Kisah PJJ Bersama Bekas Suami

Berdasarkan confession, (https://iiumc.com/apa-yang-perlu-untuk-membahagiakan-rumahtangga/) saya tertarik untuk berkongsi kisah saya.

Saya wanita bekerjaya yang stabil dalam sektor kerajaan bergred S41, manakala bekas suami merupakan seorang pekerja sektor swasta di Kuala Lumpur. Kami telah berkahwin hampir 5 tahun (Sehingga Jan 2019).

Masuk 2020 ini genaplah setahun saya berpisah dengan bekas suami. Ya saya diceraikan awal tahun yang lalu. Disaksikan anak yang sedang menyusu ketika itu.

Bekas suami saya seorang yang ada rupa, berbanding saya yang biasa sahaja tapi manis tu ada.
Kami mula berkenalan ketika di alam Universiti, kami saling memahami antara satu sama lain.. Sehingga kami mengambil keputusan untuk bernikah.

Benar sebelum berkahwin segalanya indah. Kami berjanji untuk sehidup semati dan saling memahami. Kami berbincang dengan selumatnya perancangan selepas berkahwin termasuk urusan PJJ kami. Ketika itu masing-masing telah mempunyai kerjaya. Dia bekerja di Kuala Lumpur manakala saya di Terengganu.

Episod keretakan rumahtangga kami bermula selepas dua tahun kami menjalani hidup secara PJJ. Untuk pengetahuan semua kami akan berjumpa 2 minggu sekali. Kadangkala saya akan pulang berjumpanya di sana. Atau dia yang akan pulang bertemu saya di Terengganu.

To make it short saya terus list bagaimana konflik ini boleh berlaku.

1) Bekas suami ingin menambah isteri.

Alasannya kerana berjauhan, dia tidak boleh menahan perasaannya apabila saya tiada disisi. Dia telah jujur bahawa dia hampir terlanjur dengan seorang rakan di pejabatnya. Saya agak terkejut kerana saya kenal suami sebagai orang yang menjaga agama dengan baik.

Setelah diselidik lebih dalam, mereka telah pun buat ringan-ringan (berciuman dll). Perasaan saya pastinya hancur. Kepercayaan saya bagai dirobek-robek. Saya berpenat lelah menguruskan anak sendirian dalam masa yang sama bekerja. Namun sanggup suami melakukan perkara terkutuk tersebut dibelakang saya.

Untuk tidak membiarkan suami terus melakukan dosa, saya redha untuk suami berkahwin lain walau saya sangat sakit dimadukan. Ya saya pernah bertekad tidak akan sesekali mengizinkan diri bermadu dengan sesiapa pun. Tapi kerana kasih dan sayang, akhirnya saya izinkan jua.

2) Dipaksa untuk berhenti kerja.

Namun, langit tak selalu cerah. Rumahtangga bekas suami dan Farah tidak bertahan lama. Hanya bertahan 5-6 bulan. Alasan suami Farah terlalu kuat cemburu dan minta dilepaskan. Lalu saya yang telah tawar hati dipujuk kembali dengan bersungguh-sungguh. Hati saya lembut kembali. Saya terima kembali ‘cinta’ suami seperti kali pertama kami bercinta. Indah sekali.

Suatu hari bekas suami meminta kepada saya untuk saya berhenti kerja. Alasannya dia masih boleh menyara saya dan anak. Dia takut jika dia kembali kepada perangai lama jika saya tidak selalu bersamanya. Perang besar pun terjadi.

Saya masih ingat kata-katanya bahawa dia mempunyai hak mutlak terhadap isteri. Tempat isteri adalah dirumah melayani suami. Isteri bukan untuk bekerja, isteri perlu menguruskan hal ehwal rumah (memasak, basuh baju dll).

Sangat terkejut sebab kami dah bincang selumatnya perkara ini sebelum berkahwin. Bukanlah tidak ada usaha dari saya sendiri untuk transfer ke Kuala Lumpur namun rezeki masih tidak menyebelahi. Sudah semestinya saya tidak akan sesekali meninggalkan kerjaya saya. Saya mempunyai ibu dan adik-adik yang perlu disara. Saya rela mati demi mereka.

Dengan kewangan sedia ada bekas suami sendiri sememangnya tidak cukup untuk disumbangkan sedikit pada keluarga saya. Bahkan sayalah yang paling banyak mengeluarkan duit sepanjang kami berkahwin. Sewaan rumah suami di KL sayalah juga yang membayar. Saya sendiri memang berkeras tidak mahu berhenti kerja berdasarkan banyak justifikasi yang ada.

Malam itu pertama kalinya suami memukul saya. Dia mengatakan saya isteri derhaka. Sepanjang berkahwin tidak pernah sekali pun saya meninggikan suara kepadanya. Jika mempunyai masalah sayalah dahulu yang akan meminta maaf kerana saya tahu syurga isteri pada suami. Konflik berkenaan kerja ini berterusan setiap kali saya pulang berjumpanya.

3) Suami kembali curang.

Bahkan lebih teruk dari sebelumnya. Beliau telah menjalinkan hubungan dengan seorang janda. Hubungan mereka berterusan sehingga ke atas katil. Hati saya begitu retak. Saya mengambil keputusan untuk dilepaskan juga walau apa cara sekalipun. Saya sangat terluka.

Setelah pelbagai cara dibuat untuk saya dilepaskan akhirnya dia menceraikan saya. Malam itu saya menangis penuh kegembiraan dan keinsafan kerana menyesali segala dosa yang mungkin ada saya sebelum kami bernikah. Dan Allah turunkan ujiannya pada fasa perkahwinan kami.

Kini, saya sangat bersyukur dengan kehidupan Saya bersama anak. Dialah penawar dan penyejuk hati saya. Bekas suami? Pastilah terus-terusan menganggu dan meminta untuk dirujuk kembali. Tapi hati saya telah tawar. Tiada lagi peluang kedua dalam kamus hidup saya berkenaan rumahtangga kami.

Saya bersyukur menjadi seorang wanita yang mempunyai visi dan wawasan saya sendiri. Dan masih mampu berdiri di atas kaki saya sendiri untuk menguruskan urusan anak dan keluarga saya.

Nasihat ikhlas saya buat golongan wanita. Binalah diri sebaik mungkin supaya apa-apa yang jadi dalam hidup kalian suatu hari nanti kalian masih boleh mandiri. Tinggalkan sahaja mereka yang tidak menghargai kalian. Kalian berhak bahagia.

Jangan biarkan maruah wanita dienjak-enjak. Wanita perlu ada wawasan dan jati diri walau setahap mana pun tahap pembelajaran kalian. Paling penting kuatkan ikatan dan tanggungjawab terhadap keluarga walau kalian telah berkahwin.

Akhir sekali belajarlah mencintai diri sendiri dengan sebenar-benarnya sebelum mencintai yang lain. Buat yang belum berumahtangga pilihlah bakal suami yang benar-benar baik untuk kalian, agama kalian dan anak-anak kalian. Kalian berhak memilih sebelum melangkah lebih jauh ke alam seterusnya.

Salam Sayang,

– Cik Puan Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *