Kisah RNR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masih ingat lagi tak kepada saya yang selalu berkongsi kisah dan pengalaman saya yang mempunyai deria ke 6?

Jika masih ingat, Alhamdulillah terima kasih dan mana yang sudah lupa salam perkenalan sekali lagi saya ucapkan

Malam ini sunyi jer kan. Mesti kalian sedang lena dibuai mimpi atau masih ada yang tidak mampu lelap memikirkan apa akan terjadi pada hari esok.

Apa kata yang tidak mahu lelap itu saya belanja satu kisah pendek ketika berada di sebuah perhentian RNR di lebuh raya.

Cerita ini sudah lama berlalu. Sebelum saya mendirikan rumah tangga lagi. Zaman remaja yang penuh dengan suka dan duka.

Ketika kejadian itu hujan turun renyai-renyai, tiba-tiba terasa seperti ingin ‘membuang hajat’. Teman saya memilih untuk berhenti di sebuah RNR yang paling hampir.

Malam itu kenderaan yang berhenti pun tidak banyak memandangkan lebuhraya itu masih baru. Pada ketika itu juga kelihatan hanya sebuah kereta sahaja yang berada di situ. Mungkin berhenti untuk ‘membuang hajat’ seperti saya.

Memikirkan keadaan yang sangat kritikal saya cekalkan diri masuk ke toilet manakala teman saya menunggu di kereta kerana bimbang jika kereta dicerobohi memandangkan banyak barang berharga ada di dalamnya.

Lega apabila melangkah masuk ke dalam tandas, ada seorang perempuan sedang mencuci tangan. Jadi suasana tidaklah sunyi dan suram kerana bunyi deruan air paip memecah suasana.

Masa diambil tidak terlalu lama. Ketika saya keluar, perempuan itu masih berada di sinki dan masih lagi mencuci tangan.

“Nak balik ke pantai timur ke dik?” Soalnya apabila saya berdiri di sebelahnya untuk mencuci tangan.

“A’ah. Betul… Akak?” Soal saya kembali.

“Sama lah, pesan pada teman tu hati-hati memandu nanti, jalan ni nampak jer lurus tapi banyak orang mati kemalangan,” ujarnya lagi.

“In Sha Allah. Saya keluar dulu yer,” saya meminta diri kerana bimbang memandangkan teman saya keseorangan diluar sana.

Ketika saya melangkah keluar, saya nampak perempuan yang sama sedang duduk di bangku batu. Saya cepatkan langkah kaki saya.

Perempuan itu menoleh dan melihat saya sambil tersenyum.

“Bila masa dia keluar?” Soal hati saya.

Saya melangkah masuk ke dalam kereta dan segera menutup pintu. Teman saya yang terlelap di kerusi pemandu sedikit terkejut.

“Lamanya… Berak ke? Kata nak kencing jer,” omelnya tanpa melihat kearah saya.

“Lama ke? Rasanya tak sampai 10 minit pun,” ujar saya perlahan.

“Manaaaa… Tengok ni dah hampir sejam tau. Sembelit ke apa,” soalnya geram sambil menggosok mata. Mungkin masih mamai kerana baru bangun daripada tidur.

“Eh nampak tak perempuan tu?”

Sebelum habis saya berkata-kata, tiba-tiba ada seseorang mengetuk cermin tingkap saya. Saya menoleh, perempuan yang sama sedang berdiri diluar kereta sambil memberi isyarat supaya saya membuka tingkap.

Saya menoleh kearah teman saya yang merenung saya dalam keadaan pelik.

Saya menoleh kembali kearah perempuan yang berdiri di luar tingkap saya.

Perempuan tersebut memberi isyarat supaya saya menurunkan tingkap. Saya menurunkan tingkap sedikit kerana bimbang jika ada niatnya untuk merompak.

Teman saya segera menghidupkan enjin kereta, malangnya gagal. Berkali-kali teman saya cuba, masih juga tidak berjaya.

“Ni telefon adik tertinggal,” katanya sambil menunjukkan telefon bimbit kepada saya.

“Kak… Tuuu”

Saya menunding jari kearah perempuan seorang lagi yang duduk di bangku batu berhadapan dengan kereta saya.

“Oh… Itu kembar akak…” Jawabnya sambil ketawa.

Apabila enjin kereta berjaya dihidupkan, tanpa berlengah lagi, teman saya segera meninggalkan RNR tersebut.

“Awak ni dah kenapa? Kan saya tengah bercakap dengan akak tu tadi. Nampak sangat biadab jalan macam tu jer,” soal saya geram.

“Kenapa apa nya? Perempuan mana? Apa yang biadabnya? Awak buka tingkap lepas itu bercakap sensorang, awak fikir tu lucu?”

Jawabnya sambil menggosok tengkuk sambil beristighfar panjang. Saya terkedu mendengar jawapan daripada teman saya itu tadi.

Saya melihat ke arah RNR yang baru ditinggalkan. Syukur alhamdulillah saya tidak mengambil pemberiannya itu tadi (telefon bimbit).

Tidak dapat saya gambarkan jika saya mengambil pemberiannya itu tadi, mungkin ‘dia’ akan terus mengikuti saya pada seumur hidup. Jauh di sudut hati saya berdoa, semoga roh kamu tenang di alam sana. Al Fatihah.

Saudara saudari sekalian, saya ingin berpesan. Jangan sesekali mengambil sesuatu pemberian daripada orang asing yang langsung kita tidak kenal.

Apatah lagi jika ketika itu waktu maghrib kerana boleh jadi itu adalah saka atau jin yang tidak bertuan yang sedang mencari tuan atau seseorang yang ingin melepaskan saka peliharaannya kepada tuan baru kerana tidak sanggup membelanya lagi. Nauzubillah.

– Adik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *