Aku anak kedua dari enam beradik, lahir dari keluarga yang sederhana, maksud aku cukup-cukup makan dan pakai. Aku dan keluarga aku pernah tinggal di kawasan setinggan dari dari lahir sehinggalah usia aku remaja dalam 14 tahun.
Ayah aku bekerja sebagai buruh kasar membina bangunan dan part time renovate pembinaan rumah orang. Ibu pula seorang pembantu rumah di rumah orang, bekerja 3 kali seminggu.
Kerajinan dan usaha ayah dan ibu aku, mereka berjaya untuk membelikan rumah di kawasan perumahan yang sangat sederhana. Rumah teres satu tingkat, secondhand.
Aku masih ingat betapa gembiranya keluarga aku masa tu. Kami pindah ke rumah tersebut dengan membawa baju, perkakas dapur sahaja. Kami tidak ada sofa, tidak ada meja makan.
Kebersamaan kami adalah di lantai rumah. Makan di lantai beralaskan tikar, menonton tv kotak dengan duduk atas tikar juga. Bukan permaidani ya. Namun aku merasakan kami sangat gembira pada waktu itu.
Aku masih ingat, kadang2 kadang mak ayah tidak cukup duit, mereka membelikan tulang ayam untuk dijadikan sup. Sedap. Aku pernah ikut ibu aku memetik pucuk paku dan kangkung di kolam berdekatan dengan rumah kami untuk dijadikan lauk.
Meskipun hidup sederhana, ibu dan ayah sangat mementingkan pelajaran kami adik beradik. Semasa kami di setinggan, kami tidak ada kereta, kami berjalan kaki ke sekolah.
Kadang2 jika ayah dan ibu ada, mereka akan menghantar kami menggunakan basikal tua ke sekolah. Pakaian sekolah, kami pakai apa adanya. Kasut sekolah, bila koyak, ayah aku jahit sendiri kasut tersebut.
Pernah suatu masa tu, kasut sekolahku koyak macam mulut buaya(badan kasut terpisah dari tapak), ayah menjahit kasut aku tu guna tali getah warna hijau. Aku memberontak, tak nak pakai. Aku masih budak2 masa tu, aku masih belum faham keterbatasan keluarga aku masa tu.
Sekarang dah dewasa ni, bila fikir balik, hatiku sebak mengenang bagaimanalah perasaan ayah masa tu. Rasa bersalah tu masih ada hingga sekarang.
Aku juga masih ingat semasa aku dan kakak di universiti, kami bersepakat memberikan sedikit daripada duit biasiswa kami ke ayah untuk meringankan bebannya.
Dipendekkan cerita, aku salute ayah dan ibu kerana mereka berjaya menyekolahkan kami semua sehingga berjaya pada hari ini.
Kakak seorang doktor, aku seorang guru, adik-adik pula masing-masing bekerja sebagai jurutera dan juruteknik di syarikat minyak dan gas dan juga syarikat korporat yang ternama di negara.
Pada awal kakak dan aku mula kerja dulu, kami mengambil alih peranan ayah utk membayar rumah kecil kami setiap bulan. Walaupun kami perempuan, kami tidak mahu kahwin terlalu awal.
Apabila duit kwsp akaun dua kami keluar (kerana kami pilih skim pencen), kami berdua bersepakat untuk membayar lum sum baki pinjaman rumah kami. Adik-adik pula kami juga yang memberikan wang saku.
Ayah gembira sangat. Kami juga puas hati. Kini, kami tidak lagi tinggal di rumah ayah, kami ada rumah masing2 kerana ayah dan ibu selalu berpesan, kalau dah rasa mampu, belilah rumah. Biar kereta kita biasa saja, asalkan ada rumah.
Ya, disebabkan pesanan tersebut, kami adik-beradik semua dah ada rumah masing2. Kami adik-beradik juga telah berkahwin kecuali yang bongsu.
Ayah dan ibu sekarang pula boleh memilih untuk tinggal di mana mereka mahu kerana setiap rumah kami sediakan bilik untuk mak dan ayah. Alhamdulilah, pasangan kami masing2 tidak kisah dengan hal itu.
Aku juga sangat bersyukur kerana sampai ke hari ini kami adik beradik masih rapat antara satu sama lain. Ibu dan ayah pula masih sihat walafiat.
Walaupun dah pencen, namun masih sibuk mengerjakan tanah yang kami beli untuk mereka bertani dan memelihara ikan. Di tanah tersebut ada rumah kebun.
Walaupun mereka mempunyai rumah, namun sekarang mereka lebih memilih untuk tinggal di rumah kebun. Kami layan saja kehendak mereka kerana kami tahu dulu mereka juga melayan setiap tingkah kami beradik. Rumah lama ayah dan ibu, kadang2 kami berkumpul di sana, tidur di sana.
Setiap kali menginap sehari dua di rumah ayah, aku sentiasa mengimbau dan teringat kenangan pahit manis kami sekeluarga di rumah tersebut.
Imbasan kenangan tersebut membuatkan aku semakin sayang dengan mak ayah aku dan semakin tinggi rasa syukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan kepada kami pada hari ini.
Akhir sekali, aku ingin berpesan kepada ibu bapa yang sedang struggle membesarkan anak sekarang, semoga kalian terus tabah dan berusaha sebaik mungkin dalam memelihara amanah yang diberikan.
Kedua, pelajaran adalah sangat penting. Pelajaran dapat mengubah kehidupan, percayalah. Walaupun tidak kaya, sekurang2nya kita dapat menikmati kesenangan.
Ketiga, anak2 bila dah berjaya, JANGAN LUPA ibu dan ayah.
– Liya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
suka baca ni. Tahniah kepada mak ayah kamu dan semua anak2 sebab tak lupa jasa mak ayah.
Sebak baca. Mak Ayah yang baik budi walaupun tak kaya akan melahirkan anak-anak yang cemerlang. Anak anak pun baik baik semuanya, beruntung mak ayah.