Aku bukan pelajar UIAM, tapi aku seorang pelajar universiti di negeri selatan. Tetapi, aku punyai sebuah krisis hidup yang aku rasakan, patut untuk aku khabarkan sebagai jalan. Jalan untuk aku lepaskan kesesakan di jiwa, keserabutan di minda.
Aku mohon maaf andai penggunaan bahasa aku ini, membuatkan kalian tidak faham.
Sebelum ini, aku menjalani hidup yang normal. Bangun pagi, dan masih punyai kesedaran yang tinggi bahawa aku ini manusia yang aman dan sejahtera secara jasmani dan rohani. Namun, bermula sahaja semester akhir diploma di universiti yang sama, jiwa aku semakin letih. Tekanan dari pengajianku, termasuklah tekanan dari mereka yang serumah denganku. Ya, pada waktu itu aku tertekan. Tekanan yang menyebabkan aku pergi ke surau dan tidak tahu hendaj buat apa. Walhal pada ketika itu, insan-insan lain berpusu-pusu memenuhkan saf solat zuhur secara berjemaah. Aku pula hanya duduk diam di belakang dan memandang mereka tanpa ada rasa apa-apa. Apabila aku meluahkan pada rakan-rakan dan usrahku, mereka mengatakan imanku lemah. Jadi, aku harus kuatkan kebergantungan kepada Tuhan.
Masuk sahaja zaman pengajian sarjana muda pada kemasukan september 2014, jiwaku dikejutkan dengan pelbagai tekanan. Dihimpit jiwaku dari segi pelajaran, ekonomi dan usrahku. Ya, usrahku tetap mengatakan aku ini imannya lemah. Kuatkan lagi kebergantunganku kepada Tuhan.
Jujur dikatakan pada waktu itu, adalah waktu kemuncak krisis hidupku bermula. Aku banyak tidur, kitaran tidurku tidak sekata. Aku kurang makan, sehinggakan aku hanya minum air masak sebanyak mungkin, bagi menghilangkan rasa lapar. Aku kurang telefon ibuku, kerana rasa serba salah dengannya apabila menipu tentang keadaan kewanganku pada ketika itu. Aku rasa sunyi, meskipun pada ketika itu orang sekelilingku memandang aku punyai ramai sahabat yang mampu menolongku. Rasa serba salah aku semakin menebal apabila bersama mereka.
Sehinggalah terjadi suatu perkara, ‘pointer’ semester pertama aku jatuh dengan teruk, sehinggakan pihak universiti menelefon aku untuk memastikan sama ada aku ingin meneruskan pelajaran atau tidak. Dan aku katakan pada mereka yang aku ingin meneruskan pelajaranku, kerana harapan keluargaku tinggi terhadap aku. Meskipun aku anak yang bongsu.
Aku direhatkan satu semester, dan aku terpaksa menipu keluargaku, dengan mengatakan aku masih dalam pengajian. Aku tumpang di rumah sewa rakan baikku, dengan harapan aku boleh menstabilkan semula rohani dan jasmaniku. Meskipun aku menangis setiap hari, kerana egoku yang tinggi dan rasa bersalahku terhadap keluarga aku sendiri. Aku merasakan aku telah membebankan hidup mereka yang berada di sekelilingku.
Semester lepas, merupakan kemuncak depressi aku. Setiap kali aku berada di perhentian bas, aku punyai fikiran untuk membunuh diri. Dan acapkali pemikiran itu tiba, muncul sahaja rakan-rakanku di perhentian bas tersebut menghulurkan bantuan membawaku ke kampus. Sehinggakan aku menangis dalam keretanya secara tiba-tiba, dan dia meredakan aku sebelum aku sampai di rumah. Dia memahamiku, bahawa aku tidak suka meraih simpati manusia, terutama apabila aku dalam keadaan susah, kepada rakan sekelilingku. Bermula dari situ juga, aku cari jalan untuk hilangkan pemikiran untuk bunuh diri ini.
Lalu Tuhan takdirkan aku untuk menghubungi sahabat lama yang sedang menjalani sarjana dalam klinikal psikologi. Dan dia sambungkan aku kepada pakar yang dalam bidang klinikal psikologi dan pemikiran untuk bunuh diri. Aku telah di diagnos, dan dikhabarkan bahawa aku punyai ‘bipolar disorder’, disebabkan keturunan dan krisis hidupku.
Aku cuma ingin khabarkan disini.
Sekiranya ada dikalangan orang sekeliling kita yang masalah jiwa, jangan lari dan jangan cuba mengatakan bahawa imannya lemah. Dia hanya perlukan sokongan dari kita. Bantulah sebanyak mungkin, berikanlah jalan untuknya menghadapi kehidupan yang sukar ini. Nescaya, dia akan mengingati setiap jasa dan budi kita.
P/S: pasal usrah itu, sistem usrah itu baik sebenarnya. Namun orang yang membawa usrah itu boleh membawa keburukan atau kebaikan terhadap sistem tersebut. Sila pilih dengan penuh hati-hati.
Sekian.
– Insan Depressi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit