Kisah Penyewa dan Ejen Rumah

Hi, panggil aku Rara. Pertama sekali, aku nak minta maaf sebab posting aku ni berjela. Aku nak pendekkan tapi nanti takut korang tak faham jalan cerita aku.

Aku harap cerita aku ni dijadikan pedoman oleh semua lapisan masyarakat. Aku sedih sangat sebab zaman sekarang ni masih wujud lagi yang hidup menindas, ditindas dan tertindas.

Aku adalah Si Penyewa. Alkisahnya bermula apabila aku berpindah dari Perlis ke Johor. Jauh kan?

Bayangkan betapa ‘struggle’nya aku terutamanya bab kewangan masa proses pindah tu. Sewa lori barang, deposit rumah sewa, kos perjalanan dari Perlis ke Johor, simpanan sebelum dapat gaji pertama.

Hanya Allah yang tahu, dan alhamdulillah. Aku dikellilingi insan yang banyak memudahkan urusan aku, walaupun bukan dari segi kewangan, tapi dari segi tenaga terutamanya.

Mesti korang nak tahu punca aku ke Johor, kan? Ceritanya begini. Suami aku bekerja di sevuah syarikat swasta di Perlis dan dia dipindahkan ke cawangan syarikatnya di Johor.

Setakat ini, pihak syarikat hanya mampu menyediakan bilik bujang untuk suami aku dan rumah keluarga akan disediakan kelak bergantung kepada cawangan syarikat.

(Taktau la berapa tahun lagi syarikat ni nak kaya.. Aku doakan syarikat ni cepat kaya supaya tak perlu menyewa rumah dah nanti.. Aamiin..).

Suami aku ke Johor dah sebulan sejak Jun. Aku masih di Perlis. Dalam pada itu, aku mencari jawatan kosong di sekitar Johor. Aku bersyukur sangat kerana dapat kerja hanya dengan temu duga melalui whatsapp. Alkisahnya, aku dipanggil temu duga di Johor.

Namun, disebabkan masalah kewangan dan tempat tinggal, aku emel untuk menolak janji temu tersebut. Nak dijadikan cerita, aku whatsapp syarikat tersebut nak bagitau aku ada emel untuk menolak.

Tup tup nak jadi rezeki aku, aku ditemu duga melalui whatsapp. Dan bila aku lapor diri, rupanya orang yang aku whatsapp itu adalah pengarah syarikat tersebut. Allah Maha Kaya. Cantik aturannya.

Aku dikehendaki lapor diri pada bulan Ogos. Kebetulan suami aku tak dapat cuti untuk balik ambil aku. Aku dan suami tergesa-gesa mencari rumah sewa di Johor. Dapat je rumah sewa, bermulalah sesi ‘struggle’ aku untuk uruskan pemindahan barang dengan lori.

Dan aku memandu ke Johor bersama anak aku yang berusia 10 bulan pada ketika itu ditemani adik perempuan aku yang kebetulan baru habis belajar.

Cantik aturan Allah, kan? Dia hadirkan adik aku saat suami aku tak dapat cuti untuk balik ambil kami. Adik akulah yang tolong jaga anak aku sementara nak jumpa taska yang sesuai.

Sebulan aku menyewa di rumah itu. Mula aku redho. Rumah teres kos rendah (diorang gelar rumah murah) dengan harga RM650 sebulan ‘direct owner’. Rumah tu 2 tingkat, 2 bilik di atas dan bilik air di bawah.

Lorong yang aku tinggal tu hanya aku sahaja Melayu. Kebanyakannya Iban dan ada juga India. Tapi, jiran-jiran aku baik je, peramah dan tak sombong.

Jiran-jiran cakap harga sewa mahal sebab ‘range’ harga area situ dalam RM400 ke RM500. Korang nilai sendirilah harga rumah tu murah ke mahal.

Bagi aku, berpatutan je RM650 sebab rumah-rumah lain lagi mahal dan diluar bajet kami. Itu je rumah paling murah yang kami dapat melalui facebook.

Nak round cari rumah sewa memang tak sempat dah. Nak bandingkan area lain pun tak adil sebab area sini memang tumpuan. Maaflah, sengaja aku tak cakap kawasan mana dalam Johor ni. Aku pejam mata dengan harga RM650.

Namun, aku baru perasan yang rumah ni ‘half grill’. Tak semua tingkap dan pintu ada grill. Tapi yang merisaukan aku pintu dan tingkap utama depan dan belakang tak ada grill.

Bagi aku, keselamatan tak terjamin. Dah la suami aku kerja shift. Kalau malam-malam dia tinggalkan aku dan anak serta adik aku, mesti aku tidur dalam ketakutan. Takut-takut kena rompak. Apalah nasib anak dan adik aku nanti.

Aku bersuara suruh suami minta tuan rumah pasangkan ‘grill’. Tup tup tuan rumah cakap boleh tapi sewa bulanan akan dinaikkan RM50 jadi RM700. Permintaan aku terhenti seketika kerana aku rasa tak relevan sebab rate rumah sini yang dah ada ‘grill’ paling mahal RM500.

Tuan rumah minta RM700. Aku mula rasa tuan rumah ni tak bertimbang rasa. Kami teruskan hidup macam biasa.

Pada suatu malam, masa tu suami aku kerja malam. Aku dan adik aku nampak kereta polis berhenti depan pagar rumah aku dan ada bising-bising kat luar.

Mula aku ingat polis datang rumah aku. Rupanya, rumah sebelah (rumah Iban). Aku tak tahu apa masalah dan malas masuk campur.

Takkan lah aku nak sibuk-sibuk pergi tanya kan, kang jiran aku malu pulak. Dah lah aku baru je pindah situ. Lpas tu aku tutup pintu. Aku dan adik aku curi-curi dengar perbualan polis dengan jiran aku dari dalam bilik di tingkat atas tapi tak jelas sangat.

Masa tu jugak anak aku kantoikan kami sebab dia menjerit kuat nak main tingkap.. hahahah. Akhirnya kami masuk tidur. Esok tu masa nak pi kerja aku tegur jiran aku macam tak da apa yang berlaku. Sampai hari ni kami tak tau apa yang terjadi.

Itu okay lagi. Tapi masuk minggu seterusnya, masa tu suami aku kerja malam jugak. Aku keluar beli barang dapur dengan adik dan anak aku. Dalam perjalanan balik tu, masa nak masuk lorong rumah aku (rumah aku no3 dari hujung), ada kereta ‘block’ jalan lorong tu.

Aku melihat sekumpulan India bergaduh dengan sekumpulan Iban (rasanya). Keadaan menjadi riuh rendah. Nasib baik aku tak tekan hon. Silap-silap dengan aku sekali terbabit. Aku ‘reverse’ kereta dan masuk ke lorong belakang menembusi hujung lorong rumah aku yang sebelah lagi.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila kedengaran bunyi bising pergaduhan di hujung jalan sana (lebih kurang 50m dari rumah aku). Adik aku tergesa-gesa membuka pintu pagar untuk aku masukkan kereta ke dalam garaj dan cepat-cepat mengunci pagar.

Masuk je ke dalam rumah, kedengaran mereka berlari-lari sambil menjerit untuk membunuh. Nak bunuh siapa aku pun tak tahu. Mereka berkejaran dan lalu di depan rumah aku. Aku menyuruh adik aku telefon polis.

Masa telefon polis, bila sebutkan lorong rumah, adik aku cakap polis siap tanya, “India ke yang bergaduh tu?” Korang nilai sendiri lah bila polis pun macam dah agak dah bila ada kes kat lorong rumah aku. Aku rasa memang lorong ni banyak kes lah.

Mula-mula tadi, aku cakap jiran aku okay kan? Tapi aku dah mula rasa tak okay bila jiran aku tak ada ‘common sense’. Melalak berkaraoke tengah-tengah malam sampai pukul 2 3 pagi.

Bayangkan anak aku yang tengah tidur pun boleh bangun menari.. hahahaha.. Kalau hujung minggu, aku tak kisah sangat. Tapi ni macam tak kira hari dan waktu.

Lepas tu geng Iban kadang mabuk sampai bergaduh dan bising-bising. Mereka ‘tak kacau’ rumah jiran, cuma bergaduh sesama mereka.

Tapi, bagi aku yang suami kerja malam dan hanya aku serta anak dan adik perempuan aku je kat rumah, memang kami tidur dalam ketakutan setiap malam.

Ada suatu hari, kereta suami aku yang parkir di luar pagar rumah (depan rumah kami & tidak menghalang laluan kerana betul-betul depan pagar rumah) kena toreh dengan batu di bahagian belakang kiri ke kanan. Mungkin budak-budak yang buat.

Kata adik aku, bukan anak jiran sebelah. Tapi budak lorong lain tak pun budak yang hujung-hujung lorong tak pernah nampak. Diorang main kat depan rumah kami tadi. Ha, ni 1 lagi peel kejiranan sini. Korang bayangkan, betapa privasi aku diragut.

Depan rumah aku, tapi orang lain boleh je ‘slumber’ badak muka tak malu duduk bersidai kat tembok depan rumah. Kalau aku nak keluar ke apa, aku pulak yang macam kena hormat lalu depan diorang. Baik budak-budak, baik orang tua-tua. Sama naik weh!

Mula-mula memang ramah. Ye lah baru pindah. Lama-lama aku rasa macam ‘annoying’. Ini rumah aku ke rumah diorang?

Aku mula rasa perumahan aku ni banyak drama duk ada. Tapi, aku selalu juga bawa anak aku jalan-jalan sambil sorong ‘stroller’ dia ke lorong yang ramai Melayu. Lorong tu okay. Aku bukanlah nak mewujudkan diskriminasi kaum kat sini.

Cuma aku kot yang macam kejutan budaya sikit bila tak biasa dengan ‘kejutan’ yang aku lalui.

Tapi, lorong Melayu ni banyak budak-budak umur dari 4 tahun ke 12 tahun yang main tengah jalan. Siap kena langgar dengan budak-budak moto umur belasan tahun lagi. Kerap pulak kes macam tu kat lorong tu.

Hmm. Mungkin setiap lorong ada kisahnya yang tersendiri.

Untuk kisah lorong aku ni, aku ambil keputusan untuk ajak suami aku pindah secepat mungkin. Aku maklumkan pada tuan rumah dan tuan rumah minta kami kosongkan rumah selewatnya 28 Ogos kerana dulu aku masuk 28 Julai.

Tak boleh lebih hari. Aku rasa tertekan jugak lah sebab 28 Ogos tu Jumaat dan aku kerja dan tak boleh cuti sebab aku dalam tempoh percubaan (baru kerja kan..). Tapi, kami setuju sahaja. Suami aku akan ambil cuti dan uruskan pemindahan kali ini.

Memanglah mula tu rasa nak marah sebab tuan rumah tu macam berkira. Tapi.. Nak marah pun tak guna.. Aku pun salah sebab bagitahu seminggu awal, bukan sebulan awal.

Padan muka aku, puas hati tuan rumah tu. Hahahaha. Tak pe lah. Yang penting aku bersyukur sebab dapat rumah di kawasan yang lagi okay. Dan syukur Allah permudahkan urusan aku.

Ada lagi aku nak cerita tentang dugaan aku dengan Agen Rumah serta Tuan Rumah yang aku kena hadap sebelum aku jumpa rumah yang betul-betul okay tu. Banyak sangat drama.

Kalau posting aku yang pertama ini berjaya di’approve’ oleh admin dan ramai lagi yang nak tahu kesudahan nasib anak perantau macam aku, In shaa allah aku akan menyusul dengan sambungan kisah kedua. Jumpa lagi..!!

– RARA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *