Assalamua’laikum.. Nama ku Nor, ingin berkongsi kisah tentang hidupan di zaman ini dan kos sara hidup di Malaysia yang ku rasa sangat terdesak dan makin terumbang ambing.
Maaf jika coretan ini agak tunggang langgang dan panjang. Biar aku cerita kan serba sedikit. Aku sudah berkahwin hampir 15 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata.
Yang sulung baru menganjak ke sekolah menengah, yang kedua masih di sekolah rendah dan yang kecil berumur 1 tahun setengah.
Sebelum ini kami menyewa dan menetap di negeri Selangor sudah hampir 16 tahun.
Suami ku hanya berkerja kilang dan aku hanya mengasuh dirumah untuk menambah pendapatan. Alhamdulillah.. hidup kami serba serbi cukup dengan gaji yang agak lumayan.
Kisah ekonomi merudum kami bermula bila negara melaksanakan PKP tahun 2020 yang lalu.. Waktu tu aku disahkan mengandung disaat umur ku mencecah 37 tahun.
Dengan risiko wanita hamil dan covid 19, kebetulan ibu dan ayah mertua kurang sihat dan keuzuran, kami jadi sangat takut.
Suami mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja dan pindah pulang ke kampung, memandangkan kami sudah membeli sebuah rumah kos rendah di negeri asal kami (utara semenanjung).
Kami percaya.. dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Rezeki ada dimana mana. In Syaa Allah..
Pada penghujung tahun 2021, aku selamat melahirkan. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan.. Suami ku hanya bekerja kampung.
Memandangkan di tempat kami cuma daerah yang kecil. Peluang pekerjaan sangat sikit. Puas suami ku meminta kerja ke sana ke mari,
Kerja kedai makan, gaji yang diberi sangat sedikit. Bukan tak bersyukur.. tetapi Suami perlu membayar ansuran rumah dan loan personal bank yang berbaki 5 tahun lagi.
Jadi hidup kami hanya cukup cukup makan sahaja. Suami cuba berniaga makanan, tetapi kurang sambutan memandangkan disini kawasan kampung.
Suami beralih di sektor kilang, jauh pula berulang hampir 2 jam menaiki motor. Suami bertukar pula kerja di kebun sayur milik rakan kampung.
Suami kerja dari pagi sampai lewat malam, namun gaji yang diterima sangat sedikit.. Kami buntu… Hutang rumah semakin naik dan naik lagi hingga ke hari ini.
Aku pula tidak pandai membuat kuih untuk dijual dan tiada modal membuat kerja online di rumah. Kawasan disini ramai yang tidak bekerja. Jualan pun kurang sambutan.
Anak yang kecil pula jenis memerap setiap masa. Aku hanya sempat menghantar dan mengambil kakak dan abang nya balik sekolah.
Memasak pun hanya yang ringkas sahaja. Aku ingin membantu suami tapi memandangkan anak yang kecil ni tak mahu berenggang, aku membatalkan niat untuk bekerja di luar.
Anak anak pula tiada orang nak ambil bila balik sekolah disebabkan tiada perkhidmatan van sekolah disini.
Dan akhir sekali, kami membuat keputusan.. kini hampir 3 bulan kami terpaksa PJJ. Suami pulang ke kampung nya yang peluang pekerjaan nya lebih ada berbanding di kawasan rumah kami.
Di sebabkan umur suami hampir masuk ke 40, banyak majikan yang tidak mahu mengambil suami ku bekerja.
Alhamdulillah, akhirnya suami diterima bekerja di sebuah mall, di bahagian stor. Buat sementara ini, suami tinggal bersama ibu ayah nya.
Ayah mertua ku ada memberi suami ku sebuah rumah rumah lama, rumah kampong yang berdekatan dengan rumah mertua. Hanya perlu dibaiki sahaja dan sudah pun ditukar hak milik pada suami.
Tetapi disebabkan kami tiada modal, hasrat suami untuk membawa aku dan anak anak untuk tinggal bersama disana, terpaksa dibatalkan dahulu..
Rumah itu hanya 10% sahaja yang perlu dibaiki, tetapi kami tiada wang memandangkan barang kemas habis dijual sewaktu pindah dan keperluan semasa aku bersalin dan perbelanjaan sebelum nya, kami kini tiada simpanan.
Seminggu sekali suami akan pulang ke rumah kami berjumpa anak anak. Dan kadang kadang aku membawa anak anak pulang ke kampung mertua menaiki kereta memandangkan aku pandai memandu. Jarak dalam 2 jam perjalanan.
Setiap hari juga suami video call kerana anak anak merindui ayahnya lebih lebih lagi yang kecil ini sering tercari cari ayah nya. Kasihan juga aku melihat nya..
Tentang adik beradik ku, mereka semua mempunyai keluarga sendiri. Ibu dan ayah ku kini tinggal di rumah salah seorang abang ku kerana mereka sudah uzur.
Dan kini, kami sudah berbincang untuk menjual rumah kami memandangkan ekonomi keluarga kami masih belum pulih dan terkadang gaji suami juga tidak menentu dan masih di bawak 2K. Memang rezeki pekerjaan ada dimana mana.
Namun untuk mendapat tangga gaji yang tinggi adalah sangat memerlukan masa. Aku berniat ingin membantu suami. Aku juga sudah bertanya kedai makan di kampung ku, jika memerlukan pembantu.
Kedai dobi, kerja cleaner di sekolah pun sudah ku tanya namun belum ada rezeki.. Sedih hatiku hanya Allah sahaja yang tahu.. Kasihan melihat suami bekerja seorang diri mencari rezeki..
Kalau boleh aku ingin mencari kerja yang separuh masa sahaja memandangkan anak ku yang kecil ini agak sukar di hantar ke pengasuh.
Buat pembaca sekelian, benar hidup ini sangat keras. Ramai lagi yang diluar sana yang terkesan dengan covid 19 yang lepas dimana ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Kos sara hidup juga meningkat dengan jayanya.
Doakan aku sabar, kuat dalam membesarkan anak anak seorang diri disini.
Semoga ada rezeki untuk aku mendapat pekerjaan, niatku hanya satu. Ingin membantu suami dalam mencari rezeki untuk anak anak kami..
Doaku untuk pembaca sekalian, semoga segala urusan kalian dipermudahkan Allah, diperluaskan dan dilipatganda kan rezeki. Terima kasih kerana sudi membaca coretan ku yang agak panjang ini.. terima kasih..
– Nor (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit