Assalamualaikum hai. Aku nak kongsikan satu cerita taubat seorang samseng hanya kerana “tersentap” mendengar satu hadis Nabi saw.
Setiap manusia mempunyai masa silamnya, al-Qa’nabi dahulunya merupakan seorang yang gemar melepak dan menghabiskan masa lapang dengan perkara yang tidak berfaedah.
Bahkan beliau pernah mengugut untuk menikam Syu’bah bin al-Hajjaj yang merupakan ulama hadis tersohor di zaman itu!
Suatu hari ketika al-Qa’nabi melihat seorang syeikh sedang berjalan di Basrah diikuti oleh ramai orang. Beliau bertanya siapakah syeikh tersebut yang nampak ‘famous’.
Jawab mereka, “Itulah Syu’bah Bin al-Hajjaj”.
Lalu beliau pergi ke Syu’bah Bin al-Hajjaj dan meminta Syu’bah membacakan dan memperdengarkan hadis kepadanya.
Syu’bah enggan kerana al-Qa’nabi bukanlah di kalangan murid beliau dan nampak bermain-main, tidak bersungguh. Berang dan marah dengan keengganan Syu’bah, maka beliau berkata,
“Sampaikan aku suatu hadith atau aku akan tikam kau dengan pisau aku!”
Setelah diugut oleh al-Qa’nabi, Syu’bah bersuara dan berkata, “Mansur menyampaikan kepada kami, daripada Rib’i, daripada Abi Mas’ud al-Badri r.a, katanya “Sabda Nabi s.a.w:
إذا لم تستحي فاصنع ما شئت
“Jika engkau TIDAK MALU, maka buatlah apa yang engkau suka!”
Hadis tersebut seolah-olah menyentapkan diri al-Qa’nabi yang kelihatan tidak malu sehingga sanggup mengugut ulama hadis semisal Syu’bah di hadapan orang ramai.
Beliau terus mencampakkan pisaunya, pulang ke rumah lalu membuang semua minuman keras miliknya. Seterusnya beliau berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan Imam Malik.
Setelah beberapa tahun, akhirnya belaiu menjadi ulama hadis yang dikenali oleh penuntut ilmu hadis zaman-berzaman.
Hadis itu juga ibarat kunci baginya mencari pintu taubat untuk merubah dirinya.
– Halawah Iman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit