Pertama sekali, aku bukanlah penulis, tetapi hanyalah sekadar remaja yang ingin meluahkan perasaan. Maaf jika terdapat kesalahan tatabahasa.
15 Feb 22, Selasa. (2248)
Ini adalah cerita aku, cerita yang aku pendam sehingga sekarang. Ini adalah kisah permainan hati aku. Aku, seperti kebanyakan perempuan lain di luar sana, pernah mengalami dan manisnya hidup dalam percintaan. Dan aku juga pernah merasai peritnya dicurang.
Pada mulanya, aku berjanji pada diri sendiri yang aku takkan ber’couple’ sehingga aku tamat SPM. Tetapi, semuanya berubah ketika aku di tingkatan 4. Ya, itulah cinta pertama aku, ataupun cinta pandang pertama hidup aku. Iqmal adalah lelaki pertama yang aku inginkan.
Kami bertemu di satu pertandingan di mana kami ditakdirkan dijadikan pasangan dalam acara tersebut untuk bertanding pada peringkat negeri.
Dia atas aku setahun, dan dia juga berasal dari sekolah berasrama penuh yang jauh beza dari aku yang hanya bersekolah di sekolah harian.
Jika ditanya bagaimana kami kenal? Sejujurnya, aku yang menyapa dia dahulu. Panjang ceritanya jika mahu diceritakan, jadi di sini, aku hanya ringkaskan sahaja.
Dalam pertandingan tersebut, dia diletakkan bersama dengan aku untuk dijadikan pasangan dan aku diamanahkan untuk mengajar dia mengenai acara tersebut dan mengajar kemahiran yang diperlukan dari asas.
Sejujurnya, aku terpikat dengan cara dia, cara dia berkomunikasi dan personaliti dia yang pemalu.
Sangat kontra dengan aku yang jenis bersosial. Dia juga menjaga batas pergaulan dia dengan aku dan menghormati aku ketika aku mengajar dia walaupun dia tua dari aku. Bagaimana dengan rupa dia?
Iqmal mempunyai kacukan Melayu dan India, jadi dia memiliki kulit yang agak gelap dan sepasang mata hazel yang bulat dan cantik.
Walaupun Iqmal berkaca mata, kecantikan matanya dapat dilihat dengan jelas oleh aku. Ya, dia seorang yang kacak.
Seperti yang aku katakan, dia dan aku tidak sama sekolah, oleh itu, kami hanya boleh berjumpa di tempat latihan sahaja.
Setiap hari di sekolah, aku ternanti-nanti dan lebih bersemangat dari biasa untuk datang ke latihan. Di sekolah, aku sering melihat jam dan tidak sabar untuk berjumpa dengannya.
Hari demi hari, kami semakin rapat dan selesa malah ada ketika kami bergurau senda, makan bersama dan menghabiskan waktu bersama jika terdapat masa terluang. Kami juga menukar nombor. Tetapi dia dan aku tetap menjaga batas dan ‘contact’ bila perlu sahaja.
Pelatih kami juga sedar akan keakraban kami kerana aku adalah orang pertama yang dia bercakap dalam kalangan kontinjen kami. Aku juga tidak kisah mendengar usikan nakal pelatih dan rakan kontinjen ‘ship’ kami berdua.
Setibanya hari pertandingan, kami dari Senawang ke tempat pertandingan, aku tak ingat di mana, tapi dalam Negeri Sembilan juga lah.
Kira-kira ambil masa 2 jam sampai dari Senawang. Kami ke sana dengan menaiki bas.
Disebabkan kontinjen kami mempunyai 11 perempuan dan 11 lelaki, jadi akan ada lelaki dan perempuan perlu duduk berdua di dalam bas. Aku duduk di sebelah dia sepanjang perjalanan dan kami berbual banyak perkara.
Dia juga selesa untuk bercerita mengenai keluarganya, rakan-rakannya dan kisah hidupnya ketika kecil. 2 jam perjalanan bagaikan 20 minit pada aku. Kalaulah aku boleh meluangkan masa bersama dia lagi.
Sepanjang pertandingan, aku dan dia jarang berjumpa kerana tapak perkhemahan lelaki dan perempuan agak jauh dan kami hanya berjumpa apabila jurulatih suruh berkumpul sahaja.
Itupun kami tidak dapat berbual kerana fokus memahirkan kemahiran yang diperlukan dalam acara tersebut.
Tetapi yang aku tidak boleh lupa apabila dia bertanyakan khabar aku dan keadaan aku di sini. Aku terpana dan aku tak menyangkan dia akan bertanya soalan begitu. Aku hanya senyum dan balas pendek sahaja.
Jauh di sudut hati aku, aku sangat ‘insecure’ dengan diri aku. Sepanjang aku berlatih, aku terdedah kepada cahaya matahari dan debu. Muka aku ‘sunburn’ teruk dan jerawat penuh di muka aku.
Tambahan pula, muka aku sangat sensitif dan aku mempunyai alahan pada makanan laut dan benda kotor seperti debu dan lumpur.
Aku terfikir yang tidak mungkin dia akan mempunyai perasaan yang sama seperti aku. Dia mempunyai rupa yang kacak, ramai lagi perempuan yang lebih cantik dari aku, lebih-lebih lagi dengan keadaan kulit aku sekarang.
Aku juga tidak mahu berharap dengan benda yang tidak pasti, aku sering ingat akan pesanan ibuku bahawa cinta hanya akan membawa kepada perit dan penyesalan. Tetapi aku dibutai dengan nafsu, aku tetap mahukan dia.
Selepas 3 hari, perkhemahan telah tamat dan kontinjen kami bersiap sedia untuk pulang. Aku duduk di sebelah dia di dalam bas. Aku agak penat dan aku hanya membalas pendek ketika kami berbual. Dia bertanyakan akan akaun ‘instagram’ aku.
Aku agak gembira kerana aku ingin bertanyakan akaun ‘ig’ dia, tapi dia dah tanya dahulu. Setibanya kami di pusat latihan, aku dan Iqmal berjanji tidak akan lupa masing-masing dan terus berhubung. Aku menyuruh dia berjanji kepada aku supaya dia menyertai peringkat kebangsaan.
Dia hanya mengangguk dan menyuruh aku berjanji akan perkara yang sama. Aku dijemput oleh ayahku dan aku agak sedih kerana terpaksa berpisah dengannya. Aku hanya melihat dia melambai pada aku dari dalam kereta sehingga dia lenyap di pandangan ku.
Setibanya aku di rumah, aku terus melihat akaun ‘instagram’ nya. Alangkah terkejutnya aku melihat ‘profile’ akaunnya yang bergambarkan perempuan.
Hati aku remuk. Tanpa aku sedar, air mata mengalir deras di pipiku. Fikiran aku bercelaru. Lidah aku kelu. Aku terus mengambil telefon dan menghubungi sahabat aku.
Aku tidak berkata apa-apa dan hanya menangis sepanjang talian. Hanya satu ungkapan yang aku ungkapkan, “sampai hati kau Iqmal”. Lama jugalah aku menangis bertemankan sahabatku yang tidak putus asa memujukku.
Tetapi ketika itu, aku masih dibutai dengan cinta ataupun nafsu, aku tetap berfikiran positif dan mahu tahu perkara yang sebenar dari mulut Iqmal sendiri.
Keesokan harinya, aku ‘wassap’ Iqmal dan bertanyakan khabar. Kami tidak berbual kosong kerana aku bertanyakan mengenai keputusannya untuk menyertai peringkat kebangsaan. Pada akhir perbualan, aku gagahkan diriku untuk bertanya akan persoalan yang bermain di mindaku dari semalam.
Dan seperti yang aku sangkakan, Iqmal sudah berpunya. Aku kecewa, sedih, dan marah. Aku marah akan diri aku yang mudah jatuh cinta. Aku menganggap diriku murah dan seorang perampas kerana menyukai sesorang yang sudah memiliki hubungan.
Walaubagaimanapun, aku tidak mahu memutuskan persahabatan kami disebabkan perasaan aku sahaja,
jadi aku masih berhubungan dengan dia, dan keakraban kami membuatkan dia terbuka untuk menceritakan masalah cinta dia. Aku baru tahu yang Iqmal sebenarnya mempunyai masalah dengan pasangannya.
Nak diringkaskan, masalah keadilan. Iqmal berasa tidak adil kerana pasangannya mempunyai kawan rapat lelaki, tetapi dia tidak dibenarkan mempunyai perkara yang sama.
Aku tidak senang hati. Aku terus berkata kepadanya agar menceritakan kepada pasangannya bahawa dia sering berhubungan dengan aku.
Aku juga seorang perempuan, jika aku di tempat pasangannya, aku juga akan sedih jika mendapat tahu pasangan aku rapat dengan perempuan lain dalam rahsia. Pada mulanya, Iqmal agak keberatan, tetapi selepas dipaksa oleh aku, dia akhirnya bersetuju juga.
Sejujurnya aku tidak tahu jika Iqmal betul-betul beritahu atau tidak. Jika ditanya, dia berkata pasangannya tahu dan tidak kisah. Aku hairan juga.
Tapi, kami tetap meneruskan hubungan kami sehingga kami menyertai peringkat kebangsaan. Sepanjang hubungan kami, tipulah aku tidak rasa bersalah dan merasakan diriku masih berharap pada dia.
Sehinggalah pada satu masa, selepas dua bulan pertandingan di peringkat kebangsaan telah berakhir, hubungan kami telah berakhir apabila aku bertanyakan satu soalan yang menjadi jawapan kepada persoalan aku.
Pada waktu malam, kami berhubung seperti biasa dan aku bertanya, “Weh, kalau aku cakap aku suka kau? Kau terima tak?”.
HAHAHAHA, bila difikirkan kembali, kenapalah aku tanya macam tu. Dan ‘yes’, aku memang seorang yang ‘straight forward’. Lama jugalah Iqmal taip, dalam dua puluh minit macam tu.
Iqmal membalas “Aku bukan apa, but if aku terima kau, how about my partner? She doesn’t deserve this.” Aku hanya ‘seen’ chat Iqmal dan itulah kali terakhir kami ‘contact each other’.
Aku hanya tersenyum dan dalam hati aku, aku membalas, “Terima kasih kerana jujur dan pernah membahagiakan hari-hari aku sebelum ni.” Walaupun aku sebenarnya sedih dan kecewa, aku tidak pernah menyalahi Iqmal kerana ini semua salah aku kerana berharap padanya.
Aku merasakan diri aku betapa bodohnya kau mudah terjerat dalam hawa nafsu.
2022 menandakan sudah 4 tahun sejak kisah itu berlaku. Tetapi, aku hanyalah manusia biasa, walau macam mana pun cara aku buat untuk melupakan semua ni, aku tetap tak boleh tipu diri aku sendiri.
Dear Iqmal,
I still like you…
– Lily Emir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit