Kisah Semalam : Malaysia Yang Lebih Baik

Kisah semalam.

Tepat 5:30 pagi, jam phone bijak berbunyi. Aku membuka mata dan mematikan jam. Kelopak mata masih terasa berat untuk terus dibuka.

Sambil itu, phone bijak dibelek, applikasi Whatsapp dibuka. Satu persatu mesej dibaca, dengan harapan semangat untuk melawan mengantuk kunjung tiba.

Sudah menjadi jadual harianku, jam dikunci 5:30 pagi setiap hari.
Jika dizaman sekolah dahulu aku mampu bangun lebih awal beberapa minit sebelum deringan jam itu berbunyi, tetapi kini deringan jam sahajalah yang mengejutkan aku, itu pun sekadar untuk mematikan deringan kemudian sambung tidur, atas alasan ‘5 minit lagi’ dan kemudiannya terlajak sehingga berpuluh minit.

Entah mengapa, seakan terasa semangat dahulu telah tiada. Jiwa terasa lemah tidak berdaya. Aku rindu dengan semangat yang dulu.

Sebenarnya, pagi itu, aku perlu outstation ke Pasir Gudang, Johor. Aku menjangkakan perkara itu mampu memotivasikan diri ini untuk bersemangat bangun awal, seperti waktu dahulu.

Tetapi hampa, 15 minit kemudian baru aku bangun dan mandi, itupun setelah bersusah payah melawan perasaan mengantuk dah malas.
Semangat yang dulu telah hilang, diambil oleh kisah duka.

6:30 pagi aku memulakan perjalanan ke Pasir Gudang. Lewat setengah jam dari jadual asal. Sepatutnya perlu sampai sebelum mesyuarat pada pukul 10.00 pagi.

———

Dari Rawang, aku menyusur masuk ke lebuhraya Guthrie. Sampai di tol Elmina, aku menuju ke lorong tambah nilai. Aku mencongak-congak, RM200 cukup untuk tambah nilai bulan ini.

Entah mengapa, pagi itu seperti kelam kabut. Beberapa keping not RM50 dihulur ke jurutol, Hafizi namanya jika tidak silap. “Top up RM200 ye” kata ku perlahan.

Tidak lama kemudian jurutol tersebut menyentuh kad tersebut di mesin dan memulangkan kembali kad Touch n Go beserta resit dan baki RM50. “Tadi encik bagi RM250” katanya sambil tersengih.

“Ohh..ok. Terima Kasih ye” balas ku sambil tersengih.

Dalam perjalanan, hati ini berfikir boleh sahaja dia menyimpan not RM50 itu secara senyap, tiada yang perasan.

Namun, sikap kejujuran dan keimanan masih kuat dalam dirinya.

Semoga ramai orang akan mengikut jejak langkah pemuda itu dan menjadikan Malaysia sebagai tempat yang lebih baik.

Aku merasakan, orang seperti ini masih ramai di tanah ini, cumanya mereka dilenyapkan oleh kejahatan dan kekejian sebilangan manusia lain yang tamakkan nikmat dunia.

——–

Menerusi aplikasi GPS Here Drive, jangkaan tiba di Pasir Gudang ialah 10:30 pagi, lewat setengah jam dari jaual.

“Ini tidak boleh jadi” bisik hati kecil ku.

Selepas melepasi lebuhraya Guthrie, aku memasuki lebuhraya ELITE pula, pedal minyak ditekan dalam, meter RPM melebihi angka 4000. Dengan enjin berkuasa 1,600cc, kereta aku meluncur laju sehingga ke 160km/s.

Kelajuan yang tidak pernah aku amalkan untuk perjalanan jarak jauh. Namun, dek kerana kecuaian aku sendiri mengurus masa, disiplin itu telah aku langgar.

Namun, Kku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Sedang asyik aku mendengar celoteh Sepahtu di Sinar FM, tiba-tiba mata ku tertumpu kepada meter ‘temperature’, jarum sudah sampai di takuk maksima!

Minyak dilepaskan, signal ke kiri diberikan. Sebaik sahaja masuk ke lorong kecemasan aku menyalakan lampu hazard tanda kecemasan.

Tiba di laluan agak lurus, aku berhenti di lorong kecemasan. Hood depan dibuka. Lantas, berkepul-kepul keluar wap putih dari radiator. Kelihatan cecair coolant berwarna hijau di sekitar radiator dan di bawah kereta. “Mungkin radiator bocor” bisik hati kecilku.

Air di dalam tabung simpanan radiator menggelegak panas. Perlahan-lahan penutup dibuka dan air ditambah.

Kemudian, lapik kaki di dalam kereta aku keluarkan dan diletakkan di atas ‘cap’ radiator. ‘Trick’ biasa untuk membuka ‘cap’ radiator yang masih dalam keadaan panas dan bertekanan tinggi. Selepas air ditambah, aku menghidupkan enjin kembali.

Aku mencuba nasib dengan memandu perlahan-lahan dengan harapan suhu kereta akan turun. Selang beberapa ratus meter, suhu turun naik dan kemudian terus naik tanpa ada tanda-tanda untuk turun, aku mengambil keputusan untuk terus berhenti di lorong kecemasan.

Talian bantuan PLUS aku hubungi, kemudian terdengarlah suara seorang gadis muda, terus aku menceritakan akan masalah yang dihadapi. Kemudian dia meminta lokasi kejadian, dan ciri-ciri kereta, sempat juga dia berpesan agar menunggu di tempat selamat. PLUS Peronda akan tiba dalam masa 30 minit tambahnya lagi.

Menunggu di tempat selamat katanya, maka aku mengambil keputusan untuk menunggu di atas lereng di bahu jalan, pasti lebih selamat.

——-

Aku jangka mesyuarat bersama konsultan dan klien pagi itu pasti tidak dapat aku hadiri. Lantas, melalui aplikasi Whatsapp, aku meyatakan ketidakhadiran atas masalah itu.

Mereka di dalam ‘group’ Whatsapp itu menerima alasan itu dengan baik, dan mendoakan agar urusan aku dipermudahkan.

Di dalam ‘group’ itu sebenarnya terdirinya konsultan arkitek dan barisan jurutera untuk sebuah projek perumahan.

Apa yang aku mahu puji ialah sikap profesional dan ramah mereka sepanjang hampir lebih setahun projek tersebut dilaksanakan.

Klien iaitu Sime Darby, juga aku boleh kategorikan sebagai terbaik.

Pernah aku berurusan dengan staff syarikat lain , namun cara mereka bekerja tidaklah terlalu ramah, kadang kala bersikap agak “bossy”, maklumlah duduk di tempat Klien.
Ada juga cerita akan budaya sesetengah syarikat yang gemar mengeluarkan kata-kata kesat.
Namun, perkara seperti itu tidak pernah terjadi lagi sepanjang projek ini.

Kesalahan biasanya akan disusuli dengan rasa marah. Tapi, sebagai mana kita tidak suka dimarah, amalkan sama sifat itu kepada insan lain. Jika perlu juga marah itu dikeluarkan, tidak perlu pun sehingga meninggi suara dan kata-kata kesat.

Sikap itu harus dipuji dan dicontohi oleh kita semua, demi mencipta Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

———-

Selang 10 minit kemudian, sebuah Proton Saga berhenti. Aku menceritakan masalah yang dihadapi. Dia menggangguk dan kemudian mengambil sesuatu di keretanya dan kembali dengan sebuah tong putih 5 liter yang penuh berisi air.

Selepas mengisi air, enjin dihidupkan dan kelihatan air dari tangki simpanan radiator menitik di bawah kereta.

“Head gasket bocor” kata pak cik itu secara bersahaja.

Lalu aku bertanya akan kos untuk ‘towing’ dan anggaran untuk ‘repair’.

Setelah beberapa detik mencongak, “Semua sekali lebih kurang RM500”, katanya.

“Mahal sangat” balasku kemudian.

“Habis tu gasket berapa? Towing dah RM150, minyak hitam lagi” katanya cuba meracuni fikiran aku supaya terima tawarannya.

Aku merenung ke tempat lain, sambil hati cuba untuk berfikir dengan lebih jelas dan tenang. Kemudian, aku memberi alasan untuk menghubungi kawan aku dahulu. Aku menghubungi seorang kawan, namun panggilan tidak berjawab.

RM500 adalah kos yang tidak masuk akal bagi aku pada waktu itu. Tukar radiator baru pun dalam RM200-RM300. Hati aku memberontak, tidak mahu percaya akan pak cik itu.

Selang 10 minit, PLUS Peronda tiba. Aku menjelaskan mengenai masalah radiator, dia cuba menghidupkan enjin dan melihat keadaan air di radiator. Kemudian, mereka memberitahu bahawa mereka boleh tarik sehingga ke susur keluar terdekat sahaja.

Aku mengangguk tanda setuju. Pak cik tadi aku tinggalkan.

Selepas mengikat tali, kereta di tarik sehingga ke susur keluar berdekatan pekan kecil Taboh Naning. Kereta aku dipandu oleh staff peronda PLUS.

Dalam perjalanan itu, kami bertanya khabar. Dia meluahkan impiannya untuk sambung belajar sehingga mendapat Ijazah, demi mendapat tempat yang lebih baik di alam pekerjaan.

“Diploma seperti sudah tiada apa-apa lagi sekarang” keluhnya.

Aku hanya mampu mendengar keluhannya itu. Usianya baru 32 tahun, namun dengan kehidupan sebagai ketua keluarga, cabarannya memang besar.

—-

Selepas sampai di susur keluar, aku mengisi borang dan mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Menurut mereka, ada bengkel berdekatan yang boleh aku tujui, kira-kira 1km sahaja.

Pesan mereka lagi, pandu perlahan-lahan dan cap radiator tak perlu tutup, biar terbuka.

Aku mengikut nasihat mereka, sampai di bengkel, deretan rumah kedai dua tingkat, aku parking berhampiran kerana bengkel masih belum dibuka. Jam pada waktu itu kira-kira 8:30 pagi. Masih sangat awal mungkin.

Kemudian, aku menuju ke sebuah restoran, sebungkus nasi lemak dan teh ais menjadi alas perut pada pagi itu.

Kira-kira jam 9:00 pagi, bengkel dibuka.

‘Pomennya’ seorang lelaki Melayu, melihat keadaan bengkelnya, dia ini seorang yang minat akan jentera 4×4 dan kaki ‘offroad’.

Aku bawa kereta di depan bengkel, kemudian dia melakukan pemeriksaan.

Tiada ruang bocor yang dijumpai di radiator. Kipas radiator juga berfungsi seperti biasa. Enjin dibiarkan hidup beberapa minit, kemudian diperiksa lagi, masih seperti tadi. Jarum suhu juga di bawah paras separuh.

Pelik. Bila dengan ‘pomen’, boleh pula kereta ni jadi baik bukan? Ciss..geram rasanya.

Mungkin kejadian tadi disebabkan kekurangan air atau kipas tidak berfungsi, tiada keputusan jitu yang dapat diputuskan.

Air yang menitik semasa overheat tadi pula rupanya disebabkan oleh air dari tangki simpanan yang menggelegak, jadi ia akan mengalir ke tiub overflow jelas ‘pomen’ itu.

Jam sudah menunjukkan 10;00 pagi, aku mengambil keputusan untuk balik terus ke KL dan outstation hari itu dibatalkan sama sekali.

Lantas aku bertanya akan harga bayaran. Dia hanya menggeleng perlahan tanda tidak perlu.

Inilah sikap pemurah ramai peniaga Melayu yang aku jumpa. Sikap pemurah dan tidak berkira yang jarang ada pada peniaga bangsa lain. Mungkin sifat belas kasihan bangsa ini agak tinggi sedikit. Pasti ada yang akan mengkritik kesimpulan aku ini, tapi biarlah pengalaman aku sendiri yang menjadi batu asas dengan dalam diri ini.

Sebuah lagi peristiwa yang boleh dijadikan contoh untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik bukan?

Dalam perjalanan pulang, aku terfikir akan ‘pomen’ di lebuhraya tadi, adakah dia jujur atau sebenarnya membantu dengan niat yang lain?

Pomen yang kedua itu pula, boleh juga jika dia mahu mengambil kesempatan. Aku bukannya tahu sangat mengenai automotif.

Pengalaman hidup ini telah mengajar aku untuk tidak terlalu cepat percaya dengan orang lain. Beberapa kali ditipu, beberapa kali diambil kesempatan, biarlah peristiwa itu menjadi pedoman supaya kita lebih berhati-hati.

Jika jumpa insan yang baik, aku mendoakan agar mereka diberkati Ilahi atas sifat jujur mereka itu.

————
Malam itu, aku berkumpul bersama rakan seperjuangan yang lain. Rakan semenjak di UiTM dahulu, semuanya golongan profesional tetapi masih di peringkat junior executive.

Memang sudah menjadi tradisi kami semenjak tamat pengajian untuk berkumpul dan bertanya khabar. Topik perbualan biasanya berkisarkan mengenai industri dan pengalaman masing-masing di tempat kerja.

Kemudian, aku mendengar cerita mereka semasa melancong di luar negara. Perbandingan di antara orang Eropah dan Asia menjadi topik utama.

Kesimpulan dari perbualan itu, dari sudut budaya, orang Asia biasanya agak kasar, gopoh dan ‘tidak gentleman’. Sementara di Eropah, mereka lebih berbudi bahasa dan sangat berdisplin dalam mengikut peraturan.
Cuba bayangkan, berapa rakyat kita yang potong barisan lalu lintas, yang buang sampah merata-rata dan sebagainya?

Ada sesuatu yang perlu kita lakukan bersama-sama supaya adab dan kesopanan disuburkan kembali di tanah ini.
—–

Kisah hari itu penuh dengan jalan cerita dari hari biasa, yang akan aku jadikan sebagai pedoman hidup untuk hari mendatang agar aku dapat menjadi salah seorang yang menyumbang ke arah menjadikan tanah yang tercinta ini sebagai tempat yang lebih baik untuk semua, tanpa mengira bangsa, miskin atau kaya.

– Matz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit