Kita Adalah Pejuang Dalam Hidup Kita

Ada yang tidak sambung belajar selepas tamat sekolah sebab terpaksa menyara keluarga. Keluarga lebih memerlukan dirinya walaupun di hati melonjak-lonjak keinginan untuk belajar setinggi yang mungkin. Melihat rakan seusia sambung form6 atau diploma atau ijazah.

Ada yang selepas habis belajar di kolej atau universiti atau institusi kemahiran perlu bergegas pulang ke negeri kelahiran. Mencari kerja paling kurang di daerah yang paling hampir dengan daerah tempat tinggalnya. Sebab tiada yang menjaga ibu ayah atau ahli keluarga yang memerlukan pemantauan yang agak rapi.

Tetapi bila kembali ke daerah tempat tinggalnya, peluang kerja terhad dan masa yang terbatas antara kerja dan keluarga menyebabkan sijil yang diperolehi terpaksa disimpan untuk tempoh masa yang tidak diketahui. Tetapi tetap terus tersenyum dan berbakti kepada keluarga.

Ada yang perlu melakukan lebih dari 1 kerja untuk menyara keluarga. Menampung tiap lompong yang ada. Bersengkang mata siang dan malam sehingga mengabaikan kesihatan dan keperluan diri semata-mata untuk cukupkan keperluan keluarga.

Ada yang ditinggalkan selepas bertahun-tahun mengharungi susah senang bersama-sama. Seolah-olah setiap detik susah dan senang itu tidak memberikan apa-apa makna untuk yang pergi meninggalkan. Terumbang ambing untuk mengaturkan kembali langkah yang tempang. Merintih dalam meneruskan kehidupan.

Ada yang berusaha untuk bangkit dari kegagalan hidup atau berjuang untuk kembali sihat seperti sebelum ini. Jerit perih, putus asa, malu berdepan dengan orang ramai, low self esteem dan macam-macam lagi yang terpaksa dilalui. Kisah kejayaan atau kesihatan yang sebelum ini hanyalah memori indah untuk dikenang.

Ini hanyalah secebis kisah yang selalu kita lihat dan dengar. Banyak lagi kisah yang kita belum pernah dengar atau lihat.

Apapun kisah anda, anda adalah pejuang dalam hidup anda! Anda adalah hero dalam kisah anda. Anda kuat dan anda mampu menamatkan kisah anda dengan penamat yang paling terbaik dalam hidup anda.

“”…apa pun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti. Nanti kita kan tahu betapa bijaknya hidup…” – lirik lagu Melawan Kesepian, Siti Nur Haliza.

Siapapun anda, atau apapun cabaran hidup anda, saya doakan anda tabah dan sentiasa positive dalam hidup. Semoga hidup anda semua diberkati.

Andai lelah, berhentilah untuk hilangkan lelah. Lepas tu sambung balik perjalanan anda.

-Nur

– Nur

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit