Assalamualaikum sahabat muslim yang dirahmati sekalian… Semoga semuanya dalam keimanan dan kesejahteraan..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam keatas junjungan mulia Nabi Muhammad saw…
Terima kasih admin IIUM Confessions sudi memberi ruang untuk saya mencoretkan sedikit bingkisan hati yang terusik malam ini..
Saya menulis nukilan ini pada malam AidilAdha… Bukanlah selayaknya saya untuk mengulas atau memberi pandangan tentang isu semasa atau agama, ilmu dan pengetahuan saya sangat cetek dan terbatas.
Namun mungkin ada sedikit pengisian ilmu dapat membuka mata hati untuk merenung hakikat kehidupan insan yang diciptakan Tuhan.
Jika Tuhan kita berbeza, kenapa manusia itu sama saja kejadian dari benih dari rahim dari ibu, dari bayi kepada tua. Kejadian yang bukan diciptakan manusia tapi Tuhan.
Jadi, pasti ada satu agama yang diturunkan oleh Tuhan sekalian alam kepada hamba yang dihidupkan sebagai pedoman, panduan, pegangan. Kerana kita hamba yang mesti menurut perintah tuan kita.
Jika kita hamba tapi tidak menurut perintah tuan, pasti akan dimarahi atau dipukul selayaknya sebagai hamba.
Jadi menafikan apa yang diturunkan Tuhan dengan mengingkari dan mensekutukan Dia pasti tidak termasuk dalam golongan yang benar.
Katakan Allah Tuhanku yang satu. Siapa yang menyekutukanNya dengan Tuhan yang lain maka kafirlah dia. Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam.
Bersyukur lah kita lahir sebagai Islam. Tiada cabaran untuk mencari agama yang benar. Bagi yang mendapat petunjuk ke jalan yang lurus memeluk Islam.
Itulah kejayaan yang besar. Mereka sanggup bersusah payah mempertahankan agama walau ditentang keluarga atau dipulau sahabat. Demi memegang teguh tali yang benar. Dari petunjuk mukjizat alQuran alKarim.
Namun, hidayah milik Allah SWT. Ada yang sudah didedahkan dengan kebenaran Islam. Telah mengikuti perbandingan agama dan menimbang kebenaran kitab suci tapi tidak mampu membuat keputusan yang betul.
Tiada paksaan dalam memilih agama.
Apa yang saya mahu ketengahkan sebenarnya dari perasaan malam ini selepas melihat satu perkongsian perbuatan mempermainkan agama oleh orang Islam sendiri, ia satu yang menghancurkan hati ini.
Jika kita sayang dan cintakan Islam, kita akan terasa dan sensetif dengan perlakuan yang merendahkan agama atau menghina agama ini.
Ternyata dari komen yang ditinggalkan banyak yang mengecam tindakan bodoh itu. Walaupun ramai yang bodoh menyokong benda itu, namun syukur masih ada yang tahu menilai.
Saya bukanlah terbaik dalam beragama. Tak lari dari dosa. Tidak mampu menghafal separuh alQuran lagi walaupun usia dah hampir separuh abad.
Tapi saya tidak sanggup membuka aib sendiri dipertonton untuk menambahkan dosa diri dan orang lain..
Jika benda itu haram saya kata haram. Halal saya kata halal. Tidak menafikan dosa pahala. Takut dengan azab dunia akhirat angkara kemungkaran yang mengundang kemurkaanNya.
Betapa dunia telah banyak bercerita tentang bala bencana, kehancuran perang, kemalangan ngeri yang tidak kurang dari angkara tangan mata mulut hati jahat manusia.
Jadi, jangan mengikut telunjuk syaitan dan dajal dalam memilih jalan hidup. Ada sebab kenapa menutup aurat itu wajib. Arak itu haram.
Rasuah itu haram.
Semua kerana kasih sayang Tuhan yang mahu hambaNya jadi terbaik. Mahu memberi yang terbaik dalam hidup hambaNya di dunia dan akhirat.
Telah dijanjikan Syurga buat hambaNya yang menurut perintah menegakkan makruf mencegah mungkar.
Bukankah kita semua akan mati. Benda yang paling pasti… Jika yang masih tidak mahu bertaubat agaknya esok masih hidupkah. Dimana jaminannya. Maka bertaubatlah sebelum terlambat. Allah Maha Penerima Taubat.
Syukur masih ada nafas hari ini, masih mampu bergerak dan berfikir, merenung kebesaran Ilahi…
Melihat umat manusia yang berhimpun di bumi Arafah umpama manusia yang akan dibangkitkan di padang mahsyar,
Malah di akhirat sana jauh lebih dahsyat kepadatan manusia semenjak Adam dan berhimpin dalam keadaan telanjang tanpa memikirkan orang lain lagi, kerana telah tertutup buku catatan amal hanya menunggu hisap.
Semoga kita dapat memasuki Syurga tertinggi tanpa hisab… Bayangan akhirat sehari bagai seribu tahun lamanya, andai dihisap tidak tergambar seksanya perjalanan menuju pertemuan dengan Robul ‘alamin.
Moga syafaat Nabi dan alQuran menemani perjalanan kita selain amal soleh yang sedikit ini…
Dengan rahmat ALLAH. Dibuka banyak pintu Syurga sesuai dengan amal soleh hambaNya.. yang paling berat timbangan amalnya adalah akhlak yang mulia.
Muliakan Islam, muliakan RasulNya, muliakan ibubapa, muliakan sesama Islam. Dengan iman dan hati yang bersih akan layak memasuki Syurga dan bertemu arRahman.
Tepuk dada tanya iman. Maaf jika ada yang tersinggung dengan penulisan ini. Saya sekadar menulis apa yang terlintas sebagai hambaNya yang mendamba rahmat dan pahala yang berpanjangan. Sayang semua.
Moga berkat malam AidilAdha ini, beristighfarlah agar dosa kita diampuni, hidup kita dalam petunjukNya dalam lerlindunganNya. Ya Allah kabulkan doa kami. Amin.
Jujurnya sedih dengan mereka yang terjebak dengan dosa dan kederhakaan dikala rahmat Tuhan dan keampunanNya terbuka luas.
Namun kita tidak boleh cepat menghukum hidup mereka yang mungkin sulit dari hidup kita, mungkin mereka mampu berhijarah lebih baik lagi.
Ingat, jika ilmu dan amal kita banyak tapi ada sekelumit sombong memandang rendah kemampuan orang lain… Belum sempurna iman.
Ditakuti orang yang munafik itu yang banyak benda tahu tapi memilih kufur mereka lebih bawah nerakanya.
Yang baik dari Allah SWT, buruk dari diri hamba ini. Jazakumullah. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih sudi membaca, tinggalkan sedikit komen dan pembetulan dari penulisan yang lahir dari hati yang dijentik untuk menulis ini.
Alhamdulillah Allahu Akhbar.
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit