Kurniaan Deria Ke-6

Allah swt telah memilih saya dikalangan semua hambanya yang naif untuk merasai keupayaan melihat sesuatu yang tidak zahir pada pandangan mata, saya dikurniakanNya deria yang ke-6, keupayaan saya melihat sesuatu yang bukan dalam dimensi yang nyata.

Sebelum saya meneruskan kisah saya, terlebih dahulu saya menyusun dan memohon kemaafan jika apa yang saya akan kongsikan berlainan dengan apa yang saudara saudari pernah tahu, kerana apa yang saya lalui, hanyalah saya yang merasainya.

Berlainan hamba, berlainanlah ujian dan dugaan yang Allah swt berikan. Jika Allah swt telah menentukan, maka siapalah saya hamba yang hina ini untuk mempersoalkannya.

Berpandukan cerita ibu dan ayah, saya hanya boleh mula bertutur dengan sempurna ketika berumur 8 tahun, saya hanya “mumble” sebelum usia itu. Saya selalu bertutur dan bermain seorang diri, saya sepertinya ada teman berbual kata ibu, benar kata ibu dan ayah, saya memang telah ditemani semenjak kecil lagi.

Ibu dan ayah hanya menyedari semua ini apabila saya darjah 3, begitu juga saya, pada usia inilah, saya mula tersedar, saya bukan bermimpi, saya bukan berkhayal malah bukan juga berhalusinasi. Saya memahami akan kurniaan Allah swt kepada saya berlainan dengan hambaNya yang lain. Saya dikurniakan Allah swt keupayaan melihat mereka-mereka yang tidak didalam dunia kita yang nyata.

Bagaimana saya dapat melihat mereka adalah berbeza, saya tidak nampak secara zahir, seperti nampak dengan tiba-tiba. Pandangan saya akan dimulakan dengan bisikan halus, hembusan nafas, panggilan sayup, derap tapak kaki perlahan, ketukan pintu, serekan loceng dilantai, tangisan sayu, titisan air dan pelbagai lagi.

Semuanya bermula dengan bunyi salah satu diatas bergantung dengan “mahkluk” apa yang akan saya berdepan. Bukan sahaja mata yang berkeupayaan, malah telinga saya juga mampu mendengar lebih jauh dari biasa.

Apabila saya mendapat respon, serta merta saya kesejukan dijari kaki kiri, dan Allah swt akan menampakkan perihal bentuk mereka, bentuk tubuh mereka jika makluk itu merupakan jelmaan manusia.

Pelbagai bentuk telah saya lihat diusia saya kini, katakan sahaja pada saya, menjalar, merayap, berguling, meniarap, melompat, mengesot, berasap, berdebu dan pelbagai lagi, cuma saya tidak/jarang sekali dapat melihat wajah mereka secara berdepan, jika melihat sekalipun, hanyalah pandangan sisi.

Sudah tentu tidak jelas bukan, tapi itulah hakikatnya, saya belum berpeluang, Cuma ada beberapa golongan “makhluk/mereka” yang menampakkan wajahnya pada saya. Seperti golongan jin, bunian, jelmaan dan juga roh kanak-kanak.

“Mereka” (roh & jin) semua ini Allah swt telah tetapkan dialam kehidupan mereka yang mereka tidak menyedari apa yang berlaku, mereka tidak menyedari keupayaan saya melihat mereka, dan hakikat yang paling mengejutkan adalah, sebahagian dari mereka juga tidak nampak kita didunia mereka sepertimana kita tidak nampak mereka didunia kita yang nyata.

Mereka hidup didalam dimensi mereka sendiri, manakala saya, deria penglihatan dan pendengaran berada diantara 2 dimensi. Acap kali saya terkeliru, dimensi mana yang saya dengar dan lihat. Kerana kekeliruan itulah menjadikan saya diri saya hari ini.

Sejak kecil lagi, pelbagai kaedah yang telah ibu dan ayah gunakan untuk menyembuhkan segala “kesakitan” saya. Saya dibawa kesana-kesini, ke hospital sana, kehospital sini, ke klinik sana, ke klinik sini. Susulan temujanji di hospital buat kehidupan saya bertambah parah, bekalan ubat yang berterusan tanpa henti, bertahun lamanya, namun tiada perubahan yang saya alami.

Ubat-ubat itu seperti mengasingkan saya dengan kehidupan reliti. Saya masih ingat akan satu jenis ubat itu, warna nya pink, (tulisan paxis/paxil-tidak pasti), jika saya ambil ubat itu, saya akan mengantuk dan akan tidur, tetapi sebaik sahaja bangun, dimensi saya akan berubah, pendengaran saya didunia lain, manakala pandangan saya di dunia yang nyata.

Bermakna, mata saya melihat reliti, tetapi pendengaran saya di alam satu lagi. Ianya sangat lah menyiksakan, meresahkan hati, kerana didunia lagi satu, ianya tidak sunyi, ianya tidak sunyi.

Pada ketika itu, apabila ayah & ibu berbicara dengan saya, saya tidak dapat respon, saya hanya menjerit untuk melawan suara yang lain. Saya tidak mendengar suara ibu dan ayah, jeritan demi jeritan saya laungkan, namun suara lain jugalah yang saya dengari.

Begitulah sehari-hari saya dimasa lalu, dan selalunya hari itu akan berakhir dengan saya menjerit-jerit, meracau-racau dan kemudiannya menangis sendirian mengharapkan suara itu hilang dengan sendiri, sukarnya saya melalui tempoh itu, cukuplah hanya waktu itu saya lalui.

Bila terlalu sesak didada, bersandarlah saya ditepi almari, dibucu katil, dibelakang pintu, dimana sahaja ruang yang saya rasakan sempit agar boleh menghimpit perasaan dengan harapan hari berlalu dengan pantas.

Hanyalah ibu, ayah dan abanglah sejak dari dulu sehingga kini menyokong untuk saya terus berdiri. Tiada saudara mara, jiran tetangga yang mahu berada dekat dengan sigila seperti saya. Tidaklah saya salahkan mereka, tidak juga saya membenci mereka, anggaplah sekadar keletihan saya dimasa lalu.

Ketika diusia saya 15 tahun, keluarga saya dipertemukan dengan seorang doktor yang Budiman, dia mencadangkan pada ayah dan ibu agar membawa saya bertemu dengan seorang ustaz yang duduk diperkampungan di Jerantut, Pahang.

Cadangan itu diberikan hanyalah kerana pendapatnya, rawatan yang diberikan kepada saya di hospital tidak lagi bersesuaian untuk saya, tiada yang baik jika saya berterusan mengambil ubat yang hanya menjadikan saya lebih tidak waras.

Ibu dan ayah bersetuju tanpa banyak bicara, mencuba lagi tidak salah bagi mereka. Tidaklah saya melihat mereka berkeluh kesah dengan saya, malah abang saya juga turut sama tetap menyokong walau apa juga cadangan yang diberi, dengan harapan adiknya lekas sembuh dan baik-baik sahaja.

Ustaz Halim saya dipertemukan dengan izin Allah swt, pertemuan inilah yang menjadikan hidup saya hari ini, Ustaz Halim ini orangnya sangat baik, baik budi bicara, baik tutur kata, tingkah laku, malah isteri dan anak-anaknya juga terlalu baik.

Tidaklah saya pernah ketemu orang asing yang begitu baik pada saya, begitu mengambil berat terhadap saya, kebaikan apalah yang ibu ayah saya telah lakukan dimasa lalu sehiggakan Allah swt mengurniakan rezeki dipertemukan dengan insan sebaik mereka sekeluarga.

Pertemuan pertama kali dengan Ustaz Halim diatur oleh doktor Budiman, apabila ibu dan ayah mula berbicara dengan ustaz Halim akan tujuan mereka datang, ustaz Halim lantas bertanya kepada saya, siapa yang saya nampak disini.

Pada mulanya saya hairan, kerana tiada siapa pernah bertanya soalan itu kepada saya melainkan keluarga, saya memang tahu dari awal lagi yang ustaz Halim punyai pedamping di kiri dan kanan sejak melangkah masuk kerumah ustaz ini, “mereka” bediri tidak jauh dibelakang ustaz, tidak berganjak dari belakang ustaz, seiring langkahnya dengan ustaz, namun tidak pula memandang saya, hanya melihat kehadapan dan sekali sekala memandang ketepi.

Ustaz terangkan kepada saya, mereka ini seorangnya dari kalangan jin islam, manakala yang seorang lagi adalah hamba Allah swt yang digelarkan sebagai bunian. Dipertemukan dengan mahkluk jin itu perkara biasa, namun mahkluk bunian, adalah kali pertama buat saya. Persis bunian berlainan dengan jin islam, warna kulit, mata, hidung, rambut, semuanya berbeza, bunian seakan kelihatan lebih seperti manusia berbanding jin islam.

Saya diberi keizinan oleh ibu/ayah untuk tinggal dirumah ustaz dan ditemani oleh abang demi mengubati anugerah yang Allah swt kurniakan. Selama tinggal dirumah ustaz, banyak yang telah saya pelajari dan fahami.

Ustaz juga memiliki kebolehan seperti saya, namun kebolehan itu bukan lah anugerah dari Allah swt kepadanya, tetapi adalah yang dicari dan dituntut olehnya demi untuk menuntut ilmu dan membantu mereka-mereka kearah itu, katanya lagi, hati dan imannya cenderung kearah mempelajari ilmu ghaib.

Oleh kerana minat dalam menimba ilmu ghaib, dia menghabiskan masa mudanya dengan menuntut ilmu. Ustaz Halim ini sudah berusia hampir 70 tahun, seusianya sebegitu banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu dan membantu orang lain. Moga menjadi asbab dia ke syurga.

Kebolehan yang dipelajari olehnya amatlah terhad berbanding saya, dia hanya boleh berhubung dengan jin dan bunian tetapi bukan roh, mereka membatu ustaz untuk mengubati orang-orang yang diganggu dan dikhianat. Malah mereka jugalah (bunian) yang sama-sama bersama ustaz membantu merawat saya untuk semakin pulih.

Apa yang saya pelajari dan fahami berkenaan dunia lagi satu adalah mahluk mereka ini, tidaklah kesemuanya boleh berhubung dengan manusia, tidaklah semua mampu menjelmakan diri dihadapan manusia, tidaklah semua boleh tahu bahawa saya dapat melihat mereka, ada sebahagian dari mereka (roh-roh, jin islam/kafir), langsung tidak pernah melihat manusia, malah tidak tahu akan kewujudan manusia.

Seperti yang selalu ustaz ingatkan pada saya, jika ada sebahagian golongan dari mereka dapat melihat manusia, malah jika ada yang dapat berhubung dan berbicara dengan manusia, seperti mana mereka berbicara dengan ustaz, adalah kerana mereka sebahagian dari golongan yang diangkat darjat oleh Allah swt, mereka yang berilmu dan soleh ataupun mereka-mereka yang amat jahat dan handal dalam helah perdayakan manusia.

Cuma berbeza dengan roh kanak-kanak, mereka memang boleh berbicara dan sedar akan kehadiran saya. Mereka boleh menampakkan wajah mereka kepada saya dan saya memanh boleh berinteraksi dengan mereka.

Ustaz dan pendampingnya (Yahya dan Jahada) mengajar saya untuk mengawal keperibadian malah melatih saya untuk menghadapi golongan mereka yang sedar akan kemampuan saya. Mereka mengajar saya berkomunikasi dengan mahluk lain dengan cara yang saya mahukan, yang boleh membuatkan saya tenang apabila berhadapan dengan mereka.

Saya seorang yang penakut, saya sering kali ketakutan, tidaklah kira berapa kali saya nyatakan saya sudah lali, namun setiap kali itu saya ketakutan kerana terasa seperti keseorangan.

Semenjak dari kecil lagi, ibu tidak pernah walau sekali membenarkan saya melawat orang yang telah meninggal dunia, khuatir jika saya melihat sesuatu yang tidak sepatutnya, dan akan mengundang reaksi yang bukan-bukan oleh saya, tidak saya membantah kerana saya juga tidak mahu menimbulkan keresahan hati sendiri, tetapi, apabila saya sudah mempelajari pelbagai ilmu dgn ustaz, saya meminta kebenaran dengan ibu sepenuh hati untuk saya merasainya sendiri.

Ketika saya berumur 21 tahun, anak kepada rakan ibu (umur 4 tahun) meninggal dunia kerana dilanggar tanpa sengaja oleh kereta ayahnya ketika mengundur di garaj. Saya yakinkan ibu, bahawa saya sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Semasa tibanya saya dirumah keluarga anak itu, jenazah masih dalam perjalanan dari hospital untuk dibawa diuruskan dirumah. Semestinya saya tidak pernah melihat wajah anak yang malang itu, malah saya juga tidak mengenalinya, tetapi, Ketika tibanya saya dirumah itu, saya terpandangkan seorang kanak-kanak bermain seorang diri dengan gembiranya ditimbunan pasir ditepi rumah itu.

(Rumah itu dalam proses renovasi dibahagian dapur). Sepantas itu saya mengetahui kanak-kanak itu adalah kanak-kanak yang meninggal itu. Pergerakan nya seperti berbayang, pergerakan nya sesekali perlahan, sesekali terlalu pantas. Kanak-kanak itu kelihatan sangat gembira bermain timbunan pasir dan meniti dibatu bata.

Pertama kali jua lah saya dapat merasa emosi kanak-kanak itu, Ketika saya asyik memandangnya, tanpa saya sedar, saya seakan merasai apa yang kanak-kanak itu rasa disaat itu, disaat saya melihatnya. Seakan emosi dan perasaan anak itu berpindah kepada saya. Anak itu kelihatan sangat gembira kerana ibu tidak memarahi nya kerana bermain pasir. Anak itu sangat gembira kerana dapat bermain pasir.
Subhanallah, Maha suci Allah.

Apabila saya menyedari kehadiran “mereka”(roh yang telah meninggal), saya tidak harus memandang mereka terlalu lama, lebih dari yang sepatutnya (seperti yang selalu ustaz nasihatkan), kerana saya akan dapat merasai perasaan dan emosi “mereka”. Bimbang tidak saya dapat membezakan kenyataan jika saya berterusan melayan emosi mereka kata ustaz.

Sepanjang yang telah saya lalui dalam kehidupan saya, kebanyakan perasaan yang saya rasakan dari “mereka” adalah kosong, tiada imaginasi, tiada perasaan tentang masa hadapan, hanyalah diulang-ulang perasaan itu. Ada yang merasakan celaru, bimbang, takut, resah, sejuk dan tidak berhala tuju. Terasa tapak tangan dan telinga berdesing kepanasan. Namun di ubun-ubun terasa kesejukan.

Sesekali terasa kaki di awangan, adakala merasakan kaki jatuh dari tempat yang tinggi. Perasaan mereka terlalu pelbagai berbeza bagi setiap roh yang saya telah jumpa. Cuma yang berbeza selalunya adalah perasaan anak-anak. Perasaan anak-anak itu sepertinya terlalu gembira tetapi rindu, rindu akan pelukan ibunya, rindu akan suara ibunya. Perasaan rindu itulah yang sering membuatkan saya menangis kesedihan.

Saya pernah jua melalui situasi dimana kematian itu suatu pengakhiran yang paling menyedihkan bagi si arwah (seorang bapa). Emosi si arwah meninggalkan kesan yang paling mendalam dalam hati sehinggakan saya turut sama mengalirkan air mata kesedihan. Perasaan arwah sangatlah berat sepertinya terlalu banyak beban yang arwah telah tinggalkan untuk anak dan isterinya.

Walau sudah dipesan berulang kali oleh ustaz, “kawallah perasaan mu nak, jangan dibiar oleh mu sehingga tidak dapat lagi bezakan mana satu yang nyata” .Seringkali saya tertewas, seringkali itu jugalah hati saya menangis apabila melihat akan kematian yang tidak terduga dan tidak bersedia.

Saya juga pernah pergi ke hari pengebumian seorang ulama’ yang sangat tersohor di Pantai Timur beberapa tahun yang lalu, terlalu ramai yang datang menziarahi, termasuklah ustaz Halim, ustaz berpesan kepada saya, kematian adalah suatu keinsafan buat kita yang masih hidup.

Ketika saya tiba, terlalu ramai yang datang menziarahi, namun yang lebih ramai lagi adalah yang tidak kelihatan, didalam semua keramaian itu, ada sesuatu yang saya tidak pernah rasa dan lihat pada sepanjang hidup saya sehinggalah semasa saya menulis ini. Itulah sekalinya dan mungkin yang terakhir kalinya kata Ustaz Halim.

Walhal langit sangat cerah ketika itu, tetapi suasana amat mendung, nyaman dan berkabus, jika siapa yang hadir dipengebumian itu, pasti dia paham apa yang saya maksudkan. Sesuatu yang teramat besar melintupi langit, berkali-kali kepala ini mendongak kelangit, namun belum dapat mengenal pasti apakah ciptaan Allah ini.

Tidak tahu dimana hujung dan dimana pangkalnya, dimana mula, dimana akhirnya, apakah menyerupai manusia atau pun selain dari itu, ianya bercahaya terang, namun malap,seperti nya sutera, tetapi seakan kelihatan seperti kain tebaran yang besar, namun bukan lah kain kerana dia bergerak laju, menyusur diangin. Dan mereka ini sangat lah banyak, terlalu ramai, mendungnya hari itu adalah kerana bertapa ramainya mereka ini dilangit.

Dek kerana kemulian jenazah ini, Allah swt menghantar mahklukNya untuk menjadi pelindung dan pengiring ketika hari kematiannya. Jin-jin islam juga sepertinya bergerombolan datang berpusu-pusu diantara manusia, Mulianya hamba Allah ini. Layaklah dia menerima penghormatan sebegitu, kerana sepanjang hidupnya, dia berbakti kepada agama.

Namun, layakkah kita merasai kematian seindah ini, diringi pemergian dengan penuh hormat, kasih sayang kerana amalan semasa hidup, dia dimuliakan sebegitu. Kematian ini suatu kerahmatan, tetapi hilanglah kita kerahmatan didunia ini dari berkat orang yang soleh sepertinya.

Saya juga pernah menjejak kami ke bumi Acheh, (Perlak, Acheh Timur) menuntut ilmu dengan seorang guru disana bersama dengan abang diatas nasihat Ustaz Halim. Perjalanan yang amat jauh, 2 kali penerbangan untuk sampai ke bandar Perlak, (Kuala-Lumpur-Banda Acheh-Patiambang – Perlak), masih lagi merasa akan kerinduan akan bumi yang indah itu walaupun sudah bertahun masa berlalu,

Disana, saya diberi pengetahuan, diajar satu persatu bagaimana untuk saya berkomunikasi dengan mereka, mengawal tingkah laku mereka seperti yang saya mahukan, supaya saya dapat mengurus hidup lebih baik. Walaupun banyak mereka yang saya hadapi, lebih banyak lagi yang menghilangkan diri apabila saya memulakan langkah untuk berbicara dengan mereka.

Ada yang terus menyembunyikan diri dari bersua dengan saya bila mereka menyedari kehadiran saya. Mereka menjauhkan diri dari saya. Kerana mereka juga takutkan manusia seperti saya, takutkan manusia yang mampu mengawal mereka untuk dijadikan hamba, tapi saya bukan seperti itu, saya hanya ingin berbicara, untuk mengenali dunia mereka. Saya sepertinya lali sehinggakan saya sudah tidak lagi berasa takut apabila melihat kelibat mereka. Malah ada ketikanya, saya menanti pula.

Cuma, apa yang saya perlu bersedia adalah, jika saya bertemu dengan setanding, mereka akan menampakkan wajah, memandang malah menegur saya. Saya tidak pernah tahu dengan siapa saya akan berhadapan, boleh jadi yang baik, boleh jadi yang membinasa, membina pendinding diri itu yang terbaik, belum tentu yang baik itu, baik akhirnya. Dan boleh jadi yang paling tidak disenangi itulah yang akan membantu.

Panjang untuk diurai, tapi itulah, kehidupan saya tidak pernah sunyi, pandangan masyarakat sekeliling terhadap saya, hanyalah saya seorang yang pendiam, menyendiri, tapi apalah yang mereka tahu tentang saya. Tidak juga saya bersungguh untuk menceritakan pada mereka, kelak pada akhirnya, saya jugalah yang dipandang sepi. Jika keseorangan itu mendatangkan ketenangan, apalah perlu nya disisi yang ramai.

Suatu masa lalu, saya pernah dimasukkan ke wad kerana mengalami kesakitan perut yang kuat, saya menjalani pembedahan membuang apendiks di hospital swasta. Ditahan di wad selama 4hari, semasa itu saya sudah boleh berbicara dengan mereka, tapi terkadang, saya lebih suka hanya memandang mereka dari bertegur, melihat perihal perilaku mereka berlegar-legar.

Disini ada sahaja yang datang dan pergi, ada yang datang dan tinggal, ada yang hanya lalu kemudian menghilang, ada yang menangis, bagi saya semua itu biasa, tiada lagi yang meresahkan hati ini. Cuma adalah beberapa kejadian yang masih saya ingat.

Pada setiap malam jam 11pm, ada seorang doktor lelaki cina, berusia anggaran 50-60 tahun, derap langkah perlahan, teratur dan senyap, dia menampakkan susuk badan nya pada umum, pada ibu juga. Semestinya ibu tidak dapat membezakannya, ibu menjadi peneman saya pada ketika itu, saya tahu dia bukan lagi berada didunia nyata, perilakunya bersahaja, datang kepada saya, untuk memeriksa kesan pembedahan, kemudian berlalu pergi tanpa sepatah kata.

Pada mula, saya hanya biarkan untuk hari-hari pertama, namun malam yang terakhir itu, saya memilih untuk menegur dia, dia masuk ke bilik lewat berbanding biasa, ibu telah pun terlelap di sofa, saya bertanya kenapa dia masih disini, dia memandang tepat kearah saya, memahami persoalan saya kenapa dia masih lagi berpura-pura berada didunia nyata, beberapa seketika kemudian, dia berlalu pergi.

Saya merasakan hatinya masih belum sedar akan apa yang telah berlaku kepada dirinya, dia merasakan dia dirinya masih hidup, masih perlu menunaikan tanggungjawab seperti biasa, perilakunya berulang-ulang tanpa dia sedari sebenarnya dia telah terputus segala urusan nya didunia ini. Perasaan nya seperti berulang-ulang, dia akan mengulangi sentiasa perbuatan nya semasa hidup. Apabila tiba masa kematiannya pun, dia belum lagi tersedar.

Jika saya menyatakan pada kalian, betapa ramai yang roh nya masih belum menyedari akan keadaan dirinya sendiri, roh tidak berbicara tentang masa hadapan, mereka hanya mengulangi masa yang telah lalu, jika saya bertanya kepada mereka tentang apa yang berlaku, mereka tidak memahami persoalan saya. Mereka berlalu pergi.

Saya pernah lihat roh yang duduk dibirai jalan membaling batu, duduk di tingkap melihat permandangan, duduk dikelompok manusia bersama-sama, mereka seperti tidak menyedari apa yang telah berlaku. Seperti kata ustaz, inilah roh yang berlegar-legar, tidak kemana-mana. Juga tidak menyedari apa yang berlaku, tidak berhubung dengan masa depan, juga tidak terkait dengan masa lalu, masa lalu pula hanya di ulang-ulang.

Mereka hanya megulang-ulang perbuatan yang selalu mereka lakukan semasa mereka masih hidup. Terkadang ada yang diantara mereka masih pulang kerumah seperti sediakala, mereka akan terus tidak mengetahui bahawa mereka itu telah pun mati meninggalkan dunia yang nyata ini, telah pun meninggalkan segala apa yang pernah dia ada dulu. Semoga Allah swt merahmati mereka-mereka yang telah pergi terdahulu dari kita.

Saya berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan, saya tinggal dikolej kediaman hanya untuk tahun pertama sahaja (wajib), semester selepas itu, saya berulang alik dari rumah ke fakulti kerana jarak rumah dengan university hanyalah mengambil masa 10 minit melalui federal highway. Dikolej kediaman, saya saya telah bertemu dengan pelbagai bentuk rupa, gaya, warna dan sebagainya, tetapi adalah satu kisah yang saya masih ingatkan.

Ketika itu, hari biasa pada waktu 2-3petang, saya berada di bilik seperti biasa kerana ketiadaan kuliah pada petang itu, pengumuman dibuat oleh pejabat akan kehadiran dua orang technician untuk mebaiki water dispenser di kawasan asrama perempuan. Maka selalunya, perlajar perempuan akan kekal didalam bilik masing-masing sehingga technician menyiapkan tugasannya.

Namun ketika saya leka membaca buku, saya terdengarkan suara yang nyaring dan panjang, pada mulanya ingin saya abaikan sahaja, namun tersangatlah menganggu tumpuan, semestinya nyaringan itu hanya saya yang mendengarnya, maka saya pun menjenguklah keluar pintu bilik untuk melihat dari mana datang bunyi itu, bunyi itu datang dari salah seorang abang yang datang membaiki itu.

Ianya sangat menganggu saya dan saya merasakan keperluan bagi saya untuk berbicara dengan abang tersebut tentang perkara yang dialami tanpa pengetahuannya. Saya berniqab seperti biasa (saya niqabis), saya berjalan menuju ke arah keduanya, saya memberi salam dan menyapa mereka berdua dengan baik.

Sebelum saya mula berbicara, saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya apa yang saya akan katakan kepadanya akan menyinggung hati, dan saya juga bertanya lagi, tidak mengapakah jika kawannya mendengar akan perbualan ini, dia kemudiannya bersetuju.

Saya lantas menceritakan kehadiran mahluk yang bertenggek dibahu kirinya, sepertinya sudah melekat terlalu lama disitu sehingga kelihatan mahluk itu begitu selesa.

Sepanjang perbualan pendek itu, mahluk itu gelisah, bergerak-gerak, menempik-nempik seolah ingin menerkam saya, saya jegilkan mata kepadanya memberi isyarat, saya tidak takut dengan kamu, kamu mahkluk yang dipuja, kuasa kamu hanya pada tuan badan yang kamu duduk.

Mahkluk ini tiada kudrat pun untuk menyakiti orang lain selain abang itu, apatah lagi kepada saya. Dia nak menjerit dan meraung, nak marahkan saya, teruskan. Dia tidak boleh menyentuh saya pun. Saya memang tidak takut dengan makhluk seperti ini, cuma saya benci, kerana mereka sangat jahat, sudahlah duduk menyakiti tuan badan, malah memperdayakan tuan badan ketika melakukan ibadah.

Tambah saya lagi, “ini bukanlah dari keturunan yang diwarisi, bukan juga kepunyaan encik, tetapi seseorang yang sangat rapat dengan encik letakkan disitu, seseorang yang mempunyai talian darah dengan encik”.

Jika yang dipuja itu datang dari kemahuan seseorang yang mempunyai pertalian darah, mahkluk selalunya meneyerupai haiwan seperti kera, beruk. Lidah dan matanya berwarna hitam pekat darah, jari jemari jika ada, kukunya bewarna hitam. Jika berambut, rambutnya lebat dan menutup sebahagian badan mahkluk itu. Badan seperti kera, namun kepala lebih besar dan tidak seimbang dengan badan.

Bentuk kadang-kadang tidak boleh menjadi petunjuk, Cuma sebahagian sahaja. Ini antara-antara yang saya pelajari semasa berguru dengan ustaz Halim, setiap kali ada pesakit yang datang untuk bertemu Ustaz Halim, saya akan belajar bagaimana untuk mengenali mahkluk ini.

Mengenali mereka supaya kita tahu kaedah apa yang perlu kita boleh lakukan terhadap mahkluk ini. Perlukah kita melawannya, membiarnya, membuang atau memindah. Semua ini dilakukan dengan kerjasama antara Ustaz Halim dan pendamping nya.

Dengan ilmu yang sedikit cuma ini. Alhamdulillah, Saya boleh mengenalpasti mahluk-mahkluk yang menumpang dibadan manusia ini dari mana asalnya. Boleh jadi asalnya dari keturunan, tinggallan nenek moyang yang kemudiannya diturun dari generasi ke generasi, samada diketahui atau tidak oleh tuan badan.

Selalunya mahkluk jenis ini, tidak merbahaya, mereka digunakan sebagai pelindung diri oleh keturunan yang terdahulu. Diwarisi apabila pemilik sebenar sudah mati atau sudah hilang kudrat dan kesihatan. Mahluk memilih waris yang paling disenangi pemilik untuk meneruskan legasi, selalunya begitulah. Tapi tidaklah kesemuanya.

Adakalanya, mahkluk ini datang dengan kehendak tuan badan sendiri. Kemahuan tuan badan bagi tujuan tertenu. Dan mahkluk ini selalunya menyerupai bentuk manusia dan mereka ini dari golongan jin.

Jin memang mirip kepada manusia seperti bunian, cuma bentuk badan jin yang sebenar jika tidak menjadi jelmaan adalah bersaiz lebih kecil dari manusia, berwajah hitam, kepala nya sedikit kecil, tetapi lonjong, mata nya miring (kecil), dagu runcing, rambut sedikit dan jarang-jarang.

Tanganya pula lebih panjang dari manusia biasa. Tapak kaki juga lebih besar. Dan wajah mereka pula tidak menyenangkan. Mereka berupaya menyerupai jelmaan, jelmaan yang biasa kita dengar-dengar itu. Hantu orang tua-tua cakap.

Hantu-hantu ini datangnya dari golongan jin jahat, mengganggu manusia menjadi kesukaan mereka. Jangan takut jangan kuathir, mereka hanyalah golongan jin yang handal tetapi tidak bertuan. Jin nakal-nakal kata ustaz.

Mereka handal kerana boleh merubah diri membentuk jelmaan, berupaya menampakkan susuk badan pada manusia, tapi selalunya mereka hanya mengusik sahaja, mereka tidak memudarat kan manusia, manusialah yang memudaratkan diri sendiri apabila memilih untuk menghambakan dan diperhambakan oleh golongan jin ini.

Berbalik kepada kisah abang tadi, saya kemudiannya berpesan, pergilah bertemu dengan ilmuan yang mahir dengan permasalahan ini. Saya tidak akan pernah tahu mengapa mahluk itu dihantar kepada abang tersebut, tetapi jelaslah kehadirannya amat menyiksakan.

Sesekali terpandang, jelas bahu nya senget sebelah oleh kerana betapa selesanya mahkluk itu bertenggek disitu. Sudah sekian lamanya berada disitu, seperti rumahnya pula. Abang itu menyatakan terima kasih kepada saya, dan saya berlalu pergi. Kalau mahkluk jenis yang dipuja orang seperti ini, rupanya amat tidak menyenangkan. Sukar untuk dibuang dari ingatan.

Yang dipuja ini bermaksud, sesuatu yang dibangkitkan kerana dipuja, dijampi. Hidupnya bergantung kepada tuan badan seperti parasit. Mereka ini berjasad jika dapat ditangkap dengan cara yang betul.

Apabila kita berbicara dengan mahkluk ini, mahkluk ini berbohong, mereka suka mengadu domba, mereka akan mereka cerita yang bukan-bukan. Mereka suka porak perandakan keadaan dengan memfitnah, ingatlah, bukan hanya manusia yang tahu berbohong dan memfitnah, mahkluk mereka juga, malah jauh lebih baik sekali, mereka begitu hebat memperdayakan manusia.

Namun sebegitu, tidaklah semua mahluk ini datang dengan kehendak, ada juga mahkluk yang menjadikan tuan badan sebagai tumpangan sementara, mereka ini selalunya mahkluk yang tidak bertuan, yang datang dari dalam hutan belantara, bukit bukau, gua, sungai. Ada juga yang datang dari buangan pengamal perubatan islam. Semua ini adalah kehendak Allah swt.

Tuan badan tersilap langkah, pergi ke tempatnya, mengacau, tidak sengaja mengganggu ketenteraman mereka, mereka akan tersedar dan akan menumpang dibadan manusia yang berada disekitarnya, yang lemah lemah tubuh badan dan lemah rohani. Namun golongan mahluk seperti ini, mereka selalunya lemah, hanya menumpang sekali lalu kemudian meghilang, mereka tidaklah sekuat mahkluk yang dipuja. Jarang sekali mendatangkan mudharat pada tuan badan.

Jika saya memilih untuk berbicara dengan mahluk itu pun, saya tahu dia akan menipu, dia akan berbicara tentang perkara yang memporak perandakan hati tuan badan. Jika tuan badan ada merasai perasaan mencurigai seseorang, mahluk ini pasti menyebut nama yang dicurigai itu dengan tepat sekali. Mahluk ini akan menyebut hanya nama gelaran, bukan nama penuh.

Jika berubat dengan pengamal perubatan islam, dengan kaedah yang betul, mahluk ini akan nyatakan siapa penghantar beserta nama ibu kandung penghantar. Tetapi kebanyakkan pengamal perubatan islam memilih untuk tidak mendedahkan nama penghantar.

Jika kalian dapat melihat sebagaimana saya melihat, ketahuilah, bahawa hati manusia ini penuhlah dengan hasad dan dengki. Penuh dengan khianat, namun pun begitu, terlalu banyak lagi yang boleh disyukuri dengan kehadiran hati-hati yang ikhlas.

Saya pernah melalui minggu yang amat menyedihkan, saya pernah dipertemukan dengan seorang roh kanak-kanak yang meminta saya pergi untuk bertemu dengan ibunya. Meminta saya dengan bersungguh hati, setiap hari dia datang dan menangis dikatil saya, menangis teresak-esak. Dia menangis dengan tangisan paling sayu.

Saya kenal anak ini, dia meninggal kerana kanser, ibunya seorang pensyarah di fakulti saya, saya pernah bertemunya hanya sekali semasa hari makan malam fakulti, dia meninggal dunia pada usia nya baru 9tahun. Selepas pemergiannya, ibunya mengambil cuti selama 2 minggu.

Pada minggu ke-2 kematiannya, anak itu datang bertemu dengan saya semasa saya dikafetaria. Dimana saya pergi, dia mengekori saya dan menangis. Dia menangis sahaja tanpa henti, menangis dan terus menangis. Saya tidak tahu bagaimana untuk saya memujuk dia, dia tetap menangis dihadapan saya.

Adapun roh lain, saya hanya perlu pedulikan mereka, mereka akan hilang dengan sendiri. Tetapi anak ini masih kecil, belum memahami apa yang berlaku. Dia meminta saya bawakan dia bertemu dengan ibunya. Bagaimana saya harus lakukan itu, sedangkan pensyarah itu bukan lah pensyarah subjek saya. Malah pensyarah itu juga sedang bercuti.

Saya akhirnya menangis bersama-sama dengan anak itu. Apalah yang saya boleh lalukan, saya hanya mampu menunggu ibunya kembali bertugas. Adakalanya saya dipujuk oleh Indera (saya akan ceritakan kemudian), akhirnya saya tertidur kerana keletihan dan kesedihan melihat anak ini terusan menangis tanpa henti.

Minggu itu sungguh sayu, tidak kira berapa kali saya memujuknya, setiap kali itu jugalah dia terus menangis. Ibu dan ayah yang melihat saya yang juga asyik menangis, ibu dan ayah juga turut menangis sama melihat saya yang bergenang air mata sentiasa. Barangkali saya berfikir, dia terlalu rindukan ibunya. Kerana dia belum pernah berpisah dengan ibunya. Saya kuatkan hati melayani perasaan nya.

Apabila ibunya kembali bertugas, perkara pertama yang saya lakukan adalah saya menunggu dihadapan biliknya seawal pagi, saya tidak hadir pada kuliah pagi itu. Saya bimbang saya terlepas jadualnya. Saya menunggu dia menghabiskan kelas sesi pagi. Selama itulah saya terusan memujuk anak itu. Anak itu masih tetap menangis, walau saya sudah berulang-ulang kali menyatakan bahawa kita sedang berada dihadapan bilik ibunya. Namun apalah yang anak ini faham.

Apabila ibunya datang menghampiri saya yang berdiri dihadapan biliknya, anak itu terus berlari memeluk erat dan kemudian memegang tangan ibunya, walau ibunya tidak dapat melihat, saya yang melihat ini, terus menangis tanpa henti. Pensyarah itu sangat pelik dengan saya, namun dia mengenali saya dan dia mengajak saya masuk kebiliknya.

Saya menceritakan pada nya, apa yang saya telah lalui sejak kebelakangan ini, dia tidak semena-mena mengalirkan air mata dan percaya apa yang saya tuturkan, saya sebenarnya tidak mengharap bahawa dia akan percaya, saya cuma berharap saya dapat tunaikan permintaan roh anaknya ini, Ibunya juga amat merindukan anaknya itu. Dapat saya lihat betapa kasih seorang ibu terhadap anaknya yang telah pergi.

Apa yang dia tidak tahu adalah anaknya tahu akan doa dia setiap hari. Saya disini hanyalah ingin menyampaikan kepadanya apa yang anaknya ingin memberitahu kepadanya, anak itu sebenarnya meminta saya untuk menyatakan pada ibunya,

“ibu jangan menangis lagi, berhentilah menangis, abangyie ada disisi ibu selalu. Abangyie tidak kemana. Abangyie sudah boleh berjalan, abangie sudah boleh melompat. Berhentilah ibu dari berdoa kepada tuhan supaya ibu tidak bangun lagi, kerana ibu nak bertemu dengan abangyie”.

Sukarnya saya untuk menyuarakan satu persatu ayat itu, saya tahu, emosi dan perasaan saya sudah berbaur dengan anak itu. Walau saya menafikannya, perasaan saya turut sama terkesan dengan anak ini.

Mengalirnya air mata saya ketika mengulang setiap kata anaknya itu, anak itu bukanlah semata mahu saya pertemukan dia dan ibunya, tapi dia hanya ingin saya memberitahu ibunya bahawa dia selalu ada disisi ibunya. Pagi itu teramat hening dan syahdu, sangat menyedihkan, setiap kali saya ingatkan nya, saya akan menangis. Kasih seorang ibu, sanggup berdoa kepada Allah swt supaya jangan dibangunkan lagi dia dari tidur hanya semata untuk meneman anaknya yang telah pergi.

Saya belum dikurniakan perasaan sehebat itu, kerana saya belum berpeluang untuk menjadi ibu, tetapi apa yang saya tahu, ibu anak ini, seorang ibu yang hebat. Selepas pada hari itu, setiap kali saya bertembung dengan ibunya, dia akan tersenyum kepada saya dan saya mengangguk tanda saya dapat melihat anak itu ada disisinya, anak itu selalu ada disisi nya, selalu disisinya. Kasih seorang anak dan ibu, sehingga ke akhir hayat.

Di sepanjang hidup saya, saya telah bertemu dengan pelbagai ciptaan Allah swt, sesungguhnya, kekuasaan Allah itu tiadalah sempadan, telah Dia ciptakan segala bentuk mahluk yang ada dibumi ini, dan saya dipilih olehNya untuk merasai nikmat itu.

Laluan hidup saya, saya telah bertemu dengan seorang hamba Allah swt, hamba Allah swt yang keturunannya dicipta unuk melindungi dan mendampingi manusia sepanjang hayat mereka sejak dari zaman nabi Adam As.

Pertemuan kali pertama dengannya adalah semasa saya berada dirumah ustaz Halim, kedatangan saya untuk kali ke-3 barulah saya dipertemukan dengannya. Namanya Indera, datang dari kalangan bunian yang tinggal paling hampir dengan perkampungan Ustaz Halim, walaupun hampir, sebenarnya kedudukannya agak jauh dari pinggir kampung.

Kedatangan saya sebelum ini, saya hanya bertemu dengan pedamping ustaz bernama Jahada, tapi kali ini, ustaz perkenalkan saya dengan Indera dan kumpulannya. Indera datang dengan berkumpulan, kesemuanya lelaki berpakaian seperti jubah berwarna putih, kelabu cair dan juga kuning cair.

Rumah ustaz sentiasa dikunjungi orang ramai untuk mengubati gangguan, dan kumpulan Indera lah yang selalu membantu Ustaz Halim menghilangkan gangguan, selalunya gangguan dari mahkluk hutan yang dikacau dan diganggu tempatnya, atau yang terlepas dari belenggu hutan kemudian mengacau kampung.

Orang bunian ini kelihatan seakan sebaya sahaja usia mereka, anggaran 30-39 tahun, badan sasa, berdada bidang dan tinggi lampai. Saya ini ketinggian 165cm, masih lagi tampak rendah disisi mereka semua.

Kulit mereka sama sahaja seperti kita, ada yang cerah dan ada yang gelap, rambutnya lebat dan tebal, wajah mereka persis orang arab dan berkumis, tetapi mereka tidak lah setampan orang arab didunia kita. Tubuh badan mereka sepertinya seorang pahlawan, tentera yang berjuang, tidak takut, tidak teragak-agak malah sangat berani dan lantang bersuara.

Bila berbicara, sukar untuk tidak diberi perhatian, kerana susun atur kata-kata mereka ini sangat jelas dan mudah difahami, tidak meleret-leret. Ibaratnya apabila berbicara dengan mereka, tidak perlu ada mukaddimah, perlu terus kepada tujuan, tidak perlu bermadah, tidak perlu berkias, mereka tidak memahami.

Indera seorang panglima dalam tentera bunian, ada yang pernah khabarkan pada saya, orang bunian ini lemah lembut, suka menari, suka menyanyi seperti selalu drama tv tunjukkan, ini suatu penghinaan bagi saya kepada orang bunian, kerana mereka tidak seperti itu, jauh sama sekali. Mereka hamba Allah swt yang kuat, garang, bengis, mereka menjadi ketakutan mahluk lain, jika mereka berjalan, derap langkah mereka sahaja sudah menakutkan.

Mereka gagah, mereka yakin, mereka tidak takut dan mereka sangat perkasa. Jika menghunus lembing, pergi nya selaju kilat dengan pancaran sekuat guruh. Saya pernah melihatnya, kerana itu saya nyatakan, bangsa bunian bangsa yang sangat hebat. Pahlawan seperti mereka tidak ada dibumi kita, kerana mereka Allah swt ghaibkannya dari pandangan kita, ada sebabnya.

Mereka diamanahkan Allah swt untuk melindungi manusia dari tipu daya syaitan. Mereka punyai kelebihan ilmu yang luas, mereka bukan sahaja bijak bertempur, malah mereka juga hebat dalam mentadbir kerajaan sendiri, mereka ada hiraki, ada sistem pentadbiran yang sama seperti kita, mereka ada istana yang menjadi penaung.

Mereka ada tentera yang kuat dan ramai. Setiapnya mempunyai pangkat tersendiri. Seperti Indera, dia seorang panglima tentera bunian untuk kawasan lembah yang mereka takluk, dan kawasan itu teramat luas. Seluas mana tidaklah saya tahu, tetapi berdasarkan pengalaman saya ketika berpeluang ke perkampungan bunian yang saya akan ceritakan kemudian, yang saya boleh katakan, ianya teramat luas.

Sebagai seorang panglima perang, pangkatnya boleh dilihat dipergelangan tangan, pada pertama kali saya melihatnya, saya menyedari ada lingkaran bercahaya ditangannya, apabila gelap malam, lingkaran itu akan bercahaya, seperti memakai gelang tangan neon, tetapi bila siang, lingkaran itu hanya lah seperti ukiran tatoo dikulitnya. Berapa lingkaran, Indera mempunyai 5 lingkaran, saya mengiranya. Ye, saya mengiranya.

Kelantangan suara mereka sering menarik perhatian saya, suara mereka adakalanya kuat, adakala nya seperti berbisik, namun lontarannya jelas seperti mengunakan mikrofon. Walau jarak saya dengan Indera jauh, jika dia bercakap dengan saya, dia tidak perlu mengulangi perkataannya, kerana setiap patah perkataan yang diucap, jelas dipendengaran ini.

Begitulah juga, bait perkataan nya yang diluah apabila dia menyatakan betapa dia suka kan saya. Dia memberitahu saya yang dia memilih saya untuk dijadikan teman hidupnya.

Itulah Indera, seorang panglima tentera yang kuat, berani dan hebat, yang juga tanpa segan silu telah memberitahu ustaz Halim juga, yang dia sukakan saya. Bagaimana rasanya jika kita juga mulai menyukai seseorang yang bukan datangnya dari dunia yang sama seperti kita.

Pada awal perkenalan saya dengan Indera, saya seringkali menangkis perasaan apabila berhadapan dengan dia. Dia sangat gagah, dia cukup sempurna seperti seorang lelaki, setiap kali dia bersuara, saya suka mendengar suaranya. Walau suaranya kuat, tetapi selalu berhalus bicara dengan saya. Bila berhadapan dengan saya, dia selalu tersenyum sambil mata tepat memandang saya.

Apabila dia memimpin pasukannya, dia sangat perkasa. Dia hebat memanah, dia berkebolehan memanah sambil berlari, panahannya tidak pernah tersasar. Apabila dia melepaskan panahan, seperti guruh dentuman lantunan bunyinya. Dia juga berlari sangat pantas, dia boleh hilangkan diri sekelip mata dihadapan saya. Dia tidak pernah memarahi saya jika saya tersilap melakukan sesuatu, walaupun kesilapan itu membahayakan saya, dia tetap akan menasihati dengan cara yang paling baik.

Dia seorang yang tidak banyak bicara. Semua orang mendengar arahannya, semua akur dengan perintahnya. Jika berdepan dengannya, pandangan matanya sahaja boleh buat orang gentar. Ustaz Halim juga akur dengan dia. Kerana dia lebih tahu, lebih jauh perjalanannya berbanding kita dibumi ini.

Terkadang pernah terlintas difikiran ini, adakah perasaan ini datang hanya kerana saya merasa kan dia hebat sebagai seorang pelindung kepada saya, kerana selama ini, hidup saya hanya ditemani keluarga, dia antara-antara orang asing yang begitu dekat dihati saya. Saya tidak biasa mempunyai seseorang yang lain dalam hidup. Atau adakah kerana saya hanya ingin membalas kembali perasaannya yang telah diluah kepada saya.

Namun, semakin lama saya mengenali Indera, saya percaya, hati saya juga merasakan sama seperti dia.

Saya akan menceritakan kembali kisah tentang Indera, tentang perkampungannya, tentang masyarakatnya yang dimana dengan izin Allah swt, saya telah berpeluang untuk pergi ke tanah yang mulia itu dengan dibawa oleh Indera sendiri. Melihat sendiri bagaimana mereka berperang dengan musuh.

Terlalu banyak untuk saya tulis dan kongsikan, namun alam bunian selalu menjadi rahsia Allah swt, suatu hari nanti, saya juga akan tinggal disana bersama Indera. Dan dimasa itu, saya mungkin sudah melupakan apa sahaja yang pernah saya tulis disini.

Ingatan saya tentang dunia ini akan hilang satu persatu, segala apa yang saya ada didunia nyata ini, akan saya tinggalkan satu demi satu, sepertinya urusan saya didunia yang nyata ini sudah hampir ke penghujungnya.

Sudah hampir 10 tahun saya bersama indera di dua alam yang berbeza ini, saya sudah mula berbicara sepertinya, saya sudah mula berfikir sepertinya. 10 tahun bukanlah masa yang singkat. Terlalu banyak untuk saya ceritakan, saya akan menulis lagi tentang Indera dan alam bunianya.

Semoga Allah swt membuka ruang yang luas untuk memudahkan saya menulis, saya hanya ingin bercerita tentang kehidupan masa lalu saya sebelum saya pergi kesana dan melupakan semua buat selamanya. Dan kehidupan disana sudah tentunya lebih panjang berbanding disini. Saya yang terpilih untuk kesana.

– Aisya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *