Salam, nama aku Sarah. Terpanggil untuk menulis tentang apa yang aku asyik fikirkan.
Zaman-zaman sosial media sekarang ni, semua benda lebih mudah dikongsi.
Kita ambil peluang lihat perkongsian itu sambil luaskan perspektif kita tentang bagaimana kehidupan orang lain, bagaimana caranya, bagaimana haluannya. Belajar tentang kehidupan orang lain.
Orang timur kita ni senang sentap jika berkaitan dengan adab dengan makanan, atau lebih tepat lagi, cara-cara urusan menghidang makanan.
Kadang kala, kita lupa, lain family, lain protokolnya. Nampak elok bagi kita, tapi tidak boleh diterima bagi mereka, dan sebaliknya.
Contoh yang aku rasa isu kecil sahaja, tapi nampak besar reaksinya. Isu menghidang makanan.
Ada keluarga yang kalau menghidang, pinggan mangkuk yang digunakan semua perlu sama.
Ada keluarga yang tak kisah pelbagai jenis mangkuk pun, asalkan berhidang.
Ada keluarga yang letak sekali periuk nasi di tempat makan.
Ada yang sendukkan nasi ke dalam bekas nasi.
Ada juga yang hidangkan lauk terus dari dalam kuali / periuk.
Ada keluarga yang langsung tak hidang. Semua ambil & susun lauk masing-masing dari dalam periuk di dapur, terus ke dalam pinggan.
Ada keluarga yang semua perlu lengkap, ada air basuhan tangan, air minuman siap bancuh & dituang ke dalam gelas.
Jadi, yang mana salah, yang mana betul?
Jawapan : Semua betul.
Secara personal, bagi keluarga aku, kami takkan sesekali hidangkan lauk dari dalam periuk/ kuali.
Alasan nya? Nampak tidak manis bagi kami. Dan tak amalkan juga ambil lauk dari periuk kuali terus ke pinggan. Harus berhidang. Tapi itu untuk keluarga aku sahaja. Untuk keluarga orang lain?
Apa-apa sahaja yang membahagiakan mereka, biarlah mereka lakukan. Mereka bahagia dengan cara mereka.
Tak manis bagi aku, tapi kalau itu bahagia untuk mereka, kenapa aku perlu pertahankan ‘ketidakmanisan’ aku tu?
Padahal yang ‘kemanisan’ tu aku seorang sahaja yang rasa, bukan mereka. Tak perlu aku nak ‘educate’ mereka tentang bagaimana keluarga aku menghidang.
Ibarat makan buah limau oren, bagi aku rasa tak manis, tapi bagi lidah orang lain, elok sahaja sedap, boleh enjoy makan berbiji-biji.
Jadi, adakah aku kena pertahankan yang oren itu tak manis, tak sedap, padahal yang merasa tak sedap tu cuma lidah aku.
Lagipun, perbezaan cara dalam keluarga tak menjamin adab ahli-ahli keluarga, termasuklah keluarga aku.
Ya, ada netizen yang pertahankan kecaman mereka, dengan alasan, kita kena ajarkan adab supaya orang sekarang belajar beradab.
Bagi aku, betul dan salah. Ya betul, kalau kau marah anak kau. Tapi salah sebab kau siapa nak terapkan protokol family kau dekat family aku?
Kalau mak aku kecam aku sebab aku hidang periuk gulai ikan terus ke meja makan (yang jenis periuk cap buaya tu), aku faham kenapa. Sebab aku hidup dalam keluarga yang mengamalkan cara begitu.
Tak salah pun bagi aku kalau mak aku kecam. Layaklah aku kena lanyak.
Sama juga dengan keluarga mertua aku. Cara uruskan hidangan mereka berbeza. Berhidang, namun semua ambil lauk siap-siap selepas dihidangkan.
Kalau ada lauk ayam, sayur dan kuah, semua orang akan ambil semua lauk itu dulu cukup-cukup, susun dalam pinggan sendiri dan barulah makan.
Tiada tambah-tambah, walaupun nasi. Jadi lauk yang dihidangkan semua cukup-cukup, sama-rata, tak ada yang makan kurang atau lebih sebab semua dapat lauk ikut portion.
Kadang-kadang aku terbabas juga pegi tambah nasi, tapi mereka ni okay je.
Berbeza dengan keluarga aku, berhidang, tapi semua ahli keluarga makan sedikit-sedikit. Kalau dah habis, ambil lagi sedikit.
Makan sambil berkongsi, jadi ambil sedikit-sedikit supaya ahli keluarga lain boleh makan sama-sama sampai lauk habis.
Jadinya lepas kahwin, aku ikut cara suami aku makan. Tapi bila family aku datang ke rumah, aku hidang ikut cara family aku.
Aku hormati mana-mana cara. Pastinya, aku sukakan cara keluarga aku makan, tapi cara keluarga mertua aku makan juga tiada salahnya.
Aku pun enjoy cara begitu. Tidak perlu risau orang belakang tak cukup lauk. Aku pernah tinggal sekejap di rumah makcik aku, makan terus ambil dari periuk.
Anak-anak alhamdulillah elok baik budi pekerti. Dan bagi aku macam senang maintainance juga, sebab tak perlu hidang-hidang.
Bagi aku, apa-apa adat & adab yang tak memudaratkan, tak perlulah dikecam andai keluarga lain tak amalkan. Lain keluarga, lain protokolnya.
Itu baru bab menghidang makanan, pun dah kecoh di Facebook. Geleng kepala aku.
– Sakila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit