Dihujung sebuah kampung, tinggal satu keluarga yang terdiri daripada ibu (Puan Ani), 2 anak lelaki (yang sulung Ali, yang kedua Abu) dan 2 anak perempuan (anak ketiga Liza dan anak keempaf Lina).
Keluarga ini telah lama ditinggalkan oleh si ayah, sejak lahirnya Lina, anak yang bongsu.. Hilang tanpa khabar berita, entah hidup entah mati.
Oleh itu, Puan Ani telah bersusah payah membesarkan keempat-empat anaknya dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara keluarganya.
Saudara-saudara Puan Ani telah lama tidak menghubunginya, seolah-olah seperti Puan Ani tidak wujud dalam keluarga mereka.
Walaupun begitu, Puan Ani sangat beruntung kerana kesemua anak-anaknya cerdik pandai. Setiap anugerah di sekolah dan di kampung, memang akan terselit nama anak-anaknya sebagai pemenang atau penerima anugerah.
Akan tetapi, oleh kerana kemiskinan atau kekurangan sumber kewangan, anaknya yang sulung iaitu Ali telah mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaran ke universiti,
Ini kerana memberi peluang kepada adik-adiknya untuk terus belajar sambil terus membantu ibunya mencari rezeki.
Anak yang kedua iaitu Abu telah melanjutkan pelajaran ke universiti dalam bidang perubatan manakala Liza dan Lina masih di bangku sekolah.
Ajal maut di tangan tuhan. Suatu hari, Puan Ani telah pergi menyahut seruan Ilahi. Tiada sakit, Puan Ani meninggal seorang diri di rumah ketika anak-anaknya keluar bekerja dan bersekolah.
Abu yang ketika itu sedang belajar di perantauan, tidak dapat balik untuk melihat wajah ibunya buat kali terakhir kerana ketiadaan wang untuk membeli tiket penerbangan balik. Urusan pengebumian Puan Ani telah diuruskan oleh orang kampung.
Sejak kematian Puan Ani, Ali lah yang bertungkus lumus bekerja untuk menyara adik-adiknya.
Pernah badan kebajikan datang untuk membawa adik-adiknya tinggal di rumah kebajikan, tetapi telah ditolak dengan baik oleh Ali. Katanya, dia masih mampu untuk menyara adik-adiknya.
Di kampung itu, Ali memang terkenal kerana sikap rajinnya mencari rezeki. Ali juga baik hubungannya dengan orang kampung. Maka, keluarga itu sering mendapat bantuan dari orang kampung.
Ada yang bersedekah makanan, ada yang membantu membayar yuran persekolahan adik-adiknya. Pendek kata, mereka dapat hidup seperti biasa, cuma tiada kasih sayang ibu disisi mereka (ayah memang dah lama menghilang).
Panas tidak sampai ke petang, rupanya ada hujan di tengahari. Satu hari, kampung itu digemparkan dengan kehilangan seorang remaja sebaya Ali, bernama Khalid.
Ali dan Khalid bersahabat baik. Puas dicari, keesokan harinya, mayat Khalid telah dijumpai berhampiran dengan rumah Ali.
Terdapat kesan tikaman di badan Khalid. Ada saksi mengatakan, kali terakhir dia melihat Khalid ialah ketika Khalid bersama-sama dengan Ali.
Tetapi, sebaik mayat Khalid dijumpai, Ali turut menghilang. Liza dan Lina pun tidak tahu di mana abang mereka berada.
Setelah beberapa hari laporan polis dibuat, pihak polis akhirnya dapat mengesan di mana Ali berada. Ali telah dijumpai bersembunyi di atas pokok dan berada dalam keadaan ketakutan. Ali terus dibawa ke balai untuk membantu siasatan.
Tinggal lah dua beradik perempuan di rumah itu. Mereka berdua sangat takut dan sedih, kerana setiap kali mereka ke sekolah, pasti ada suara-suara sumbang mengejek dan menuduh abang mereka sebagai seorang pembunuh,
Sedangkan pada masa itu, pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes kematian tersebut.
Oh ya, pada masa ini, Abu sekali lagi tidak dapat balik kerana memang tiada duit untuk balik.
Tiada sebarang pengakuan direkod daripada tertuduh iaitu Ali. Bukti-bukti yang dikumpul juga tiada yang menjurus kepada Ali sebagai pembunuh.
Tetapi, jika Ali tidak membunuh, kenapa Ali perlu bersembunyi ketakutan semasa polis menjumpainya? Ali masih ditahan untuk membantu siasatan.
Daripada cerita-cerita orang kampung, ibu bapa Khalid telah bertemu dengan Ali semasa Ali dalam tahanan polis. Kedua mereka telah menjerit memarahi Ali dengan mengatakan ayat yang lebih kurang berbunyi begini,
“Jika kau tidak mengaku kau telah membunuh Khalid, siaplah adik-adik kau aku kerjakan.” Ali sangat terkejut dengan ugutan tersebut.
Kerana terlalu sayangkan adik-adiknya, Ali pun mengaku bahawa dia telah membunuh Khalid. Entah betul entah tidak cerita desas desus ini, tidaklah saya dapat pastikan kesahihannya.
Oleh kerana sudah ada pengakuan daripada Ali, dengarnya, Ali telah dijatuhkan hukuman,
Tetapi hukumannya mungkin diringankan sedikit kerana Ali telah mengaku secara terpaksa dan tiada bukti yang sahih yang menjurus kepada Ali sebagai pembunuh Khalid. Hal ini pun desas desus yang saya dengar dari orang kampung.
Kedua-dua adiknya telah dibawa ke rumah anak yatim, juga atas persetujuan Ali, kerana Ali bimbang tentang keselamatan adik-adiknya di kampung tersebut.
Sehingga kini, Ali masih di penjara, Abu masih di universiti, Liza dan Lina masih bersekolah dan tinggal di rumah anak yatim.
Sangat sedih nasib yang menimpa keluarga ini dan saya akan ingat kisah ini sebagai kisah yang tidak dapat dilupakan.
– Kak Pena (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit