Lalai

Nama aku Nur (bukan nama sebenar). Aku merupakan seorang kerani yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di Melaka. Suami aku merupakan seorang pegawai tentera yang berkhidmat di bawah RAMD yang terletak berdekatan dengan tempat tinggal kami berdua. Kami dikurniakan dengan seorang anak lelaki 3 tahun lepas.

Aku ingin berkongsi satu pengalaman pahit yang melibatkan anak aku yang bernama Ikmal (bukan nama sebenar) akibat kelalaian pengasuh di sebuah rumah pengasuh yang juga terletak berdekatan dengan rumah aku. Perkara ini mungkin sudah lama juga berlaku, iaitu lebih kurang 15 bulan yang lepas, namun, kejadian ini memberi pengajaran yang cukup besar dan bermakna buat aku dan suamiku. Itulah sebabnya aku ingin kongsikan kepada semua pembaca di media sosial ini.

Semasa Ikmal berumur 2 tahun, aku terpaksa menghantarnya ke rumah pengasuh 5 hari dalam seminggu (tak termasuk hari sabtu dan ahad) memandangkan aku dan suami aku sendiri amat sibuk di waktu pagi. Sebelum ini, aku menjaga Ikmal sendiri di rumah memandangkan aku tidak bekerja lagi sewaktu itu.

Setelah mendapat pekerjaan yang dekat, memang aku tiada pilihan lain kecuali menghantar dia ke rumah pengasuh. Daripada jam 7.00 pagi lagi, aku bertolak ke tempat kerja aku yang memakan masa kira-kira 30 minit pemanduan. Suami aku juga begitu. Kira-kira jam 6.00 petang, aku akan sampai ke rumah dan suami aku biasanya sampai ke rumah lebih kurang jam 7.30 malam.

Pada suatu hari, aku seperti biasa menjemput Ikmal daripada rumah pengasuh tersebut lebih kurang jam 6.15 petang. Mengikut kata pengasuh itu, Ikmal berkelakuan pelik hari itu. Dia tidak mahu makan dan mana-mana makanan yang disuapkan kepadanya, dia akan muntah semula. Ikmal kelihatan tak bermaya, pucat dan aku rasa badannya panas. Sebaik sahaja sampai di rumah, aku dapati kedua-dua belah mata Ikmal kelihatan kekuningan.

Ikmal hanya diam dan menangis sahaja. Aku membuat keputusan untuk membawanya ke klinik. Aku membuat panggilan kepada suami aku untuk memberitahu dia bahawa aku ke klinik untuk mendapatkan rawatan bagi Ikmal, tetapi, dia menyuruh aku untuk tunggu sebentar kerana dia juga dalam perjalanan pulang dan akan sampai lebih kurang 30 minit sahaja lagi. Dia nak ikut bersama aku untuk menghantar Ikmal ke klinik.

Oleh itu, aku terus menukar lampin Ikmal sementara masih ada masa 30 minit lagi sebelum suami aku sampai. Semasa aku membuka lampinnya, aku terkejut. Aku rasa ini bukan kes demam biasa atau sakit perut biasa-biasa, ini hal kecemasan ni. Kelihatan air kencingnya bewarna gelap dan cair, seperti air Coca-Cola (tanpa gas ya). Aku jadi gelabah, dan aku teruskan sahaja menukar lampinnya, akan tetapi, tiba-tiba aku dapati Ikmal menggigil kuat. Matanya memandang ke atas, mulutnya terbuka seperti ingin meraung, tetapi tidak keluar apa-apa suara. Kedua-dua belah tangan dan kakinya bergoncang kuat tanpa kawalan. Saat itu aku tahu, Ikmal sedang mengalami sawan.

Aku jadi kalut. Aku segera telefon 999 menceritakan hal tersebut. Mereka berkata kepada aku untuk tunggu sebentar sementara ambulans sampai. Aku menelefon suami aku juga. Dalam masa beberapa saat selepas itu, serangan sawan itu terhenti. Ikmal menangis dan berteriak dengan kuat. Tiada air mata pun yang keluar.

Suami aku terus mengarahkan aku untuk ke rumah Puan Azizah, jiran aku untuk mendapatkan pertolongan kerana dia tahu, jika Ikmal sedang sakit sebegini, sudah tentu aku perlu sentiasa berada dengannya. Itulah sebabnya mengapa suami aku tidak mahu aku memandu sendiri ke hospital kerana keadaan akan menjadi lebih berbahaya sekiranya aku memandu sendiri sambil memegang Ikmal.

Aku menggoncang-goncang pintu gate rumah Puan Azizah untuk meminta pertolongan untuk membawa Ikmal ke hospital. Memang aku tak akan lepaskan pun Ikmal semasa itu. Di dalam kereta, pihak ambulans menelefon aku untuk bertanyakan direction, tetapi, aku berkata dengan mereka bahawa aku terpaksa batalkan sahaja ambulans kerana aku tak sanggup nak tunggu walau sesaat pun lagi. Puan Azizah memandu keretanya dengan pantas dan di dalam kereta, Ikmal terkena lagi serangan sawan. Aku mula menangis dan cuak, aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan.

Aku mendakap Ikmal serapat-rapatnya. Aku berdoa dalam hati tanpa henti. Ya Allah, aku memohon bantuan daripada mu ya Allah. Mulut aku tak henti-henti membaca doa dan zikir. Puan Azizah pun sama. Dalam kira-kira 10 minit kemudian, aku sampai ke emergency department (ED). Aku berlari membawa Ikmal ke kaunter triage. Sawan, pucat, muntah-muntah dan demam. Medical Assistant (MA) tersebut terus membawa Ikmal ke zon merah.

Berbagai-bagai rawatan diberikan memandangkan keadaannya tidak stabil. Aku diarahkan untuk keluar sebentar kerana mereka tidak mahu ada orang lain di sekitar katil yang menempatkan Ikmal memandangkan mereka memerlukan beberapa orang jururawat, MA dan doktor untuk menstabilkan keadaan Ikmal. Kiranya, kedudukan aku di situ hanya akan mengganggu pergerakan mereka semua yang memang nampak kalut, tetapi teratur dan sistematik.

Aku keluar daripada zon merah dan suami aku baru sahaja tiba di situ. Aku mulai menangis. Suami aku memegang tangan aku untuk ‘kuat’ demi Ikmal. Aku tahu, dia juga menahan air matanya kerana dia tahu, jika aku menangis dan dia pun menangis, apa pun tak jadi nanti. Beberapa minit kemudian, seorang doktor merapati aku dan suami aku. Dia bertanya satu dua soalan sahaja kepada aku, dan terus mengarahkan suami aku untuk mendaftarkan Ikmal sebagai pesakit.

Doktor tersebut mengatakan Ikmal tidak lagi sawan semasa di zon merah, tetapi dia mulai muntah-muntah dengan begitu banyak. 10 minit kemudian, doktor memanggil aku dan suami aku untuk masuk ke zon merah, iaitu ke katil yang menempatkan Ikmal. Aku boleh katakan, itulah saat yang paling aku cuak dan takut dalam hidup aku.

Aku terlalu takut kerana terfikirkan bahawa adakah Ikmal sudah tiada. 10 langkah daripada tempat aku duduk ke zon merah aku rasakan macam satu benda yang paling menakutkan dalam hidup aku sehinggakan kaki aku berasa lemah longlai dan nak pengsan. Mujurlah suami aku memimpin tangan aku dan mulutnya tak henti-henti berdoa. Aku tahu, bagaimana aku rasa sedih dan takut, begitulah yang dialami oleh suami aku, cuma dia tidak tunjukkan sahaja apa yang dirasainya.

Aku merapati katil Ikmal. Allahu, amat menyedihkan aku lihat. Jarum kiri dan kanan, tiub di dalam mulutnya dan pelbagai wayar berselirat disambungkan pada alat-alat hospital yang tidak henti-henti berbunyi. Namun, aku berasa sedikit lega kerana Ikmal masih lagi ada harapan dan aku tahu, Ikmal seorang yang kuat dan cerdas.

“Dia macamana doktor?”, suami aku bertanya.

“Sekarang ni dia sudah stabil dan kita kena tengok betul-betul takut dia sawan lagi”, kata doktor tersebut.

Dia kemudiannya menukar sarung tangannya yang baru dan mengambil plastik kuning yang berada di atas katil tersebut. Dia mengatakan kepada aku bahawa plastik tersebut mengandungi isi perut Ikmal, yang terkeluar semasa dia termuntah-muntah. Apabila dia buka sahaja plastik tersebut, semerbak bau sesuatu yang sangat familiar dan yang pernah aku dan suami aku bau sebelum ini.

Ya, bau ubat gegat.

Doktor tersebut terus bertanya banyak soalan kepada aku dan suami aku mengenai Ikmal. Di manakah dia berada sebelum ni, macamana boleh terjadi macam ni dan lain-lain. Doktor memberitahu aku, ada kemungkinan Ikmal makan ubat gegat di rumah pengasuh tersebut. Suami aku, apabila dia mendengar penerangan doktor, dia terus sentap dan nak naik hantu. Terus dia capai telefonnya untuk menelefon pengasuh tersebut.

Aku mengambil telefon tersebut daripada tangan suami aku sebab aku rasa sekarang bukan masanya untuk nak menengking, mencarut dan memaki pengasuh tersebut. Bukan aku kata tak boleh, tetapi sekarang bukan masanya. Aku berkata dengan suami aku, biar aku yang bercakap dan bertanya kepada pengasuh tersebut. Dia mengangguk sahaja. Tapi tangan dia memang digenggam kuat sehngga menggigil-gigil dia menahan kemarahan,

Aku mendail nombor telefon pengasuh tersebut, dan terus bertanya mengenai kes ini. Pengasuh tersebut, walaupun pada asalnya bersikap defensif tetapi akhirnya akur. Dia berkata, dalam jam 5,00 lebih hari yang sama, dia tidak perasan bahawa Ikmal membuka laci di bawah almari dan memakan 2-3 ketul ubat gegat yang diletakkan di dalam plastik dan dibuka sedikit. Bila dia perasan pun dah terlambat kerana kesemua ubat gegat tersebut telahpun dimakan oleh Ikmal.

Dia jadi terlalu takut, dan cuba menyembunyikan hal ini. Kesilapan tersebut boleh mengakibatkan perniagaannya ditutup serta-merta. Namun, keputusan yang dia ambil untuk terus menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan aku dan suami aku hanya akan mengakibatkan dia mendapat pembalasan yang lebih teruk disamping mendapat tuduhan untuk membunuh tanpa niat dan percubaan untuk menyembunyikan sesuatu yang boleh mengkibatkan kematian kepada anak aku sendiri.

<<Informasi Perubatan oleh Shark>>
Untuk pengetahuan anda, ubat gegat yang biasa kita gunakan untuk mengelakkan daripada buku atau baju daripada dimakan gegat mempunyai kandungan satu jenis bahan yang dinamakan Naphthalene. Naphthalene merupakan satu jenis bahan yang terhasil daripada pembakaran apa-apa objek pun, termasuk rokok, tetapi kandungannya rendah. Walaupun dos yang boleh menyebabkan kematian untuk manusia masih lagi tidak diketahui, akan tetapi, terdapat 0.5 – 5 gram naphthalene dalam seketul ubat gegat.

Keracunan akibat naphthalene ini merupakan salah satu kes yang jarangkali berlaku, dan biasanya, kes-kes keracunan ni melibatkan orang dewasa dalam usaha mereka untuk membunuh diri. Disebabkan bentuknya yang sfera, dan kadangkala mempunyai bermacam-macam warna, ianya seringkali dimakan oleh kanak-kanak kerana mereka sangkakan benda tersebut adalah gula-gula.

Keracunan akibat naphthalene ini akan menyebabkan sel-sel darah merah pecah dan daripada situ, jumlah sel darah merah itu sendiri menjadi sangat rendah. Kondisi yang kita namakan sebagai haemolytic anaemia. Naphthalene akan menyebabkan zat besi di dalam haemoglobin ini teroksida dan menyebabkan kondisi yang kita panggil sebagai methaemoglobinaemia (tergeliat tak lidah nak sebut?).

Tidak seperti haemoglobin yang mempunyai kemampuan untuk memegang molekul oksigen dan kemudian melepaskannya untuk digunakan oleh sel-sel badan, methaemoglobinaemia juga mempunyai keupayaan untuk memegang molekul oksigen, tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk melepaskannya. Jadi, pesakit akan mulai mengalami cyanosis, iaitu satu tanda hypoxia yang akan menjadikan bahagian kulit seseorang itu bertukar menjadi biru.

Untuk pengetahuan anda, ujian darah untuk pesakit yang mengalami methaemoglobinaemia akan menunjukkan bahawa kandungan oksigen di dalam darah itu normal. Hal ini adalah kerana seperti yang dinyatakan di atas, methaemoglobinaemia boleh memegang molekul oksigen, cuma tidak boleh melepaskannya. Darah yang diambil untuk ujian ini, dan sensor yang digunakan oleh mesin ujian tersebut akan ‘tertipu’ kerana ianya hanya mengukur kandungan oksigen semata-mata, tetapi tidak boleh mengesan sama ada oksigen tersebut dipegang oleh haemoglobin atau Methaemoglobin.

Juga, organ-organ lain akan mempunyai kerosakan kerana naphthalene juga membebaskan free radicals. Dalam kes ini, kerosakan hati ditunjukkan oleh mata pesakit yang menjadi warna kuning, dan gejala ini kita panggil sebagai jaundice atau icterus. Sel darah merah yang pecah ini juga akan mengakibatkan warna air kencing pesakit bertukar menjadi warna gelap.

Sekiranya tidak dirawat dengan cepat, bahagian buah pinggang pesakit akan mengalami kerosakan dan akhirnya mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Juga, pada kebiasaannya, gejala warna air kencing yang betukar menjadi gelap ini akan mengambil masa yang lambat untuk bertukar (within 24-48 hours), namun, dalam kes keracunan untuk golongan kanak-kanak dan pengambilan dos racun yang tinggi akan mempercepatkan proses ini.

Untuk pengetahuan anda, kes ini agak sama dengan apa yang akan dialami oleh pesakit yang mempunyai G6PD-deficiency di mana pesakit-pesakit ini juga akan mengalami gejala yang sama apabila terdedah kepada naphthalene. Perbezaannya dengan orang yang mempunyai G6PD-deficiency adalah gejala ini akan terjadi pada peringkat/dos yang jauh lebih rendah.

Jadi, rumusannya, keracunan naphthalene akan berpotensi untuk menyebabkan pembentukkan methaemoglobin yang boleh mengakibatkan kerosakkan kepada hampir semua organ dan berpotensi untuk menyebabkan kematian akibat hypoxia. Sel-sel darah merah pesakit yang pecah akan mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan naphthalene membebaskan free radicals yang mengakibatkan kerosakan pada organ hati.

Untuk medical student – ini adalah antara kes yang anda boleh katakan hypoxia without hypoxaemia. Itulah kepentingan untuk anda betul-betul memahami terminologi perubatan yang kompleks ini.

<<Informasi Perubatan Tamat>>

Selepas hampir 2 minggu Ikmal dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU), dia akhirnya dipindahkan ke wad biasa dan 4 hari kemudian, dia dibenarkan untuk pulang. Di rumah, Ikmal mengambil masa yang panjang untuk dia pulih sepenuhnya daripada tusukan jarum yang memberi ubat-ubatan, tiub pernafasan dan lain-lain. Hanya selepas 11 bulan kemudian barulah Ikmal kembali menjadi Ikmal yang asal.

Rumah pengasuh tersebut ditutup dan aku tidak pasti apa yang terjadi kepada pengasuh berkenaan selepas dia membayar sepenuhnya ganti rugi yang aku dapat untuk kes ini (amaunnya aku rahsiakan). Apa pun, mesej yang aku sampaikan di sini adalah tak kira di mana-mana sekalipun korang berada, tak kiralah di rumah, di rumah pengasuh, taska, tadika dan sekolah, pastikan mana-mana ubat atau racun serangga disimpan dalam rak yang tinggi (tak boleh dicapai oleh kanak-kanak) ataupun rak yang berkunci.

Sedikit kelalaian dan keputusan yang diambil kadangkala akan mampu menghancurkan mahupun mengubah kehidupan seseorang itu. Selepas kejadian tersebut, aku berhenti kerja untuk memfokuskan diri aku untuk menjaga Ikmal sepenuh masa kerana aku memang sudah fobia dan trauma melalui perkara ini.

*NOTA DARIPADA IBU BAPA IKMAL

2 hari lepas, aku dan suami aku ke Muar untuk berjumpa dengan Shark. Dia asalnya mahu menemubual suami aku yang terlibat dalam beberapa kes dan krisis yang berlaku di Malaysia ini untuk dijadikan penulisan, tetapi hujungnya kami lebih banyak berkongsi mengenai hal anak kami dan kes ini. Memandangkan apa yang kami bincang ini dia rasakan bermanfaat untuk orang lain, juga, kami berdua ni pun bukan reti sangat nak menulis dan berkongsi pengalaman, jadi, ada baiknya kalau kami berikan kepada dia mengenai fakta kes yang berlaku untuk dikongsikan kepada masyarakat.

*NOTA DARIPADA PENULIS

Segala nama dan tempat kejadian dalam kes ini telah saya ubah sepenuhnya untuk menjaga etika ‘privacy and confidentiality’ pesakit dan ibu bapa pesakit. Beberapa gaya penceritaan diolah sedikit untuk menjadikan pembacaan artikel yang panjang ini tidak meletihkan dan membosankan.

– Ilzanno Sharky (https://www.facebook.com/drsharky88)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *