Kisah Sakhti

Cerita ini berlaku pada penghujung tahun 2010, ketika Hari Deepavali.

Pada waktu itu kami sedang sibuk mentelaah pelajaran bagi menghadapi Ujian Akhir Tahun Dua Ijazah Perubatan (MB Bch BAO) di University College Dublin di Ireland.

Sakhti merupakan sahabat kami yang tinggal bersama di rumah sewa kami berdekatan dengan Clonskeagh Mosque (ICCI) di Daerah Dublin 14, Republic of Ireland.

Kami belajar bersama, ketawa, menangis dan makan bersama. Sepertinya sebuah keluarga, tanpa sebarang beza dan sengketa kaum mahupun agama.

Dia menghormati kami, budaya kami dan kepercayaan kami. Dan kami menghormatinya, budaya nya dan kepercayaan agama nya.

Tapi pada hari itu, Sakhti seperti semacam tidak kena. Selepas mengejutkan kami untuk solat subuh (ini adalah rutin sakhti mengejut kami untuk bersolat subuh). Sakhti bersembahyang mengikut ajaran agamanya dan terus menyendiri dalam biliknya. Study mungkin (husnu zhon dan bersangka baik).

Sakhti yang selalunya seorang yang ceria, periang dan selalu menggembirakan kami dengan lawak seriusnya(baca:lawak hambar) itu, berubah personalitinya pada hari tersebut.

..

Melihat keadaan itu, kami baru tersedar yang rupanya hari ini adalah Hari Deepavali. Hari yang paling besar untuk Sakhti mengikut adat resam dan kepercayaannya.

Kami kira, jika di Malaysia, hari ini pasti disambut meriah bersama keluarga dan sahabat handainya.

“Ish, aku tak sedap hati lah tengok perangai Sakhti hari ni, mal. Tak boleh jadi ni.”

“Kita kena buat makan-makan sikit untuk Sakhti weyh. Kita ni dah macam keluarga. ”

“Bila seorang member kita tetiba ‘down’ macam ni, kita nak study pun rasa macam tak senang, mal”

kata Nayen(Dr Nazrin) yang pada itu merangkap jawatan Ketua Rumah yang dimenanginya melalui Demokrasi terpimpin pada pemilihan Ketua-Ketua rumah cawangan UCD pada cuti summer yang lalu (actually kisah sebenar dia dilantik jadi ketua rumah adalah disebabkan semua orang malas nak jadi ketua rumah, leceh. Haha, padan muka Nayen)

“Betul lah Nayen, aku pun rasa benda yang sama juga. Tak sedap lah macam ni. ”

“Masa Hari Raya Aidilfitri dulu, dia lah yang sibuk-sibuk jadi ‘kapla’ masak rendang dan rebus nasi impit untuk kita malam raya tu. Takkanlah masa Deepavali ni, kita nak biarkan dia sorang-sorang macam tu saja”.

Balas aku yang sewaktu itu merangkap jawatan sebagai Wakil Pelajar-Pelajar Tajaan Mara di Dublin melalui Lantikan terus En Azlan selaku Ketua Pengarah Mara Ireland pada waktu itu.

“Apa lagi Nayen, jom lah call kawan-kawan lain, kita kumpul duit buat makan-makan surprise sket utk Sakhti hari ini”, tambah aku lagi.

..

Maka, berbekalkan kuasa Veto yang ade pada Nayen dan aku hari itu, kami terus pecah tabung, kumpul duit, call kawan-kawan untuk datang untuk sama-sama masak dan buat makan-makan demi meraikan Sakhti, sahabat kami yang pada kami dah anggap seperti adik-beradik kami sendiri.

Zuhur berganti Asar, bilangan kawan-kawan yang datang pun makin bertambah.

Masing-masing datang dengan membawa ‘potluck’ masing-masing serta terus selinsing lengan baju, duduk bersila bersimpuh menolong untuk acara memotong bawang (baca:membawang) dan penyediaan juadah makan pada hari itu.

Bila dah makin ramai, suasana rumah tersebut cukup meriah seperti suasana malam raya gamaknya.
Best sangat.

Meriah kau nyah. Macam-macam menu lah yang kami sediakan untuk malam tu, cumanya bila sampai part nak masak kari, kami semua terdiam.

“Weyh kau reti tak masak kari india, Pizu? ” tanya aku pada Ketua Chef Pizu de Walrus (Dr Hafizu).

Semua orang menggeleng kepala tak tahu.

“Kari Melayu, aku tahu lah. Kari india ade letak santan ker, weyh? ? ” balas Pizu lagi.

Sambil jarinya lincah meng-google resepi Authentic Indian Curry di laman sesawang youtube. Mencari ilham untuk membantu.

..

Terganggu mungkin dek bunyi bising kami di bawah, Sakhti pun akhirnya keluar dari bilik dan turun ke bawah.

Melihat kami ramai-ramai berkumpul memasak di bawah, Sakhti tersenyum dan bertanya

“Eh, ade apa ramai-ramai datang ni? Birthday siapa ni?”.

..

Tuang. Tuang. Tuang (sounds effects sikit)

Semua orang terdiam.

Memandang sakhti.

Pekejadahnya surprise bila Sakhti dah tahu.

Dan siapakah yang patut jaga pintu Sakhti supaya dia tak turun ke bawah tadi tu?.

Ah sudah.

“Happy Deepavali, Sakhti”.

Wish salah seorang dari kami memecahkan kebuntuan suasana awkward sepi krik krik sebentar tadi.

Dan ianya diselangi dengan ucapan yang sama dari setiap kami bersahut-sahutan.

“Happy Deepavali, Sakhti The Boy”

“Happy Deepavali”

“Happy Deepavali, anne”

“Anne roti canai satu ! “. usik nakal si Ali (Dr Helmi) yang kini bertugas sebagai MO Surgery di Sebuah Hospital Kerajaan yang sibuk di Klang.

Usikan itu disambut dengan Sakhti secara bersahaja, ” Ok siap! “, yang mencuit hati kami lantas semuanya tersembur ketawa berdekah-dekah melihat keakraban antara Ali dan Sakhti (Mind you, only Ali can pull out this kind of joke, cos they were so close).

..

Sakhti lantarannya berterima kasih kepada kami atas usaha ‘surprise yang tidak berapa menjadi ni’.
dan berterima kasih kerana sedikit-sebanyak ianya membantu mengubat kerinduannya pada ibu bapa dan keluarganya nun jauh beribu batu di taiping,Malaysia sana . Especially pada hari Deepavali ini.

” No hal lah, sakhti. After all, kita kan family kan? ”

..

Acara diteruskan lagi, dengan akhirnya Sakhti sendiri yang memasakkan dan mengajar kami bagaimana membuat an Authentic Indian Curry seperti mana yang telah diajarkan turun-temurun oleh ibunya.

“Ha, macam ni lah baru ‘kaw’ indian chicken curry” kata Sakhti setelah mengapprove food tasting karinya sendiri.

Malam itu selepas usai solat maghrib yang tidak begitu lama selepas solat asar(kerana waktu solat di musim winter adalah berbeza sedikit disebabkan waktu siang yg pendek dan waktu malam yang panjang), kami lantas mengisi perut yang berkeroncong dengan kelazatan Authenthic Indian chicken curry hasil air tangan Sakhti beserta nasi briyani panas-panas berasap disulami dengan teh tarik ‘kaw’, buatan Ali.

Nikmat sungguh rasanya berpeluang menikmati juadah sebegitu di waktu-waktu winter sejuk mencengkam yang sangat gloomy dan dull sebegini.

Ketika makan, kami bersembang-sembang bertanya pada Sakhti tentang bagaimana selalunya Sambutan Hari Deepavali di rumahnya ketika di Malaysia.

Asyik sekali, Sakhti berseloroh bercerita tentang sambutan sebenar Deepavali di Malaysia. Bagaimana gah nya hari itu disambut bersama keluarga dan saudara maranya.

Selepas bersalaman, sahabat kami Toy (Dr Syafiq helmi), menghadiahkan Sakhti sekotak coklat Kit Kat sebagai tanda ingatan ikhlas dari kami sahabat-sahabat Bff yang datang sama-sama meraikan sebuah persahabatan yang cukup erat pada hari itu.

Dan kami pun akhirnya, pulanglah ke rumah masing-masing membelah kesejukan malam yang menusuk tulang belulang yang mana mampu mengebaskan muka, tangan dan telinga itu. dengan hati yang giran, perut yg kenyang dan beserta dengan ‘ruh’ semangat yang tenang.

..

Nah, inilah cerita kami dan Sakhti.

Seorang sahabat, seorang teman dan seorang rakan yang kami dah anggap seperti adik-beradik kami sendiri.

Saya percaya, anda semua pasti ade seorang sahabat seperti Sakhti.

Tidak kisah lah bangsa apa pun, kita orang melayu, orang india, orang cina, orang sikh, orang iban dan orang kadazan adalah bersaudara dan sama-sama membentuk dan bernaung di bawah kibaran Jalur Gemilang kita.

Saya menyeru rakan-rakan dan sahabat dari semua kaum dan agama untuk berhenti menyebarkan sentimen perkauman yang mencederakan dan merobek hati-hati bangsa malaysia dan mencemar keharmonian kaum yang telah kita kecapi dan nikmati selama ini di bumi bertuah ini.

Apa pun yang berlaku, kami tetap berdiri teguh bersama Sakhti sepertimana Sakhti pasti berdiri teguh bersatu bersama kami.

~ Sama-samalah kita sebarkan kecintaan, keamanan dan menolak sebarang bentuk perkauman ~

– Amal Amani

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *