Kisah Period dan Mandul

Hai.. Saya Julia, bukan nama dalam IC.. Saya cuma ingin berkongsi seperti tajuk di atas. Saya minta maaf sekiranya penceritaan saya agak meleweh.

Seperti seorang wanita normal lain yang mula period ketika belasan tahun. Saya dikurniakan period pertama ketika berada di tingkatan 2.

Saya bersekolah di sekolah berasrama penuh di Johor. Pada masa itu, memang tersangatlah kekoknye..

Yelah.. keluar darah yang banyak daripada kemaluan bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Ditambah dengan period pain yang sangat menyengat. Oh! Mintak nyawa!

Setelah period pertama, saya mula belajar yang seorang gadis akan didatangi period setiap bulan. Sebab tu orang dulu dulu kata ‘datang bulan’.

Tapi, itu semua tidak terjadi pada saya.. setelah period pertama, saya bersedia menunggu pada bulan seterusnya ditarikh yang lebih kurang sama. Tapi tiada.

Pada masa itu saya lagi suka sebenarnya.. yelah.. tak payah la nak menghadap darah kotor..

Setelah hampir 4 bulan dari period pertama saya. Saya jadi takut. Kenapa tak period-period? Saya kongsikan pada kawan sebilik saya masa tu. Seorang senior yang tua 2tahun dari saya.

“Kau ada rasa mual-mual tak?”

Saya geleng. Dia kata saya kemungkinan mengandung! Terus pucat muka saya! Saya ni boyfriend pun takde masa tu.

Saya cuba ingat-ingat ada ke tidak saya tidur mati, lepas tu kena rogol.. ah! Takkan la.. tapi dalam hati saya.. mungkin juga.. ah! Bodohnya saya masa tu..

Dengan rasa tak puas hati, saya ambil cuti sakit dengan alasan cirit birit. Saya bercadang untuk pergi ke klinik berdekatan untuk tahu keadaan sebenar.

Dalam perjalanan ke klinik, saya tak henti henti berdoa. ‘Ya Allah.. janganlah aku mengandung anak luar nikah. Mati aku kena bunuh ya Allah..’

Pada masa tu, saya cuba bayangkan benda paling teruk yang akan jadi, saya pegang perut saya.. memang ada buncit sikit.

Kalau betul ada anak, boleh ke saya nak jaga anak ni? memang terbayang muka bapak saya yang bengis dengan parang di sebelah tangannya. Sepanjang perjalanan saya menangis takut.

Sampai sahaja ke klinik, saya daftar ke kaunter. Pekerja kaunter tanya

“Nak cek apa ye?”

Saya terdiam. Mencari ayat yang paling selamat. Dah la saya pakai baju sekolah masa tu..

“Errr.. nak cek perut. Sakit perut”

Tergagap gagap jugak saya menjawab masa tu. Mujur la kakak kaunter ni tak pandang saya lain macam. Muka dia selamba je. Mungkin dia dah masak dengan kes anak luar nikah.. eh?

Ketika menunggu giliran untuk berjumpa doktor, saya tak henti henti berdoa. Mata saya mula banjir lagi. Betul betul takut masa tu.

Apabila nama saya dipanggil, saya ambil masa untuk membetulkan apa yang patut. Mata saya kesat. Saya berlatih senyum yakin yang saya tidak bersalah walaupun saya ditakdirkan mengandung! Saya bersih!

Saya kuatkan hati, melangkah ke arah bilik doktor.

Sampai sahaja ke dalam, ouch! Doktor lelaki! Macamana ni???

“Sila duduk ye dik..”

Lembut sapaan doktor, membuatkan saya tenang sedikit. Saya pun duduk dan menunggu soalan seterusnya. Saya dalam keadaan pasrah.

“Sakit perut ke? Ada salah makan ke?”

Saya geleng. Saya kuatkan hati.. saya nak luah semua yang terbuku dari tadi. Lantaklah!

“Macam ni doktor.. saya dah lama tak period. Dah 4 bulan. Saya takde rasa mual mual. Tapi kawan saya kata saya kena cek. Takut saya ngandung.

Saya takde boyfriend. Saya baru form2. Saya selama 4 bulan ni duduk asrama je! Macamana saya boleh ngandung!” Hah! Amik kau! Sekali lafaz! Saya lega!

Saya pandang muka doktor. Dia tersenyum. Tak nampak pun dia terkejut atau hairan.. dia kemudian berkata..

“Takpe.. tenang dulu..” Sambil doktor memanggil kakak kaunter tadi dan mengarahkannya mengambil beberapa benda. Cuak weiii! Tebayang doktor akan belah perut, lps tu buang anak saya dalam tong sampah!

Setelah beberapa saat, kakak kaunter tadi datang membawa satu bekas kecil dan tisu.

“Ok dik.. pegi buang air kecil.. masuk dalam bekas ni. Jom akak tunjuk toilet..”

Saya ikut je kakak tadi.. masuk toilet. Masa tu saya pun tak tahu apa kaitan kencing dan period. Yang saya tahu, kedua duanya keluar dari tempat yang sama.. hahaha.

Lepas setel je tadahan kencing. Saya serahkan pada kakak kaunter tadi. Saya lihat dia titiskan beberapa titik ke satu benda seolah olah batang aiskrim. Masa tu saya kan naif.. manalah saya tahu itu pregnancy tester.

Selepas proses itu, saya terpaksa tunggu beberapa minit. Dan ‘batang aiskrim’ itu dibawa kepada doktor. Saya cuma mengikut kakak kaunter tadi, tak ubah macam anak ayam mengikut ibunya..

“Ok. Awak tak mengandung..”

Ya Allah.. terasa seperti satu batu besar diangkat dari bahu saya. Syukur saya tak terucap..

“Awak normal. Haid awak cuma belum stabil. Saya akan berikan beberapa ubat untuk awak makan dalam beberapa hari ini”

Dan lepas tu saya dah macam dengar tak dengar apa yang doktor cakap. Bayangan bapak garang saya yang tengah pegang parang tadi pun dah lenyap. Saya betul betul bersyukur.. saya tidak dirogol rupanya. Haha.

Begitulah ceritanya.. period saya yang tidak pernah normal. Rupa rupanya bila saya tanyakan pada mak saya.. keturunan saya dari belah mak, termasuk nenek dan moyang saya memang mengalami pattern period yang sama.

Sehinggalah saya masuk ke UPM, seorang kawan saya mengatakan yang saya mungkin mandul bila dah kawin nanti. Susah nak dapat anak.

Saya betul betul down. Saya yang sudah ada teman lelaki pada masa itu, risau jika saya diuji dengan ujian mandul. Saya dengan berani membincangkan hal itu pada teman lelaki saya..

Antara ayat yang saya ingat saya katakan pada dia..

“Awak masih nak kawin dengan saya tak kalau saya kata saya ni mungkin mandul?”

Masa tu dia cuma gelak gelak. Dia balas

“Saya kahwin la lain.. hahaha”

Selepas dia lihat saya serius, dia terus terangkan yang mandul itu bukan penyakit. Itu istilah bagi mereka yang tidak berjaya memperolehi anak. Ces! Mentang mentang la dia budak bacelor sains biologi.

Tapi, penjelasan dia tadi membuatkan saya semangat untuk menjadi wanita semula. Saya malas nak kisahkan tentang period saya. Dia nak datang, suka hati dia.. tak nak datang sudah! saya cuma mampu berdoa.

Untuk pengetahuan semua, setelah mendapat tahu saya ada kemungkinan mandul. Setiap selepas solat, saya masukkan doa untuk zuriat saya. Saya minta untuk dikurniakan ramai anak.

Dan kadang kadang saya bangun tahajjud betul betul minta pada Allah. Padahal masa tu, kahwin pun tak nampak bayang lagi!

Selepas 3 tahun menjalin hubungan cinta, saya dicurangi. Si dia beralih arah kepada teman sekuliahnya. Saya malas nak ulas lebih lebih pasal ni. Sebab saya masih sakit hati. Hahaha.

Saya lagi down lepas tu.. hidup saya kosong. Cuma hidup seorang pelajar universiti yang perlu menghabiskan sisa sisa pembelajaran yang memecahkan otak.

Saya semakin rapat dengan tuhan. Saya masih doa yang sama. Doa zuriat seperti tak boleh lekang dari mulut saya. Walaupun suami pun makin tak nampak bayang. Haha.

Selepas beberapa tahun ditinggalkan kekasih, saya menerima mesej seseorang untuk berkenalan. Tau tak apa yang saya balas?

‘Maaf.. saya tak cari boyfriend sekarang ni. Saya nak terus nikah je!’

Tekad betul saya. Saya dah malas nak couple couple monyet ni. Semua macam monyet je! Haha.

Tanpa saya duga.. lelaki dihujung sana membalas mesej saya..

“Jom kahwin! Saya memang tengah cari calon menantu untuk mak saya”

Saya terhibur. Saya tahu lelaki semua sama.. saya diam sahaja.. dalam masa yang sama saya tersenyum senyum. kalaulah ini jodoh saya.. tapi kalau dia tak hensem? tak solat? Perogol bersiri? Huhuhu..

Dengan penuh berani saya terus balas..

“Ok. Datang jumpa saya..di kolej pendeta zaaba. UPM”

Dipendekkan cerita, saya jumpa dia. Saya berkenan. Dia nampak baik. Rupa manis. Ada janggut.

Setelah beberapa bulan, saya nampaknya semakin serius dengan boyfriend baru saya. Haha. Inilah masanya saya perlu meluahkan tentang apa yang saya terlalu risaukan selama ini.

Saya bertemu dia ditepi tasik titiwangsa. Saya katakan perkara yang saya nak beritahu sangat penting. Dan mungkin melibatkan perpisahan.. perghh.. saspen cik abang kite

Setelah berjumpa, saya tanpa membuang masa terangkan segala galanya tentang period, kemandulan, dan anak padanya.

Apa yang dia buat? Dia tatap mata saya.. dan ayat yang dia katakan saya ingat sampai sekarang..

“Kenapa nak buat kerja tuhan? Rezeki jodoh ajal semua dari Allah.. period awak ke.. rahim awak ke.. semua takde kaitan. Tu semua asbab!”

Saya menangis! Tak pernah hati saya disentuh sebegitu indah. Sedikit demi sedikit saya insaf. Terlalu memikirkan asbab. Walhal, semuanya dari Dia. Ya Allah.. ampunkan hambaMu..

Dipendekkan cerita (saya kena pendekkan.. sebab saya ni jenis bercerita tak ingat dunia).. saya dijodohkan dengan si dia yang saya sangat kagumi. Walaupun pekerjaannya cuma biasa biasa. Saya terima dia seadanya.. kerana dia juga menerima kekurangan diri saya..

Semasa confession ini ditulis, saya tengah menyusukan anak saya yang ke 5.

Anak pertama saya telah pun berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh. Anak kedua dan ketiga saya kembar. Anak keempat saya lekat ketika masih menyusukan si kembar. Anak kelima pula lahir ketika covid sedang melanda. Saya terasa Allah jawab segala doa saya.

Saya yang tak henti henti doa untuk anak yang ramai. Ada kalanya saya letih melayan karenah anak anak dan merungut.

Tapi saya cepat cepat istighfar dan berdoa agar diberikan kesabaran yang sangat tinggi. Jika ditakdirkan akan ada anak ke 6, ke 7 dan ke 8.. saya redho..

Walaupun hidup cuma biasa biasa. Tidak mewah. Tapi segalanya cukup.. Betullah kata bijak pandai.. KAYA ITU APABILA KAMU MERASA CUKUP.. terima kasih kepada semua dan Terima kasih Allah..

– Julia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *