Assalamualaikum. Banyak pula confession yang berkaitan dengan ipar duai, pasangan tak elok perangai, kurang selesa dengan mertua dan sebagainya. Kebanyakannya jika dinilai semula melalui tulisannya, penulis biasanya menyatakan pihak yang bersalah itu adalah orang lain, dan bukanlah si penulis secara total. Tidak kira sama ada mertua, suami, isteri, saudara mara, dan sebagainya.
Tidak kisahlah siapa yang salah. Masing-masing punya kelemahan sendiri. Cuma, saya sebagai individu yang dari kecil hidup dalam keadaan keluarga dan perhubungan sesama saudara yang agak mencabar, ini jawapan bagi isu yang sentiasa berlaku dalam komunikasi sesama manusia. InsyaAllah jika dipraktikkan cara ini, ia akan memberi kesan yang lebih baik dan sejahtera sesama keluarga.
Pertama, jaga tepi kain diri sendiri, dan biarkan kain kita diselak.
Bukanlah maksudnya kita biarkan orang melihat seluar dalam kita, tetapi lebih pada analogi yang membawa maksud, biar orang mahu jaga tepi kain kita, tetapi kita jangan terhidu-hidu seperti anjing pada hal-hal orang lain. Kita jaga hal kita, isteri, anak-anak, adik beradik, dan mak ayah kita sahaja. Di sini bukanlah bermaksud kita tidak menjaga hubungan silaturrahim antara jiran, atau sanak saudara, tetapi lebih kepada menjaga diri daripada mengambil tahu perkara yang tidak patut.
Contohnya, jika anak pak cik saudara kita, isterinya spesis kurang ajar, atau pun perangai tidak elok, kita tidak usah masuk campur. Itu isteri dia. Jangan wujudkan perang dunia dengan mengumpat bersama mak cik saudara kita tentang perangai menantunya. Contoh lain, jika akak ipar kita perangai macam Kim Jong-un, tak payah kita yang nak ubah dia jadi bendul. Pandai-pandailah abang kita mahu betulkan. Sedar yang kita ni tiada autoriti atau kuasa untuk ubah orang. Jika mahu juga, kita doa elok-elok, dan tunjukkan pada akak tu (indirectly) apa perkara yang patut dia lakukan. Kadang-kadang tak semua masalah kita boleh selesaikan dengan cara menegur. Kita ni pun tak adalah penyabar sangat nak tegur elok-elok. Khennn…
Kedua, pilih pasangan sebetul-betulnya.
Biarlah orang kata kita ni cerewet, atau dah tua tapi belum kahwin. Mulut orang, memang kita tak dapat tutup. Biar mulut orang busuk, jangan kita sumbat lagi najis dalam mulut mereka (dengan melawan hujah dengan mereka, which is totally useless). Pasangan itu pasangan kita, beliau yang akan tinggal dengan kita, tidur sekatil, makan sama-sama, dan sebagainya. Jadi takkan nak pilih pasangan pun sebab dengar apa orang kata?
Cari pasangan yang betul-betul melengkapi apa yang kita kurang. Kenal keluarganya dahulu. Pastikan si dia boleh ‘masuk’ dengan ahli keluarga kita. Biasanya kita boleh kenal sahaja orang yang boleh masuk / tidak boleh masuk dengan keluarga kita. Dan, janganlah jadi seperti Si A yang hanya cari pasangan untuk dirinya sahaja. Sebolehnya, cari pasangan ‘untuk’ keluarga kita. Benar si dia itu pasangan kita, tetapi dia juga akan sentiasa bersama dengan keluarga kita. Ubah cara pandang kita pada institusi perkahwinan itu sendiri.
Isu lain pula, jangan malu / putus asa jika di’reject’. Gunakan akal mengapa kita di’reject’. Ada orang akan fikir yang diri dia tak sempurna, tak ada duit, bla bla bla. Mungkin ya, tapi sedarlah sebenarnya Allah ada perancangan Dia sendiri. Entah-entah kau tu tak ada apa lagi, dah miang nak kahwin. Kononnya lepas kahwin baru semangat nak kerja, cari rumah, etc. No no no. Apa kata kau buat cari dulu semua benda tu, dan baru kahwin? Aci kan? Jadi, kembali pada kena ‘reject’ tadi, tip paling penting untuk move on adalah percaya pada aturan Dia. Bukannya mengeluh sana sini dan salahkan orang lain.
Lagipun, jika mahu cari perempuan / lelaki di luar sana, scroll sahaja Instagram, bersepah manusia. Pergi jalan ke shopping mall, bersepah lagi manusia. Pergi masjid waktu ada jamuan atau program ceramah, bersepah lagi manusia. Ni ada lagi yang boleh cakap dah tak ada perempuan / lelaki di dunia ni. Kau yang pemalas nak mencari, asyik nak suap je memang lah.
Ketiga, empati.
Jika ada apa-apa masalah yang melibatkan kita, mula-mula, letakkan ‘siapa yang salah’ itu pada diri kita dahulu. Contohnya, jika ada pencuri masuk rumah bila kita pergi shopping. Pastikan jangan salahkan orang yang terlupa kunci pintu, tapi salahkan diri sendiri yang tidak buat pemeriksaan kali kedua pada pintu tersebut. Hidup ni memang puas hati jika sentiasa tuding jari pada orang lain. Seronoklah kan sebab dapat cari salah orang, dan kita ni sempurna. Tetapi malangnya, yang seronok itu kita sahaja, tetapi bukan orang sekeliling kita.
Jika kita amalkan sikap ‘kita yang salah dahulu’, orang sekeliling kita yang sewajarnya bersalah pun, akan secara automatik rasa bersalah. Tetapi, bezanya, dia rasa bersalah dalam keadaan berahsia, dan maruah terjaga. Dia sedar dia buat salah sebenarnya. Tetapi sudah pasti susah mahu mengaku. Jadi, kita jangan buat dia rasa kurang selesa dengan kesalahan dia. Percayalah, lama-lama nanti, dia akan selesa dengan kita dan tidak akan ulangi kesalahan yang sama. Inilah cara yang digunakan baginda Nabi S.A.W. dalam berurusan dengan Siti Aisyah r.a. (betulkan jika silap).
Ada satu ketika, walaupun Siti Aisyah merasakan beliau terbuat salah, tetapi baginda tidak memarahi beliau, malah baginda memeluknya. Indahnya jika tiada tuding menuding kesalahan sesama ahli keluarga.
Keempat, jaga privasi.
Kadang-kadang kita dengan adik beradik ni terlampau rapat sampai warna bulu ketiak pun tahu. Bila dah menginjak dewasa, bersedehanalah dalam perkara sebegini. Rapat itu boleh, tetapi jangan sampai terlalu rapat. Kadang-kadang, jika abang kita sudah kahwin, kita yang adik lelaki ni janganlah terlalu rapat dengan akak ipar. Faham-fahamlah kan yang itu akak ipar kita, isteri abang kita. Bukan awek kau.
Bila datang rumah mereka, atau beraya di kampung, jagalah adab dengan tidak keterlaluan berpakaian konon itu rumah mak bapak kita yang punya. Kita masih ada peraturan dengan mereka yang bukan mahram kita. Hormati mereka.
Perkara begini juga sama keadaannya bila kita ke rumah saudara mara. Serapat mana pun, sudah pasti ada tahapnya. Rapat waktu kita kanak-kanak dan rapat waktu dewasa ini berbeza. Kita ni pun bukannya kanak-kanak sepenuh masa.
Kelima, ziarah menziarahi.
Ini tip yang sering disebut-sebut. Benar, ini adalah tip yang sangat mujarab. Balik lah kampung. Mak ayah yang tunggu di sana tu, walaupun tak suruh balik, kita ni balik jelah. Jangan berkira sangat kos minyak balik kampung. Kita mahu bahagiakan mereka. Kemudian, ziarah juga adik beradik lain yang sudah berkeluarga. Bawa buah tangan dan sebagainya.
Sambil-sambil balik rumah di kampung, bolehlah ziarah saudara mara kita. Walaupun begitu, jika sesama saudara mara, kurang sesuailah kan ziarah kerap sangat. Kau pun perabis beras diorang je. Kah. Anyway, poinnya, jumpa-jumpa lah dan berkenalan dengan saudara mara. Macam saya, saya ni dari kecil memang tak kenal sangat saudara mara ni. Dah besar macam ni barulah aktif nak ke sana ke mari nak kenal dengan mereka.
Okay, setakat ini sahaja perkongsian saya. Oh ya, tulisan ini saya tulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan daripada saya sendiri (walaupun masih bujang). Saya tahu mungkin akan ada yang kata ‘alah tak kahwin lagi, bajet macam tahu alam perkahwinan macammana’, ‘alah, budak lagi..’, alah… alahh… Relax la atuk nenek.
Tiada isu pun siapa yang memberi cadangan, tetapi lihat pada perkongsiannya. Janganlah ikut sangat sikap yang susah nak terima pandangan orang yang kita rasa tak sama taraf dengan kita. Betul, lain orang, lain situasi keluarganya, jadi, ambil lah mana yang sesuai. Saya suka memberi tip yang praktikal yang saya sendiri lakukan dan ada kesan positifnya. Jika bukan dalam jangka masa yang pendek, insyaAllah akan membuahkan hasil pada jangka masa yang panjang.
Terima kasih kerana membaca, dan selamat berkeluarga!
– ww
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit