Kuasa Allah Yang Paling Hebat

Bismillah dan assalamualaikum semua. Pertama sekali jom kita semua ambil masa beberapa saat untuk ucapkan Alhamdulillah atas apa jua nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan kepada kita. Penulisanku kali ini ialah perkongsian pengalaman mengenai kakakku yang disihir.

Kakakku bekerja di sebuah kilang di kampung halamanku. Ketika sedang bekerja, dia didapati pengsan di tempat kerja. Setelah di bawa ke klinik, doktor mengesahkan bahawa kakakku tidak mengalami sebarang penyakit. Untuk pengetahuan semua, kakakku telah bertunang. Ekoran disahkan tidak berpenyakit, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk berikhtiar secara tradisional.

Setelah berubat, kakakku dimaklumkan bahawa telah terkena sihir. Rupa-rupanya dalam diam kakakku telah diminati seorang jejaka, malangnya jejaka tersebut berasa marah setelah mendapat tahu kakakku telah bertunang dengan orang lain. Dek sihir tersebut, kakakku sering pengsan, benci yang melampau kepada tunangnya dan meracau. Agak teruk kakakku disihir kerana pernah suatu hari, dia seakan nazak dan kami sekeluarga semuanya menangis membacakan yassin buatnya.

Kalau nak cerita kisah sihir kakakku ini, dia mula meracau dari mahgrib sehinggalah subuh keesokan harinya. Memang azab dan kesian sangat melihat kakakku diperlakukan sedemikian rupa termasuk disekat makan dan minum. Tapi di sini, aku tidak ingin tekankan perihal sihir yang dialami kakakku. Aku ingin berkongsi tentang kuasa Allah yang tak siapa mampu melawanNYA.

Walaupun kakak aku disihir teruk, siapa sangka, jodohnya kuat kerana mereka selamat juga diijabkabul menjadi sepasang suami isteri yang sah. Sihir kakakku tidak tamat di situ kerana si polan berkenaan terus mengganggu rumahtangga kakakku dengan segala macam santau yang terus dihantar.

Alhamdulillah, berkat semangat kakakku, gangguan tersebut semakin lama semakin berkurang. Hikmahnya kejadian ini, kakakku juga menjadi seorang yang lebih mendalami ilmu agama. Alhamdulillah mereka juga telah dikurniakan dua orang puteri sebagai penyeri rumahtangga mereka.

Di sini, aku ingin menasihatkan buat semua bahawa siapapun kita dan hebat mana pun kuasa yang cuba kita lakukan, ia tidak dapat menandingi kuasa Allah S.W.T. Janganlah kita bertuhankan jin, syaitan dan iblis kerana kelak mereka memakan diri kita sendiri. Sentiasalah belajar redha menerima ketentuanNYA kerana sesungguhnya, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).

Carilah ketenangan berkiblatkan landasan dan ajaran agama kerana dengan menggunakan cara yang kotor, hati kita tetap takkan tenang dan menemui kebahagiaan. Moga Allah ampuni dosa kita semua. Amin. Assalamualaikum.

Ikhlas dari,

– I.A

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *