Koreksi Seorang Manager

Kadang aku terlalu tegas, terlalu mahu semuanya sempurna.

Aku lupa bahawa di sebalik angka dan laporan itu, ada manusia yang cuba bertahan.

Ada staf yang mungkin baru belajar,

Ada yang menahan tekanan,

Ada yang diam sebab takut salah.

Bukan semua mampu ikut langkah cepat aku,

Dan bukan semua faham beban yang aku pikul.

Tapi tanggungjawab aku bukan sekadar memastikan kerja siap.

Aku juga ditugaskan untuk memastikan hati mereka tak patah.

Nabi ﷺ pernah bersabda:

“Semoga Allah merahmati orang yang berlapang dada dalam urusannya ketika menjual, membeli, dan menuntut haknya.”

Kalau Rasulullah doakan rahmat untuk orang yang mudah dalam urusan dunia, maka aku lebih patut berlembut dalam urusan dengan orang yang berkhidmat bersamaku.

Mulai hari ini, aku mahu tetap tegas,

Tapi dengan rahmah.

Aku mahu kerja tetap siap,

Tapi dengan senyum dan doa.

Aku mahu tegur bila perlu,

Tapi dengan adab dan kasih.

Aku takkan sempurna, tapi aku mahu terus belajar bagaimana jadi pemimpin yang ditiru kerana akhlaknya, bukan ditakuti kerana pangkatnya.

1) Bila Tegas Itu Menjadi Ujian

Kadang aku fikir, kalau aku tak tegas, orang akan pijak kepala.

Kalau aku tak marah, orang takkan gerak.

Tapi makin lama aku di posisi ni, aku sedar… bukan semua orang perlukan suara tinggi untuk berubah.

Ada yang cuma perlukan satu ayat lembut yang ikhlas.

Ada staf yang diam sebab takut, bukan sebab malas.

Ada yang lambat bukan sebab lalai, tapi sebab tak tahu macam mana nak buat lebih baik.

Dan aku… kadang terlalu laju sampai lupa tarik mereka sekali.

Aku kejar timeline, tapi aku lupa mereka manusia.

Aku mahu hasil cepat, tapi aku lupa Allah tak tengok cepat atau lambat, Allah tengok cara dan niat.

2) Bila Aku Tenang, Aku Terfikir…

Berapa kali aku minta Allah lembutkan hati orang terhadap aku, tapi berapa kali aku sendiri lembut terhadap orang?

Berapa kali aku minta Allah permudahkan urusan aku,

Tapi aku sendiri keras bila orang lain minta kelonggaran?

Allah Maha Adil.

Mungkin sebab itu kadang kerja aku tersekat,

Sebab ada hati yang terasa tapi belum aku pujuk.

Ada jiwa yang patah tapi belum aku sambung.

Dan mungkin…

Rahmat yang aku tunggu belum turun,

Sebab aku masih belum belajar berlebih kurang dalam urusan.

3) Doa Aku Hari Ini

Ya Allah, kalau ketegasan aku pernah menyakitkan, ampunkan aku.

Kalau kata-kata aku pernah menekan, lembutkan lidahku.

Kalau niat aku pernah tersasar dari kerana-Mu, betulkan haluanku.

Jadikan aku pemimpin yang orang rasa selamat bila bersama, bukan yang mereka takut bila nampak.

Jadikan aku sebab rezeki mereka berkat, bukan sebab mereka tertekan.

Aku tahu, aku bukan sempurna.

Tapi aku nak berubah… kerana aku tahu, pemimpin yang baik bukan diukur pada hasil, tapi pada hati-hati yang dia jaga sepanjang perjalanan.

………

Kadang aku pandang siling waktu malam,

Terbayang wajah-wajah yang pernah aku marah.

Ada yang senyum tawar, ada yang diam.

Dan aku terfikir…. adakah mereka masih rasa kecil hati dengan aku?

Aku bukan malaikat. Tapi aku juga tak mahu jadi pemimpin yang menyesal bila terlambat.

Sebab aku tahu, setiap kata aku ada beratnya,

Setiap arahan aku ada hisabnya.

Mereka mungkin panggil aku “boss”,

Tapi di sisi Allah, aku hanyalah penjaga amanah manusia lain.

Dan setiap jiwa di bawah aku akan bersaksi nanti, sama ada aku pernah menindas, atau aku pernah memudahkan.

Ya Allah,

Lembutkanlah hatiku selepas setiap amarah,

Tenangkanlah jiwaku selepas setiap kecewa.

Jadikan aku pemimpin yang Engkau redai,

Bukan yang hanya berjaya di mata manusia.

Ajarkan aku berkata benar tanpa menyakitkan,

Dan menegur tanpa menghina.

Bila aku lupa, ingatkan.

Bila aku kasar, redhakan mereka memaafkan.

Dan bila aku penat, peluklah hatiku dengan rahmatMu.

Aku tahu,

Aku masih jauh dari sempurna,

Tapi aku nak jadi pemimpin yang orang rindu untuk ikut, bukan yang mereka lega bila jauh.

– BMS – Bukan Manager Sempurna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *