluar oleh pakcik makcik belah ibu. Aku tersepit antara kehendak diri dengan nak mengalah dengan anak dan suami, kadang-kadang kami gaduh.
Perang mulut, aku cakap tak adil untuk aku sebab sejak kahwin tak pernah pergi honeymoon sebab masa tak kena dan kena bawa anak bersama.
Dah lama aku pikirkan ada yang tidak kena, rupanya keluarga Arwah isteri encik Suami tak setuju dia berkahwin lain, dan anak-anak dihasut. Aku dimaklumkan suami semua pihak keluarga setuju kami berkahwin.
Kerap jugak kami bergaduh. Aku rasa nak lari tinggalkan encik suami kerana banyak perkara dirahsia daripada aku.
Kemuncak pergaduhan kami, aku marah encik suami, dan encik suami tengking aku,pertama kali aku kena tengking sejak kahwin, aku rasa tertekan naik ke bilik atas kunci pintu dan menangis teresak, seperti anak kecik.
Menangis meraung, dan memeluk tubuhku, 15 minit, encik suami ketuk bilik,bertalu2 aku buka, dia minta maaf. Aku masih nangis, sejak hari tu aku rasa lain, hati aku hancur.
Sejak dari tu ada bergaduh juga, tapi tak serius. Tapi ada juga sekali aku nak bercakap tentang masalah, suami aku suh aku diam, shuuu, aku diam. Seolah-olah aku tak boleh bersuara.
Sekarang aku dah tak beria macam mula-mula kahwin, kemas rumah beria-ria, nak masak sedap-sedap, buat kuih,ajar anak aku ulangkaji, ajar mengaji.
Sebab aku buat macam- macam anak- anak bandingkan aku dengan arwah ibu, suami pun.
Aku buat apa yang aku mampu dan sekadarnya, supaya aku tak kecewa bila tak dihargai. Aku pun dah malas nak ambil berat tentang semua perkara, nanti aku stress dan gaduh dengan encik suami.
Aku tengah jaga emosi dan tak nak try so hard untuk puaskan hati semua orang lagi, aku dah luahkan pada Allah supaya dia jagakan orang yang aku sayang, apa pun jadi selepas ini aku redha dan life must go on.
Dulu aku orang yang pentingkan kesempurnaan, sekiranya satu hari tu ada perkara yang tak jadi ikut yang dirancang, aku kecewa, sedih berhari-hari.
Sekarang aku cepat pujuk diri sendiri. Sebab harapan pada manusia sia-sia, harap hanya pada Allah, yang menjaga kita bukan anak-anak, suami, ibu ayah. Tapi Allah, walau di mana kita dicampak, diuji, apa situasi, Allah yang bersama dengan kita.
Sekian, terima kasih..
– Alia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit