Kisah Si Dongok

Zaman saya membesar, saya sangat suka membaca buku. Membaca adalah passions yang membuatkan saya rasa ‘hidup’. Diberi pilihan antara makan dan buku, saya memilih buku kerana ia adalah lauk paling sedap untuk minda.

Satu cerita zaman kanak-kanak yang kekal melekat dalam kepala dan sarat teladan. Ini kisah saduran dongeng rakyat, tapi saya lupa dari negara mana asal usulnya.

Tipikal cerita tentang tiga beradik lelaki, zuriat kepada pemilik ladang kaya raya. Anak sulung dan kedua memiliki paras tampan serta disayangi bapa. Mereka juga fasih berkata-kata menjadikan mereka berlagak dengan kelebihan dianugerahkan.

Malang si anak ketiga yang rupanya biasa saja. Sudahlah tidak kacak, dan dianggap dungu kerana selalu berpakaian selekeh dan comot berbanding dua abangnya. Tapi dia paling rajin membantu kerja bapa di ladang.

Suatu hari, sang raja penguasa negara mengumumkan untuk mencari calon menantu. Semua jejaka di segenap ceruk mempunyai peluang sama rata untuk memenangi hati si puteri jelita. Syaratnya, hadir ke istana dan berjumpa mata dengan puteri, dan tunjukkan bakat yang mampu memikat.

Maka berduyunlah rakyat jelata mahu mencuba nasib untuk menaiki takhta. Tentu tidak ketinggalan dua beradik anak si pemilik ladang.

Bapanya sangat yakin dua anaknya ada peluang besar untuk berjaya. Lalu untuk si anak sulung diberikan kuda paling bagus untuk ditunggang ke istana.

Sementara anak kedua, diberi keldai yang tidak kurang hebatnya. Mereka juga dibekalkan hadiah bernilai berupa emas dan perhiasan mahal sebagai persembahan.

Si anak ketiga hanya memandang, bapanya sedikit pun tidak menaruh harapan untuk dia turut serta ke istana raja.

“Ayah, izinkan saya ke istana untuk melamar tuan puteri,” rayu si bongsu.

“Tidak nak, engkau tinggal di sini bersama ayah untuk mengurus ladang. Lagi pun kamu tentu tidak dipandang tuan puteri dengan keadaanmu sebegini,” bantah bapanya.

Jawapan bapa membuatkan abang-abangnya turut ketawa menghina.

Si bongsu yang digelar si dongok, tidak putus asa. Lalu dia ke kandang, dan mengambil kambing belaan untuk ditunggang. Keadaan itu menambahkan lagi kelucuan abangnya.

Lalu mereka memulakan perjalanan. Sampai di pertengahan jalan, si dongok berjumpa bangkai gagak mati, lalu dikutip. Abangnya kehairanan.

“Apa yang kamu buat si dongok?”

“Saya mahu beri ini buat persembahan si puteri!” Jawabnya selamba.

Abang-abangnya mengekek tak berhenti. Mereka meneruskan perjalanan lagi.

Sampai di satu tempat mereka melalui kawasan becak dan berpasir. Si dongok berhenti. Dia nampak ada pasir halus putih yang sangat lembut dan cair bila dipegang. Tak berlengah, si dongok mencedoknya lalu menyimpan dalam bekas.

Abangnya terus kehairanan.

“Adakah itu untuk persembahan puteri juga?”

“Ya, abang memang pandai.” Sengih si dongok dengan gembira.

“Ahh sudahlah kamu si dongok. Kami tidak mahu menunggu kamu lagi. Kami pergi dulu supaya tidak ketinggalan.”

Kata abangnya, lalu memecut tunggangan masing-masing menuju ke destinasi. Tinggallah si dongok terkial-terkial di belakang menunggang kambing tua ke istana.

Apa yang terjadi seterusnya?

Maka, dengan susah payahnya sampailah si dongok ke istana. Sudah tentu abangnya yang datang dengan tunggangan laju tiba lebih awal. Si dongok mendapat giliran paling belakang.

Orang ramai beratur sangat panjang. Berpeluh-peluh menunggu giliran dari pagi sampai petang. Untung si dongok yang tiba menjelang senja. Tidaklah dia menunggu terlalu lama dalam terik mentari sepanjang hari.

Seramai-ramai orang yang datang, tiada siapa yang diumumkan pemenang. Masing-masing pulang dengan wajah hampa apabila dihalau si puteri dari kamar ujian.

Justeru, abang si dongok sangat gembira kerana menyakini peluang mereka terang benderang. Tambahan pula dengan hadiah mahal sebagai habuan atau sogokan.

Tiba giliran si abang sulung datang mengadap. Dengan keadaan melekit keringat, muka penat serta hampir tamat kudrat, rupa yang hebat bertukar laknat.

Masuk saja ke bilik sang puteri, dia sangat terkejut. Suasana begitu berbeza melencong dari anggapan awal.

“Oh sungguh panas dan hangatnya bilik ini…” Si abang mengeluh membuka kata.

“Ya benar, sebab beta sedang memanggang ayam belanda untuk santapan diraja calon suami bertuah.”

“Oh… Panasnya. Panas.. Saya tidak tahan.”

Lalu si abang membuka butang baju dan mengipas dirinya. Hilang sudah kata-kata manis yang dikarang bagi mengikat hati si juwita. Dia hanya menumpukan pada dirinya, persekitaran dan suasana. Bahkan, lupa pada hadiah yang patut dipersembahkan.

“Ada apa-apa lagi yang mahu kamu katakan?

“Tidak… di sini terlalu panas untuk berbicara!” Bentak si sulung.

“Jika begitu, keluar kamu dari sini. Kamu tidak layak untuk duduk di istana,” tegas puteri.

Maka hampalah si sulung. Keadaan yang sama juga berlaku kepada si tengah, bahkan semua calon bertandang. Si puteri juga kecewa.

Tibalah masa si dongok. Iaitu orang terakhir ditemu uji.

“Wah panas sungguh bilik tuan puteri,” sapa si dongok tatkala dijemput masuk. Terpinga-pinga.

Tuan puteri memberi jawapan sebagaimana sapaan peserta lain.

“Ya, kerana beta sedang memanggang ayam belanda…”

“Baguslah, jika begitu, boleh saya tumpang memanggang gagak saya ini juga.”

Si dongok lantas mengeluarkan bangkai gagak dari begnya dan menunjukkan kepada si puteri.

Si puteri mengangkat mukanya dan tersenyum, melihat perwatakan lelaki selekeh yang comot itu.

“Oh, tentu saja boleh!”

Puteri mengarahkan dayang istana untuk mengambil persembahan si dongok.

“Beta ada sos istimewa untuk menikmati ayam belanda ini. Kamu mahu makan gagak ini dengan apa?”

“Jangan risau tuan puteri, patik juga ada kuah istimewa luar biasa.”

Tanpa ragu, si dongok terus menunjukkan pasir halus yang diisi dalam uncangnya.

Puteri ketawa kecil.

“Siapa nama kamu wahai pemuda?”

“Patik digelar si dongok.”

“Bagaimana kamu datang ke istana ini. Kenapa kamu tiba terlalu lambat hingga menjelang malam?”

“Patik datang menunggang kambing tua. Ayah patik tidak menyediakan tunggangan untuk patik seperti dua lagi abang. Patik juga banyak kali berhenti untuk mengutip hadiah buat tuan puteri di sepanjang jalan. Itu sebab patik terlewat.”

Tuan puteri terus ketawa besar. Begitu juga dengan sang raja, para menteri dan juga dayang istana. Seluruh isi istana terhibur.

“Beta suka dengan kamu si dongok. Kamu sentiasa ada jawapan untuk setiap soalan diberi. Kamu tidak terpengaruh dengan persekitaran dan suasana hangat yang mengganggu matlamat dan niat kamu. Bahkan, kamu tidak melihat kekurangan diri, cabaran dan masalah sebagai halangan usaha,” Sang raja bertitah.

Maka, terpilihlah si dongok sebagai pasangan puteri. Dia jugalah dilantik pengganti raja memerintah negeri.

Anda dapat sesuatu?

Apa pengajarannya?

“Cerita kanak-kanak yang terbaik adalah yang mampu mencabar minda orang dewasa!”

Ungkapan ini dipetik ketika saya mengikuti Kursus Penyuntingan Berketrampilan di DBP, dua bulan lalu. Ia benar-benar menerobos benak saya lantas mencungkil kembali hikayat si dongok yang hampir luput dalam memori.

Mula-mula kalimah itu masuk ke koklea, neurotransmitter saya gagal menangkap maksud tersirat. Bingung dan kabur, tapi rasa ingin tahu melahar dari dasar naluri. Bagaimanakah cerita budak yang membuatkan fikiran orang dewasa merasa tercabar?

Apakah lipur lara Bawang Putih Bawang Merah, Cinderella, Snow White, Badang, Pak Pandir, Rapunzell itu bisa mencabar fikiran bukan sekadar hiburan?

Rugi sekali apabila tuan penceramah enggan memberi pencerahan kerana ia di luar topik latihan. Katanya, jika mahu tahu, sertailah kursus berikutnya anjuran DBP. Hehehe, sempat lagi dia selit promosi.

Namun, ayatnya tergam di kepala dan sedikit demi sedikit, Allah cetuskan ilham untuk semakin memahaminya.

Jujur, saya tidak puas hati dengan pengakhiran cerita si dongok. Kenapa sang puteri memilih lelaki selekeh sebagai suami dan menaiki takhta? Akal budak yang tidak lengkap tumbesaran otak mempertikaikan intipati cerita.

Tidakkah jijik mahu makan bangkai gagak?

Adakah logik pasir menjadi kuah hidangan?

Bagaimana begitu mudah sang puteri membuat kata putus dalam masa sehari?

Munasabah ke naik kambing tua untuk perjalanan jauh, bahkan menganiayai haiwan.

Benarkah puteri mahu cari calon suami?

Atau mahu cari pelawak komedi?

Kenapa puteri memilih orang yang bikin dia ketawa?

Kenapa dia buat bilik itu panas berbahang dengan memanggang?

Bukankah lebih baik memilih si abang yang bergaya, dan mintalah dayang kipaskan sehingga dingin suasana.

Kan lebih indah dapat hadiah mahal, perhiasan bergaya berbanding lumpur jalanan, bangkai binatang, apatah lagi sang kambing tua.

Saya tanam persoalan itu jauh terbenam, dan siapa sangka timbul semula selepas 30 tahun berlalu…

Apa jawapannya?

Jeng jeng jeng jeng…

Sebenarnya, puteri dan raja seorang yang bijaksana. Mereka membuka peluang sekata untuk semua rakyat jelata. Begitulah Tuhan kita, Allah berikan kesempatan sama untuk semua orang.

Setiap dari kita berhak untuk ke ‘istana’, yang kita boleh tamsilkan dalam kehidupan sebenar sebagai puncak kejayaan dan jika lebih jauh nun ke syurga. Sama ada kaya, berjaya, berkuasa dan apa-apa sahaja kita mahu, kita semua boleh.

Sebaliknya, kita saja selalu tidak nampak dan memberi pelbagai alasan untuk merendahkan potensi diri, menidakkan peluang terhidang.

Andaikan saja kita si dongok, yang tidak disayangi keluarga, dihina adik beradik, terpaksa berkerja di ladang, hodoh, compang camping malah tidak dipandang sesiapa.

Kita yang biasa-biasa ini. Yang ramai sekali berada paling bawah dalam struktur piramid masyarakat, dan paling banyak melenting tidak puas hati itu dan ini.

Apa yang si dongok buat, apabila tahu tentang panggilan istana?

Apakah dia sekadar pasrah apabila hasrat hati diperlekeh bapa dan ditertawa abangnya?

Adakah dia menangisi nasib di belakang gobok buruk dan taat saja cakap bapa duduk terperuk.

Tetapi tidak, sebagai motivasi si dongok tunggang juga kambing tua. Menggunakan apa saja yang ada dalam genggaman. Dia tidak merayu kuda daripada bapa, tidak juga minta harta. Dia tidak berjalan kaki, tapi dia tetap mahu pergi.

Walaupun kambing tua, lambat tiba, akhirnya dia paling beruntung. Sebab dia tidak beratur menunggu lama untuk sampai giliran dan masih kekal semangat bertemu puteri.

Pengajarannya, walaupun terlambat, pasti ada hikmah. Gopoh dan kencang kalau tak kena cara, rugi jua.

Kemudian, dia pungut bangkai gagak, lumpur pasir jadi bekal. Padahal dia tidak tahu pun soalan bakal dihadap di kamar ujian.

Begitulah kita, kutip saja pengalaman, ilmu sepanjang kembara usia ini kerana kita tidak tahu bila ia berguna. Bila Tuhan takdirkan kita berjumpa, atau tersepak sesuatu di denai masa ini, yakini ia tidak sia-sia.

Kembali pula kepada sang puteri, wakili diri sebagai wanita. Kenapa dalam sebanyak jejaka dari serata ceruk, yang terpilih adalah terburuk?

Kenapa dia memilih lelaki yang buatkan dia ketawa?

Ketawa adalah lambang bahagia. Tiada orang yang jiwa berduka mampu gelak terbahak-bahak kecuali asbab dia gila.

Puteri tidak mahu hidup bersama pasangan yang kacak pada rupa, tapi buruk adabnya. Rupa akan luntur bersama umur. Sebaliknya jiwa berpekerti mulia akan terus subur, walaupun waktu mendekati kubur.

Si abang kacak, berbusana segak, kusut masai apabila beratur panjang, berdepan suasana bahang, terserlah jua segala kepura-puraan.

Tuan puteri sengaja menguji, sejauh mana keperibadian si lelaki apabila berdepan masalah adakah masih kekal gagah atau mudah patah. Bijaknya, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk terus menyahkan orang yang tidak secocok mendampingi.

Bagaimana si puteri boleh ketawa dan gembira dengan jawapan bodoh si dongok?

Mari kita renung, dalam rumah tangga, apabila kita berdepan keliru antara pilihan dan kita mahu berbincang dengan pasangan, tidakkah kita mahu seseorang yang boleh memberi jawapan?

Sekali pun jawapannya tidak bernas, sekurang-kurangnya dia ada idea, menggunakan akalnya, malah sentiasa bersedia.

Usah dilihat jijiknya gagak, atau logiknya lumpur sebagai makanan, tetapi teliti bagaimana si dongok bersedia memberi respons. Perasan tak, kadang-kadang jawapan di luar kotak itulah melorongkan penyelesaian kepada masalah tak terduga.

Bahagiakah jika pasangan yang diaju persoalan jawapannya adalah..

“Suka hati awaklah…”

“Buatlah mana-mana yang awak rasa betul…”

“Ntahlah, saya pun tahu…”

“Fikirlah sendiri, takkan itu pun nak tanya…”

Atau paling haru apabila dia diam seribu bahasa. Ya pun bukan, tidak pun bukan. Meninggalkan kita terumbang ambing tenggelam meneka firasat yang tak tahu hanyut di mana.

Puteri juga nampak, nilai pada diri si dongok sebagai seorang yang berwawasan. Dia tahu apa nak buat dan bersedia awal.

Dalam menilai pasangan, takkanlah pada awal perkenalan diberi sekuntum bunga, kita gembira, tetapi selepas bertahun-tahun berkahwin, masih diberi hanya sekuntum bunga masihkah terbit gembira sama?

Tentulah tidak.

Apabila si isteri membentak, suami kata isteri sudah berubah tidak reti bersyukur. Alahaiii..

Begitu juga jika anda lelaki. Awal pertemuan, jatuh cinta pada perempuan yang pandai masak nasi lemak. Selepas bertahun-tahun bernikah, hanya nasi lemak yang dimasaknya setiap hari sampai naik muak.

Pasti tidak sekali, terlintas rasa jelak dan mahu mencari yang lebih bijak memasak. Tapi orang ramai tuduh curang pulak. Hahaha.

Hakikatnya inilah dinamika sebuah perhubungan dan jalinan cinta. Ia tidak bertahan dan serupa saja daripada mula kenal sampai tidur sebantal.

Kita perlu berubah dan berpandangan jauh ke hadapan seiring kematangan.

Percayalah si isteri yang gembira ketika pertama kali bertentang mata menerima sekuntum bunga, kemudian menjadi sejambak pada hari bahagia,

Dan apabila beranak mendapat pula setaman di halaman dan pasti akhirnya dia tersenyum puas jika si suami terus berjuang dan menghadiahkan seladang bunga luas!

Ia bukan soal syukur semata, tapi usaha berterusan ke hadapan masa.

Begitu juga lelaki, yang pada mulanya suka nasi lemak, tentu lebih bahagia jika dapat juga dijamu sayur masak lemak, kemudian boleh pula membuat kuih muih enak. Inilah yang dikatakan rahsia, suami bertahan pada isterinya walaupun ‘berlemak’.

Justeru, apabila kita berpasangan, kena ada usaha berterusan untuk tingkatkan potensi diri untuk sentiasa maju berilmu.

Apa pun, cerita kanak-kanak ini ringkas, penat kalau kita nak bahas. Jadi, bagi saya kisah si dongok ini contoh hikayat hebat, dan mungkin inilah yang dikatakan ‘mencabar minda orang dewasa’.

Iktibar dari kisah si dongok. Jadilah orang yang bersedia. Sentiasa ada idea. Mendampingi orang yang mudah memberi jawapan, segar dengan fikiran positif, berkobar-kobar dengan harapan, bijak menilai peluang, serta selalu bersemangat walau tenat, adalah sumber kepada kebahagiaan.

Sebab itu cerita kanak-kanak akan berakhir dengan ayat…”Hiduplah tuan puteri dan si dongok bahagia selama-lamanya…” Hehehehe…

– Srikandi Tinta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Perfect huraian dan terima kasih ajak pembaca berfikir bersama. Lama x baca tulisan mcm ni kt iium. So good

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *