Assalamualaikum. Salam Ramadan. Terima kasih Admin sudi siarkan confession saya ini.
Kisah saya begini, konflik ini dah berlarutan beberapa tahun kebelakangan ini. Saya pun tak rasa bakal berakhir dalam waktu terdekat.
Pada mulanya konflik ini berlaku apabila saya baru pindah duduk rumah orang tua disebabkan dapat tawaran kerja yang baru. Saya masih bujang lagi.
Sebelum pindah pun dah mula ada ura-ura ada adik beradik yang tak selesa saya bakal duduk sekali.
(Adik beradik saya tu dah berkahwin, anak 4 orang. Hampir 10 tahun dah duduk situ.) Tapi saya diamkan lagi. Sebab pada saya, selagi saya buat hal saya sendiri tak kacau orang ok je kot.
Tapi lama kelamaan mula ada cakap belakang. Katanya saya buat rumah macam hotel. Saya jadi bingung. Sebab waktu kerja saya memang keluar pagi balik lewat petang atau malam. Dan saya jarang sangat makan dirumah.
Selepas itu, dengan status baru bertukar kerja waktu tu adik beradik saya suruh saya bayar bil rumah tu. Sedangkan penggunaan saya adalah untuk seorang berbanding mereka yang ramai.
Saya buat tak endah je waktu tu. Tapi dia jadikan emak sebagai orang tengah untuk minta bayaran bil dan saya mula akur.
Selepas itu bermula episod dia mula bermasam muka waktu saya cuba berbual dengan dia didapur. Waktu tu saya nak masak untuk keluarga. Jadi dari situ, saya mula terasa dan asingkan diri.
Perkara ni berlarutan lama. Sampai pernah juga bergaduh besar. Perli memerli, sindir menyindir. Masih saya diamkan lagi.
Sampai satu hari, perasaan yang saya pendam menjadi barah dan meletus. Saya mula memberontak. Ahli keluarga mula nampak sisi jahat saya. Sedangkan saya dah berdiam lama.
Tapi disebabkan saya tak suka dengar orang cakap2 belakang, saya jadi memberontak dan mula tunjukkan baran supaya orang sedar yang saya bukan mudah dipijak, dikata, dikeji, diumpat.
Tapi apakan daya. Tidak seorang pun ahli keluarga berpihak kepada saya. Pada zahirnya memang perbuatan memberontak saya itu salah.
Hakikatnya, dalaman saya dah lama parah.
Rentetan dari kisah ini berlarutan sehinggalah dia mengalah dan berpindah dari rumah orang tua.
Bila orang kata kita, kita diam dan cuba sabar. Tapi makin kita diam, makin dikata. Saya bukan dicipta dari cahaya. Saya dicipta dari tanah juga.
Cara saya memberontak, saya huraikan semula keburukan dia selama tinggal disitu.
Setiap hari emak akan masak makanan untuk mereka sekeluarga. Bangun pagi jangan kata, kalau matahari belum tembak ke muka masih lagi membuta.
Kain baju sekeluarga dia, emak yang lipat. Anak dia emak yang sediakan makanan dari sarapan hingga ke makan malam.
Ya, dia beli lauk basah. Tapi disuruh emak yang masak. Apa saja yang dia teringin, order saja pada emak. Sampai ada suatu masa, sayur yang dibelinya rosak. Dimarahnya emak sebab tak masak sayur itu.
Begitulah manusia, bila kekurangan orang yang kecil terus dibesarkan. Bila saya senaraikan kekurangannya, terus sentap. Dikatanya saya mengungkit.
Sekarang bila dah duduk berasingan, emak masih bekalkan lagi lauk hidangan. Sejak dia keluar dari rumah orang tua, memang saya yang ambil tugasan memasak lauk pauk.
Tapi kalau dia tahu saya yang masak, dia berkeras tak nak ambil. Maka terpaksalah emak berbohong mengatakan emak yang masak.
Bila emak bagi lauk pauk yang telah dimasak, dia akan share dalam group wasap keluarga, ‘Sampai umur 44 tahun ni pun emak ayah masih bagi lauk’.
Mungkin dia rasa dia masih menang sebab mak masih ‘masakkan’ lauk untuknya. Tapi, kalaulah dia tahu yang setiap kali emak bekalkan makanan itu adalah dari masakan saya, pasti ‘dimuntahkan’ semula.
Saya jenis kalau orang tak mulakan, saya takkan teruskan. Niat saya waktu tu hanya ingin ‘membalas’ dan cuba membuka matanya. Tapi malangnya ia menjadi semakin teruk pula.
Sampai sekarang saya masih terpulau. Adik beradik masih menghormati dia sedangkan saya masih mengasingkan diri sehingga kini.
Entahlah, mungkin pada orang saya ini ego tak bertempat. Tapi jauh disudut hati saya masih sayang pada keluarga. Cuma saya takut untuk kecewa berulangkali.
Saya tak suka orang kata belakang. Kalau betul saya salah, tegur depan2 dan bawa berbincang.
Sekarang saya banyak diamkan diri bila dirumah. Pada asalnya saya adalah seorang extrovert yang takkan henti2 bercerita apa yang berlaku sehari-hari.
Tapi bila perkara ni terjadi, saya akan jadi introvert dirumah dan extrovert bila bertemu kawan2 diluar.
Setelah bertahun saya mengkaji, barulah saya temui punca berlaku semua ini.
‘Emak’.
Ya, emak. Emak saya sejenis yang suka mengadu domba. Sekarang bila dia mula bercerita perihal anak-anak lain, saya akan kunci mulut rapat-rapat supaya tak ada sebarang komen dari mulut saya.
Sebab kebiasaanya apa yang keluar dari mulut saya, akan dijadikan modal pada anak lain pula.
Macam mana saya tahu? Banyak kali saya terbaca wasap dia dengan anak lain mengata saya. Haha
Sekarang saya cuma fokus untuk diri sendiri saja. Dan apa saja ihsan yang saya buat pada dia adalah sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai anak saja.
Saya bersyukur Allah masih sayangkan saya. Ada suatu ketika saya rasa lebih baik saya mati saja. Tapi Allah masih tiupkan lagi kewarasan akal untuk saya timbangtara.
Pada saya sekarang, saya tak kisah dah dipulaukan. Saya hanya teruskan hidup seperti biasa dan saya akan mencari kebahagiaan saya diluar sana bila bahagia yang saya cari dalam rumah kini sudah tiada.
Terima kasih sudi baca sampai habis kisah saya. Doakan saya kuat ya!
– Mona (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit