Untuk part I, (https://iiumc.com/kisah-setahun-lalu/).
Assalamualaikum. Pertamanya terima kasih admin kerana menyiarkan kisah aku. Terima kasih kepada semua yang komen dalam pos aku kelmarin. Aku baca kesemuanya.
Aku sambung kisah aku ini kerana aku ingin betulkan beberapa tanggapan pembaca terhadap aku, Mia & suami. Kisah pertama aku tak perincikan kerana bimbang terlampau membuka aib sendiri, dan ragu-ragu orang mengenaliku. Iyalah, di pejabatku ini memang semua suka baca IIUM Confession.
Sebenarnya aku tidak boleh melahirkan zuriat lagi. Aku tiada masalah untuk hamil masa muda, tapi tiada rezeki, Usaha? Sudah kami usahakan pelbagai alternatif, namun hasilnya kami masih berdua. Dan kini, aku sudah monopos. Masuk tahun ke-2. Seusia hubungan suamiku dengan Mia.
Maksudnya memang aku tak boleh beranak lah kan. Pasal anak angkat. Jujurnya, kami berdua pernah berbincang sejak tahun ke 8-10 dan seterusnya, tetapi disebabkan kami berdua sendiri sibuk, kerjaya kami menuntut kami untuk keluar daerah, negeri, menyebabkan kami tidak berniat untuk mengambil anak angkat.
Iyalah, pada masa tu, siapa sangka aku akan diuji dengan kehadiran Mia. Jadi sekiranya kalian mencadangkan aku mengambil anak angkat; aku katakan tidak. Usia aku bukan lagi untuk menjaga anak angkat. Aku mohon maaf dengan pendirian ini.
Keduanya, adakah suami aku curang di belakang kerana inginkan zuriat? Aku ada bertanyakan pada dia.
Jawapannya bukan semata-mata kerana itu. Katanya, kalau disebabkan zuriat, dari dulu dia sudah mencari, bukan ketika usia sekarang. Katanya, perwatakan Mia. Perwatakan Mia seperti aku yang menyebabkan dia tertarik dengan Mia.
Dia akui Mia ada perwatakan yang menarik, bijak, sebagai lelaki, dia tidak dapat menafikan perasaan itu. Pada awalnya dia tidak pernah terfikir untuk punya perempuan lain selain aku, namun kehadiran Mia mengubah segalanya.
Segala-galanya. Cuma, dia tidak sanggup berterus terang denganku, kerana pertama, dia tidak mahu aku kecewa, kedua, apa alasannya untuk berkahwin, tidak bahagiakah dia dengan aku selama ni.
Dan ketiga, keluarga. Ya, dia fikirkan keluarga. Keluarga aku, dan keluarga dia. Bolehkah mereka menerima keadaan ini.
Perkara ini yang menyebakan aku sendiri apabila melihat Mia aku termenung. Mia sama sepertiku? Ya, setelah aku perhatikan Mia, aku sedar Mia lebih banyak berdikari, rajin, berpewatakan menarik, buat kerja pantas,
Ramai sebenarnya yang sukakan Mia sebab dia seorang yang pandai mengambil hati , eh aku puji Mia bukan bermaksud aku puji diri aku, Cuma aku nak jelaskan itulah perwatakan Mia yang berjaya menambat hati suami aku.
Jadi, kepada pembaca yang menganggap suami aku inginkan Mia kerana zuriat, dan suruh suami aku berkahwin dengan janda lah, berkahwin dengan ibu tunggal lah, tidak perlu lah. Sebab suami aku tertarik kerana perwatakan Mia. Itu yg utama. Lelaki usiaku diuji dengan kehadiran gadis.
Ketiga, Mia. Ada yang mengatakan Mia gatal, Mia sondol, Mia murahan, Mia terdesak. Aku kira kalian berhentilah dengan kecaman dan kata-kata itu. Kita akan diuji dengan kata-kata kita. Aku akan ceritakan.
Aku dengar ceramah ustazah Asma Harun, aku dengar ceramah Dr Muhaya, semua yang berkiatan dengan pasangan, dan akhirnya baru sedar, selama ini aku tidak melayan suamiku lagi. Aku tak pupuk kasih sayang tu. Sebab aku yakin suami aku tidak akan curang.
Seperti yang semua tahu, kerana pekerjaaanku, aku penat, aku letih, aku sibuk. Hanya sebulan sekali, itupun kalau suamiku minta. Cukup ini sahaja aib aku yg aku boleh katakan. Aku sedar, layanan aku pada suami yang menyebabkan suami aku tertarik pada Mia.
Kadang-kadang dia teman aku outstation, tidak juga kami bersama, sebab aku yang penat dan sibuk. Allah. kadang-kadang aku rasa, ini semua disebabkan aku sendiri yang abaikan suami, sebab aku sangka usia begini tidak lagi pentingkan hubungan begitu.
Aku silap. Boleh ke aku undur, mustahil, dalam pada kami bahagia pun aku kurang melayan suami, apatah lagi setelah krisis…. ALLAH, sebenarnya aku lupa tanggungjawab aku kerana aku terlalu kejar kerjaya. Aku tak sedar suami aku perlukan perhatian, belaian.
Pernah dengan kan, lelaki diuji pada usia 40 an. Maka benarlah, suami aku la yang diantaranya. Kalian yang belum suaminya mencecah 40an, jangan kata lelaki ini tak sedar ini atau apa, sebab hati ni ALLAH yang pegang. Kalau Dia nak bolak kan hati manusia, sekelip mata boleh.
Jadi disebabkan itu, aku cakap cukuplah menghina Mia. Mia jadi begitu kerana dia diberi harapan oleh suamiku. Suami ku meminta Mia untuk bersabar sementara di berusaha untuk memberitahuku, sehingga sabarnya Mia, hubungan mereka mencecah 2 tahun.
Maksudnya memang suami aku menaruh pada Mia kerana itu dia minta Mia bersabar dan menunggu. Adakah salah Mia seorang?
Beberapa bulan setelah aku tahu hubungan aku dengan Mia, aku berjumpa dengan Mia. Mia yang meminta untuk menjelaskan semuanya. Disebabkan sudah beberapa bulan, hati aku yang sedikit lega, aku terima pelawaannya.
Aku sangkakan Mia ingin mengundur diri, atau sebagainya. Tapi sebenarnya, Mia mohon untuk menjadi madu aku. Allah, hampir sahaja aku sembah air ke muka dia. Tapi kerana maruah, aku bertahan.
Mia katakan, dia masih menunggu suamiku. Dia sudah terlalu sayang suamiku, dan meminta izin untuk aku membenarkan suamiku mengahwininya dengan cara baik. Reaksi aku ketika itu? Aku masih marah, masih lagi rasanya Mia begitu berani mencabarku. Tapi aku bertahan, tidak aku katakan walau sepatah.
Aku habiskan segelas air. Lalu aku bayar, dan aku beredar. Mia aku biarkan sendirian. Namun dia teruskan misi dengan mesej aku memohon izin, dan begitulah. Aku belum buat keputusan, sehingga hari ni. Biarpun setahun sudah berlalu.
Bagaimana aku dengan suami. Seperti yang aku ceritakan, keluarga aku dan keluarga suami sendiri hampir memulaukannya, namun setelah dia tidak memilih aku, keluarga suami mula menerima suami.
Aku serba salah juga mengadu kepada adik iparku, dan keluargaku. Sebab ketika itu aku terlalu marah. Aku tak sempat berbincang dengan suami, terus masuk campur tangan kluarga,
Sebab itu keadaan kami jadi makin rumit. Tekanan demi tekanan yang kami hadapi. Kami tidak terurus seperti dulu. Bukan suami, aku juga, Tidak fokus kerjaya. Hampir semua kerja kami menolak kepada orang bawah.
Tapi sehingga sekarang, tidak ada yang berjaya mengesan konflik di antara Aku, suami & Mia, sebab kami berlakon seolah2 tidak apa-apa. Aku sedang usaha perbaiki driku, Bangun malam tahajud. Suami menangis2 merayu memohon ampun atas dosa dia kepadaku.
Dia juga tidak mahu berpisah, tidak sanggup dia hidup dalam keadaan begini, untuk berapa lama lagi. Aku kesian dengan suami. Walhal aku juga berdosa. Aku Berdoa memohon petunjuk apa pengakhiran hubungan ku dengan suami. Sebab semua ahli keluarga sudah tahu.
Aku masih lagi meneruskan rutin harian sebagai isteri, memasak, mengemas, membasuh, kalau tetamu datang kami seolah-olah pasangan paling bahagia. Aku kesian dekat suami, tapi diri aku. Aku juga memikirkan Mia. Andai mereka berkahwin di belakangku, aku buat sesuatu yang dihalang….
Tapi aku tak sanggup kehilangan suami. Usiaku ini aku mahu bersama suami ke akhit hayat. Sudah 18 tahun kami hidup bersama berdua. Terlalu sukar untuk aku hilang dia.
Dan suami juga katakan dia tidak akan ceraikanku, tapi perasaan dia pada Mia? Adakah sudah hilang?
Laporkan pada pihak atasan hubungan suami dengan Mia? Seolah-olah aku buka aib sendiri. Kini aku suami & Mia masih macam dulu.
Suami dilihat tidak ada apa-apa dengan Mia, tapi begitulah mereka dulu sehinggakan aku tidak syak apa-apa. Aku buntu. Bolehkah aku menerima Mia? Bagaimana keadaan kami nanti.
Aku tidak pasti cerita ini akan bersambung atau tidak, tapi setakat ini sahaja. Aku mohon kekuatan supaya ALLAH bantu aku keluar dari kesulitan yang sedang ALLAH uji buat kami bertiga.
– Nasha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit