Kisah Orang Menang

Assalamualaikum dan salam pertemuan, terima kasih admin kerana sudi untuk menyiarkan confession aku. Untuk pengetahuan, aku penuntut di sebuah IPTA di semenanjung. Aku mengambil bahagian Sains Kesihatan.

Tak tahu bagaimana nak mulakan cerita ek. Ketika di zaman persekolahan, aku antara pelajar yang terkenal di kalangan pelajar di sini kerana aku sering mendapat tempat pertama dalam kelas. Kalau dalam tingkatan, aku biasa dapat tempat kedua. Semasa di zaman persekolahan, perkataan gagal tidak wujud dalam kamus hidup. Zaman matrikulasi pun begitu.

Masuk je zaman Universiti, segala-galanya telah berubah, aku tak tahu mungkin kejutan budaya kot. Aku masih ingat lagi, kali pertama aku dapat result exam tahun satu, semester satu tak lepas dari 3.00. Hanya Allah yang tahu betapa remuk hati aku masa tu.

Dari seorang periang, aku mula menjadi pemuram. Aku mula tingkatkan usaha belajar untuk semester kedua, namun result masih sama, tak lepas 3.

Aku evaluasi diri aku sendiri,
aku makin memencilkn diri. Jarang bercakap dengan classmates. Aku malu dengan mereka, aku malu dengan semua orang. Tu tak termasuk lagi bab klinikal, telinga aku dah kebal kena marah oleh pensyarah. Aku kurang keyakinan buat klinikal sejak dari result exam aku yang awal lagi. Kena marah, aku tahan air mata. Aku paksa untuk senyum sehingga pesakit aku yang simpati dengan aku. Aku sabar.

Dalam kuliah, aku cuba tumpukan 100% perhatian. Buku nota sentiasa di tangan, kadang sehingga aku rakam apa yang pensyarah nak sampaikan.

Perlahan-lahan, aku bangkit untuk mengumpul kekuatan.
kawan-kawan aku banyak memberikan kata-kata semangat dan dorongan buat aku. Terima kasih kawan sebab korang sentiasa di sisi aku walapun aku kadang tak tegur korang kalau aku emosi.

Aku nak masuk semester akhir dah, jatuh aku tapi aku masih mampu bertahan. Aku lap air mata aku sendiri, aku pancarkan kegembiraan aku depan parents aku. Aku tak nak diorang sedih dengan aku. Emak selalu tanya aku ok tak. Aku jawab Insya Allah ok je mak.

Mak kata dia tak henti- henti doakan kejayaan anak-anaknya setiap kali lepas solat. Mungkin tulah sebab aku masih bertahan sehingga sekarang. Aku sudah lali dengan perkataan gagal kerana ia telah menyebabkan aku lebih berusaha dan terus berusaha.

Aku belajar untuk ikhlas dalam menuntut ilmu supaya aku dapat keberkatan ilmu. Mungkin salah aku sebelum ni, aku menuntut ilmu sebab nak kedudukan je.

Banyak aku belajar, orang tak tanya kau sejauh mana kau telah bangkit dari kegagalan. Orang biasa tanya lulus atau gagal je. Setiap orang berbeza, orang tak akan tanya kau, sebanyak mana air mata yang telah alirkan dalan jalan menuntut ilmu ni. Orang akan pandang kau kalau kau dah graduasi nanti.

Orang yang pernah jatuh akan tahu betapa perit rasa jatuh itu, maka dia akan lagi berusaha untuk tidak jatuh lagi. Aku bukan mengajar korang untuk gagal, tapi aku nak ceritakan kepada korang tentang kisah orang menang. Kita semua adalah orang yang menang.

Jangan jadikan kegagalan itu noktah untuk kejar cita-cita. Tuntutlah ilmu dengan ikhlas. Semoga di penghujung hari, kita akan tersenyum melihat kejayaan kita.

– Noni

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit