Assalamualaikum kepada semua yang membaca nukilan ini. Sebelum ini saya pernah jugalah menulis di ruangan ini, akan tetapi bukan rezeki saya untuk disiarkan kepada umum. Tapi tidak mengapa, saya tidak berkecil hati (senyum).
Saya Izz, seorang wanita. Di sini saya ingin kongsikan serba sedikit tentang kehidupan saya sepanjang saya bernafas di bumi Allah. Saya dilahirkan dari keluarga yang dulunya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Saya anak bongsu dari kesemua adik-beradik saya yang mana sekarang ini saya seoranglah lagi yang tidak berkahwin. Tapi bukan isu perkahwinan yang saya ingin kongsikan kepada anda semua.
Alhamdulillah, walaupun kehidupan kami biasa-biasa sahaja tapi kami sangat bersyukur tiga dari kami dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang membanggakan dan selebihnya ada rezeki lain.
Walaupun abang dan kakak saya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, namun mereka ada kelebihan sendiri yang Allah anugerahkan.
Teringat zaman kanak-kanak dahulu, nak sesuatu mampu tengok jelah orang lain ada. Nak makan sedap pun tengok jelah orang lain.
Dulu rumah kami tak ada TV, nak tengok TV pergilah ke rumah saudara-mara yang punya rezeki lebih. Dicaci, dimaki tu dah terbiasa, yelah dunia kanak-kanak kan, manalah faham orang perli. Lainlah sekarang dah dewasa (hahaha).
Alhamdulillah, mak dan arwah ayah selalu pesan, nakkan sesuatu kena usaha sendiri. Susah macam mana pun jangan tunjuk pada orang, dan macam tu juga bila kita senang jangan pernah lupa siapa kita di masa lalu.
Dulu duit RM0.50 gaji hasil tolong petik cili pun dah kira banyak. Mak dan arwah ayah dulu kerja kampung je, bercucuk tanam.
Kadang mereka akan ke sungai mencari daun nipah untuk dijadikan bumbung rumah, atau kekadang tu ayah ke laut untuk menangkap ikan dan hasil tangkapan akan dijual di pasar pagi.
Mak pula kadang setiap hari Selasa dia akan berniaga sayur, tapi dulu-dulu pasar pagi kat tempat saya tak ada jual atas meja, jadi bawalah apa-apa alas untuk letak sayur-sayuran.
Nak makan sedap hari Selasa jelah sebab waktu tu mak akan beli kuih dan makanan untuk satu minggu. Tapi semua tu bergantung pada hasil pendapatan niaga tadi. Kalau jualan tak laku, mak akan tukar sesama mereka—tukar barang. Contohnya, mak bagi sayur, kawan tu bagi kuih.
Bila umur saya dah meningkat belasan tahun, mak dan ayah masih lagi melakukan aktiviti sama. Cumanya ayah dah kurang ke laut waktu ni.
Alhamdulillah, rezeki abang dan kakak saya jadi penyumbang kewangan kepada ibu bapa. Tapi tak adalah banyak mana sebab masing-masing dah ada keluarga dan kerja biasa sahaja. Tapi bersyukurnya abang dan kakak tidak pernah lupa untuk bagi duit pada mak dan ayah.
Waktu ni ekonomi masih tak okey sangat, lagilah sebab waktu ni saya dan kakak masih sekolah lagi. Untuk pengetahuan semua, masuk tingkatan 4 baru saya rasa baju sekolah baru, kasut baru. Kalau tak, sebelum-sebelum ni pakai jelah baju-baju kakak saya sebelumnya. Huhuhu.
Kenapa saya kata tingkatan 4 baru rasa semua tu sebab waktu ni saya dapat bantuan daripada Yayasan untuk anak-anak yang kurang berkemampuan. Sekolah saya jauh daripada rumah, jadi kenalah tinggal di asrama.
Di asrama, saya berniaga jual gula-gula, maggi dan lain-lain. Dan paling sedih bila mak datang melawat, mak sanggup jalan kaki dari pekan ke sekolah saya kadang semata-mata nak bagi duit belanja je. (Sebak bila ingat balik.)
Setiap kali mak balik, saya akan hantar melalui pandangan dari jauh, dan setiap kali tu jugalah bergelinang air mata. Sedih, kasihan, penat jauh-jauh semata-mata nak bagi duit RM10 untuk belanja dua minggu atau tiga minggu.
Saya ni bukanlah pelajar pintar, sebaliknya saya rasa saya mempunyai masalah pembelajaran atau erti kata lain lembab. Tapi syukur Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan pelajaran saya ke peringkat diploma.
Zaman yang paling sedih ialah ketika semester 3. Keluarga kami diuji dengan kehilangan ayah tercinta. Saya tak ada di sisi mak untuk bagi kata-kata semangat.
Betapa tabahnya mak waktu itu, melihat saat-saat nazak ayah kesorangan tanpa kami di sisi. (Nangis lagi.) Ayah tidak mempunyai sebarang penyakit, cuma dia mengadu sakit perut dan minta jiran untuk hantar ke hospital.
Mesti anda semua tertanya-tanya, mana anak-anak yang lain? Okey, waktu ni ada yang bekerja jauh dari negeri, dan saya dengan kakak di atas saya masih belajar di luar negeri kami.
Benda yang kita memang tak pernah sangka akan berlaku, pasti akan berlaku. Sejak tu, Abang Zul saya diamanahkan oleh adik-beradik lain untuk menjaga mak di kampung.
Namun kehidupan kami sentiasa jadi bahan cacian kepada saudara belah mak atau ayah sebab anak mak ramai tapi rumah pun tak boleh nak baiki. Kami bersabar dan bersatu padu demi menghadiahkan mak sebiji rumah.
Okey, isu rumah ni Alhamdulillah, saya dah bekerja dan setiap bulan saya akan berikan kepada mak walaupun sikit. Namun kita kena ingat, jangan kedekut pada mak ayah kita. Tak kira berapa pun yang awak nak bagi, dah mampu menggembirakan hati mereka.
Alhamdulillah, tahun 20++ dengan berkat kerjasama abang ipar dan adik-beradik kami, kami menyambut Hari Raya di rumah baru. Tapi waktu ni rumah baru 50% je siap.
Pun dengar mulut-mulut busuk bagi cadangan itu ini, hanya mampu senyum jelah. Yang keluarkan duit tu adik-beradik saya, bukan orang lain. Dan sekarang dalam proses menambah bahagian dapur.
Ketentuan Allah sangat-sangat indah. Kenapa saya kata ianya indah? Siapa sangka di usia ini saya dapat apa yang saya tidak pernah impikan.
Dulu saya hanya mampu cakap, kalau dah kerja saya nak belikan mak ubat resdung sebab waktu tu hidung mak keluar darah banyak sangat. Sekarang Alhamdulillah, lebih dari tu saya mampu bagi walaupun hanya sedikit, tapi saya tahu mak seronok sangat.
Walaupun kekadang dalam kehidupan seharian kita ni ada je dengar mulut-mulut jahat membawang sana sini, membandingkan rezeki kamu dan rezekinya, pengubat terbaik untuk masalah ini adalah sabar dan berdoa untuk diri dan keluarga serta mereka yang mengenali diri kita agar mereka semua dimurahkan rezeki.
Jalan hidup kita di muka bumi Allah ni sama je, cuma yang membezakan setakat mana ketabahan kamu untuk menerima ujian Allah ini.
Jangan pernah malu jika kamu dilahirkan di kampung serta dilahirkan dari kalangan orang miskin. Semua itu tak penting, masuk kubur bukan guna duit, akan tetapi amalan yang akan ikut mati bersama.
Okeylah awak semua, rasanya setakat ini jelah dulu saya boleh coretkan kepada anda semua tentang kehidupan saya. Semoga anda semua dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.
– Cik Melur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit