Kita Ni Bukannya Neelofa

Assalamualaikum,

Terima kasih terlebih dahulu diucapkan kepada IIUMC kerana sudi menyiarkan apa yang ingin saya katakan.

Saya ingin menyentuh tentang peniaga-peniaga ikan bilis di seluruh Malaysia ni. Peniaga ikan bilis bermaksud bukan menjual ikan bilis tapi peniaga kecil-kecilan.

Dalam ekonomi kita semakin gawat ini, ramai yang berlumba-lumba berniaga sendiri. Ada yang full time dan ada yang part-time. Tak kiralah apa status perniagaan anda, tolong hadam apa yang ingin saya sampaikan…

Terlebih dahulu, ingin saya ingatkan, yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari diri saya sendiri. Mohon maaf jika ada salah silap sepanjang bertutur kata.

Peniaga-peniaga sekalian, saya percaya ramai di kalangan anda berniaga demi menjana sumber kewangan yang lebih baik. Mohon maaf kalau saya terusik hati ramai pihak, tapi ingin saya utarakan isu berkenaan dengan ‘price control’.

Seperti yg kita lihat sekarang terutamanya di laman sosial Facebook dan Instagram, ramai peniaga ‘wajah baru’ berlumba-lumba mendapatkan pelanggan dengan cara menjatuhkan harga.

Wahai peniaga sekalian, adakah anda berniaga dengan ilmu? Ilmu tidak semestinya anda belajar sampai tahap masuk universiti, tetapi dengan kajian dan pembelajaran sendiri sudah memadai. Jatuhkan harga bukan jalan mudah untuk mendapatkan harga. Berikut adalah sebab kenapa anda tidak harus berperang harga:

1. Anda bukan Datin Aidijuma. Datin Aidijuma menjual tudung bawal murah kerana beliau mengimport produk beliau dalam marjin yang sangat besar sebab itu beliau boleh menjual pada harga yang sangat murah! Tapi kalau anda peminat Aidijuma, anda akan perasan tidak semua produk dijual pada harga sangat murah.

2. Anda bukan Neelofa. Neelofa menjual tudung dalam beberapa minit sudah mampu mencatat jualan berjuta-juta. Sedangkan marjin produk beliau sangat besar tapi beliau tidak menjatuhkan harga walaupun beliau diduga dengan cabaran produk tiruan yang dikatakan 99.99% sama seperti yang beliau hasilkan dan ramai peniaga lain juga turut menciplak hasil rekaan beliau dengan pelbagai jenis gred.

3. Jangan kira keuntungan bersih dengan hanya menolak jumlah modal beli. Anda seekor ikan bilis yang saya percaya melakukan kerja pengurusan stok dari A – Z. Anda buang banyak masa semasa menguruskan pengambilan stok baru (masa adalah jangka masa hayat kita yang sangat berharga), anda harus caj bayaran terhadap masa yang anda gunakan sebagai contoh satu jam yang anda luangkan bersamaan dengan gaji RM10.00. Kemudian, kira lagi kos minyak, tol dan parking jika anda memandu sendiri, kira kos tambang train yang semakin mahal, kira kos teksi jika anda naik teksi, kira kos penghantaran jika produk anda dihantar menggunakan pos. Kemudian, jumlahkan total modal anda dan kos-kos yang terbabit, maka hasilnya itulah ‘landing cost’ untuk modal anda. Setelah itu baru putuskan untuk meletakkan harga.

4. Risiko barang tidak terjual. Anda kena ingat, tidak semua barang jualan akan laris dan risiko untuk rugi sentiasa ada. Bak kata pensyarah saya, kos ketidakpastian. Dengan menjual produk anda pada nilai untung yang sangat tipis, jika sebahagian daripada jualan anda tidak laris, anda nak buat apa? Lelong? Kalau anda pergi ke pusat membeli-belah, anda akan lihat longgokan produk dalam ‘offer bin’ barangan lelong, laku tak lelongan tu? Habis tak jualan tu? TIDAK. Barangan tersebut selalunya tidak akan laku dan habis. Ianya akan buruk di sana. Jadi, kalau difikirkan, berapa kerugian anda? Kalau itu sahaja modal anda, apa anda nak buat? Gulung tikar jawabnya.

5. Pelanggan untung, peniaga mati. Dengan berperang menjatuhkan harga, anda dan peniaga lain akan ‘mati’. Pelanggan semestinya memanfaatkan peluang untuk mendapatkan produk pada harga termurah dan ianya menguntungkan satu pihak (pelanggan). Bila anda jatuhkan harga sedangkan produk anda adalah baru, peniaga lain tidak akan dapat cari makan dan mereka terpaksa turut menjatuhkan harga, malah lebih rendah daripada harga yang anda tawarkan untuk melariskan jualan. Perkara itu pula akan berlarutan, pasti akan terus jatuh, jatuh dan jatuh sehingga produk tersebut tidak ada harga untuk dijual kerana tidak ada untung. Apa jadi dengan perniagaan anda? Mati.

6. Yakin dengan diri sendiri dan Allah. Pada saat anda terdetik untuk melakukan perniagaan, apa yang membuatkan anda tergerak hati untuk melaburkan wang dan masa pada perniagaan anda? Jawapannya adalah KEYAKINAN. Jadi kenapa bila pada mulanya anda yakin membuat pelaburan tetapi anda tidak yakin dalam urusan jual beli? Anda takut rugi walhal selain daripada menjatuhkan harga, anda boleh sahaja membuat promosi dan iklan untuk menarik pelanggan. Pelanggan ramai yang baik tak berkira, kalau mereka suka sudah pasti mereka akan beli. Yang penting harga jangan cekik darah, bak kata orang putih, “win-win situation” dan bila customer happy, kita suka dapat, untung dapat. Lagipun, bukankah rezeki kita sudah tertulis oleh Allah? Allah suka orang yang berusaha – teruskan berusaha biarpun hari ini mungkin anda tidak ada customer, siapa tahu esok atau lusa customers datang berlambak-lambak? Rezeki orang berniaga tidak akan putus. Percayalah.

7. Amal jariah pada tempatnya. Jika anda berniat untuk membantu orang, fikir terlebih dahulu adakah diri anda sendiri terbantu? Adakah anda berjual dengan harga terlajak kasih sayang semata-mata kasihan melihat orang-orang yang tak mampu? Berpada-pada cukuplah. Anda tak perlu jual mahal cekik darah, jual murah tapi menguntungkan cukuplah. Marjin jualan anda tidak besar mana, cuba kira untung bersih per item darab dengan 100, berapa yang anda dapat? Dapatkah anda menjual 100 item anda pada satu-satu masa atau tempoh yang anda kehendaki? Jika modal anda secara total RM8.00, anda jual pada harga RM9.00, untung bersih darab kepada 100, anda dapat RM100.00. Jika pendapatan untung bersih anda RM100.00 sehari, carry on. Tapi bagaimana jika anda memerlukan tempoh seminggu atau dua minggu atau sebulan atau berbulan lamanya untuk menghabiskan stok? Lebih baik makan gaji, cincai makan gaji dapat la juga seribu dua ribu. Tapi kalau berniaga sebulan untung seratus dua ratus, anda tak fikir anda tu manusia yang mempunyai pelbagai komitmen dan perbelanjaan harian yang tak dijangka? Please remember, I believe most of sellers orang yang memerlukan duit untuk pelbagai jenis perbelanjaan. Belajarlah jual pada harga yang berpatutan. Jika nak beramal jariah, niat pada perniagaan untuk beramal jariah selepas untung. Jika dah dapat untung, buatlah amalan projek tamak pahala anda sehabisnya. Waktu itu, contribution anda dalam amal jariah mungkin lebih berkemampuan.

8. Jaga perniagaan anda. Saya mendapat tahu bahawa terdapat pengeluar dan pengedar barangan secara borong menjual harga runcit pada harga yang lebih murah. Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka. Mungkin mereka ingin melariskan produk secepat yang mungkin. Tolong ingat, pelanggan yang memborong dari anda adalah pelanggan yang berulang kerana mereka juga berniaga dan memerlukan stok berterusan. Jika anda menjual harga lebih murah, anda serta-merta membunuh perniagaan pelanggan anda. Jika pelanggan anda rugi, siapa lagi yang akan memborong barang dari anda? Contoh paling mudah, baru-baru ini digemburkan kisah seorang usahawan kosmetik transgender yang tidak menjaga harga barangan sendiri hinggakan stokis-stokis beliau kerugian berpuluh ribu ringgit. Jangan aniaya orang, berdosa besar.

9. Jangan bunuh perniagaan orang lain. Setiap orang ada permasalahan sendiri dan berniaga mungkin salah satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Jika anda rasa berniaga hanya untuk suka-suka atau apa sahaja alasan anda kerana sudah memiliki pendapatan tetap atau datang dari keluarga berada, lupakan dan hentikan. Tahu tak berapa ramai peniaga di luar sana berniaga demi sesuap nasi? Demi susu anak dan lampin, demi kos perubatan, demi duit belanja belajar, demi menyelesaikan hutang-piutang, demi ibu bapa, keluarga dan sebagainya? Ramai yang saya kenal di antara peniaga ni adalah di kalangan orang yang tidak bernasib baik seperti ibu tunggal, belajar tak habis, sukar mendapat pekerjaan tetap dan sebagainya. Fikirkan.

10. Anda berniaga atas kepentingan anda sendiri. Letak kepentingan diri anda teratas sekali sebelum memikirkan kepentingan orang lain. Anda sendiri yang tahu apa kepentingan anda.

Terlalu banyak lagi untuk di’highlight’kan tapi cukuplah sekadar ini. Sedikit perkongsian, semasa saya belajar subjek keusahawanan semasa diploma dan degree, pensyarah saya ada menyebut kadar keuntungan restoran mamak adalah 300%. Ramai yang mengadu mahal tapi kebanyakan restoran mamak masih survive dan untung banyak. Pensyarah saya juga ada menyebut kebiasaannya orang yang menjual pada kadar keuntungan sangat tipis ni walaupun ramai pelanggan tapi kebanyakannya gulung tikar. Why? Sebab manusia ni ada limit masing-masing. Sampai bila berpenat-lelah jika keuntungan sangat sedikit yang tidak dapat dibayar dengan keringat anda? Bukan menidakkan kebaikan. Saya tahu orang kita ni rajin berkebajikan, tapi biar bertempat dan tidak melumpuhkan orang lain. Mana yang baik jadikan contoh, yang buruk jadikan teladan. Apapun, saya percaya rezeki masing-masing. Ini sekadar pendapat peribadi. Saya ulang, yang baik semua dari Allah dan yang buruk dari diri saya sendiri.

Maafkan jika pendapat ini bercanggah dengan pendapat tuan puan sekalian, sedikitpun saya tidak bermaksud buruk melainkan yang baik-baik sahaja untuk kebaikan bersama.

Sekian post yang sangat panjang, ikhlas daripada saya dan semoga kita semua dimurahkan rezeki. Aamiin.
Seekor Ikan Bilis

– P MY

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit