Untuk part I, (https://iiumc.com/kurniaan-deria-ke-6/).
Terima kasih kerana memberi ruang untuk saya menulis dan sudi membaca, memilih untuk disimpan sepertinya terlalu berat, meluah pula merasakan lebih perit, tapi anggaplah sahaja saya sekadar bercerita tentang kisah-kisah dimasa lalu.
Menjadi yang dipinggir itu perkara biasa, menjadi yang dikecualikan itu juga perkara biasa, tidak lah ingin menyalahkan sesiapa, sekadar mengingatkan hati sendiri terkadang terlupa.
Tidaklah pernah merasakan kelebihan dengan kurniaan ini jikalau sepanjang hidup digelar tidak siuman.
Tidak mengapa, saya tidaklah berkecil hati.
Merasa berada di dua alam ini bukanlah indah-indah. Maafkan saya, maafkan saya, maafkanlah jika penulisan saya mendatangkan keresahan hati kalian, membuatkan hati kalian gusar dengan gaya pemikiran saya.
Boleh sahaja kalian menganggap ianya sebagai bahan bacaan suka-suka. Bacaan sekadar mengisi masa lapang dari terbuang, mudah-mudahan ada manfaat yang diperolehi.
Tiadalah daya upaya ku melainkan hanya Allah swt sahaja.
Sebelum semuanya bermula, terlebih dahulu saya, dengan rasa malu, rendah diri ingin memohon kemaafan terhadap ustaz Halim, kerana kesilapan yang saya tidak sengajakan, tidak layak dia memaafkan saya diatas kebodohan nya sendiri.
Ustaz Halim itu, namanya bukanlah Ustaz Halim, hanyalah nama samaran saya berikan disini, dia seorang yang sangat dikenali baik penduduk setempat, mahupun diluar tempat tinggalnya. Saya memanggilnya dengan gelaran Tok Ayah.
Usia mudanya dihabiskan dengan menuntut ilmu, dahulunya mendapat pendidikan awal di Madrasah di Jerteh, bumi Terengganu, kemudian menyambung pelajaran di Universiti Ulum Deoban India, mempelajari Usul Feqah, Tafsir Al-Quran dan Hadis.
Sekitar 1950-an, dia berada pada sama tahun pengajian dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz sebelum TGNA meyambung pengajian ke Pakistan, manakala Ustaz Halim bersama dengan beberapa rakan-rakan seangkatan menyambung pengajian mereka ke Mekah untuk belajar ilmu Usuludin dengan Sheikh Wan Ismail (Tokoh Ulama Usuludin dari Patani yang tinggal di Mekah pada ketika itu).
Dia pulang beberapa tahun selepas itu kemudiannya menjadi guru bersama rakan-rakan yang lain di Al-Maahad Al-Islami Palas Patani. Juga mengajar dimadrasah dan masjid-masjid sekitar kampung.
Ustaz Halim bukanlah orang yang kebanyakan, dia telah pun menulis beberapa naskah kitab berasaskan Ilmu Usuludin, Feqah untuk menjadi rujukan di Madrasah sekitar Patani.
Kitab-kitabnya masih lagi menjadi sumber rujukan sungguhpun sudah lama dia meninggalkan bumi Patani apabila berkahwin kali ke-kedua dengan isteri nya yang kini, (isteri pertama telah meninggal dunia). Asal kelahirannya di bumi Kelantan, namun semasa kecil, hidup dan besarnya dibumi Patani, kerana ayahnya seorang mudir agama disana.
Manakala tanah dan kebun getah yang diduduki nya kini adalah pemberian ikhlas dari seorang kerabat diraja kepada ustaz tanda berterima-kasih diatas urusan antara mereka. Urusan dia mengubati orang yang sakit seperti saya, tidaklah pernah dia meminta wang ringgit.
Kebolehan dia mengubati tidak pula dihebahkan, hanyalah yang mengenalinya sahaja yang tahu. Dan dia hanya sekadar ingin membantu. Doktor yang mempelawa saya untuk berubat dengannya adalah anak saudara kepada isteri ustaz.
Selama kehidupannya hanyalah dipenuhi dengan amal ibadah, keperibadiannya saling tak tumpah seperti rakan-rakan seangkatan dengannya yang memilih agama sebagai jalan hidup. Kehidupan siangnya berpuasa, disebelah malamnya pula berqiamulai bersama-sama dengan jemaah yang lain. Janganlah disalah ertikan tentang nya dek kerana penceritaan saya yang bodoh dan tidak telus.
Saya menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan atas kekhilafan jika pada penulisan sebelum ini, saya mengecualikan penceritaan mengenainya sehinggakan menimbul buruk sangka dan fitnah pada seeorang yang amat mulia dan sangat berilmu sepertinya.
Malu tidak terluah saya kepadanya, sedih tidak terungkap dengan kata-kata. Kekurangan dan kesilapan itu datangnya dari saya sendiri. Mengurangkan penceritaan tentangnya adalah untuk menyembunyikan identiti dirinya, kerana pertolongan kepada saya adalah ihsan darinya dengan keizinan yang Esa.
Tidak pernah menuntut walau sekeping syiling sekalipun kepada saya dan keluarga. Dilakukan dengan keikhlasan kerana telah Allah taala lorongkan rasa kasihan Ustaz Halim kepada saya.
Saya memohon kemaafan, hinalah saya kerana ceteknya ilmu saya, bodohnya sikap saya, terburu-burunya perasaan saya, namun janganlah dihina dan diftnah orang yang baik pekerti, berilmu sepertinya. Kerana semua kesilapan ini adalah berpunca dari saya sendiri. Diri sayalah yang sepatutnya dipersalah.
Kehadiran Yahaya, Jahada dan Indera disamping Ustaz Halim tidaklah menjadikan mereka hamba kepada ustaz, tidak juga menjadi kan ketuanan pada mereka, mereka hanyalah menjadi pembantu apabila Ustaz memerlukan pertolongan diluar kemampuan dek kerana usianya yang semakin meningkat.
Mungkin dahulunya, dia tidak perlukan mereka kerana kudratnya cukup untuk mengawal sendirian, namun kerana masih ingin berbakti diusia seperti ini, masih ingin membantu pada mereka yang sangat memerlukan, dia memerlukan kerjasama dari golongan yang mempunyai kudrat, jisim yang setara.
Meminta pertolongan dari dari mereka bukanlah bermaksud hilangnya kebergantungan dia kepada yang Esa, tidaklah mengurangkan pula kuantiti dan kualiti ibadah kepada yang Esa jika kalian sendiri diberi peluang untuk mengenali dan melihatnya. Seorang yang berilmu sepertinya, lebih mengetahui apa yang dia lakukan berbanding saya yang ilmu hanyalah setitik air digelas.
Bagaimana ustaz mahu berhadapan dengan mahluk yang ghaib, yang mempunyai kekuatan 100x ganda darinya, yang usia boleh jadi jauh lebih muda darinya. Yang mempunyai keberanian dan tidak tunduk kepada khalifah dibumi ini, yang telah terpedaya dengan talbis iblis.
Apakah terjadi jika ustaz bukan hamba Allah swt yang setanding kudrat dan ilmu untuk melawan mahluk ghaib yang mendatangkan kemudharatan itu.
Jangan bilang golongan mereka itu tidak berilmu, Adapun sebahagian dari golongan mereka yang ilmu pengetahuaannya seraya ulama’, namun ilmu yang banyak tidak pula menjadi jaminan mereka terlepas dari tipudaya iblis yang memesongkan.
Ibaratnya begini, mempunyai haiwan buruan, yang kuat, yang berani yang mampu menangkap haiwan yang diburu tidak lah menjadikan haiwan buruan itu lebih berkuasa dari tuannya. Kebolehan akal dan ilmu pengetahuanlah yang membezakan tuan dengan haiwan buruan nya.
Seperti juga ustaz, sungguhpun yang membantu ustaz itu, punyai kekuatan fizikal, punyai kelebihan dialam mereka dan ilmu nya tersendiri, namun tidak pula ustaz menurut perintahnya. Hubungan diantara mereka adalah kerana saling membantu, tiadalah istilah bertuan dan diperhamba.
Sungguhpun, mahluk yang memudarat ini tidaklah mampu tanpa izin Allah swt untuk memisahkan roh dari jasad mangsa yang ditumpanginya, semuanya adalah dengan qada’ dan qadar oleh Allah swt.
Keupayaan seseorang itu bukanlah hanya diukur melalui kekuatan fizikalnya, berdepan dengan mahluk ini, kekuatan rohani juga perlu setanding untuk menjadi benteng pertahanan yang terakhir melawan mahluk ghaib itu.
Apa yang dilakukan oleh ustaz dengan izin yang Esa, hanyalah cuba membantu memulihkan rohani pesakit supaya dapat terus bertahan, bertahan untuk sembuh seperti sediakala. Untuk menghadapi mahluk ghaib ini dari menguasai diri setelah diganggu adalah dengan menaikkan aras kerohanian dan kepercayaan kepada Allah swt, itulah yang ustaz lakukan.
Apabila anak adam itu diuji oleh sesuatu yang diluar kemampuannya, benteng yang paling kukuh adalah kekuatan rohaninya, kerana kekuatan fizikal manusia bukan setara tandingnya dengan golongan mereka. Golongan merekalah yang berlawan sesama sendiri kerana keberadaan mereka yang diruang, kudrat dan jisim yang setara.
Kita manusia tidak akan pernah mampu untuk betempur dengan mereka. Tahukah kalian, berapa ramai dikalangan kita yang roh telah meninggalkan jasad setelah tidak mampu bertahan lagi rohaninya akan penderaan dan penguasaan mahluk itu terhadapnya.
“Belum di uji oleh Allah swt, maka kalian belum tahu”
Mahkluk itu sememangnya tiadalah kuasa mahupun kemampuan untuk memisahkan nyawa seseorang tanpa keizinan Allah swt, tapi kuatkah rohani seseorang itu, jika berterusan diasak bertubi-tubi. Mampukah dia, untuk dia terus melawan kemampuan kudrat mahkluk yang semakin lama semakin kuat menguasai dirinya.
Bimbang merasakan letihnya menanggung lelah, akhirnya berputus asa dan memilih untuk melepaskan jasad adalah pilihan terakhir baginya. Menceritakan tentang lelah menanggung azab mengingatkan saya tentang seorang lelaki yang sudah hampir berputus asa dengan dirinya yang diganggu jin betina.
Perihal ini berlaku telah lama, tapi saya tidak pula boleh melupakannya, menceritakan semula sekadar memperingatkan diri sendiri, didalam dunia ini, tidaklah Allah swt hanya menciptakan manusia semata untuk menghuni bumi ini.
Ustaz Halim dikunjungi sekeluarga membawa anak lelakinya (30an) yang dikatakan diganggu oleh jin betina, ini adalah kedatangan yang kali keduanya selepas Ustaz Halim menetapkan sekian tarikh kepadanya untuk kembali semula. Ustaz Halim memintanya untuk kembali semula kerana pada masa kedatangannya yang pertama, Indera tiada kerana berada ditempat lain.
Kedatangan mereka kali ke-2 ini telah diatur supaya Indera dan kumpulannya turut serta membantu. Saya dimaklumkan oleh ustaz terlebih dahulu supaya bersedia, bukannya saya akan turut membantu, cuma ustaz mahu saya merasai pengalaman yang jarang-jarang seperti ini.
Pendapat saya, boleh jadi jin betina ini luar biasa, sehinggakan dengan bantuan Yahaya dan Jahada, masih ustaz rasakan belum mencukupi sehingga memerlunya meminta bantuan Indera juga.
Jin betina itu sangatlah hodoh mukanya. Hodohnya jin itu, sehinggakan saya dan ustaz Halim berpandangan sesama sendiri sebaik lelaki itu bersama keluarga melangkah masuk keperkarangan rumah ustaz. Keluarga mereka tiba dirumah ustaz seawal waktu asar, manakala usaha untuk menyembuhnya akan dilakukan dimalam hari usai solat Isya’
Jin betina ini bukanlah jin-jin yang biasa, datangnya ia dari golongan jin purbakala, jin betina yang sudah terlalu lama hidup, beribu tahun lamanya, jin seperti ini tidak tinggal berhampiran dengan manusia, tiada biasa bertemu manusia, hidup pula bersendirian, jika hidupnya berkelompok, bilangannya amat sedikit.
Golongan jin jenis inilah yang pernah dibelenggu oleh kerajaan bunian pada suatu masa lalu, jika mereka tertangkap, tidak akan dilepaskan walaupun tiba hari pembalasan.
Abang itu sebenarnya, kudrat pergerakan dia adalah kerana adanya jin itu disitu, dia bergerak kerana jin itu menggerakkannya, betapa lemahnya jasad dan rohaninya. Abang itu dimandi dan disucikan oleh ustaz dibantu oleh ahli keluarga abang tersebut. Ditukarkan persalinan, diberi minum air zam-zam, dibacakan ruqyah terhadapnya usai solat magrib, untuk memulihkan semangat yang semakin hilang.
Ustaz bersolat hajat berjemaah bersama keluarga abang itu, beberapa orang anak ustaz, anak saudara ustaz (merupakan seorang pembantu perubatan turut sama dipanggil), abang saya, Indera dan jemaah yang lain, mereka bersama-sama meminta petunjuk semoga Allah swt memudahkan urusan dalam membantu abang ini.
Jin itu merupa seperti beruk yang besar, kepalanya besar dibahagian depan, badan yang membongkok, mata yang besar sebesar bola tennis, berwarna merah hitam, bibir hitam yang besar, lidah pula panjang menjelir-jelir, rambutnya kusut masai.
Tidak juga berbaju, bogel-bogel sahaja dia, meanampakan p***daranya yang melayut, perut yang buncit dan mengelebeh, kulitnya pula berkuping bersisik seperti sisik ikan sebesar tapak tangan anak-anak.
Ya.. dia berbogel, tiada rasa malu langsung dia ni, duduk pula sesekali dia naik mencangkung di bahu abang itu, menghalakan kemaluannya menghadap kami. Kemaluannya juga sangat jelik untuk dipandang. Tidak mahu memandang asalnya, tetapi setiap kali melihat abang itu, sudah pasti terlihat juga akan kemaluannya yang sebegitu memalukan. Sukar sungguh untuk lenyapkan dari ingatan.
Sudahlah hanya saya seorang perempuan dikalangan mereka semua yang boleh melihat, adapun ahli keluarga abang itu tentulah tidak tahu menahu, sudahlah dia suka meludah, ditonjol-tonjolnya pula kemaluannya seraya kencing membasahi muka abang itu. Jijik sangat perilaku mahkluk ini, seperti tidak pernah melalui arus kemodenan.
Abang itu tidaklah merasai apatah lagi untuk tahu dia sedang bermandikan air najis dari jin betina itu. MashaAllah, jelik sungguh. Yang menjadi persoalan, mengapa dan bagaimana jin ini boleh berada dengan abang tersebut.
Menurut ayahnya, abang ini suka mendaki gunung. Mempunyai team kerja yang berkongsi minat hiking yang sama, sehabis gunung di Malaysia didaki, di redah pula gunung diluar Malaysia. Gunung yang terakhir didaki sebelum terjadinya perkara ini adalah sebuah gunung di kepulauan Indonesia, pulang dari kepulauan itulah, dia mula berubah.
Dia pada mulanya hanya suka bersendirian tidak mempedulikan hal sekeliling, sedikit kemudian sudah mula meninggalkan ibadah wajib, mula hilang perhubungan dengan ahli keluarga dengan tidak lagi mempedulikan anak dan isteri apatahlagi ibu dan ayahnya.
Sehinggakan pada satu tahap, dia tidak lagi mampu bekerja kerana ketidakwarasannya dalam bertutur, suka ketawa sendirian dan sering melakukan on***i setiap masa dan dimana sahaja. Melakukannya seperti tidak ada sekelumit pun rasa malu. Tak perlulah bicarakan tentang malu, kerana sifat malu itu sudah tiada apabila dia telah pun dimanupulasi oleh jin itu.
Abang ini dahulunya bertugas sebagai doktor perubatan di utara, diarahkan untuk dia bercuti kerana keadaan masalah yang dihadapinya.
Keluarganya yang tinggal di Perlis membawanya ke Jerantut, Pahang atas nasihat seorang yang alim yang juga merupakan sahabat baik ustaz yang sama menuntut ketika di Mekah. Mereka datang sejauh itu demi mengubati anak lelakinya. Mengubati ayah kepada cucu-cucunya dengan harapan semuanya akan pulih seperti biasa.
Jin ini besar badannya, saiz persis gorilla, suaranya garau dan tidak menyenangkan, apabila dia mengilai, bergetar lantai rumah ustaz. Apabila bercakap, sengaja dirembes-rembes kan air liurnya, biar memercik-mercik mengena pada mereka yang berada disekeliling abang itu. Belum lagi bicara tentang baunya, baunya sahaja, melemahkan hati, menusuk ke rongga paling dalam.
Apalah makanan yang diratah jin ini, sehinggakan najisnya itu, busuk mengalahkan bangkai. Tidak tahu lah bau itu datangnya dari najis ataupun dari tubuh badan jin itu sendiri. Yang pasti, ianya teramatlah menyiksakan. Dek kerana bau itu, terasa amat meloyakan.
Ustaz sedaya upaya untuk memisahkan jin tubuh badan itu sejak dari mula, melemahkan nya dengan bacaan Al-Quran tanpa henti.
Jin ini tidak dapat dibunuh dan dipisah dengan hanya mengguna ayat Al-Quran, pembantu Ustaz, anak-anak ustaz, ada yang duduk ada juga yang berdiri mengelilingi ruang tamu rumah turut ikut serta mengalun bacaan suci itu. Bacaan yang dimulai dengan lembut mendayu semakin lama, semakin deras dan kuat bacaannya.
Dibawah rumah pula, beberapa orang dari pasukan Indera sememang menanti dan menunggu masa untuk menangkap jin ini sekiranya dia meloloskan diri semasa proses menangkapnya nanti. Sepanjang tempoh itu, jin ini gelisah, sesekali dia menjerit, sesekali dia meracau, perkataannya pula tidak dapat difahami.
Pada pandangan saya, jasad abang itu telah lama terkulai, duduknya dia kerana jin itu ada didalam dirinya, saat jin itu mulai terpisah dari badannya, jasadnya terus menyembah kelantai, tidak sedarkan diri. (mengambil masa 2-3 jam untuk jin itu dileraikan dari jasadnya)
Jin itu dikerah beramai-ramai untuk dirantai kemudiannya disenjah terbaring dan perutnya terus ditusuk dengan lembing. Hal ini berlaku dengan sepantas kilat, bila masa jin itu melepaskan jasad itu tidak saya sedari, yang saya sempat melihat adalah ketika perutnya telahpun di tusuk dan ditoreh untuk dikeluarkan isi perutnya, kepalanya pula diputuskan menggunakan bilah pedang.
Gempita sungguh saat itu, mendengarkan lolongan mahluk itu, mendengarkan teriakan abang itu kesakitan, mendengar pula laungan indera dengan pasukannya, baik yang didalam rumah, dibawah rumah juga, manakala mendengarkan pula bacaan ayat suci oleh ustaz yang teramat deras dan kuat. Saya merasakan seperti bingit yang teramat sangat. Terlalu gempita dirasai.
Sebaik jasad abang itu rebah kerana telah dipisahkan dengan jin, ustaz lantas memangku kepalanya diribaan ustaz, diusap-usapkan air diubun-ubun sambil tidak putus bacaan ayat Al-Quran, jasadnya sungguh terkulai layu.
Yang dilihat kami ketika datang tadi, badannya sihat, elok parasnya, berubah sedikit demi sedikit, kulit semakin mengecut, jari tangan dan kaki mengerekot, tulang pipi mula menimbul, soket mata menjadi cengkung, matanya pula semakin tersembul keluar, jikalau tadi badan nya kemerahan, kini berubah menjadi kebiruan dari muka membawa ke tapak kaki.
Menangis sayu ibu dan ayahnya melihatkan jasad anaknya yang sebegitu rupa. Apa yang kami melihat keelokkan sebelum itu, adalah pandangan dari kemahuan jin untuk menyembunyikan hakikat yang sebenar-benarnya. Ingin berpura-pura menyorokkan diri, namun kejahatan seperti itu tidak dapat berselindung lama, kerana akan ditonjolkan juga sedikit demi sedikit.
Anak saudara ustaz yang juga seorang MA ada bersama, dia lantas bertindak dengan memeriksa tahap kesihatan abang itu, dan menyatakan nadinya begitu lemah, perlu dibawa terus ke klinik kesihatan daerah tempat dia bertugas untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Pada malam itu juga, dia telah dikejarkan ke hospital bandar berdekatan dan dimasukkan ke icu.
Dari dalam perut jin itu, bukan lah hanya isi perutnya sahaja yang dikorek keluar oleh mereka, tetapi ada juga sesuatu yang lain yang juga hidup didalam perutnya itu. Mungkin anaknya barangkali, sempat juga saya menoleh melihat isi perutnya itu seimbas lalu.
Dek kerana terlalu bingitnya siang siur suara mereka semua, ditambah lagi melihatkan suasana yang ngeri itu, saya terpaksa menutupkan mata serapatnya dan akhirnya turut sama rebah tidak sedarkan diri. Alangkah indah jika ini tidak terjadi.
Sesedarnya saya dari pengsan, melihatkan abang ada disisi menemani membelakangkan saya yang sedang baring. Melihatkan susuk badannya dari belakang, mengingatkan saya bahawa dia selalu berada dihadapan untuk melindungi saya sejak dari dulu lagi, tidak pernah dibiarkan saya keseorangan.
Tidak semena-menanya saya menangis mengalir airmata yang banyak sekali, saya lantas bangun dan menangis bersandar dibelakangnya, entah apa yang saya sedihkan, saya juga tidak tahu.
Mungkin kerana abang itu seakannya usia abang saya sendiri, merasa seperti abang sendiri pula yang tersakiti. Abang seperti biasa, tidak pernah pula bertanya, tapi hanya mengusap-ngusap bahu saya. Adiknya ini memang selalu menangis sedari dulu.
Pandangan dan pengalaman seperti ini bukan lah indah, tiada momen yang menarik untuk diceritakan, malah terkesan ianya bersarang terlalu lama diingatan, sukar untuk dikikis-kikis buang. Terkadang berharap semua ini hanya illusi semata, tidak pernah berlaku. Tapi itulah, saya masih lagi begini, jika benarlah ianya nya illusi atau mimpi semata, tentunya mimpi ini tersangat panjang.
Saya dikhabarkan beberapa hari selepas, abang itu meninggal dunia semasa didalam unit rawatan rapi. Apalah yang kita tahu, apalah yang kita dapat jangka, kita hanyalah manusia yang berterusan memohon keampunan dan petunjuk dari Allah swt.
Saya masih teringat akan tangisan ibunya, seolah-olah meredhakan pemergian anaknya jika Allah swt telah suratkan bahawa akan terputus nyawa anaknya pada malam itu.
Belum diuji, belum mengetahui, belum diusik, belum merasa. Jangan hanya kerana belum pernah diuji oleh Allah dengan golongan mereka, menjadikan kita merasa tiada keperluan untuk merasa simpati. Semoga Allah swt merahmati dan melindunginya dia alam sana.
Walau apa pun yang berlaku, seorang ayah dan ibu telahpun kehilangan anaknya, seorang isteri telahpun kehilangan suaminya, dan anak-anak ditinggal tidak berbapa. Oleh kerana lempias nafsu bangsa yang selamanya menjadi musuh manusia.
Bicara Ustaz, golongan bunian, jin beragama Islam mahupun jin yang kafir, mereka semua adalah mahluk jin yang diciptakan Allah swt dari unsur yang sama.
Perbezaan mereka adalah dari segi pemilihan agama, kepercayan, gaya hidup, amalan pemakanan, persekitaran penempatan, budaya masyarakat, kelebihan intelektual, kelebihan fizikal dan rohani yang menjadikan mereka semakin berbeza dari generasi ke generasi.
Walhal mereka dari keturunan yang sama, unsur sama, sifat yang sama, namun itu perihal berkurun lamanya, semakin lama, mereka berubah, beradaptasi mengikut perbezaan yang telah saya terangkan.
Bunian diberi nama oleh orang dahulu kala, untuk membezakan mereka dengan jin yang lainnya, kerana mereka golongan jin paling hampir menyerupai sifat manusia, (bukan sama, tetapi hampir menyerupai sahaja), mereka hidup bermasyarakat, mereka menjadikan agama Islam agama mutlak, mereka belajar serta mengamalkan gaya hidup Islam, juga ada sebilangan mereka mempunyai hubungan akrab dengan manusia.
Golongan mereka juga ada yang menuntut ilmu dengan ulama’, ilmuan dari alam manusia. Ustaz Halim juga pernah menjadi diantara manusia yang masuk ke alam sana mengajarkan ilmu kepada mereka. Mereka juga terusan berdakwah menyebarkan agama Islam kepada golongan jin kafir, oleh kerana kelebihan ilmu, kepandaian yang Allah swt kurnia kepada mereka melebihi bangsa jin yang lain, menjadikan mereka pentadbir alam disana.
Mereka membentuk kerajaan, mempunyai organisasi istana yang dianggotai oleh kerabat diraja dari keturunan mereka, mempunyai angkatan tentera sama seperti kita semua, malah mereka juga ada sistem kehakiman, ada mahkamah, ada penjara dan ada semuanya. Sama sahaja seperti kita manusia, cuma yang membezakan kita dengan mereka adalah, asal-usul kejadian.
Tugas mereka, melindungi alam mereka dari diceroboh yang bukan hak dan menjaga rahsianya, mereka juga telah diamanah berabad lamanya, diamanah untuk melindungi manusia dari dikacau ganggu, dari dikhianat oleh jin-jin kafir yang telah terpedaya dengan tipu daya iblis dan syaitan.
Bukan hanya manusia yang terpedaya dengan hasutan iblis, bangsa mereka juga tidak terkecuali. Kerana bangsa mereka sama juga seperti kita. Dihitung juga amalannya diakhirat kelak. Juga mati bila ajalnya sudah sampai.
Jin-jin yang menjadi khadam kepada manusia, yang menjadi perantara diantara sesama manusia untuk berbuat kejahatan, yang menganggu manusia, yang mengusik dan mendatang kemudharatan inilah yang diburu, dimusuhi tentera bunian dan jin islam.
Mereka akan menjejaki kelompok ini, mereka bekerjasama dengan pengamal perubatan Islam untuk mengutip jin-jin yang jahat ini dari terus-menerus merosakkan akidah manusia.
Jin-jin yang jahat ini bukan kelompok jin yang biasa, mereka golongan jin yang handal dan berilmu kerana berupaya untuk berada di dua alam. Berupaya untuk melihat dan berinteraksi dengan manusia.
Adapun jin-jin yang biasa itu, mereka sama sahaja seperti manusia, ada yang tidak berkeupayaan melihat manusia walaupun mereka tahu manusia juga ada dibumi Allah ini, seperti kita manusia kebanyakkan, kita tahu bahawa jin itu wujud kerana adanya dalil-dalil dalam Al Quran, namun berapa ramaikah diantara kita pernah melihatnya.
Tidak pernah melihat bukan bermakna ianya tiada, noktah.
Perihal yang hilang tanpa jejak, dikhabarkan diculik bunian, jin dan segala macam, hmm.. apalah yang dapat saya simpulkan, dunia mereka juga samalah seperti kita, tidaklah sempit walau seinci jika dibandingkan dengan dunia kita.
Hidup mereka juga berkelompok, berkumpulan dan ada suku-sakat yang berlainan, bukan golongan bunian dan jin islam sahaja yang ada di belantara dalam dunia ini, lebih banyak lagi jin-jin kafir yang mempunyai gaya hidup yang berbeza diantara satu sama lain.
Sungguhpun jin kafir itu lagi banyak perkampungannya berbanding jin islam mahupun bunian, namun tidaklah semua jin kafir itu berlaku khianat kepada manusia, mereka hidup berdamai sahaja, mereka yang handal membantu juga manusia-manusia ketika memerlukan pertolongan dikala tersesat didalam hutan dan lautan. Memberi peringatan sesekali jika tersalah masuk kekawasan mereka.
Ada golongan mereka yang tinggalnya hanya diatas pokok, tidak pernah menjejak bumi, ada pula yang hidupnya berterbangan kesana kemari, bergentayangan diudara, ada yang hidup berpindah randah, ada pula yang hidupnya setempat.
Ada yang hidup dikalangan manusia, Ada juga yang mendiami gua-gua, didalam tanah, bukit bukau, disungai, lautan, dasar laut dan sebagainya. Mereka juga ramai seperti kita, tidak kurang sedikitpun dari bilangan manusia.
Didunia sana, tiada ensiklopedia yang menceritakan keperincian kaum-kaum tertentu. Hanya dapat mengenali dan mengetahui jika berpeluang bertemu ataupun dari penceritaan mereka yang pernah bertemu. Namun ada sebahagian mereka ini yang gemar berbohong, menokok nambah cerita. Adalah lebih baik, ilmu itu dikutip melalui pengalaman sendiri.
Di dalam belantara itu, ada juga jin munafik yang menyamar seolah mereka datang dari golongan jin yang beragama islam, jin yang mengamalkan cara hidup Islam, namun hakikatnya, umpanan mereka hanya untuk mengambil mangsa dijadikan hamba nafsu sahaja. Nafsu semata, bertuhan kan nafsu.
Golongan jin seperti ini boleh menjelma kepada jelmaan yang menyerupai manusia. Berapa ramai manusia yang telah dikurung oleh puak “nafsu”, dituduh pula oleh puak “nafsu” itu dikatanya mangsa mengacau dan menganggu kawasan mereka, sedangkan mereka lah yang menarik kaki serta tangan dan mengumpan mangsa masuk kelubuk persembunyian mereka.
Apa yang berlaku kepada mereka yang hilang dibelantara itu boleh menjadi 3 sebab sahaja,
1. Samada dia telah pun meninggal dunia, tetapi jasadnya hilang jejak, barangkali jasadnya disembunyi oleh golongan jin pemakan bangkai dan telulang. Golongan ini menyembunyikan mayat manusia yang mati dikawasan mereka.
2. Ataupun jika dia masih hidup, tetapi dia disembunyikan oleh jin yang bernafsu jahat, maka dia tidak akan ditemui oleh manusia walau manusia mencarinya selama 1000 tahun, dan hanya akan ditemui kembali sekiranya golongan jin itu melepaskannya dengan rela, atau dia berjaya meloloskan diri dari kurungan jin (paling jarang kedua-duanya berlaku) atau dia telah diselamatkan oleh tentera kerajaan bunian dan jin islam. (paling selalu berlaku)
3. Andaikata, dia telah diselamatkan oleh tentera kerajaan bunian, dia akan dibawa ke alam bunian, untuk dia tinggal dan berehat seketika. Juga akan menjadi saksi kepada penghakiman disana sekiranya jin yang menculiknya itu akan dibicarakan dimahkamah mereka. Maka kepulangannya selepas itu ke alam dunia adalah bergantung kepada kehendaknya sendiri. Cuma jika dia memilih untuk pulang kedunia, kehidupannya pasti tidak sama lagi seperti sebelumnya.
Golongan bunian dan jin islam tidak menculik manusia, tidak pula menjadikan tahanan setelahpun mereka diselamatkan dari suku kaum “nafsu” itu, adapun dikalangan mereka yang tidak kembali semula ke alam dunia adalah kerana dia yang mahu tinggal dan kekal berada disana. Hidup dengan menjadi sebahagian dari mereka.
Hebahan mengatakan yang hilang dipaksa untuk menetap disana dan tidak diberi izin untuk pulang itu adalah tidak benar, cumanya, terkadang ada yang amat terleka. Sehinggakan leka itu terlalu lama, seperti yang saya nyatakan, bersebab saya menulis kisah hidup saya disini, walaulah sebanyak mana yang telah saya tulis, dipadam itu lebih banyak.
Terlalu banyak untuk diceritakan dan dikongsikan, namun beberapakali saya jug telah memadamnya, boleh jadi saya telah dilupakan dan dihilangkan sebahagian pengamalan disana. Tidak salahkan mereka, mereka hanya menjaga rahsia alam mereka.
Untuk menjadi sebahagian dari mereka, adalah dengan menjadi sebahagian dari mereka.
Sejarah telah tertulis hubungan manusia dengan golongan mereka ini sudah pun terlalu lama, hubungan antara mereka terjadi boleh disebabkan persahabatan dalam menuntut ilmu, persahabatan dalam menolak anasir jahat yang menganggu keluarga, harta, tanaman, ternakan, dan juga hubungan disebabkan berhutangnya manusia kepada golongan bunian dan jin islam atau sebaliknya.
Mereka berhutang budi dan amal, berhutang harta dan ilmu, berhutang kudrat dan kuasa, malah ada yang berhutang keturunan. Berhutang keturunan itu boleh datang dari asbab ikhtiar untuk memperolehi anak, ikthiar mencarikan anak yang hilang diculik oleh jelmaan “nafsu”, ikthiar dalam mengubati anak yang sakit (Hal ini berlaku pada keturunan dahulu-kala).
Dan golongan bunian ini, mereka menuntut janji dengan sempurna sepertimana sesempurnanya mereka menunaikan janji. Hutang-hutang seperti hutang keturunan itu tetap akan dituntut walaupun setelah beberapa generasi lamanya.
Apalah yang kita ketahui dengan rahsia Allah swt, mengapa dan kenapa dihilangkan anak dalam kandungan, hilang nya anak ketika sedang bermain, hilangnya anak kecil didalam buaian, dan jika benarlah golongan bunian yang mengambilnya, adalah kerana janji-janji dan hutang-hutang nenek-nenek moyang yang terdahulu.
Maka tidak usahlah kuathir kerana mereka akan dijaga lebih baik lagi keberuntungannya. Hidup mereka lebih panjang, jasadnya pula tidak pula dimamah usia. Walaupun perhubungan diantara dua alam ini tiada lagi berhubung secara fizikal, namun sesekali, mereka yang pergi akan menjenguk ahli keluarganya didalam sedar atau tidak disedari.
Jika moyang-moyang-moyang terdahulu pernah membuat janji dengan mereka, boleh jadi generasi kita yang sekarang inilah yang sedang membayarnya. Dahulu kala apalah yang kita tahu, sedangkan nama moyang-moyang-moyang terdahulu juga sudah tidak lagi tercatit dalam naskah pengetahuan kita.
Perihal roh yang saya ceritakan pada penceritaan saya sebelum ini, tidaklah saya tahu adakah mereka itu benar-benar roh, qarin ataupun mereka adalah syaitan/iblis yang menyerupai manusia.
Saya memanggil mereka roh adalah kerana mereka kelihatan seperti mereka-mereka yang telah meninggal dunia. Kerana ada dikalangan mereka yang saya kenali dan telah meninggal dunia, namun kelibat dirinya masih lagi berada dibumi.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, antara saya, dia dan dunia ini, sepertinya sudah tiada urusan. Jikalau dapat menyelami perasaan mereka itupun, hati mereka kosong dan tidak berisi, tiada hala tuju, perasaan pula yang diulang-ulang.
Untuk bertanya, tentunya tiada jawapan, kerana mereka sering mengelak dan mempalingkan dirinya jika saya cuba menghampiri. Adapun susuk kanak-kanak itu sering kelihatan, saya juga tidak dapat menjelaskannya kenapa, saya juga berharap saya punyai jawapan.
Tidak saya khabarkan semua roh yang telah meninggal saya dapat melihat, tidak, tidak, tidak. Saya tidak dapat melihat pada sesetengah roh/qarin yang lainnya. Seperti mana nenek yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Ibu berulang kali bertanyakan tentang roh nenek, saya berulang kali juga menyatakan kepada ibu saya tidak dapat melihatnya dan tidak tahu. Sungguhpun walau saya berada disisi jasad arwah nenek sepanjang hari pengebumiannya, tidak juga menampakkan kelibatnya.
Apalah yang satu tahu tentang apa yang saya lihat melainkan pengetahuan yang ada sedikit cuma. Dimanakah saya boleh membuat rujukan, jika yang melihatnya adalah saya seorang, hanya saya seorang sahaja yang saya ketahui diuji Allah swt begini. Ustaz tidak pula berkeupayaan untuk melihatnya, Indera juga begitu.
Soal alam ghaib seperti ini, golongan jin dan bunian juga tidak terkecuali dari dirahsiakan ilmu pengetahuan oleh Allah swt berkenaan roh khususnya, sama lah seperti kita manusia. Tiada yang tahu, tiada yang mengetahui, melainkan ilmu yang diberi sedikit cuma.
Yang saya ingin sampaikan, adalah yang saya lihat itu menyerupai bentuk manusia, kerana itu saya gelarkan mereka roh berdasarkan pandangan saya semata, bukanlah bermakna mereka itu roh sebenar-benarnya.
Sekalipun jika benar mereka itu roh, apalah yang saya tahu, hal ini kerana ceteknya ilmu dan pengetahuan saya tentang mereka. Tidak menggelarkan mereka sebagai jin atau bunian kerana persis susuk mereka seperti manusia. Manakala jika asalnya mereka itu adalah jin, mudah sahaja saya kenali, sungguhpun mereka merubah kepada jelmaan manusia.
Maafkan saya jika penceritaan saya amat terabur sekali. Saya menulis mengikut gerak hati yang terlintas, adakalanya penceritaan saya sukar untuk difahami. Boleh jadi kerana kurangnya saya bertutur, membuatkan adakala sukar untuk saya meluahkannya.
Ingin bercerita tentang pertama kali menjejak kaki ke alam sana, tetapi karangan ini sudahpun terlalu panjang. Tidak saya mengharapkan ada yang percaya, saya cuma ingin bercerita tentang diri sendiri. Terkadang terasa, seperti banyak perkara telah saya lupa sedikit demi sedikit, boleh jadi kerana terlalu banyak rahsia yang telah saya simpan dan ketahui, maka ingatan semakin lama semakin menghilang.
Dengan menulis disini seperti ada diari yang boleh ditujukan kepada ahli keluarga, sebagai ingatan buat mereka sekiranya saya semakin melupakan mereka suatu hari nanti.
Hendak menulis surat terus kepada mereka, terasa amat berat, maka menulis disini adalah lebih mudah saya kira. Bukan tidak mahu menulis kepada mereka, bimbang banyaknya air mata yang menitis akan menghilangkan dakwatnya tulisan itu.
Bukan kehendak dia, bukan kemahuan dia, tapi keperluan saya untuk berada disana. Bukan tidak merujuk pada ustaz, bukan tidak bertanya pada yang ariff, sudah diikthiarkan semuanya.
Apalah baiknya jika saya terusan berada disini, tetapi diri dan pemikiran saya berada disana, merasa kasihan dengan ibu, ayah dan abang, jika berterusan begini, kelak mengingat nama sendiri pun saya tidak mampu apatah lagi untuk menguruskan diri.
Berapa lama lagi harus kaki mereka terikat kepada saya, tertumpu hanya kepada saya. Sedangkan perjalanan hidup mereka masih lagi jauh. Terlalu banyak yang mereka telah tinggalkan semata untuk memastikan saya berjalan seiring dengan mereka. Tiada apa yang saya harapkan, mohon syurgalah buat mereka.
Telah banyak urusan dunia yang saya tinggalkan satu persatu, sedikit demi sedikit, agar apabila tiba masanya nanti, tiada apa yang akan dikenang oleh mereka. Tiada apa yang harus mereka ingatkan tentang saya.
Buat apalah dikenang, jika hanya akan menambah duka buat mereka. Bukan kerana saya bencikan mereka, adalah kerana terlalu sayanglah sehinggakan tidak lagi saya mahu menyusahkan hidup mereka dengan keadaan saya seperti ini.
Jika memohon maaf itu dapat saya tunjukkan dalam karangan ini, sudahlah tentu berpuluh muka surat pun tidak akan cukup untuk menzahirkan rasa kemaafan dalam diri. Begitulah juga perasaan kasih saya kepada mereka yang sudah terlalu lama bersama saya disaat semua yang lain pergi.
Yang telah berlaku itu percaturan Allah swt, yang tersurat itu pula rahsia Allah, apalah hamba yang kerdil seperti saya ini mampu lakukan.
Jika ada yang merasakan apa yang saya rasa, titiplah doa buat saya semoga terus kekal kuat untuk menghadapi hari yang mendatang. Saya juga insan yang lemah, seringkali menangis jika tidak mampu menahan beban didada. Namun tidak mahu juga orang yang amat disayangi turut merasakan nya.
Tidak bermakna jika saya tiada dihadapan mereka, kurangnya kasih sayang saya kepada mereka.
Semoga dikesempatan lain, diizinkan saya menulis lagi…
– Aisya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit