Kita Serasi? Ya… Sekufu Tidak!

Namaku Hud. Muhammad Hud Husaini. Aku dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan. Kurang dari segi apa? Maksud aku dari segi harta. Keluargaku bukanlah orang senang. Sejak dari kecil lagi aku sudah terbiasa hidup susah. Kalau boleh kuringkaskan, hidup aku dan keluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malam? kalau ada, baru makanlah.

Dek kerana itu, saudara-mara seboleh-bolehnya tidak mahu ada kaitan dengan kami. Yalah, orang susah kan. Ada masanya kami terpaksa juga tebalkan muka meminta tolong daripada saudara-mara. Ada yang sudi tolong. Alhamdulillah. Ada yang ‘ikhlas’ tolong. Juga alhamdulillah. Disebabkan itu, aku kasihan terhadap keluargaku. Aku berjanji akan menolong keluargaku apabila aku dewasa kelak.

Alhamdulillah, mak ayah aku sangat sayangkan kami dua beradik. Walau rasanya tak mampu untuk aku berjauhan daripada keluarga, tapi aku terpaksa juga selepas aku mendapat keputusan UPSR yang cemerlang. Aku tinggal di asrama yang jauh daripada kampung. Rindu keluarga? sudah semestinya. Tak pernah putus aku doakan kebahagiaan dunia dan akhirat buat ahli keluargaku.

Seperti remaja lain, aku mula merasakan satu perasaan yang istimewa ketika berada di tingkatan 4. Sukar untuk aku gambarkan bagaimana rasanya perasaan itu. Maksud aku perasaan kepada seorang perempuan. Rakan sekelasku itu bernama Nur Haeffa Humaira’. Efa memang seorang gadis manis beraut wajah yang sungguh ayu. Dihujung alis mata kanannya ada tahi lalat kecil. Sangat manis bagiku. Jika dia tersenyum pula akan terlihatlah lesung pipit kecil di sebelah kiri pipinya. Sungguh menawan.

Oh ya, Efa gadis berkaca mata. Agak lucu juga bagiku jika dia mengecilkan mata semasa kawan-kawannya melambaikan tangan kearahnya dari jauh jika dia tidak memakai cermin mata pada waktu itu. Saat itu juga adalah kesempatan untukku mencuri pandang wajahnya. Terasa berbunga-bunga hati ini jika dapat memandang wajah comel miliknya walau cuma sekejap. Cepat-cepat aku menundukkan pandangan kerana aku tahu, aku tak patut ada perasaan begini pada Efa.

Aku orang susah. Jauh berbeza dengan dia. Dia orang senang. Rumahnya besar 2 tingkat. Kami sekelas pernah datang beraya ke rumahnya. Aku cuba tepis perasaan aku jauh-jauh. ” Ramai lagi yang lebih layak untuk Efa, yang pasti bukan kau Hud”. Ayat tu sering aku bisikkan pada diri aku bila hati aku terlampau berbunga-bunga ketika melihat Efa.

Aku tidaklah kacak. Budak kampung yang suka main panas. Waktu petang pergi menangkap ikan di sungai. Kadang-kadang main bola di padang. Boleh agak kan warna kulit aku ni macam mana? Tapi dah dewasa ni banyak pula orang panggil aku Remy. Hahaha. (baca: Remy Ishak).

Apa yang membuatkan aku suka pada Efa? Sebab dia lain daripada gadis yang lain. Dia pelik. Kalau dia bersama dengan kawan-kawan perempuannya, dia suka bergurau senda, tertawa manis dan sedikit manja. Tapi kalau dengan kawan-kawan lelaki, dia layan kami dingin sahaja. Tanya sepatah, jawab sepatah. Sebab tu aku rasa dia pelik. Ada dua watakkah? Atau dia suka perempuan? Tapi takpa. Aku suka dia macam tu.

Semasa di tingkatan 1 sampai tingkatan 3, aku selalu mengusik Efa. Kadang-kadang dia marah aku sebab selalu kacau dia. Aku banyak kali sadung kaki dia sampai dia jatuh ke lantai. Pastu aku lari. Hahaha. Nanti dia akan jerit nama aku kuat-kuat. “Hud, sini kau!” Aku seronok. Tapi tak pelik pun perangai aku tu. Memang terkenal dengan perangai nakal. Masa tu aku tak sedar pun yang aku sukakan Efa. Sampailah di tingkatan 4.

Aku jadi sakit hati tengok Efa berbual ramah dengan Fikri, budak kelas sebelah. Rasa nak tumbuk je si Fikri ni cakap lama-lama dengan Efa. Tapi lepas tu aku dapat tahu yang Fikri dengan Efa tu sepupu. Patutlah. Pelik sebab Efa tak suka cakap dengan lelaki lama-lama. Tapi budak Fikri yang baru pindah tu dia boleh pula cakap lama-lama.

Sejak dari tu aku tahu yang aku memang dah sukakan Efa. Aku cemburu tengok dia berbual dengan lelaki lain. Tapi ada je senior yang kirim salam pada Efa. Kacak juga senior tu. Macam Zul Ariffin. Nasib baik Efa tak layan dia. Makin berbunga-bunga hati aku. Efa aku betul-betul sukakan kau.

Habis tingkatan 5, aku sambung ambil asasi. Sebab aku nak cepat habis belajar dan dapatkan ijazah. Dalam fikiran aku masa tu cuma nak tolong mak ayah aku dapat kehidupan yang lebih baik. Tambahan pula, asasi ni biasiswa. Asal tak menyusahkan mak ayah aku sudahlah. Habis asasi nanti aku boleh terus mohon degree.

Kalau aku dapat ijazah kelas pertama nanti tak payah bayar semula PTPTN. Kalau aku ambil diploma, aku perlu bayar semula PTPTN walaupun aku dapat ijazah kelas pertama. Jadi aku teruskan dengan perancangan aku. Efa pula ambil diploma. Tu pun aku dapat tahu daripada kawan-kawan aku yang lain.

Aku pun tak mengharapkan apa-apa lagi daripada Efa sebab dari awal pun dia tak tahu yang aku sukakan dia. Kami pun teruskan kehidupan masing-masing dan apa yang pasti, selepas ni aku takkan dapat jumpa Efa lagi dan perasaan aku hanya tinggal kenangan.

Sampailah suatu hari, aku terima satu pesanan daripada nombor yang tak dikenali. “Boleh tak kalau aku nak kawan dengan kau? Kawan yang betul-betul”. Ah sudah. Siapa pula ni. Aku abaikan pesanan tu. Mungkin salah hantar agaknya. “Ni aku la. Efa Mera”. Jantung aku macam terhenti sekejap. Berkali-kali aku baca mesej tu. Terus wajah Efa singgah di fikiran aku. Betulkah mesej ni daripada Efa? Rupanya memang Efa.

Betapa gembira hati aku ni, tuhan saja yang tahu. Efa cakap dia nak kawan dengan aku sebab aku baik. Tak gatal. Tapi sebenarnya Efa tak tahu yang aku sebenarnya gugup bila dia ada. Aku jadi pemalu dan tak dapat nak bercakap dengan dia. Hati aku ni berdebar-debar laju kalau dia ada berdekatan dengan aku. Aku nak lari dari tempat tu kalau ada Efa. Mungkin akan nampak macam sombong, tapi bukan macam tu sebenarnya.

Kadang-kadang longlai pula kaki aku ni kalau terserempak secara tiba-tiba. Aku takut nak tengok mata dia yang bundar tu kalau kami bertembung sebab tu seboleh-bolehnya aku akan elakkan diri aku daripada berjumpa dengan Efa. Sebaliknya aku suka memerhatikan dia dari jauh sahaja.

Sejak dari tu, aku mula berkawan dengan Efa. Setiap perbualan pun Efa yang mulakan. Aku jarang nak mulakan perbualan kami sedangkan aku memang betul-betul sukakan dia. Efa suka berkongsi tentang kehidupan dia dengan aku. Tentang ahli keluarga dia, kawan-kawan dia dan juga kucing-kucing dia. Kucing dia semua nama pelakon. Hahaha.

Aku dapat rasa sisi Efa yang berbeza. Dia layan aku seperti mana dia melayan kawan perempuannya yang lain. Kadang-kadang kalau dia tengah sedih atau marah, mesti dia cerita pada aku. Kami selalu bertukar pendapat. Adakala aku mengusik Efa dalam mesej.

Aku paling suka kalau dia balas “Hahahahahahahahha”. Mesti tengah gembira sangat tu. Aku pula jarang nak berkongsi apa-apa dengan Efa sebab aku malu dan aku memang tak pandai nak bercerita. Aku lebih suka jadi pendengar dan pengkritik cerita Efa.

Suatu hari, ayah aku jatuh sakit dan tak dapat nak bekerja. Mak aku pula perlu menjaga ayah aku. Sebagai anak sulung, sudah menjadi tanggungjawab aku untuk menggalas amanah keluarga. Aku termenung sekejap berfikir tentang keluarga. Tinggal satu semester untuk aku habiskan asasi tetapi keluarga aku sangat memerlukan aku pada saat ini. Aku redha terhadap ujian yang Allah berikan. Aku ambil keputusan untuk berhenti belajar.

Aku yakin bahawa rezeki aku Allah dah tetapkan. Aku bersyukur atas segala nikmat yang Allah dah bagi. Impianku untuk menggenggam segulung ijazah aku tangguhkan dahulu. Aku tidak memberitahu kepada Efa perkara ini kerana aku takut Efa tidak mahu berkawan lagi denganku. Sungguh aku sangat sayangkan Efa atas segala kelebihan dan kekurangan yang dia ada.

Aku kini bekerja di sebuah kilang sebagai operator pengeluaran. Sudah enam tahun aku di sini. Tak pernah sekali aku bercerita kepada Efa apa yang sedang aku alami. Ketika aku berasa patah hati dengan ujian hidup aku, aku akan berdoa kapada Allah supaya dikuatkan semangat. Wajah mak ayah menjadi motivasi aku untuk terus kuat bekerja. Kadangkala wajah Efa menenangkan perasaan aku.

Aku masih setia melayan cerita Efa. Sampailah suatu hari, Efa katakan padaku dia telah mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat ternama. Oh ya, Efa telah menamatkan pelajaran dan berjaya mendapat ijazah kelas pertama. Aku turut gembira untuknya. Aku berharap agar suatu masa nanti impian aku juga turut tercapai.

Setelah hampir setengah tahun Efa bekerja di syarikat tersebut, Efa mula jarang untuk menghantar mesej kepada aku. Mungkin Efa sibuk fikirku. Aku yang jarang memulakan perbualan, menolak rasa malu untuk bertanya khabar kerana aku terlalu rindu kepada Efa. Rindu untuk mendengar cerita-ceritanya. Keluh-kesahnya. Marah rajuknya. Hampa dan sepi. Berhari-hari sepi. Tak ada balasan mesej daripada Efa.

Kalau dahulu, Efa merajuk jika aku lambat membalas pesanannya. Tapi aku? aku masih menunggu dan berfikiran positif. Namun jauh dari sudut hati aku, mungkin inilah masanya. Sudah sampai masanya untuk kami membuat haluan sendiri. Aku tak tahu bagaimana untuk hadapi situasi ini sekiranya benar.

“Maaf. Semoga bahagia”. Aku terkedu seketika. Betulkah apa yang aku baca ni? Berkali-kali aku ulang ayat itu di telingaku. Itulah mesej yang masuk dari Efa setelah seminggu aku menunggu. Berkecai harapanku. Hatiku hancur bagai dihiris-hiris menjadi kepingan. Remuk seperti sehelai kertas kosong yang direnyuk-renyukkan dan dicampak buang ke lantai. Tiada kata yang mampu aku ucapkan.

Patah hatiku apabila aku disekat dari media sosial Efa. Aku pasrah. Dengar khabar daripada kawan-kawan yang lain, Efa sedang dilamun cinta. Syukurlah. Akhirnya Efa berjumpa dengan putera idamannya. Aku? aku cuma berdoa semoga aku juga mendapat kehidupan bahagia bersama ahli keluargaku yang tercinta. Aku sangat sayangkan mak, abah dan adik aku.

– Hud Husaini (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *