Untuk part I, (https://iiumc.com/kurniaan-deria-ke-6/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/kurniaan-deria-ke-6-ii/).
Sebenarnya, ini penulisan yang entah keberapa kali, ditulis dipadam, ditulis dipadam berkali-kali. Entah apa yang begitu menganggu hati untuk meneruskan penulisan. Seperti disekat-sekat dari meluah. Ingin hati menceritakan semuanya, dari mula hingga akhir. Moga penulisan ini juga berpenghujung.
Saya ini berhati tisu, adakala terkesot juga perasaan…
Biarlah penceritaan kali ini berkisarkan Indera sahaja seperti yang saya janjikan dahulu. Moga-moga ada pencerahan didalam nukilan saya kali ini. Diingatkan sekali lagi, ini coretan kisah antara kami. Tiada roh tiada jin kali ini. Lebih mengingatkan pertemuan pertama sahaja.
Pertemuan pertama kali antara kami ketika usia diawal 20an. Pada hari cuti, saya minta kebenaran keluarga untuk melawat ustaz, lama sudah tidak ketemu dengannya. Kebetulan pada hari tibanya saya, ada taklim dirumah ustaz yang akan dijalankan selepas solat isya’. Indera dan orang desa (orang kampung bunian) turut sama hadirkan diri.
Itulah kali pertama saya melihatnya begitu juga dia mengenali saya.
Dimajlis taklim itu, duduknya semua didalam bulatan, kedudukan Indera berhadapan dan seringkali mata bertentang tanpa sengaja. Dia itu kalau melihat, pandangannya lambat dialihkan, yang bercakapnya Ustaz, yang kerap dipandangnya saya. perilakunya itu tidak senang buat saya.
Indera itu, wajahnya matang, usianya seperti 30an, orangnya tinggi dan berdada bidang. Suaranya lantang, jika bertanya soalan pada Ustaz, molek sahaja bahasanya, tersusun dan kemas. Ustaz kelihatan begitu akrab dengannya.
Ustaz memperkenalkan saya sebagai cucunya yang bernama Aisya kepada mereka yang hadir. Menceritakan perihal kurnian Allah swt kepada mereka, kerana ada diantara mereka, yang belum pernah melihat saya.
Mereka semua hanya mengangguk-angguk sahaja, tetapi Indera itu berlainan pula, tiadanya berselindung dalam bicara, terusan bertanya kepada ustaz,
“Aisya ini, sudahkah berteman dia?
Semua yang ada menoleh kearah saya, menjadi tumpuan pada semua mata yang hadir sekali lagi.
Ustaz kemudiaannya hanya ketawa smbil membalas yang saya masih menuntut, masih lagi remaja, belum berteman. Semasa soalan itu diaju, Indera matanya hanya memandang kearah saya. Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat, nak senyum tidak kena, nak ketawa merasakan tiada lucu, akhirnya memandang ustaz dengan tersenyum tawar.
Soalan apa lah yang ditanya begitu pada pertemuan kali pertama dengan orang yang tak dikenali. Saya yang mendengar pun tidak terjangka akan ditanya sebgitu. Tapi begitulah Indera, tiada selindung jika bertanya. Tidak berkias walau sedikit.
Sebelum mereka pulang, Indera datang kepada saya yang duduk disisi ustaz, Katanya
“2 hari mendatang, aku akan kemari untuk melihatmu lagi, (lebih kurang begitulah ayatnya)
Saya memandang ustaz, ustaz hanya tersenyum mengangguk. Saya yang semasa itu, belum biasa dengan perilaku orang bunian ini, belum mengetahui adab dan budaya mereka. Jadi kehairanan saya tidak terluah melihatkan tindak tanduk Indera terhadap saya. merasa tidak selesa berulang kali menjadi tumpuan.
Perginya Indera bersama yang lain, saya bertanyakan kepada Ustaz, yang saya anggap seperti datuk sendiri.
“Siapa dia tu Tok ayah, kenapa dia begitu dengan Aisya?”
“Dia tu nama Indera Sakma, tiada apa-apa, dia cuma senang(suka) dengan Aisya” bilang ustaz.
Saya tidak biasa dengan keadaan yang terlalu berterus terang, mungkin kerana pembawakan budaya kita orang melayu yang sering berkias, menjadi janggal pula berada dikelompok mereka semua. Ustaz juga kalau bertutur itu, jelas berterus terang, terpengaruh dengan mereka kot.
2 hari tu, saya tidak lah tertunggu, tapi entahlah, seperti menunggu pun ada juga. Malam yang dijanjikan itu, ramai yang hadir, kerana ingin membantu ustaz meleraikan seorang lelaki yang diganggu jin, abang itu pencari daun palas hutan, termasuk dilubuk jin, diikutnya pulang.
Terlalu marah rumahnya musnah, jin memaksa abang itu memakan najis sendiri. Lupakan lupakan. Tidak mahu ingat, saya masih terasa loya bila mengingatkannya.
Sebelum mula untuk mengubati, sememangnya ustaz akan solat berjemaah bersama-sama. Tetapi Indera Sakma tiada kelihatan, meninjau juga melihat kiri dan kanan, tetapi dia tiada.
Saya fikir, mungkin dia sibuk atau ada urusan lain, untuk bertanyakan pada Ustaz semestinya tidak kan. Telinga memasang untuk mendengar jika ada mereka sebut tentang Indera, tetapi tiada.
Saya duduk dibelakang sekali berdekatan dengan dinding rumah, membelakangi keluarga abang itu, keluarga mereka yang hadir juga ramai.
Semasa ustaz mula membaca ayat suci Al-Quran, menyedari kelibat ketibaan Indera yang bersingsing lengan dan seluar, sepertinya kemari dalam berlari. Mengejar hantu barangkali. Dia memang suka kejar-kejar hantu.
Indera datangnya dengan perlahan dari tepi menuju kearah tempat duduknya saya, mula terpandangkan nya, terus sahaja tersenyum tanpa sedari, (malu nya lah masa itu), senyuman yang tanpa sengaja dilempar kepada Indera. Indera juga tersenyum memandang saya,
Dialihkan pandangan apabila Indera menghampiri, dengan berbisik ia perlahan lewati untuk kebarisan hadapan.
“Maaf kerana terlewat membiarkan Aisya menunggu”
sekali lalu sahaja olahnya. walau bicaranya itu, hening, tertangkap jelas dibait pendengaran.
Dikala ini, masih lagi diusiknya akan perihal malam itu, perasan sungguh dia itu, katanya saya menunggu dia walhal dia yang terlebih perasan.
Berjalan dia kehadapan, menolehnya beberapa kali memandangkan saya, bilamana pandangan bertentangan, bibir masing-masing mengukir senyuman, berkali-kali dipesan pada hati, sudah-sudahlah tersenyum itu, belum sesiapa dia denganmu, terasa dihati, malu juga bila diimbas kembali.
Indera yang duduknya disisi ustaz bersama yang lain, memegang tombak sebesar buluh diameternya, cengkaman tangan yang kuat tiada terlepas apa sahaja dari gengaman. Bersoal bicara mereka dengan Indera, soalan ditanya, belum lagi dijawab, tangan terlebih dahulu diangkat dan dihayunnya.
Tamparan sekuat hati dilepaskan mengena tepat wajah jin yang bersidai, kuatnya tamparan telapak, sepertinya kilat yang menyambar, terlempar jin itu kedinding, belum sempat meluah kata, langsung dibaling tombaknya tepat kedada jin itu, yang lainnya pula memenggal kepala tanpa berkedip sedikit pun.
Dan yang melihat ini, kedu tidak terkata, senyap tanpa suara. Seolah suara itu direnggut pergi bersama nyawa yang ditombak itu.
Tidaklah malam itu menjangka sedikit pun yang Indera itu perilakunya kejam dan bengis sekali, walhal semasa jin itu masih bersoal bicara, dia cuba menceritakan dialah yang teraniaya, bukan seperti yang dicerita oleh keluarga abang itu.
Saya tahu jin suka menipu, tetapi manusia tiada kurang juga. Apalah salah jika dengarkan dulu penjelasannya, ini tidak diberi peluang, langsung dihabiskan nyawa disitu juga.
Kejam sangat kamu ini Indera, tiada perikemanusian, benci benar melihat orang yang kejam begitu. Kalau kalian kira dunia kita ini cukup kejam dengan bunuh membunuh sesama manusia, peperangan antara mereka lebih tebal hati lagi serakah. Tiada belas kasihan disisip didalam hati, kalau ingin ditamatkan nyawa, tetulang juga dihancurkan apatah lagi daging seperti dikisar.
Terasa bentak dihati, tidak hingin meneruskan berkawan dengannya, bukan kerana membela jin itu, tetapi merasakan ketidakadilan yang diperlakukan tanpa bicara yang panjang.
Lewat malam itu, usai semua, saya memilih untuk tidak lagi memandangnya, saya menoleh mendiamkan diri, menghabiskan malam itu, dengan berada hanya disisi ustaz, menetapkan dalam hati, tiada perlu bersahabat dengan dia.
Kehairanan dan resah dia melihatkan saya tidak memaling muka kepadanya. Apakala menghampiri untuk dia bertanya, saya berlalu pergi. Bilamana dia berangkat pulang, langsung tiada saya pedulikannya, terlihat dari ekor mata, dia merenung saya sahaja.
Sejak kecil hidup diperlihatkan yang brutal sahaja, penat sudah, tidak mahu hati menjadi keras berulang kali melihatkan keganasan. Takkan sudah besar begini masih lagi dipertontonkan. Adalah lebih baik, kita tidak berkawan, fikir saya semasa itu.
Dia hampiri juga sebelum kembalinya ke alam sana, tidak dapat melarikan diri lagi kerana duduknya saya dipenjuru beranda bersama ustaz, Dia datang bersila dihadapan kami seraya bersuara lembut sahaja.
“Guru, aku akan ke bandara (bandar alam bunian) sepurnama ini, tiada didesa (perkampungan) buat seketika, kembali sesudah selesai urusan ku”
Indera berbicara kepada ustaz, ustaz mengangguk-angguk sahaja sambil menulis nota dikitabnya. Indera menoleh pula kepadaku dan seperti menyusun kata lamanya tanpa bersuara.
“apa yang telah melukakan hatimu Aisya” luah Indera dengan perlahan.
Ustaz yang mendengar, hanya tersenyum terus sahaja menyambung membelek-belek kitabnya tidak pedulikan olahan Indera itu. Saya yang bersimpuh hanya diam, tiada pula menoleh kepada nya, menumpu juga kepada helaian kitab yang dibelek ustaz, padahal hati dan telinga ini, menjurus kepada Indera yang didepan itu.
Sekian lama saya berdiam diri, Indera bangun dan menyertai kawanan yang lain, dia memberi salam kepada ustaz dan mula bergerak pulang meninggalkan rumah. Saya tidak juga menoleh semasa pemergiannya. Keras betul hati ini.
Tetapi apabila merasakan bayang mereka semua mulai hilang, saya bangun berdiri melihatkan dari jauh, kelibat semua telahpun tiada, tanpa sedari, hati pula terasa sedih, bicara pula dalam hati, mengapa dia diperlakukan begitu, tiada salah dia kepada saya.
Bagaimana jika ini terakhir kali saya dipertemu dengannya, bagaimana jika itu yang terakhir saya melihat wajah dan mendengar suaranya…
Sedangkan hati ini… mulai senang dengannya.
Lama termenung paku ke jalan berbatu itu, malapnya lampu membias cahayanya dirumput, begitulah sesuram hati saya, terasanya seperti ditinggalkan sendiri kesepian. Entah apa yang menganggu fikiran, tidak hilang walau cuba dialihkan.
Seketika melayani perasaan, disedari tampak susuk badan dari kejauhan berjalan menghampiri beranda ustaz, Berjalannya dalam samaran kegelapan, tetapi susuk itu, saya mengenalinya, dia yang ditunggu itu, telah kembali semula.
Melihatkan Indera kembali semula kehadapan saya, hati ini kembali tersedar, bibir pula tersenyum seperti terlalu gembira kerana sekembalinya dia dihadapan saya, itulah, tadi sombong sangat, bila hilang dicari-cari pula. Padanlah muka saya, malu juga yang mendapat akhirnya.
Dia datang kembali untuk bertemu ustaz katanya, tetapi melihatkan saya yang tersenyum memandangnya dari jauh, dia sepertinya telah melepaskan helaan nafas yang panjang. Berat betul beban dipikulnya kerana melihatkan saya yang tidak menoleh kepadanya sebelum itu.
Ustaz yang masih duduk bersama kitabnya itu, hanya sesekali tersenyum melihatkan gelagat kami berdua yang hanya berpandangan dan saling ketawa. Tidak paham dia dengan karenah orang muda ini getus hatinya barangkali.
Indera merasakan seperti saya telah memafkannya, walhal tiada salah dia pada saya, tiada pula ditanya mengapa saya marahkannya, saya juga tidak menerangkan mengapa saya dingin begitu. Biarlah apa yang berlaku, disimpan dalam hati, yang terlintas difikiran biarkan kekal disitu.
Ada seketika, bertanyakan Indera, mengapa kembalinya dia semula pada malam itu, katanya, dia tidak keruan mengingatkan saya yang tiba sahaja tidak mempedulikannya.
Sedangkan sebelum itu seolah memberi harapan, bimbang tidak bertemu lagi dengan saya, bimbang pertemuan terakhir antara kami berantakan, dia kembali untuk memohon maaf sekali lagi. Biarlah jika saya memarahinya pun, dia rela. Cinta pandang pertama ujarnya.
Sehingga kini, tidak pernah kami berpisah diantara dua alam dalam keadaaan marah memarahi, yang salah memohon maaf, dimaafkan juga tanpa persoal, lama sudah mengenali Indera, lama sudah bersama dengan nya, tapi perihal malam itu, tidak pernah dilupakan, seolah menjadi penanda pada permulaan hubungan yang terjalin sehingga hari ini.
Saya bukan mudah untuk jatuh cinta, sebenarnya tidak pernah berbaik dengan mana-mana lelaki pun, dahulunya disekolah menengah bersekolah di sekolah perempuan.
Sekolah rendah pula homeschool sepenuhnya, bertemu rakan sebaya hanyalah ketika menduduki peperiksaan UPSR, cinta pertama mahupun cinta kedua, emangnya tiada. Cinta itupun, tiada tahu rasanya bagaimana. Perkenalan ini, beda melalui, segaya pertama kali.
Sambung A-level di matrikulasi, Ijazah di Uni, tiada ingin berteman disulam pula sikap pendiam, tiada biasa berkawan dengan yang ramai, nombor telefon tiada diberi kepada sesiapa melain teman sebilik dan direktori pendaftaran kemasukan ke pengajian.
Ada menerima beberapa pucuk surat dan salam perkenalan untuk berkawan semasa di uni seawal minggu orientasi lagi, merasakan tiada senang, menolak dengan baik langsung tiada bertanya siapa gerangan.
Pada masa itu, adapun facebook/whatsapp tiada semeriah hari ini. Bersua dengan lelaki, ketika dikuliah ataupun didewan makan sahaja. Sebarang aktiviti kolej kediaman, tiada turut serta. Benar-benar mengisolasi diri, lebih senang begitu.
Entah apa yang membuat hati terikat dengannya si Indera itu, wajah tiada juga tampan, persis bermanis mulut dan memujuk rayu bukan dia orangnya, tetapi hati ini senang seadanya dia disisi. Boleh jadi kerana keterbiasaan dengan mereka-mereka yang berlainan dimensi, menjuruskan hati kesana juga..
Penghabisan cuti semester itu, Indera tiada datang kembali kerumah ustaz, abang datang menjemput pulang. Perhubungan saya dengan Indera, tiada yang menjadi penghubung, tiada telefon boleh diguna untuk mendengar suara, tiada whatsapp, tiada facebook untuk meningati wajahnya.
Bagaimana jika terkenangkan dia? Kirimkan sahaja doa, hendaknya dia baik-baik sahaja hingga bertemu lagi. Bicaralah pada angin, bilamana dia bisa mendengarnya.
Sukarkan perhubungan seperti ini, saling mengingati dan saling menunggu. Sudahpun selama ini, tiada pernah berubah hati sejak kali pertama mengenali sehingga ketika menulis ini.
Saya ini bukanlah niqabis, hanya berniqab ketika berada diuniversiti sahaja, jika diluar, pakaian saya biasa sahaja. bukan merasakan diri ini cantik mahupun warak, tetapi membataskan padangan mata orang lain terhadap saya.
Tidak mahu lagi diundang dengan salam perkenalan, tidak mahu lagi berulang kali menolak permintaan mereka yang tidak menahu, bilamana hati ini serasa sudah dimiliki oleh yang jauh tinggalnya.
Jika cuti itu berjarak lama, ke rumah ustaz perginya saya bersama abang. Mulai sudah saya beransur baik, ibu dan ayah memulakan kembali syarikat kontraktor kecil milik mereka. Memulakan semula setelah berhenti seketika langkahnya demi mengubati saya.
Tiada sabar menunggu tiba cuti tahunan, untuk kembali menemui ustaz sekeluarga dan desa yang dirindui juga ingatan pada sidia.
Kehadiran saya kerumah ustaz, selalu dinanti-nanti oleh mereka dalam khabaran, serasa mengantikan cucu-cucu yang jauh tinggalnya diluar negara. Tiap kali kedatangan, disambut dengan juraian air mata oleh ummi (isteri ustaz). Merindukan kasih pada cucu yang menumpang ini.
Saya ini tiada rahsianya dengan abang, bercerita juga tentangnya Indera kepada dia, dia itu senyum sahaja, ejek -ejek bilang saya sudah pandai nak bermain cinta. Bukan bercintalah abang, ini berkawan sahaja. tapi itulah, yang disangka hanya akan berkawan, bercinta pula sehingga akhirnya.
Pemergian cuti tahunan, perginya bersama abang menemani, bilang ingin kenali Indera yang telah mecuri hati adiknya. Lahh.. macam lah abang akan nampak kata saya sambil ketawa. Tapi masa itu, pengetahuan saya mengenai alam bunian masih cetek. Tidaklah saya tahu yang Indera itu boleh sahaja menampakkan susuk badannya pada manusia biasa.
Malam nya itu diadakan bacaan doa selamat dirumah ustaz, dijemput orang kampung dan orang desa (bunian), saya mengharap benar Indera juga hadir, terkadang seperti hilang sudah bayangan wajahnya lewat difikiran. Bertanya Ustaz, adakah Indera akan datang, kata ustaz, jemputan sudah dihantar, inshaAllah dia hadir.
Namun kelibat dia tidak pun kelihatan sepanjang solat jemaah tetamu lelaki, orang kampung juga ramai yang hadir begitu juga tetamu dari desa (bunian).
Beberapa tetamu desa yang yang kenali, mereka menjelmakan diri mereka kealam manusia, memperlihatkan susuk badan, tiada selindung sedikit, duduk dikalangan tetamu kampung yang lain, jikalah saya tidak mengetahui mereka sbelum itu sebagai bunian, tidak saya tahu mereka itu adalah orang desa, pakaian, gerak geri, seakan kita manusia biasa.
Tahulah saya ketika itu, mereka berupaya sahaja untuk menampakkan badannya pada umum, tidak pula tersampai hati untuk beritahu abang, kelihatan rancak benar berbualan.
Kerana tiada biasa mengenali yang lain, banyak nya masa saya hanya didapur bersama dengan ummi dan orang kampung menyiapkan hidangan. Mungkin Indera tidak tahu saya datang atau dia sudah tidak ingat saya lagi, runtun serasa hati. Tetapi bersama mak-mak didapur, mengalihkan ingatan memikirkan dia sahaja.
Lauk pauk dihidang bertalam, saya ini mudah hairan orangnya, dibesarkan dibandar, tiada makan berhidang, semuanya buffet sahaja ketika walimah. Ayah berketurunan Chinese, jika ada majlis perkahwinan sebelah keluarga ayah, semuanya akan diadakan dihotel. Ibu pula sememangnya berasal dari Kuala Lumpur, arwah nenek tinggalnya di Bangsar.
Kawasan kejiranan dikelilingi oleh masyarakat majmuk. Inilah pengalaman pertama saya menghadiri kenduri seperti ini, meriah sungguh. Tapi tidak dapat melenyapkan pemikiran saya kemana Indera itu tiada nampak lagi dia.
Usai bacaan doa selamat dan majlis makan, tiada juga Indera kelihatan, yang hadir hanya beberapa wajah yang saya kenali dulu, yang lain tidak kenali.
Saya duduk ditemani abang pada awalnya dibawah khemah, kemudian abang mengajak duduk bersama ustaz dan beberapa tetamu yang lain, saya memilih untuk duduk sahaja dikhemah itu seorang diri, bertemankan Hp, bemain game.
Leka tidak mempedulikan mereka yang lain, tetamu kampung ramai yang sudah mulai pulang, tetamu dari desa, masih ramai ada yang mendengar taklim ringkas ustaz,
Ketika raliknya saya bermain game, panggilan pula masuk “private number”, kehairanan kerana mengetahui bahawa rumah ustaz tiada coverage melainkan beberapa spot hanya untuk mesej, bagaimana pula hp dapat menerima panggilan dari nombor yang tidak diketahui.
Saya accept panggilan itu, didalam sayup, mendengarkan suara Indera menyebut nama saya, terkejut bukanlah kepalang, terusan sahaja melilau mata mencarikannya dikeliling, dia ada dibelakang saya sahaja rupanya, tiada pula di sedari mulai datangnya dia. Berapa lama dia disitu, tiadalah tahu.
Menariknya kerusi dan duduk ditepi, tidaklah dekat pula tidaklah jauh, namun memadai tampak wajahnya dibias sinaran cahaya lampu, memakainya sepersalinan jubah berseluar putih, itu pertama kali melihatnya menjelma ke alam manusia.
Duduknya dia, tiada bersuara, begitu juga saya, kami hanya berpandangan lama seolah melepaskan ingatan pada yang dirindu, dan mengukir senyuman, lama rasa tidak melihat wajah nya, berdebar dihati.
Menyedari dia merenung kan saya, cuba pula untuk membalas pandangan mata namun tiada daya memandangnya lebih lama. Debar dalam hati merasakan pendeknya nafas. Dia itu kalau melihat saya, dilihat tanpa mempedulikan perkara yang lain. dipandang seperti mesin mengimbas wajah. nak kira jerawat ke? Jerawat tak de tau.
Lama tidak bertemu namun merasa hati tenang berdekatan dengan Indera ini. Lama duduknya disitu akhirnya bersuara.
“Aisya ku… baik (sihat) kah diri mu” dia bersuara, memanggil saya dengan nama “Aisyaku”
Saya yang mendengarkan panggilan itu, tersnyum ketawa kecil, mudah terpedaya saya ini. Bahaya bahaya bahaya. Romantik sangat awak ini Indera
Dia itu kalau bicara, suka memandang wajah, perhalus pula tuturnya, memanggil gelaran nama “Aisyaku”, tidak pernah pula memanggil saya dengan panggilan lain.
Dia memohon maaf kerana membiarkan saya menunggu, maklum kehadiran saya diberitahu ustaz. tetapi terlewat hadir. Ada yang perlu diuruskan terlebih dahulu. Kejar berkejaran dengan hantu lah tu.
Abang yang dari khemah bersebelahan, menyedari kehadiran orang lain disisi saya. Lantas bangun berjalan menghampiri. Tiada dia sangka yang lelaki bersama saya itu adalah Indera, kerana dia seperti saya juga, awal tidak mengetahui bunian boleh menjelma dialam manusia. Tidak juga dia tahu, sedari tadi dia berbual dan makan bersama juga dengan orang desa.
Indera melihatkan abang menghampiri, bingkas berdiri dan mehalang dengan badannya dari saya dilihat abang. Entah untuk melindungi atau menyorokkan saya.
Usia abang dengan saya tidak jauh bezanya, jika berjalan berdua, sering disalah erti kami seperti kawan. Abang saya itu, parasnya elok, ramai sangat girlfriendnya, sering bertukar-tukar sejak dari bangku sekolah lagi. Saya lah yang menjadi tempatnya bercerita kisah-kisah cintanya.
Indera juga beranggapan yang abang itu orang yang lain, sampai abang kepada kami, terus ditanya nya, mengapa? Abang juga bertanya kenapa? Dah dua dua orang duduk kenapa kenapa. Orang lelaki, protektif sangat perilaku masing-masing.
Saya perkenalkan abang kepada Indera, barulah air mukanya yang tegang kembali seperti mula. Dilihatnya abang seperti mahu menelan sahaja, wajah yang baik-baik tadi sudah dibuang agaknya. Dan pada abang pula, saya perkenalkan Indera sebagai “dia”. “Dia” rujukan nama Indera dalam perbualan kami seharian.
Air muka abang berubah serta merta, berkerut-kerut dahinya, tidak dijangka akan bertemu dan melihat Indera berdiri dihadapannya, seorang lelaki bunian yang selalu diceritakan oleh adiknya.
Dia menoleh pandangan ke arah kelompok masih bersama ustaz yang dia sertai tadi, kembali menoleh kepada saya meminta kepastian, saya mengangguk mengiyakan anggapan nya bahawa semua yang berada disisinya tadi adalah golongan bunian. Lucu pun juga wajah abang itu, nak dibilang takut tidak juga, lebih kepada tidak percaya.
Abang itu, telah lama bersama saya, tiada cerita yang tertinggal dalam hidup saya yang tidak dia ketahui. Sedangkan dia yang selalu mendengar bait cerita mengenai alam yang berlainan juga biru gugup wajahnya.
Bagaimana dengan kalian yang tidak pernah tahu diberi peluang untuk melihat. Sekadar ingin bertanya, melihat sesuatu yang tidak zahir ini merupakan ujian buat saya, telah saya redha dan lalui dengan ikhlas. Tanpa lagi persoal.
Sepanjang hidup, saya memilih untuk merahsiakan apa sahaja mengenai diri saya. Dahulu semasa kecil, brcerita sahaja tanpa batas, kepada amah yang menjaga, bertukar amah itu perkara biasa. Tidak sempat mengenali nama telahpun melarikan diri.
Sejak itu, menyedari, berkongsi itu, tidak memberi apa kebaikan kepada saya, untuk memyimpannya seperti masih tersisa. Boleh jadi itulah mengapa saya ini begitu pendiam didunia ini. Tiada bicara hanya yang perlu, tiada meluah bilamana dihimpit. Menulis ini sekadar melepaskan segala resah dihati.
Abang sudahpun berkahwin, mempunyai keluarga sendiri, Walau sebanyak mana kasih dan sayang dia kepada saya, dia juga tidak boleh lagi menumpu sepenuhnya hanya kepada saya seorang.
Kakak ipar seorang yang sangat baik dan mulia hatinya, menerima segala kekurangan saya seadanya, mereka telah dikurniakan sepasang cahaya mata, mereka lah yang paling berhak keatas abang, bukan saya.
Ibu dan ayah juga mula kembali menyambung tugas yang dirindui sekian lama. Jarang sekali bertemu muka sejak mula berpindah ke kediaman baru ini. PKP ini lah menemukan kembali saya dengan mereka. Mereka sayangkan saya, saya juga sayangkan mereka, tidak bermakna saya tiada dihadapan mereka, bermakna kurangnya kasih saya pada mereka.
Jika menulis ini dapat meluahkan segalanya, benarkan lah saya menulis.
Terima kasih iium confession sudi menerima kisah saya, boleh jadi ini Ramadhan dan Aidilfitri kali ini yang terakhir buat saya disini.
Moga-moga, masih dikuatkan hati untuk menulis yang kesekian kalinya, menceritakan dunia sana yang begitu dekat dihati. Asing sekali didunia sendiri.
Bertanya sudah pada semua, mereka telah pun meredhakan.
Hati saya tiada pada yang lain, tidak pernah pada yang lain, tidak akan pada yang lain, kerana dia yang paling senang buat saya.
Mereka semua juga menunggu saya disana.
Untuk berada disana, saya perlu menjadi sebahagian disana, segala urusan dunia tiada lagi berkait dengan saya. Pemergian sehala tiada laluan pulang, disana nanti, segala ingatan tentang dunia juga akan dihilang satu demi satu, pilihan telah dibuat, disini juga merasakan banyak yang telah dilupakan.
Berapa lama lagi Indera perlu melindungi ingatan saya disini. Jika bukan kerana dia, sudah tentunya saya sudah lama tidak mengenali diri sendiri. Ingin saya berada disana, bersama denganya yang sedari dulu menunggu saya.
Malam itu, Indera meminta persetujan untuk membawa saya mengenali alam sana, dengan kebenaran ustaz dan keizinan abang, Indera menetapkan lagi 2 hari. Dia akan datang membawa saya kesana diawal pagi selepas subuh.
Malam itu, Indera dan abang berbual rancak bersama yang lain, berbual sehingga ke larut malam, hilang sudah barangkali ketakutan dia merubah kepada keterujaan.
Saya meninggalkan mereka semua dan berbaring berehat di bilik, merenung bagaimana rasanya kealam sana, Abang tidak dapat menemani, kerana esok harinya harus pulang ke kota, meninggalkan saya sementara disini. Habis cuti nanti, kembali semula menjemput pulang. Terlalu memikir akhirnya terlelap kerana keletihan.
Subuh itu, saya dibangunkan oleh ummi, katanya, ustaz mengajak semua berjemaah, bangun dan bersedia seawal jam 5am, dirumah ustaz ini, jikalau ramai ahli keluarga yang ada, sememangnya subuh solatnya berjemaah disertai dengan taklim ringkas.
Disangka Indera sudah pulang, rupanya ada bersama untuk menunaikan solat subuh berjemaah, mereka-mereka itu, tidak tidur sepanjang malam kerana berbualan, bertembung dengan Indera dinihari seperti itu, dengan mata saya yang semulajadi sepet-sepet ini, ditambah pula sembab kerana tidak cukup tidur.
Berulang kali memalingkan muka tidak mahu bertentang mata, Indera itu tersenyum sahaja, ye lah yelah, saya memang bermata sepet. Awak je yang bermata bundar.
Sebelum matahari menyinari lantai bumi, Indera dan pasukannya harus segera pulang, tuntutan kerja barangkali, kejar mengejar dengan hantu lah itu.
Pemergiannya kali ini, dilambainya saya dari kejauhan, ketawa saya melihatkan dia, orang yang besar tinggi sebegitu, berwajah pula ganas ganas, tetapi melambai-lambai, diingatkannya saya berulang kali, lagi 2 hari, dia akan datang membawa saya kesana. Saya mengangguk memahami.
Bertanya ustaz, tidak mengapakah jika saya mengikutnya Indera kesana, Tidak mengapa bilang ustaz, Indera itu bukan yang sebarangan, tiada yang dia takutkan dihutan itu. Yang dihutan itu takutkannya. Didesa sana juga, Indera bukan yang kebanyakkan, dikenali dan dihormati, bersama dengannya, tiada yang dapat mengusik saya.
Ustaz salah faham dengan soalan saya, saya mengangguk sahaja, mungkin ustaz fikirkan saya risau perihal desa sana, walhal yang saya risaukan Indera itu.
Bolehkah saya mempercayainya, soal gangguan mahluk lain, tiada saya takut, tengok wajahnya sahaja, jin-jin sudah melarikan diri. Saya jugalah yang tidak melarikan diri, malah diikutnya pula kesana.
Apalah yang merasuki mu Aisya?
– Aisya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit