Assalamualaikum. Tujuan posting saya adalah untuk meminta pendapat dan teguran seandainya saya tersilap. Izinkan saya bercerita serba sedikit latar belakang supaya kalian boleh cuba memahami situasi saya.
Sewaktu saya masih kecil, ayah jarang berada dirumah kerana sibuk bekerja menguruskan syarikat sendiri. Pulangnya malam dan biasanya selepas makan, mandi dan solat, ayah banyak menghabiskan masa mencari ketenangan dan ilham di halaman rumah bersama pokok2 tanaman nya.
Ibu juga bekerja, makan gaji dengan kerajaan. Hal sekolah saya dan adik beradik yang lain biasanya diuruskan oleh ibu. Tetapi pergi sekolah pagi2 kadang2 ayah hantar sebelum ke pejabat, dan ayah beri duit belanja. Kiranya banyak hal ibu uruskan tetapi tidak lah ayah lepas tangan.
Kami membesar menyaksikan ibu ayah kerap berbalah, walau seringkali kami tidak faham punca sebenar. Disebabkan watak ibu yang selalu berada dengan kami, dan ayah yang selalu sendiri, banyak cerita kami faham cuma dari sebelah ibu, sedang ayah wataknya banyak diam bersama pokok2 nya.
Walaupun begitu, antara adik beradik, saya kira yang paling rapat dengan ayah. Semakin saya membesar, ayah sudah mula boleh berkongsi cerita dan kekecewaan yang dirasa. Pun begitu seingat saya cerita ayah tidak pernah sentuh tentang ibu. Tetapi waktu dewasa saya tidak lama bersama ayah. Ayah pergi sewaktu saya berumur 26 tahun.
Sejak ayah pergi, kami adik beradik tidak berani meninggalkan ibu di rumah ayah seorang diri. Kami sewakan sebuah rumah untuk ibu, bersebelahan dengan rumah kakak. Tetapi, semakin kami dewasa bersama ibu, semakin kami sedar kesilapan kami pada ayah.
Bila kami berurusan dengan ibu kadang kala terasa keras kepala nya, tidak boleh di tegur, pemikiran yang aneh dan sering bercerita tentang orang lain. Sehingga saya menjadi kurang selesa dengan ibu sendiri.
Pernah saya tegur ibu supaya kurangkan bersangka buruk pada orang lain, tetapi ibu tidak dapat menerima dan merasakan bahawa saya tidak memahami dan asyik cuba mencari kesalahan ibu, selepas daripada itu ibu terus mematikan panggilan telefon dan senyap.
Saya kalau boleh tidak mahu ibu terus hanyut tanpa sedar kesilapannya, tetapi dalam masa yang sama saya juga tidak mahu mengguris hati ibu. Penyudahnya sekarang saya banyak berdiam dan tidak memberikan perhatian bila ibu mula bercerita perkara2 yang saya tidak suka.
Ibu selalu berkata ibu tidak pernah kacau orang lain, tapi tidak pasti mengapa orang lain tidak selesa dengan ibu. Ibu tidak sedar, ibu selalu terlepas kata dan mengguris orang lain.
Hatta saya sendiri sejujurnya ada terasa dengan ibu. Ibu seakan merasakan ibu lebih baik berbanding saya dan adik beradik yang lain bilamana cara kami mengurus rumahtangga dan anak2 kami tidak setangkas dan secekap ibu, sedangkan ibu juga bekerja ketika muda dahulu,
Ibu pandai serba serbi sedangkan kami sering ‘dimanjakan’ suami kami untuk hanya membeli makanan di kedai dan hanya membayar upah untuk pelbagai perkara yang kami tidak mampu atau tidak mahu buat sendiri.
Ibu bercerita buruk saya pada kakak, cerita pula buruk kakak dan ipar pada saya. Tapi disebabkan kami adik beradik sudah cukup faham jadi kami tidak berbalah. Kami cuma merasakan ibu sukar untuk ditegur dan diperbetulkan lagi.
Akan tetapi kami masih melayan ibu, cuma ada kala nya saya kurang bersedia untuk ada bersama ibu bila saya lebih memerlukan ketenangan.
Saya lebih memilih untuk bersendirian walaupun dalam situasi yang sukar untuk saya tempuh, kerana merasakan sokongan yang saya harapkan seringkali disulami kecelaruan minda dan emosi.
Persoalannya, saya sendiri kerap dihurung rasa bersalah, teruk kah saya sebagai anak sering perlu mengambil masa saya sendiri untuk bertenang kerana merasakan jiwa saya kacau bila bersama ibu?
Saya suka berjalan, ibu ingin ikut bersama, tetapi saya juga perlu ketenangan selepas penat menghadap kerja dan menguruskan keluarga.
Saya pun tidak pasti apa tindakan terbaik yang sepatutnya saya lakukan, adakah mementingkan diri saya dan mencari ketenangan sendiri, atau turutkan kehendak ibu dan terus bersabar?
Saya tahu besar ganjaran nya menggembirakan hati ibu, tapi saya juga tahu tiada guna nya berbuat sesuatu tanpa ikhlas dan kemudian merungut sendiri di dalam hati.
– Lemon Masam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit