Kursus Asas Komando

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca dan terima kasih admin yang menyiarkan tulisan ini.

Nama aku Abdullah berumur awal 30an, sudah berumahtangga dan mempunyai beberapa cahaya mata. Alhamdulillah.

Tujuan aku menulis sekadar ingin berkongsi pengalaman aku menghadiri Kursus Asas Komando dan lulus dengan jayanya beberapa tahun lalu. Alhamdulillah.

Sebelum itu aku terpaksa rahsiakan beberapa perkara dan Pasukan mana yang aku bertugas atas sebab keselamatan.

Aku hanya ingin berkongsi pengalaman yang tak seberapa ini mudah-mudahan anak muda yang lain terbuka untuk sertai kursus sebegini.

Jadi, sekiranya ada beberapa perkara tidak tepat mengenai fakta sebenar kisah ini ianya disengajakan dengan tujuan untuk menjaga kerahsiaan.

Sebagai pengenalan, terdapat 6 pasukan khas yang diiktiraf dalam Malaysia dan menerima elaun pasukan khas iaitu 69 Komando, GGK, PASKAL, PASKAU, STAR Team dan UTK PDRM. Kami bersahabat baik, saling menghormati dan berkongsi matlamat yang sama.

Sejak kecil aku tidak menunjukkan minat untuk menyertai badan uniform walaupun ayah aku seorang anggota PDRM begitu juga arwah datuk. Aku juga bukanlah seorang yang aktif atau lasak memandangkan aku membesar di bandar.

Apalah sangat lasak bandar berbanding tinggal di kampong. Jadi aku tidak didedahkan dengan aktiviti lasak sangat.

Ini antara point yang selalu orang yang mengenali aku sejak kecil akan cakap dan hairan bagaimana aku boleh lulus kursus asas komando – kursus paling piaww di Malaysia.

Oh, piaww di sini membawa maksud tough atau hebat. Maafkan aku sekiranya lain daripada apa yang semua sedia maklum. Inilah term yang selalu digunakan dikalangan kami.

Mungkin termakan sumpah tak mahu menyarung uniform, Alhamdulillah aku diterima masuk ke salah satu cabang uniform.

Pada asalnya dalam kepala aku langsung takda niat nak masuk uniform tapi mungkin ianya salah satu rezeki Allah nak bagi. Aku syukur dan redha.

Selepas melalui kursus asas uniform beberapa bulan, aku diserap ke unit. Beberapa kawan satu batch (skuad) mengajak aku menyertai pasukan komando yang mana langsung aku tak terlintas untuk masuk. Aku belum berumahtangga masa tu.

Tapi disebabkan buddy aku ketika itu begitu beria, aku pun dengan berat hati ikut serta. Aku langsung tak pernah ambil tahu bentuk training dan apa yang aku akan hadap semasa dalam kursus asas komando itu nanti.

Aku cuma go with the flow. Aku berlari, berenang dan buat physical training (PT) sebagai persediaan bersama buddy aku- Fathi (bukan nama sebenar).

Tiba harinya kami dipanggil untuk melapor pemanasan pra asas komando.

Melapor saja di pusat latihan, jantung berdetak bukan main kencang melihatkan jurulatih yang masam dan garang. Kalau yang bermisai saling tak tumpah macam misai S.M A Galak Gerak-gerak Khas.

Menyesal pun ada tapi aku gagahkan juga diri. Seorang skuad aku di unit asal pesan sekiranya aku balik awal tanpa pakai beret komando, dia nak terajang aku – antara malu dan maruah.

Aku gagahkan diri. Ada dikalangan skuad aku nak terkucil pun tak terkeluar. Punyalah takut masa tu.

Sepanjang pemanasan pra asas komando, kami diajar teknik berlari dan PT. Terdapat uji cergas beberapa kali dan perlu lulus dan ada peningkatan.

Waktu ni agak mencabar kerana setiap minggu badan makin fit tapi penat tu yang buatkan aku susah nak perform untuk uji cergas.

Tapi Alhamdulillah aku lulus semua ujian yang dijalankan dan disenarai pendek untuk ke peringkat Kursus Asas Komando.

Peringkat pemanasan masih dikira heaven disebabkan tiada aktiviti malam dan sesekali boleh overnight di luar dan cuti hujung minggu bergantung kepada kelulusan pegawai.

Pernah sekali aku dan beberapa skuad kantoi keluar kem untuk beli burger pada waktu malam selepas selesai aktiviti. Tak lalu nak telan megi cup saja malam-malam.

Kebetulan brader gerai burger tu kenal dengan JL Komando juga. Jam tu juga JL datang jemput kami dengan karpet merah. Duit ambil, burger tak dapat. Sakit yang dapat. Khinzir betul.

Sepanjang pemanasan, jurulatih (JL) langsung tidak pernah naik tangan atau menengking. Sebaik-baik umat. Kalau buat silap atau lewat beratur pun cuma diberi hukuman push up atau PT.

Tapi menurut senior, air muka dan sikap JL akan berubah 180 darjah selepas malam pembukaan. Bersedialah.

Apa yang menyedihkan, buddy aku – Fathi gagal dalam beberapa ujian dan tidak layak ke peringkat seterusnya. Fathi perlu return to unit (RTU). Kami punyalah sedih dan kecewa.

Sepanjang malam kami menangis. Fathi yang beria nak sangat jadi komando tapi aku yang layak untuk teruskan.

Pada mulanya aku berat untuk teruskan. Tapi Fathi memujuk aku bersabar dan jangan sesekali tarik diri. Aku paksakan diri untuk teruskan kursus tanpa buddy.

Fathi hadiahkan aku dock tag nya kepada aku sebagai azimat untuk aku teruskan perjuangan menjadi seorang komando. Cita-cita Fathi sejak kecil.

Fathi lah yang mengajar aku dapatkan pace berlari, belanja aku kasut sukan yang bagus dan paksa aku berlari pagi dan petang untuk dapatkan fitness sebelum kami sertai pemanasan.

Aku tak kan lupa jasa baik Fathi biarpun kini kami bukan lagi di unit yang sama. Terima kasih Fathi!

Tarik diri dalam kursus asas komando adalah kerja gila dan bodoh. Perkataan tarik diri adalah haram disebut dan sekiranya ada yang menarik diri, pelatih akan hadapi suatu neraka dunia. Azab seksanya hanya Allah mengetahui.

Disebabkan sudah 1/3 perjalanan, aku teruskan perjuangan berbekalkan doa orang tua dan kawan-kawan khasnya Fathi yang mahukan aku lulus.

Pembukaan Kursus Asas Komando

Hari yang paling ditakuti akhirnya tiba. Dari pagi membawa ke petang JL sangat baik dengan kami. Diberi makan kenyang-kenyang, buat persediaan peralatan beg FSMO, kilatkan kasut dan berehat.

Menjelang malam, kami diarahkan beratur selepas solat isyak di padang kawad.

Kami berdiri dihadapan pegawai-pegawai kanan dengan lampu yang terang. Shazli (bukan nama sebenar dilantik sebagai bilal. Azan mendayu-dayu dilaungkan dan sejurus selepas laungan terakhir, lampu dipadamkan dan bergelap.

Maka bermulalah neraka dunia bagi kami diperlakukan tanpa belas kasihan sehingga azan subuh berkumandang. Sampai sekarang kami akan trauma kalau dengar Shazli melaungkan azan.

Maaf aku tak dapat nak ceritakan lanjut apa yang berlaku sepanjang malam pembukaan kerana ianya isu yang sensitif. Namun untuk bergelar seorang komando sejati, inilah detik pertama ujian yang wajib lulus.

Beberapa skuad aku tumbang masa malam pembukaan. Sedihnya bukan main kerana kami dah bersusah payah ke tahap ini.

Mulanya sedih tapi bila jumpa balik lepas dah lulus rupanya ada yang sengaja tumbangkan diri sebab dah tak tahan kena lanyak. Khinzir hutan betul.

Kursus sebegini melahirkan comradeship, blood brother dan kekitaan yang tinggi yang mungkin takda dalam kursus lain. Susah senang dilanyak memberikan 1001 kenangan yang pahit tetapi manis bila dikenang. Komando pun menangis masa dalam kursus.

Peritnya nak bergelar lelaki sejati. Itulah senjata untuk menguatkan mental. Saling memberi semangat dan membantu. Dalam kursus kita akan kenal kawan yang pentingkan diri dan siapa sahabat sejati.

Untuk peringkat seterusnya aku akan sambung dalam penulisan lain sekiranya berkesempatan inshaAllah.

Sekadar perkongsian pengalaman yang tak seberapa dan melepas rindu mengimbau kenangan kursus. Pengalaman pahit yang indah bila dikenang.

– Abdullah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *